Monday, July 27, 2009

Taklimat Dan Dialog Pra Pemantauan SK Program j-QAF 2005 dan 2006 Daerah Baling Sik

26 Julai- Setelah selesai menyiapkan bebeberapa tugasan di pejabat saya dan Penolong Pengarah Bahasa Arab, Ustaz Khairulanuar sempat berkunjung ke PKG Kuala Pegang. Program bermula jam 2.00 petang di sana. Kami tiba awal 40 minit, tidak kelihatan kelibat seorang guru j-QAF lagi di sana kerana masih awal dan ramai yang masih lagi belum balik sekolah. Tempoh masa yang ada kami sempat membuka laptop dan membuat beberapa tugasan menggunakan kemudahan internet di sana.

Perjumpaan rasmi dengan guru-guru Pendidikan Islam dari kalangan Ketua Panitia dan Ketua Guru j-QAF dari sekolah pelaksanaan program j-QAF 2005 dan 2006 pada petang ini kelihatan disusun rapi dan lancar oleh Penyelia Pendidikan Islam yang menyelaras program j-QAF di daerah Baling Sik. Saya dan Ustaz Khairulanuar sungguh kagum dengan ketelitian prasaranan dan pengurusan masa yang diatur oleh beliau walaupun beliau agak baru dalam pengurusan j-QAF ini tapi hebat orangnya. Syabas Ustaz Yusuf!Taklimat pada petang ini menyentuh keperluan persediaan semua guru Pendidikan Islam SK j-QAF 2005 dan 2006 dalam pengurusan P&P semua model j-QAF dan teknik-teknik terbaik yang boleh diketengahkan dalam proses P&P di bilik darjah sepanjang pemantauan yang dijangkakan akan bermula di daerah tersebut pada 10 hingga 13 Ogos akan datang. Dalam hal yang sama juga Ustaz Khairul juga sempat menekankan kaedah P&P Bahasa Arab yang berkesan untuk murid-murid di dalam kelas dan beberapa contoh aktiviti yang bersesuaian untuk menarik minat dan menimbulkan keinginan murid yang mendalam kepada mencintai Bahasa Arab.Majlis pada petang ini diakhiri dengan sesi soal jawab yang agak rancak berhubung dengan peruntukan RM KBS, rekod tasmik dan BIG, huraian sukatan 6 bulan ke 2 dan beberapa isu yang menimpulkan kesamaran di kalangan barisan guru j-QAF. Syabas di atas kehebatan ustaz-ustaz pelaksanaan program j-QAF di daerah Baling. Dari sumbangan idea tuan/puan saya yakin pemantauan di daerah Baling Sik pada kali ini akan menghasilkan pelbagai penemuan yang positif kepada pegawai-pegawai yang akan memantau di sana untuk dibuat rumusan. Majlis pada petang ini mencatatkan pengalaman bagi kami berdua kerana berakhir hampir jam 6 petang

Saturday, July 25, 2009

Mesyuarat Bulanan Sektor Pendidikan Islam dan Pemantauan P&P SK Petani Jaya, Sungai Petani

23 Julai- Pagi ini semua pegawai di Sektor Pendidikan Islam telah menghadiri satu siri Mesyuarat Bulann Sektor Pendidikan Islam di bilik mesyuarat Cempaka, BTPN. Mesyuarat telah bermula seawal 8.15 pagi dan berakhir 9.50 pagi. dipengerusikan oleh Tuan Ketua Sektor.

Banyak perkara telah disentuh oleh Tuan Ketua Sektor untuk perhatian dan tindakan seterusnya oleh pegawai-pegawi ke arah memantapkan Pendidikan Islam di negeri Kedah ini bermula dari sekolah rendah, menengah, SMKA, SABK, KAA dan kurikulum dannperuntukan yang berkaitan dengannya.

Setelah tamat mesyuarat saya menerima talipon dari Pegawai Khas j-QAF KMY, Tuan Haji Jamaluddin bin Said, meminta agar saya bersama Penolong Pengarah Baasa Arab dapat turun ke KMY untuk membuat pemantauan di SK Petani Jaya. Kami bersetuju dan terus ke sana sebaik selesai mesyuarat. Kami bertiga tiba di pejabat sekolah dan disambut oleh Tuan Guru Besar, Cikgu Azizan dan PK1 Puan Lee.

