Thursday, May 28, 2009

Pemantauan Pelaksanaan Transformasi Kurikulum

27Mei-Pada hari ini saya dan Ustaz Musa Jayyid sempat mengiringi Encik Fauzi bin Abdul, pegawai Kurikulum di BPK, KPM memantau ke SK Sungai Korok Lama, Jalan Pegawai, Alor Star, iaitu salah sebuah sekolah yang terlibat dengan pelaksanaan Transformasi Kurikulum di negeri ini. Pemantauan yang diketuai oleh Encik Fauzi bin Abdul sebelum ini telah sempat ke SK Sg.Pasir, Sg. Petani, SK Kampung Paya, SK Kuala Nerang dan SK Kubang Leret. Manakala SK Hujung Bandar pula akan dibut pemantauan selepas cuti pertengahan tahun nanti.


Dalam pertemuan dengan GPI dan GPI j-QAF beberapa maklumat, dapatan dan isu telah dapat dikutip oleh Encik Fauzi untuk dibawa pulang ke BPK sebagai bahan untuk dinalisa dan dibuat kesimpulan terhadap projek rintis ini di seluruh negara. Semoga projek rintis Pelaksanaan Tranformasi Kurikulum ini akan menghasilkan impak yang terbaik untuk dilaksanakan seluruh negara bagi memantapkan lagi pencapaian pelajar secara amnya.


Terima kasih diucapkan kepada BPK kerana memilih beberapa sekolah negeri Kedah sebagai projek rintis tersebut.

Monday, May 25, 2009

Mesyuarat Penyelarasan dan Taklimat Pelaksanaan Data e-Pelaporan Pencapaian Murid Program j-QAF Enam Bulan Pertama 2009 Peringkat Negeri Kedah

25 Mei- Pagi tadi satu mesyuarat Penyelarasan Data e-Pelaporan 6 Bulan Pertama 2009 Peringkat Negeri Kedah telah di adakan di bilik mesyuarat PKG Sungai Limau, Yan. Mesyuarat melibatkan Pegawai Khas j-QAF dan Penyelia yang terlibat dari PPD seluruh Kedah. Mesyuarat bermula jam 8.30 pagi dan berakhir jam 2.00 petang.

Pada sebelah petang pula satu Taklimat Penyelarasan Data e-Pelaporan Pencapaian Murid 6 Bulan Pertama Program j-QAF Kedah telah diadakan di tempat yang sama. Para peserta terdiri Pegawai Khas dan Penyelia yang menguruskan program j-QAF di daerah negeri Kedah di iringi oleh 2 orang JU e-Pelaporan dari setiap daerah. Turut hadir dalam taklimat e-Pelaporan pada petang ini ialah dua orang pegawai dari Sektor Pendidikan Islam yang dijemput bersama untuk mendapat pendedahan data e-Pelaporan kali ini, mereka ialah Penolong Penagarah Bahasa Arab, Ustaz Khairul Anuar bin Mohd Ali dan Pegawai Data Sektor Pendidikan Islam yang baru, Ustaz Bahaudin bin Ahmad. Program taklimat ini bermula jam dengan ucapan aluan dan taklimat ringkas oleh PPK j-QAF, JPN Kedah yang dipengerusikan oleh Tuan Haji Jamaluddin Said, PK j-QAF Kuala Muda Yan. Agenda penting pada petang ini ialah Taklimat Kegunaan Data e-Pelaporan j-QAF yang telah disampaikan oleh Ustaz Akmal Ahmad yang merupakan JU e-Pelaporan Negeri kepada semua JU e-Pelaporan dari PPD seluruh Kedah.

Perisian data e-Pelaporan pada 6 bulan pertama 2009 ini tidaklah berbeza sangat dari perisian data e-Pelaporan tahun-tahun sebelumnya. Hanya terdapat beberapa pembaharuan yang perlu diberi perhatian oleh semua JU dan seterusnya untuk disampaikan kepada semua guru yang akan mengisi data e-pelaporan tersebut di sekolah masing-masing. Jika perkara-perkara utama yang telah dijelaskan dan disenaraikan dalam taklimat pada hari ini diberi tumpuan yang utama kepada guru-guru di sekolah, maka ia akan menghasilkan satu pelaporan yang bersih dan mudah untuk diselaraskan pada data e-pelaporan di peringkat daerah dan negeri. Perkara inilah yang perlu diberi tumpuan utama.

