Sunday, February 21, 2010

MOTIVASI MURID : PUJI-PUJIAN DARI GURU.



Penulis pernah ditanya oleh pelajar di dalam dewan kuliah, apakah asas penting di dalam membina hubungan guru dan pelajar di dalam sekolah atau bilik darjah dan bagaimanakah bentuk hubungan guru-pelajar yang seharusnya wujud di persekitaran sekolah dan bilik darjah.

Jawapan penulis ialah tahap hubungan kasih sayang. Elemen ini adalah asas dan nyawa kepada hubungan guru-murid terutama di dalam pendidikan sekolah rendah. Di peringkat sekolah menengah dan pendidikan tinggi, selain kasih sayang antara guru dan pelajar, tumpuan adalah pembinaan tanggungjawab merupakan elemen penting sebagai asas hubungan antara guru dan pelajar.

Jadi bagaimana kasih sayang ini dilaksanakan? Jawapannya dengan sentiasa memberikan pujian-pujian yang ikhlas dan tepat kepada para pelajar. Tentu sahaja guru juga boleh menerima pujian daripada pelajarnya.

Maka ucapan 'terima kasih', 'tahniah', 'bagus', 'saya bangga' dan pujian seumpamanya patut diamalkan secara ikhlas dan berterusan di sekolah. Kajian pendidikan membuktikan bahawa pujian merupakan kaedah utama dan berkesan untuk membina hubungan kasih sayang di sekolah.

Bagaimana jika pelajar melakukan kesalahan atau kesilapan. Maka mereka seharusnya diberikan nasihat yang tepat dan jelas oleh para guru. Apa yang pasti, memukul sesuka hati bukanlah amalan pendidikan yang sesuai untuk pendidikan di peringkat sekolah rendah.

Sedih rasanya melihat bagaimana ada guru yang sanggup menyakiti tubuh anak-anak kecil yang kononnya dikatakan nakal, tidak mematuhi arahan atau membuat bising di dalam bilik darjah.

Sebenarnya, atas apa jua alasan guru tersebut, hukuman tidak sekali-kali boleh dilaksanakan sehingga membawa kesakitan kepada pelajar. Amalan 'memukul' dengan tujuan menyakiti tubuh anak-anak kecil terutama di bahagian badan yang sensitif dan lemah tidak pernah dianjurkan oleh mana-mana agama dan kepercayaan.

Menyakiti pelajar seperti deraan adalah sesuatu yang keji dan tidak berperi-kemanusiaan. Biarlah apa pun kesalahan anak-anak di peringkat sekolah rendah, hukumannya sama sekali tidaklah boleh sampai kepada memukul, menumbuk atau menampar muka dan badan pelajar.

Saintis terkenal, Albert Einstein pernah berkata bahawa makna kepada pendidikan ialah sesuatu yang masih diingati oleh seseorang apabila beliau sudah terlupa tentang semuanya tentang zaman persekolahannya dahulu.

Maka apa yang masih terus diamalkan atau digunakan sebagai panduan hidup itulah ilmu hasil didikan daripada bekas guru-gurunya. Selama belasan tahun di sekolah, biasanya lebih banyak yang dilupakan oleh seseorang dan sangat sedikit sahaja yang diingati.

Penulis sendiri sudah tidak dapat mengingati banyak peristiwa semasa bersekolah dahulu secara jelas, tetapi masih dapat mengingati beberapa perkara baik semasa di sekolah dahulu.

Antara perkara yang tidak pernah dilupakan ialah pujian yang diberikan oleh beberapa orang guru kepada penulis. Pujian mereka bukan sahaja menyebabkan jasa dan nama mereka terus menjadi kenangan abadi penulis tetapi juga pujian ini banyak membina semangat dan keinginan penulis untuk cemerlang dalam pelajaran.