Sepanjang kurang satu jam membuat pemantauan P&P dan semakan fail pengurusan, diadakan pula majlis perjumpaan dan dialog bersama semua GPI dan GPI program j-QAF di sekolah tersebut berlanjutan hingga hampir jam 4.00 petang.

Banyak isu dan masalah telah dikemukakan oleh rakan-rakan di sekolah tersebut, dari hal kaedah dan model P&P, peranan dan fungsi guru bergabung dalam P&P program j-QAF, isu Bahasa Arab, Tasmik dan latihan serta pengukuhan P&P oleh murid-murid. Semoga pertemuan tersebut dapat merongkai sedikit sebanyak permasalahan yang ada dan meletakkan pelaksanaan program j-QAF di SK Petani Jaya di landasan dasar yang perlu dipatuhi. Terima kasih kepada semua rakan GPI SK Petani jaya, Pentadbir dan semua murid yang terlibat.

Bengkel Pemurnian Data e-Pelaporan 6 Bulan 1/2009 Pencapaian Murid Sekolah Program j-QAF Kedah

22 Julai- Bengkel sehari tersebut diadakan di bilik mesyuarat PKG Ayer Hitam, Ayer Hitam, Kedah. Bengkel tersebut dihadiri oleh JU e-Pelaporan seluruh PPD Kedah dan semua Penyelia/Pegawai Khas j-QAF dan juga beberapa pegawai yang terlibat dengan data e-pelaporan serta kurikulum j-QAF.

Bengkel tertumpu kepada usaha-usaha menyebak dan memurnikan data-data yang diperolehi dari semua sekolah program j-QAF di setiap daerah. Terdapat juga beberapa daerah di mana JU terpaksa menyemak berulangkali data yang dimasukkan oleh wakil sekolah di daerah tertentu sehingga memaksa JU bersengkang mata dan bertegang urat leher untuk membetulkan kedudukan bilangan murid dan juga pemarkahan yang diisi. Hal ini berlaku berkemungkinan besar usaha-usaha mengisi data murid dilakukan disaat-saat akhir penyerahan dalam keadaan tergesa-gesa. Walaupun masa yang telah diperuntukkan selesa dan melebihi masa yang sepatutnya dilakukan pada tahun-tahun sebelum ini.

Dalam masa yang sama JU juga sempat menyelesaikan rumusan data e-Pelaporan bagi daerah masing-masing untuk diserahkan bagi tujuan membuat analisa awal prestasi pencapaian murid program j-QAF pada 6 bulan pertama tahun ini. Manakala para pegawai pula membuat bengkel perbincangan berhubung postmorterm siri pemantauan sekolah-sekolah program j-QAF daerah Padang Terap Pendang pada minggu sebelumnya dan perbincangan strategi siri pemantauan seterusnya ke daerah Kota Setar pada 28, 29 dan 30 Julai nanti.

Terima kasih diucapkan kepada semua JU e-Pelaporan yang hadir dan dapat menyelesaikan pemurniaan data e-Pelaporan 6 bulan 1/2009. Sumbangan anda tak mampu dibalas dengan tenaga dan benda, kepada Allah jualah dipohon keberkatan untuk anda semua.

Sunday, July 19, 2009

Taklimat Panel Penilai Anugerah Kualiti SABK Peringkat Negeri Kedah Tahun 2009

19 Julai- Walaupun pada hari ini ramai pegawai mengambil cuti rehat sempena menyambut Israk Mikraj 1430H pada esok hari, ada pegawai yang membatalkan cuti rehat mereka semata-mata untuk menghadiri taklimat berkaitan dengan pemantauan Kelas Aliran Agama dan Sekolah Agama Bantuan Kerajaan pada petang ini.


Kebanyakkan PPD menghantar pegawainya untuk taklimat pada hari ini. Taklimat dimulakan pada 2.30 petang dimulakan dengan ucapan aluan yang disampaikan oleh pengerusi majlis ; Tuan Haji Nazri bin Hamid, Penolong Pengarah Kanan Unit Pengurusan Institusi Pengajian Agama ( IPA ).