Berhubung dengan tempoh masa yang ada, data e-Pelaporan ini akan di satukan di peringkat JPN pada awal Julai nanti. Dengan masa yang ada, di samping tempoh waktu cuti yang agak panjang (selama 2 minggu) ini diharapkan pengisian data pada tahun ini berada dalam situasi masa yang agak selesa jika ia diuruskan dengan betul. Situasi mengisi data di akhir masa yang diperuntukkan , biasanya dari pengalaman yang lalu akan mengakibatkan kegopohan dan ketidaktelitian terhadap maklumat yang diberikan berlaku agak ketara. Ini akan mengakibatkan beberapa masalah yang tidak dapat dielakkan timbul dan menyusahkan usaha-usaha untuk disatukan di peringkat e-PPD dan e-JPN dan seterusnya di Bahagian Pendidikan Islam dan Bahagia Perkembangan Kurikulum, Kementerian Pelajaran Malayisa. Situasi seumpama ini akan menyusahkan JU dan pegawai , kerana semua data yang dikumpulkan terpaksa disemak semula berulang-kali untuk mencari kebenaran, kemunasabahan dan ketepatan data yang telah diisi sejak di peringkat sekolah lagi.

Oleh itu pada tahun ini, kita semua amat berharap, pengalaman 4 tahun yang lalu dapat dijadikan panduan untuk memantapkan lagi edisi tahun ke lima pengisian data e-Pelaporan ini. Semoga ketelitian, ketelusan dan kesempatan masa yang ada akan menghasilkan data e-pelaporan kali ini semakin mantap dan sekaligus dapat mengurangkan atau mengelakkan dari pembaziran masa dan tenaga yang amat berharga.

Terima kasih tidak terhingga diucapkan kepada semua pegawai dan JU setiap daerah yang hadir, Ustaz Akmal yang begitu bersungguh-sungguh dalam menyampaikan amanah dan taklimat, Ustaz Jamaluddin dan Ustaz Jamal Abdul Nasir yang telah bertungkus lumus mencari, menyedia dan memberi layanan yang amat baik kepada semua hadirin pada hari ini. Tidak lupa juga ucapan terima kasih kepada Pegawai Penyelaras PKG Sungai Limau dan stafnya yang sentiasa sedia membantu kami ditahap amat memuaskan. Hanya Allah yang mampu membalas budi baik kalian.

Wednesday, May 20, 2009

Mesyuarat Jawatankuasa Laporan Pencapaian Program j-QAF Kegunaan Tahun 2009

19 Mei-Mesyuarat tersebut sedang berlangsung di Kuala Lumpur Internatioanal Hotel, Jalan Sultan Abdul Aziz, Kuala Lumpur bermula pada 19.5.2009 dan dijangka akan berakhir pada 21.5.2009. Mesyuarat tersebut anjuran Pusat Perkembangan Kurikulum, Kementerian Pelajaran Malaysia di selaraskan oleh pegawai-pegawai yang diketuai oleh Puan Noor Azza , Ustazah Jamilah dan Ustaz Fauzi bin Abdul yang telah lama berkecimpung dalam kurikulum j-QAF sejak dari mula dilaksanakan program ini. Negeri Kedah diwakili oleh saya dan JU e-Pelaporan Ustaz Akmal bin Ahmad .


semua wakil seluruh negara masing-masing sebok dengan
maklumat baru data e-Pelaporan 6 bulan 1/2009



Dalam majlis taklimat yang disampaikan oleh Puan Noor Azza, beliau menekankan tentang fungsi dan betapa pentingnya pengoperasian data j-QAF yang dapat dihasilkan dari dapatan yang dikumpulkan dari seluruh negara untuk dijadikan satu indikator ke arah menilai keberkesanan perjalanan program j-QAF sepanjang enam bulan pertama 2009.

beres ! ...walaupun dah 2 tahun tidak bersama j-QAF,
tapi tenaga dan fikiran tuan masih diperlukan.