Sebab itu penulis sangat tidak percaya bahawa pujian boleh merosakkan pelajar. Mitos ini masih wujud di kalangan ramai guru-guru yang mengajar. Pada mereka, pujian akan menyebabkan seseorang atau sekumpulan pelajar menjadi bongkak, lupa diri dan akhirnya akan merosakkan pembelajaran mereka.

Maka tindakan seperti ugutan, memarahi serta memberikan amaran dikatakan lebih berkesan untuk memastikan pelajar belajar serta berjaya di dalam pelajaran mereka.

Mereka mungkin lupa bahawa pujian secara psikologinya jika dilakukan dengan cara dan gaya yang betul akan menjadi kaedah yang paling berkesan untuk mempengaruhi tindakan, pemikiran serta sikap pelajar.

Ramuan yang betul dalam memberikan pujian seperti pemilihan bahasa yang tepat, kesesuaian masanya dan dizahirkan dengan ikhlas dari hati guru akan membuatkan tingkah laku seseorang pelajar dapat ditingkatkan atau diperbaiki ke arah yang lebih positif.

Kadang kala pujian juga boleh menjadi tidak berkesan walaupun dilakukan berulang kali oleh guru. Sebagai contoh, memuji pelajar selepas beberapa lama perbuatan positif dilakukan tidak akan mengembangkan tingkah laku positif pelajar.

Misalnya adalah sangat berkesan jika guru memberikan pujian selepas seseorang pelajar berjaya menjawab dengan betul berbanding memberikan pujian beberapa lama selepas pelajar memberikan jawapannya.

Di luar kelas, adalah sangat berkesan guru memberikan pujian sebaik sahaja pelajar melakukan perkara yang baik misalnya membuang sampah ke dalam tong sampah atau pelajar berbaris semasa membeli makanan di kantin sekolah berbanding memberikan pujian secara umum semasa perhimpunan lama selepas tingkah lalu tersebut di lakukan.

Pujian yang tidak berkesan juga boleh berlaku apabila guru memberikan pujian yang berbentuk umum atau generalisasi sahaja kepada pelajar. Pujian seperti 'awak baik', 'awak pandai' atau 'awak bersih', sebenarnya kurang memberikan kesan kepada pelajar. Pujian seharusnya berbentuk khusus atau spesifik. Misalnya "Cikgu bangga dengan pencapaian markah kamu dalam ujian kali ini".

Ada juga pujian yang boleh dilakukan dengan menulis sesuatu di dalam buku atau kertas jawapan pelajar yang dapat dibaca atau difahami oleh pelajar tersebut sebagai satu pujian yang khususnya ditujukan kepada kebolehan atau pencapaiannya sama ada yang bersifat akademik, atau kerana tingkah laku atau sikap yang baik.

Malah lebih buruk lagi jika ramuannya tidak betul, pujian bukan sahaja boleh menjadi tidak berkesan tetapi boleh menyebabkan tingkah laku seseorang pelajar menjadi lebih buruk dari sebelumnya.

Misalnya apabila seseorang pelajar melakukan perkara yang baik dan diberikan pujian oleh guru tetapi dalam bentuk sindiran maka pujian seperti ini akan menyedihkan pelajar.

Sebagai contoh apabila seorang guru berkata kepada pelajarnya "awak ini bukanlah pandai sangat tetapi mungkin nasib anda baik mendapat markah yang tinggi dalam ujian ini kali ini, tahniahlah untuk awak".

Pujian seperti sindiran juga boleh berlaku dalam bentuk perbandingan, Misalnya, "tahniah kerana awak berjaya mendapat markah yang baik tetapi nampaknya markah awak masih rendah berbanding kawan awak si X". Usaha lagi nanti". Atau ada juga pujian seperti," Markah anda dalam ujian kali ini baik. Jadi jangan lagi seperti ujian-ujian yang lalu. Saya mahu setiap kali ujian markah anda akan baik daripada hari ini".