Taklimat ringkas pemantauan disampaikan oleh Tuan Haji Zulkifli bin Ghozali, Penolong Pengarah Pengurusan Aset IPA. Dalam taklimatnya, beliau menyarankan supaya semua sekolah yang terlibat dengan pemantauan ini dapat membuat persediaan pengurusan yag lebih baik ke arah memantapkan lagi SABK di negeri Kedah. Pengalaman lawatan penanda aras pada tahun lalu boleh dijadikan panduan dan pengalaman yang berguna untuk memantapkan lagi pengurusan sekolah masing-masing. Taklimat Instrument Pemantauan Anugerah Qualiti SABK berjalan lancar dikendalikan oleh Tuan Haji Nazri kepada semua pegawai yang hadir berhubung dengan huraian pengisian instrumen berkaitan.


Dalam siri pemantauan yang akan dilaksanakan, beberapa Instrument Pemantauan Anugerah Qualiti SABK meliputi aspek berikut ;
# Kecemerlangan Akademik.
# Pengajaran dan Pembelajaran ( P&P ).
# Kemesraan.
# Keceriaan.
# Keselamatan.


Dikesempatan itu juga Ustazah Napisah bt Haji Salleh juga telah memberi taklimat berhubung dengan instrumen pemantauan Kelas Aliran Agama ( KAA ) di 60 buah SMK di negeri Kedah yang bermula dari 15 Julai dan berakhir pada 20 Ogos akan datang. Semua pegawai dari UPI dan SPI dijangka terlibat dalam siri pemantaun kali ini. Semoga pemantauan Anugerah Qualiti SABK dan pemantauan KAA pada tahun ini akan memantapkan lagi perjalanan kesemua aspek pemantauan di atas di semua SABK negeri Kedah dan Kelas-Kelas Aliran Agama pada tahun 2009.

Saturday, July 18, 2009

Berlabuhnya Tirai Pemantauan Bersepadu Sekolah-Sekolah Pelaksanaan Program j-QAF Kohort 2005/2006 Daerah Padang Terap Pendang 2009.

15-16Julai- Alhamdulillah Pemantauan Bersepadu SK Program j-QAF Kohort 2005 dan 2006 daerah Padang Terap Pendang berakhir pada petang khamis 16Julai 2009. Di sini saya dengan rasa penuh syukur mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pegawai yang terlibat dalam siri pemantauan pelaksanaan program j-QAF di daerah Padang Terap.

Ribuan terima kasih juga ditujukan kepada Pegawai Khas j-QAF Daerah Padang Terap Pendang, Ustaz Nazdhari, Penyelia Pendidikan Islam PTP Ustaz Shabudin dan Ustaz Fauzi. Tidak lupa juga kepada semua Guru Besar dan Penolong Kanan Pentadbiran dan GPI serta GPI Program j-QAF yang terlibat secara langsung dan tidak secara langsung dalam membantu pegawai-pegawai yang melakukan pemantauan di sekolah terlibat.Segala sumbangan idea dan buah fikiran tuan puan ke arah membantu memantapkan pelaksanaan perjalanan semua bentuk model p&p dan kokurikulum di sekolah tuan puan adalah satu tanggungjawab dan sumbangan ke arah memantapkan Pendidikan Islam di negeri ini. Semoga pemantauan kali ini akan dapat menjadikan pelaksanaan program j-QAF di negeri ini lebih mantap dan berada di atas landasan dasar yang telah ditetapkan. Insyaallah hasil rumusan secara keseluruhan pemantauan pelaksanaan program j-QAF bagi daerah PTP ini akan dibentang dan dibahaskan pada minggu hadapan dan seterusnya akan dipamerkan di dalam blog ini kemudiannya untuk kepentingan bersama.

Tuesday, July 14, 2009

Siri Pemantauan Sekolah-Sekolah Program j-QAF Kohort 2005 dan 2006 Daerah Padang Terap Pendang 2009

14Julai-Siri pemantauan sekolah-sekolah program j-QAF bagi daerah Padang Terap Pendang telah bermula pada hari ini. Seramai 15 pegawai telah dipertanggungjawabkan untuk melakukan siri pemantauan pada kali ini yang melibatkan semua pegawai Khas j-QAF dari semua PPD dan pegawai-pegawai kurikulum dari SPI, JPN Kedah.

Sebanyak enam buah sekolah yang menjadi fokus pemantauan pada hari ini di Pendang dan juga Padang Terap. Keseluruhan pemantauan berjalan dengan baik dan dapat diselesaikan hingga waktu sesi petang.
Sebelum siri pemantauan kali ini dilaksanakan , semua wakil sekolah terlibat telah diberikan taklimat pra pemantuan terlebih dahulu agar semua GPI dan GPI program j-QAF dapat membuat persediaan yang terbaik terlebih dahulu dengan merujuk kepada pekeliling dan juga buku-buku panduan yang telah dibekalkan sebelum ini ke semua sekolah.