Beliau juga mengharapkan agar data e-Pelaporan 6 bulan pertama 2009 dapat diisi dengan cermat dan berhati-hati oleh semua guru terlibat di sekolah masing-masing supaya ianya tidak menimbulkan sebarang masalah di peringkat e-PPD dan e-JPN. Data yang telah siap di peringkat negeri akan disatukan di peringkat kebangsaan. Hasil dapatan daripada e-Pelaporan di peringkat kebangsaan itulah akan dijadikan petunjuk baru pencapaian murid pogrma j-QAF pada 6 bulan pertama 2009 dan pencapaian tahun 5 program j-QAF dilaksanakan selama ini. Kita sama-sama doakan agar pencapaian keseluruhan murid j-QAF hasil usaha gabungan semua pihak yang terlibat secara langsung dan secara tidak langsung ini memberi impak yang terbaik terhadap murid dan program ini ke arah melahirkan modal insan yang cemerlang dunia dan akhirat.

Sunday, May 17, 2009

Mesyuarat Penyelarasan Bahan Ujian Pencapaian Jawi Program j-QAF 6 Bulan Pertama Peringkat Negeri Kedah Kali 1/2009

17 Mei- Pagi ini satu mesyuarat telah diadakan di PKG Ayer Hitam, membincangkan perkara-perkara yang berkaitan dengan bahan ujian pencapaian murid j-QAF seluruh Kedah. Selain itu terdapat isu-isu lain juga diberi perhatian dalam mesyuarat tersebut seperti Taklimat e-Pelaporan , permohonan dalam negeri GPI program j-QAF, Data keperluan guru semasa, pemantauan bersepadu program j-QAF ke daerah yang belum dipantau dan tindakan susulan pemantauan ke daerah yang telah dipantau serta laporan-laporan pelaksanaan program j-QAF yang perlu dikemaskinikan oleh guru dan pegawai dari semasa ke semasa.



Semua pegawai menghadiri mesyuarat tersebut dan sumbang-saran yang memberansangkan telah memenuhi ruang perbincangan yang sedia terbentang. Semoga hasil mesyuarat hari ini akan dapat melancarkan perjalanan pelaksanaan program j-QAF di negeri Kedah. Mesyuarat berakhir jam 4.35 petang tanpa waktu rehat tengahari yang panjang pada hari ini.





Terima kasih diucapkan kepada pegawai-pegawai PKG Ayer Hitam yang sedia membantu bagi melancarkan perjalanan mesyuarat pada hari ini. Amiin....

Selamat Hari Guru 2009

17 Mei-


" Tanpa Guru ... Siapalah Aku"

Al-Fatihah untuk semua guruku,
Gurulah di awal,
Gurulah di akhir.


Friday, May 15, 2009

Di Ucapkan : Selamat Menyambut Hari Guru 2009

Saban Tahun Tanggal 16 Mei ....

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

GURU OH GURU

Berburu ke padang datar
Dapat rusa belang kaki
Berguru kepalang ajar
Ibarat bunga kembang tak jadi
(dedikasi kepada Hari Guru dan guruku tercinta)

Dialah pemberi paling setia
Tiap akar ilmu miliknya
Pelita dan lampu segala
Untuk manusia sebelum jadi dewasa.

Dialah ibu dialah bapa juga sahabat
Alur kesetiaan mengalirkan nasihat
Pemimpin yang ditauliahkan segala umat
Seribu tahun katanya menjadi hikmat.

Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa;
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.

Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya
Di sebuah sekolah mewah di Ibu Kota
Di bangunan tua sekolah Hulu Terengganu
Dia adalah guru mewakili seribu buku;
Semakin terpencil duduknya di ceruk desa
Semakin bererti tugasnya kepada negara.
Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu, guruku
Budi yang diapungkan di dulangi ilmu
Panggilan keramat "cikgu" kekal terpahat
Menjadi kenangan ke akhir hayat.

DATO' DR. USMAN AWANG
1979
(Al-Fatihah untuknya dan semua bekas guru kita yang telah kembali padaNYA)


Tema Hari Guru 2009

"Guru Pembina Negara Bangsa"

Ikrar Guru Malaysia
Bahawasanya kami
Guru-guru negara Malaysia
Dengan ini berikrar
Mendukung terus cita-cita kami
Terhadap tugas kami
Dan menyatakan keyakinan kami
Pada cita-cita murni pekerjaan kami
Kami akan berbakti
Kepada masyarakat
Dan negara kami.

Kami sentiasa menjunjung
Perlembagaan negara
Kami mengamalkan
pinsip-prinsip Rukun Negara
Pada setiap masa.


Selamat menyambut Hari Guru 2009
kepada
semua rakan guru yang mengenali dan dikenali , maaf zahir batin dari saya.


Terima kasih....