Perkara ketiga ialah pujian yang melibatkan soal kuantiti dan juga kualiti. Pujian merupakan kuasa positif yang jika selalu digunakan secara berkesan akan meningkatkan pembangunan positif pelajar.

Oleh itu lebih banyak pujian sebenarnya adalah lebih baik. Bagaimanapun kuantiti pujian seharusnya dilengkapi dengan pujian yang berkualiti. Jadi di sekolah rendah kualiti pujian yang baik seharusnya di ikuti dengan pelukan guru kepada pelajar (tentunya guru perempuan sahaja yang sesuai melakukannya, pada guru lelaki bolehlah melakukan dengan memberikan senyuman menunjukkan rasa bangga).

Pujian yang baik ialah yang dilengkapi dengan sentuhan atau tingkah laku senyuman yang menunjukkan rasa kasih dan sayang seorang guru pada pelajarnya.

Sebenarnya ada kajian yang menunjukkan kebanyakan guru kurang atau tidak suka memberikan pujian kepada para pelajar. Malah di kalangan guru yang mengakui mereka telah memberikan banyak pujian kepada pelajar, sebenarnya pujian yang mereka berikan masih kurang daripada apa yang diharapkan atau di rindu oleh pelajar.

Percayalah, pujian boleh mengubah pelajar. Jika guru dapat melakukan secara berterusan dengan penuh hikmah dan sabar maka akan lebih ramai pelajar yang akan mengubah sikap dan tingkah laku menjadi lebih positif.

Amalan pujian bukan sahaja paling berkesan mengubah tingkah laku pelajar tetapi sebenarnya berkeupayaan untuk membina persekitaran bilik darjah yang penuh motivasi, kasih sayang dan harmoni.

Disebabkan oleh persekitaran, minda pelajar sebenarnya lebih cenderung untuk memberikan super-respons kepada perkara negatif yang diasak keadaan mereka berbanding perkara positif. Misalnya pelajar akan lebih cepat sedih bila dimarahi oleh berbanding gembira bila mereka dipuji.

Mereka juga biasanya akan lebih cepat merasa malu apabila disindir berbanding merasa bangga apabila berjaya mencapai sesuatu. Oleh itu untuk membolehkan tingkah laku positif berkekalan dicapai, maka pujian secara berterusan, berkualiti serta ikhlas perlulah dilakukan oleh para guru.

Malah secara tidak sedar juga, kebanyakan guru juga lebih cenderung untuk cepat memberikan respons kepada tingkah laku negatif pelajar berbanding tingkah laku perbuatan positif pelajar lebih lagi bila guru berada di dalam tekanan kerja atau keadaan fizikal yang lemah atau letih.

Oleh itu jika para guru dapat memulakan pujian kepada pelajar secara berterusan maka satu hari nanti pelajarnya pula akan menjadi seorang dewasa yang akan pula sentiasa memberikan pujian kepada para rakan sekerja di tempat kerajaan atau anak-anak mereka di rumah. Semoga pelajar tidak akan lagi merindui pujian daripada guru-guru mereka.

Penulis ialah Pensyarah Sosiologi Pendidikan, Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0116&pub=utusan_malaysia&sec=Rencana&pg=re_11.htm&arc=hive

Friday, February 19, 2010

Sudahkah Anda Mengikuti Kursus BTN ?

Khamis, 2010 Februari 18

NUTP Gesa BTN Adakan Kursus Kenegaraan Untuk Guru

KUALA LUMPUR: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) mahu Biro Tatanegara (BTN) mengadakan segera kursus kenegaraan kepada guru bagi sesi 2010 untuk membolehkan mereka menikmati anjakan gaji.

Ramai guru yang masih belum disahkan jawatan bimbang kerana BTN berkemungkinan tidak mengadakan kursus, sedangkan kursus itu perlu dihadiri bagi pengesahan jawatan.