Hasil daripada pemantauan yang dilakukan oleh kumpulan saya pada hari ini mendapati ada berlaku perubahan yang agak memuaskan dari segi persediaan guru dan juga teknik penyampaian serta penggunaan BBM dalam p&p. Kaedah ransangan dan motivasi murid juga kelihatan kerap digunakan dan penggunaan alat BBM jelas menarik minat dan menghidupkan suasana pembelajaran yang dilakukan oleh guru.

Namun demikian terdapat juga beberapa perkara yang perlu dipertingkatkan berhubung dengan aspek pengurusan kelas, pengurusan masa dan tugas-tugas lanjutan yang perlu dibekalkan oleh guru kepada pelajar untuk aktiviti pembelajaran berterusan di rumah di samping mempelbagaikan penggunaan BBM. Terdapat juga beberapa isu berkaitan dasar dalam p&p yang perlu diperbetulkan supaya program j-QAF ini berada di landasan yang diperakui arahannya.

Sehubungan dengan siri pemantauan ini juga, laporan awal mendapati ada guru-guru GPI dan GPI program j-QAF yang masih menggunakan kaedah chalk & talk. Kedapatan juga guru yang langsung tidak bersedia untuk p&p dan jauh sekali menggunakan BBM dalam tugasannya. Ini menunjukkan ketidakakuran kepada arahan dan panduan pelaksanaan proses p&p yang disarankan masih berlaku di kalangan sebahagian dari guru-guru kita. Ketidakakuran arahan ini sekaligus telah membuktikan teknik penyampaian yang lemah, hambar dan tidak menarik minat murid, malah ada guru yang masih tidak mengenal nama muridnya walaupun sudah masuk minggu ke dua bulan Julai.

Amalan mempermudahkan tanggungjawab di dalam bilik darjah sebenarnya menonjolkan ciri dan keperibadian yang kurang baik seorang guru kepada muridnya seolah-olah ia tidak pernah mendapat latihan perguruan. Situasi ini perlu dielakkan dan diperbetulkan demi untuk melahirkan murid yang cemerlang dalam Pendidikan Islam dan meletakkan imej GPI di mata masyarakat, ibarat kata jangan kerana nila setitik rosak susu sebelanga.

Semoga pemantauan pada esok hari oleh pegawai-pegawai yang bertugas akan menemui guru-guru yang berhati waja dan berjiwa perkasa yang akur pada arahan ke arah memperkasakan Pendidikan Islam di sekolah kebangsaan. Selamat bertugas, terima kasih .

Kursus Peningkatan P&P Al-Quran Sekolah Rendah Daerah Baling Sik 2009

13Julai-Kursus sehari ini adalah anjuran Sektor Pendidikan Islam, JPN Kedah dengan kerjasama Unit Pendidikan Islam, Pejabat Pelajaran Daerah Baling Sik. Kursus sehari ini diadakan di Pusat Latihan KEDA, Sik berhampiran PLKN di kawasan peranginan Lembah Takwa.Menurut Penolong Pengarah Kuirkulum Teras(R), Ustaz Musa Jayyid, kursus ini diadakan untuk memberi pendedahan khusus kepada Ketua-Ketua Panitia Pendidikan Islam sekolah rendah tentang beberapa kaedah p&p Al-Quran yang perlu diselaraskan dengan model-model pengajaran dan pembelajaran yang telah dilaksanakan dalam program j-QAF seperti kaedah kolaboratif dan koferatif dan teknik-teknik pengajaran di dalam kelas. Kaedah ini diberi penekanan untuk menjadikan p&p di dalam kelas aktif dan memberi impak yang terbaik untuk diaplikasikan oleh murid-murid yang terlibat.