Thursday, May 14, 2009

Mesyuarat Pengurusan SPI dan UPI Kali ke 2/2009

14Mei- Semalam setelah tiba dari KLIA , saya sempat ke Pulau Pinang untuk menghadiri mesyuarat Pengurusan SPI,UPI Kali Ke 2/2009. Dalam hujan renyai-renyai,mandu kereta kecil di lebuhraya dan jambatan Pulau Pinang serta merayau-rayau di Batu Feringgi mencari Berjaya Hotel yang tak jelas kelihatan dalam samar malam menjadi pengalamanku untuk membuang masa. Akhirnya dibantu teman-teman setia Ust. Dzia, Ust.Nadzhari dan Ust.Mokhtar saya selamat sampai ke dewan mesyuarat jam 9.10 malam. Perbincangan sedang hangat berjalan diselang seli dengan pembentanagan aktiviti.

Pagi tadi saya sempat membuat laporan hasil Mesyuarat Penyelarasan Aktiviti Dakwah j-QAF dan beberapa perkara berkaitan amanat Tuan Pengarah dan Timbalan Pengarah Operasi Dakwah. Alhamdulillah hajat tertunai jua apabila beberapa isu telah dapat diputuskan dengan jayanya.

Selepas membuat laporan, dengan izin pengerusi, Tuan Ketua Sektor saya dan semua pegawai yang menguruskan program j-QAF beredar meninggalkan majlis untuk megadakan mesyuarat ringkas dan penting untuk tindakan pelaksanaan j-QAF didaerah dalam tempoh terdekat. Al-Hamdulillah, mesyuarat ringkas dapat diselesaikan dengan baik dan ada beberapa perkara yang tak sempat dibincangkan telah ditunda ke 17/5 di PKG Ayer Hitam, InsyaAllah.
kalau dah memang berbakat, sentiasa bunga menghasilkan buahnya.
Tahniah Ust Mutalib

Selesai majlis penyampaian hadiah kepada jaguh-jaguh bowling dari SPI dan UPI, majlis penangguhan mesyuarat kali ini sempurna dilaksanakan oleh Tuan Ketua Sektor ke satu tarikh yang akan ditentukan kemudiannya. Semua pegawai dari SPI dan UPI beredar dari Berjaya Hotel membawa hasil mesyuarat untuk tindakan dalam tugas masing-masing. Jumpa lagi.

Monday, May 11, 2009

Mesyuarat Penyelarasan Aktiviti Dakwah j-QAF JPN Bersama Operasi Dakwah BPI Bil 1/2009.

11 Mei-Mesyuarat bermula pada petang tadi dan disusuli dengan Ucapan Dasar Tuan Pengarah BPI, Tuan Haji Abdul Rashid bin Ngah yang diadakan didewan utama Hotel Seri Malaysia, Bagan Lalang, Sepang, Selangor pada jam 8.30 malam. Mesyuarat ini akan berlangsung hingga Rabu 13/5/2009 . Turut hadir bersama dalam majlis pada malam ini ialah, Tuan Haji Abdullah bin Md.Din (Timbalan Pengarah Operasi Dakwah), Ustaz Mohd Ali bin Dahlan, Ketua Sektor Operasi Dakwah dan Ketua Unit serta Penolong-Penolong Pengarah Unit Operasi Dakwah dari BPI, Penolong Pengarah Kanan Dakwah serta Penolong Pengarah Kanan j-QAF JPN seluruh negara.khusyuk merekod amanat dari Tuan Pengarah BPI

Dalam Majlis ucapan dasarnya tadi Tuan Pengarah BPI, KPM telah menyentuh tentang;
-Latarbelakang perubahan struktur BPI dari JAPIM dan perjawatan baru serta pecahan unit-unit dalam BPI dan bidang tugas.
-Kepentingan pelaksanaan program j-QAF yang menjadi program besar Kementerian Pelajaran Malaysia yang bukan sahaja melibatkan BPI, malah BPG dan EPRD di KPM. Ini bermakna program j-QAF yang boleh diselia dan dipantau oleh jemaah nazir KPM dan JPN, BPG dan EPRD di Kementerian Pelajaran Malaysia dan bukan hanya oleh SPI dan BPI.
kuliah subuh disempurnakan oleh Ust Wan Mohd Zaidi Wan Mahmood


Dalam ucapannya juga beliau telah menyentuh beberapa isu penting yang perlu diberi perhatian oleh semua pihak yang terlibat seperti;

1.Pengisian dan menilai semula model j-QAF untuk penambahbaikan.
2.Kekurangan guru j-QAF dan masalah serta cara mengatasinya sedang diusahakan oleh KPM.
3.Isu pematuhan kepada surat pekeliling oleh pihak pentadbir sekolah dalam pelaksanaan program j-QAF.
4.Penyatuan seluruh warga GPI dan GPI program j-QAF di bawah satu kesatuan yang mantap seluruh negara.
5.Perlunya GPI j-QAF diberi motivasi dan dimantapkan teori dan praktikal dalam p&p serta tanggungjawab sebagai guru dan tidak memikirkan keutamaan diri dari tugas dan amanah yang telah diterimanya.
6.Mengkaji balik sejauhmana guru program j-QAF berperanan dari segi praktikalnya sehingga murid dibawah tanggungjawabnya mencapai khatam Al-Quran.

Diakhir ucapannya Tuan Pengarah telah meninggalkan pesanannya supaya agar kita semua ;
"utamakan out-come dan jangan memikirkan tentang out-put, supaya unjuran KPI dapat di capai pada tahap yang terbaik" demi untuk masa depan generasi modal insan yang bertakwa.


Hari ke2- Agenda Mesyuarat diteruskan dengan pembentangan contoh aktiviti dakwah j-QAF ole BPI iaitu ;
* Pelaksanaan KBS dan KBJ oleh Ustaz Hasanuddin dari BPI.
* Pelaksanaan KLAQ dan MKQ oleh Ustaz Fauzi Abdul dari BPK.
* Peruntukan Kewangan aktiviti dakwah oleh Ust. Nurul Amali dari BPI
* Perancangan dan Pelaksanaan aktiviti dakwah oleh SPI, Jabatan Pelajaran Negeri-Negeri.



walaupun Ust. Fauzi Abdul dan Ust Azizan kini di BPK sumbangan mereka masih diperlukan





Pada sebelah petang saya dan beberapa rakan sempat melawat kilang perusahaan ringan membuat kerepek di kampong tempat tinggal Ust. Ahmad Zulfakor bin Darusa dari BPI.rasa dulu sebelum beli






Hari ke 3- Mesyuarat diteruskan dengan membuat rumusan hasil perbincangan dan majlis penutupan disempurnakan pada jam 11.00 pagi. Selesai bersiap saya bergegas ke KLIA untuk pulang bagi tujuan menghadiri Mesyuarat Pengurusan SPI dan UPI pada petang nanti di Berjaya Hotel, Pulau Pinang. InsyaAllah selamat sampai.



Friday, May 8, 2009

Mesyuarat Penyelarasan Pertukaran GPI (Men &Ren) dan Penempatan Semula Guru j-QAF Antara Negeri JPN Bersama BPI Berakhir.

7 Mei- Mesyuarat Penyelarasan Pertukaran GPI (Men &Ren) dan Penempatan Semula Guru j-QAF Antara Negeri JPN Bersama BPI melabuhkan tirainya pada petang hari ini.
Dalam Taklimat dan perbincangan dua hala antara JPN negeri-negeri dan BPI banyak isu yang disentuh berkaitan dengan hal-ehwal pertukaran pada kali ini. Ada isu-isu yang dapat diselesaikan dan ada yang terpaksa ditangguhkan. Namun demikian keutamaan diberikan kearah untuk menjaga kebajikan murid dan guru Pendidikan Islam di negara ini. Walaupun pegawai di negeri-negeri dan BPI adalah agen penyelesai masalah berkaitan, hakikatnya tidak semua permohonan dapat dipenuhi kerana ia bergantung kepada keutamaan demi untuk menjaga pencapaian.

Dalam majlis penutupan , wakil dari Kedah Ustaz Harun bin Mat Zain telah menerima ucapan tahniah dari Timbalan Pengarah Pengurusan Pendidikan Islam, BPI, Tuan Haji Muhammad bin Taib kerana telah terpilih untuk bertugas di MSD Mesir sebagai pegawai hal-ehwal pelajar di sana.