Turut hadir dan menyampaikan ucapan dalam kursus tersebut ialah, Penolong Pengarah Kurikulum Teras ( M ), Sektor Pendidikan Islam, JPN Kedah ialah Tuan Haji Mohd Rushdan bin Azizan. Dalam ucapannya beliau telah mendedahkan hasil kajiannya berkaitan penguasaan pelajar sekolah menengah yang tidak dapat membaca Al-Quran, malah tidak mengenal huruf-huruf hijaiyah yang perlu diberi perhatian serius oleh kita semua. Langkah-langkah awal perlu diambil sejak dibangku sekolah rendah lagi untuk memastikan anak-anak murid Islam menguasai Al-Quran supaya mereka tidak lari jauh dari kehidupan Islam. Usaha-usaha gigih secara berterusan hendaklah diambil untuk mengatasi masalah ini di samping membuang segala kelemahan yang ada dan sikap saling bertanggungjawab dalam urusan kerja perlu diperkukuhkan berterusan. Guru-guru juga disaran menanam sifat kasih sayang dan semangat untuk membantu murid menguasai bacaan Al-Quran secara berterusan demiuntuk melahirkan warga negara yang berguna pada agama bangsa dan negara. Secara tidak langsung ia dapat mengurangkan gejala sosial di kalangan umat Islam pada masa akan datang.

Tahniah diucapkan pada Ustaz Musa Jayyid,Ustaz Yusuf dan Ustaz Zahari Majid kerana telah berjaya merealisasikan kursus sehari ini kepada 65 wakil SK di daerah Baling Sik. Semoga segala dapatan dan pendedahan baru ke arah memantapkan kaedah p&p Al-Quran di SK akan bertambah giat dan memberi impak terbaik kepada murid-murid kenguasai bacaan Al-Quran.

Saturday, July 11, 2009

Majlis Tilawah Al-Quran Warga Pendidikan KPM Peringkat Negeri Kedah 1430H/2009M

9 Julai- Majlis Tilawah Al-Quran Warga Pendidikan KPM pada tahun ini telah diadakan di Dewan Utama Akademi Koreksional Malaysia, Kuah, Langkawi bertemakan 'Al-Quran Pemangkin Modal Insan Cemerlang'. Seramai 15 Peserta telah mewakili semua daerah pendidikan di negeri Kedah pada tahun ini.



Majlis Perasmian Penutup telah disempurnakan oleh Timbalan Pengarah Pelajaran Negeri Kedah, Tuan Haji Abdullah bin Saad, BCK. Majlis perasmian penutup telah diserikan lagi oleh persembahan nasyid yang disampaikan oleh kumpuilan nasyid dari SMK Tunku Putra.

Keputusan Jemaah Hakim Majlis Tilawah Al-Quran Warga Pendidikan KPM Tahun 1430 H yang dibacakan oleh Pengerusi Jemaah Hakim, Tuan Haji Mahir bin Mohammad telah menetapkan;



Johan Qari : Encik Mohd Termizi bin Mustaffa dari Daerah Padang Terap ( 85% )
Naib Johan Qari : Encik Shahruniza bin Md. Tajuddin dari Kota Setar ( 84% )

manakala kategori Qariah pula disandang oleh;



Johan Qariah : Puan Mardzian binti Mat Deli dari Daerah Kubang Pasu ( 86% )
Naib Johan Qariah : Puan Khatijah binti Omar juga dari Daerah Kota Setar ( 72% )

Tahniah kepada yang telah berjaya dan semoga akan mencapai kejayaan seterusnya pada majlis Tilawah Warga Pendidikan Peringkat Kebangsaan pada tahun ini yang dijangka diadakan di Sabah.

Taklimat Pra Pemantauan SK Program j-QAF Kohort 2005/2006 Daerah PTP

7 Julai- Saya sempat menghadiri taklimat tersebut di SK Kubur Panjang bersama Pegawai Khas j-QAF Padang Terap Pendang, Ustaz Nadzhari Mahmud dan Penyelia Pendidikan Islam
Padang Terap, Ustaz Shahabudin dan semua wakil sekolah program j-QAF daerah tersebut bersama dengan Ketua Panitia masing-masing.



Dalam perjumpaan yang diadakan pada jam 2.00 petang itu beberapa perkara telah dijelaskan sebagai persediaan untuk sesi pemantauan bagi daerah tersebut yang akan diadakan pada 14-16 Julai ini. Sesi soal jawab juga telah mendapat sambutan yang baik dari para peserta dan beberapa isu yang samar-samar dapat dijelaskan.


Sehubungan itu saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada tuan rumah, Ustaz Nadzhari, Ustaz Shahabudin, PK Pentadbiran Cikgu Faridah dan Ustaz Sukri dari SKKP dan semua peserta yang telah hadir dan memberi kerjasama dalam taklimat tersebut. Semoga siri pemantauan di PTP akan berjalan lancar.