Dalam ucapan penutupan rasmi mesyuarat tersebut Tuan Timbalan Pengarah Pengurusan Pendidikan Islam juga telah menyampaikan mesej yang telah diterimanya dari Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia pada minggu lalu yang antara lainnya menyentuh tentang;
-gagasan PM "Satu Malaysia, Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan"yang
menghubungkaitan dengan agenda pendidikan negara.
-utamakan budaya kerja cemerlang.
-sistem penyampaian cepat dan tepat serta berkesan.
-ketepatan dan penjimatan masa, keutamaan kualiti kerja harian dan kurangkan protokol.
-ramah mesra dengan pelanggan dalam semua peringkat masyarakat, ceria dan
berketerampilan.

Tuan Timbalan Pengarah Pengurusan Pendidikan Islam, BPI, KPM mengakhiri ucapannya dengan pertanyaan; ' Dimana kita untuk memenangi hati pelanggan ?'

Thursday, May 7, 2009

Demam Pertukaran Semakin Panas....Moga Cepat "Kebah"

6 Mei-Nampak gaya mesyuarat pada hari ini semakin rancak dan masing-masing pegawai dari seluruh negara membelek dan meneliti setiap permohonan dan rekod yang telah dikumpulkan dari negeri dan BPI sendiri. Masa rehat semakin pendek dan masa tamat semakin berlabuh lewat semata-mata untuk menyiapkan secara terperinci permohonan-permohonan yang telah dikemukakan oleh guru-guru kita dari seluruh negara. Namun demikian demam pertukaran kali ini suhunya agak tinggi hingga menyebabkan Pengerusi Mesyuarat, Ustaz Nahwiyuddin Abdul Manaf demam dan terpaksa menelan ubat melebihi dos untuk mengurangkan suhu badannya yang terasa bahang apabila saya menyentuh tangannya. Apapun tugas terpaksa diselesaikan mengikut jadual, rehat dan keselesaan menghuni hotel sudah tidak terasa lagi. Masing-masing mengejar masa dan tugas supaya selesai dalam waktunya. Punggung dan tulang belakang sudah terasa kebas. Namun tugas jangan terbabas.

waktu rehat...tanggungjawab terhadap keluarga sentiasa
ke udara ditalian siber....



intergarasi antara pegawai sentiasa diaplikasikan,demi keselarasan
...senyum,ketawa penyeri suasana


Apabila saya membuka blog ini dan mengenang kembali tulisan saya pada bulan yang lalu bertajuk "Demam Pertukaran Mudah-Mudahan Akan Kebah" maka ianya menjadi kenyataan apabila tekanan tugas menyebabkan beberapa rakan pegawai yang menguruskan pertukaran kali ini demam dan batuk-batuk. Apa pun saya mendoakan semoga pegawai-pegawai yang demam itu akan "kebah" dan sihat seperti sediakala apabila tugas ini semakin berlabuh. Semua ini adalah demi tugas dan demi untuk memastikan yang layak mendapat haknya dan demi untuk menjaga kebajikan semua guru kita dan seterusnya murid-murid dibangku sekolah. Yang pasti, ada permohonan yang berjaya dan yang pastinya juga ada permohonan yang gagal. Setiap keputusan adalah mengambilkira syarat-syarat pertukaran dan kepentingan perkhidmatan bukannya mendahulukan kepentingan peribadi pemohon.

Apa pun keputusan , sewajarnya kita sebagai orang yang bijak dan berilmu harus menerima hakikat ini seperti yang pernah saya nyatakan dalam contengan saya sebelum ini. Ada peluang tak ke mana, buat permohonan seterusnya pada waktu akan datang jika syarat kita bersesuaian. Insyaallah jika ada rezeki kita dapat bertukar, akan ada orang lain pula menduduki singgahsana tempat kita bertugas dan tempat sumbangan dan pengalaman kita bersemi. Begitulah adat hidup, putaran masa dan suasana pasti berlaku,cuma watak sahaja yang berbeza. Ini fitrah alam, jika kita menongkah arus fitrah alam sudah pasti kita terpaksa menghadapi dilema yang berlarutan dan ketidakselesaan dalam tugas dan murid yang tak berdosa menjadi mangsa suasana yang dicipta. Kadang-kadang kita faham situasi itu, tapi kita cuba untuk mencoba nasib.

Berbalik pada situasi malam ini , mesyuarat kami terus berjalan hingga jam 11.15 malam. Suhu badan Ustaz Nahwi semakin panas, saya dapat rasakan betapa tekanan yang belaiu hadapi. Tugasnya mempengerusikan mesyuarat pada malam ini diselang-seli dengan beberapa pegawai untuk meneruskan kelancaran perjalanan yang pasti akan berakhir buat sementara ini.
kunjungan Tuan Pengarah menyuntik potensi kerja....mesra dan mahabbah

Sebelum mesyuarat bermula para pegawai j-QAF seluruh negara telah dikunjungi oleh Yang Berusaha Tuan Pengarah BPI, KPM Tuan Haji Abdul Rashid bin Ngah yang meluangkan masanya untuk meninjau perjalanan mesyuarat kami. Dalam tinjauannya pada malam ini, banyak pesanan yang penting dan peringatan yang bermakna untuk pegawai aplikasikan dalam tugas sebagai pegawai yang menguruskan hal-ehwal pertukaran dan orang yang bertanggungjawab memastikan perjalanan program j-QAF di negeri-negeri berjalan lancar. Segala pesanan dan amanat beliau sudah pasti akan tersemat disanubari semua pegawai demi untuk memastikan urusan kerja berjalan lancar. Terima kasih Tuan Pengarah!

Monday, May 4, 2009

Mesyuarat Dan Rumusan Pemantauan Bersepadu SK Program j-QAF Kohort 2005 Daerah KMY

4Mei- Pagi ini satu mesyuarat untuk membincangkan isu dan dapatan yang diperolehi hasil pemantauan yang telah dilaksanakan di sekolah program j-QAF daerah KMY pada minggu lalu telah dilaksanakan di Bilik Mesyuarat SK Bakar Arang, Sungai Petani.
Mesyuarat yang dijadualkan bermula jam 8.30 pagi terpaksa dilewatkan sedikit kerana hujan lebat sejak awal pagi disepanjang lebuhraya.


Sementara menunggu pegawai tiba, saya dan beberapa pegawai telah mengadakan perjumpaan dengan GPI dan GPI porgram j-QAF SK Bakar Arang untuk duduk berbincang mengenai perjalanan dan kedudukan pelaksanaan program j-QAF di sekolah tersebut. Antara perkara yang disentuh dalam perbincangan tersebut ialah; teknik p&p khatam al-Quran, kaedah BIG dalam p&p, rekod catatan tasmik dan khatam al-Quran, pemuliahn jawi dan bahasa arab. Antara lain juga ialah perjalanan KBS dan kaedah pelaksanaan yang bersesuaian dengan bilangan murid yang ramai dan peruntukan yang ada.

Mesyuarat untuk membincangkan isu dan dapatan hasil pemantauan daerah KMY pada pagi ini terpaksa diadakan dalam keadaan tergesa-gesa kerana saya telah menerima panggilan talipon dari pejabat untuk menghadiri satu mesyuarat yang penting di Kuala Lumpur pada petang ini. walau bagaimanapun kesetiaan dan kesungguhan pegawai-pegawai j-QAF daerah meneruskan mesyuarat ini saya dahului dengan ucapan jutaan terima kasih. Pengalaman dan kewibawaan yang ada pada mereka membuatkan saya merasa yakin untuk mereka meneruskan perjumpaan dengan semua wakil sekolah yang telah dilakukan sesi pemantauan pada minggu lepas di KMY. Sekalung budi dan sejambak tahniah diucapkan kepada tuan-tuan pegawai j-QAF daerah.

majlis taaruf sebelum taklimat


taklimat awal tentang perjawatan guru dan unjuran perjawatan
disampaikan oleh Tuan Haji Mohd Ramli b. Nikman dari BPI,KPM


Saya bertolak dari SK Bakar Arang balik ke pejabat untuk mendapatkan dokumen mesyuarat yang perlu dibawa dan pulang ke rumah untuk mendapatkan pakaian dan ke Kepala Batas untuk berlepas ke KL untuk menghadiri Mesyuarat Penyelarasan Pertukaran GPI (Men &Ren) dan Penempatan Semula Guru j-QAF Antara Negeri Jabatan Pelajaran Negeri Bersama Bahagian Pendidikan Islam ,KPM Bil. 1/2009. Negeri Kedah diwakili oleh saya, Tuan Hj. Ismail bi Yahya, Ust. Harun dan Ust Nazri Hamid. Alhamdulillah semuanya selamat.

Majlis Taklimat Mesyuarat Penyelarasan Pertukaran GPI (Men &Ren) dan Penempatan Semula Guru j-QAF Antara Negeri Jabatan Pelajaran Negeri Bersama Bahagian Pendidikan Islam ,KPM Bil. 1/2009 pada malam ini dimulakan dengan ucapan aluan oleh Ustaz Nahwiuddin bin Abdul Manaf. Taklimat pertama telah disampaiakan oleh ketua Unit Hal Ehwal Guru BPI , Ustazah Farhanah bt Abdul Rashid. Dalam ucapannya beliau menyentuh tentang betapa pentingnya mesyuarat ini dalam menentukan kedudukan guru dan kewajaran yang dibenarkan dalam urusan penempatan dan pertukaran guru mengikut keperluan sesebuah sekolah dan negeri.

Tuan Haji Mohd Ramli pula menyentuh tentang keperluan data yang sah, unjuran keperluan guru dan anggaran belanja mengurus. Beliau juga menyeru agar semua pegawai yang hadir dapat melaksanakan slogan Perdana Menteri dalam mengurus pertukaran guru iaitu; " Satu Malaysia,Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan".

Pada taklimat yang sama beliau juga mengedarkan borang keahlian Persatuan Lepasan Maktab Perguruan Islam Malaysia yang telah didaftarkan di Selangor dengan no. pendaftaran 5706/95 untuk diwar-warkan ke seluruh negara untuk diberi peluang penyertaannya kepada semua bekas penuntut yang pernah menuntut di Maktab Perguruan Islam.Yuran yang dikenakan RM10.00 setahun.Majlis berakhir pada malam pertam ini jam 10.30 malam.

Saturday, May 2, 2009

Hari Ke 3 Pemantauan Bersepadu SK Program j-QAF Daerah KMY

1 Mei- Pemantauan pada hari ke 3 pada 30 April di daerah KMY telah dilaksanakan dalam 3 kumpulan. Kumpulan 1, Saya , Ust. Dziauddin dan Ust. Nadzhari sempat membuat penyeliaan p&p di SK Pinang Tunggal dan SK Tikam Batu. Ust. Jamaluddin dan Ust Musa Jayyid pula sempat membuat pemantauan ke SK Syed Jan Al-Jefri dan SK Sg. Layar walaupun keadaan kesihatan mereka berdua kurang memuaskan, demi tanggungjawab mereka tunaikan jua. Syabas! Ust. Mokhtar dan Ust. Bahari pula seawal jam 7.40 pagi sudah bersedia untuk melaksanakan pemantauan di SK Jeniang (P) dan SK Batu 4 Jalan Jeniang.

Perancangan awal untuk meneruskan pemantauan di sebelah petang ke beberapa SK program j-QAF yang belum dilawati tidak dapat diteruskan pada hari ini kerana, masing-masing pegawai kelihatan agak keletihan. Pertemuan ke tiga-tiga kumpulan telah dibuat di Sg. Petani pada jam 4.00 petang untuk makan tengahari. Setelah selesai berbincang dan bersetuju menangguhkan pemantauan kebeberapa buah sekolah lagi yang tidak sempat dilawati. Hal ini disebabkan kekurangan pegawai atas urusan-urusan lain yang lebih penting. Jam 4.30 petang masing-masing beredar pulang ke destinasi membawa kudrat dan pengalaman bermakna pada hari ini.

Bagi saya dan rakan, bila mencecah hari ke 3 lawatan dan pemantauan dibuat, masih banyak penemuan dan isu-isu baru dari sekolah yang dilawati disamping isu-isu yang streotype yang telah ditemui di sekolah-sekolah yang telah dilawati sebelum ini di daerah yang sama atau daerah-daerah yang lain. Penerangan demi penerangan terus diberikan kepada sekolah-sekolah yang telah dilawati untuk memberi pemahaman yang tuntas dan jelas demi untuk meletakkan pelaksanaan program j-QAF terus berjalan dengan mantap disekolah-sekolah yang dimaksudkan.

Rata-rata pengurusan sekolah yang telah dilawati memberi sambutan yang baik dan berpuas hati dengan taklimat dan penerangan yang disampaikan. Semoga pemuafakatan seumpama ini akan terus terjalin ke arah merealisasikan pencapaian yang disasarkan dalam program j-QAF ini di negeri kita yang dicintai.

Jutaan terima kasih diucapkan kepada semua Guru Besar SK Program j-QAF Kohort 2005, semua GPI daerah KMY yang terlibat dan memberi kerjasama yang memberansangkan kepada semua pegawai yang terlibat dalam siri pemantauan kali ini. Semoga bertemu lagi pada siri pemantauan akan datang.