Setiausaha Agung NUTP, Lok Yim Pheng, berkata perkara itu sudah dimaklumkan kepadanya oleh Kementerian Pelajaran atas alasan peruntukan yang tidak mencukupi.

“Guru-guru tidak berpuas hati dan marah kerana salah satu syarat diwajibkan kerajaan untuk disahkan jawatan adalah wajib menghadiri dan lulus kursus BTN.

“Apabila mereka tidak sah jawatan dalam tempoh yang ditetapkan iaitu antara satu hingga tiga tahun, mereka tidak boleh membuat pinjaman rumah dan kereta, selain tidak dapat menyambung pelajaran, ini yang membimbangkan mereka,” katanya ketika dihubungi Berita Harian, semalam.

Lok berkata, pihaknya turut difahamkan, hanya satu kursus BTN untuk kumpulan itu yang diadakan pada tahun lalu sedangkan begitu ramai guru yang layak untuk disahkan jawatan setiap tahun.

“Kita juga sudah rujuk perkara ini kepada BTN tapi mereka hanya minta guru mendaftar terlebih dulu dan tunggu masa untuk dipanggil. Malah, ada guru yang merayu untuk mengikuti kursus itu tapi akhirnya kecewa,” katanya.

“Kita minta pihak berkaitan bertindak supaya masalah ini diselesaikan dengan baik. Kalau dasarnya perlu diadakan, maka ia patut diadakan supaya guru dapat menjalankan tugas tanpa gangguan,” katanya.

Berita Harian Online: 18 Februari 2010

Wednesday, February 17, 2010

Pengorbanan Guru Baru Dituntut (Surat Pembaca : Berita Harian 17/2/2010)

Pengorbanan Guru Baru Dituntut.


SAYA menyokong penuh cadangan Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Fuad Zarkashi, untuk menempatkan guru baru ke kawasan pedalaman sekurang-kurangnya tiga tahun, agar mereka lebih memahami erti kesabaran, pengorbanan serta keperluan ilmu di kalangan penduduk yakni pelajar di kawasan pedalaman.


Sesungguhnya mereka semua di pedalaman amat memerlukan dan dahagakan ilmu. Bantu dan berkorbanlah sedikit untuk masa depan mereka. Sekiranya cadangan itu berjaya, biarlah ia dilakukan secara telus dan tegas tanpa memilih bulu.

Tiada pengecualian bagi setiap guru baru... sama ada yang sudah berkahwin atau bujang tanpa mengira jantina. Dewasa kini, saya dapati ramai dan majoritinya di kalangan bakal guru wanita yang akan berkahwin pada saat mereka akan diberikan penempatan sebagai helah supaya ditempatkan di kawasan bandar serta berdekatan dengan tempat kerja suami masing-masing.


Helah ini bagi mengelak ditempatkan di kawasan yang jauh serta berada di pedalaman. Jika tidak dapat di kawasan yang dikehendaki, mereka akan berterusan merayu dan merayu agar ditempatkan di tempat tidak berapa jauh dengan kediaman mereka.

Dalam erti kata lain, ia umpama 'buka saja pintu rumah, terus nampak sekolah'. Pelbagai alasan lain juga diberikan. Kebiasaannya jarak rumah yang terlalu jauh (walaupun tidak jauh sebenarnya), hendak menjaga ibu atau bapa yang sakit, tiada kenderaan hendak ke sekolah, tidak tahu memandu, suami selalu kerja 'out-station' dan sebagainya. Ada kalanya pelbagai alasan pelik turut diberikan.

Pada hemat saya, sikap segelintir guru sebegini menunjukkan mereka sebenarnya tiada minat mendalam atau kesungguhan untuk bekerja sebagai seorang guru.

Jika ketika memohon dan ditemuduga dulu, ke mana saja sanggup dihantar dan sedia berkhidmat. Bila sudah dapat kerja, lain pula ceritanya. Segelintirnya juga menganggap kerjaya sebagai seorang guru ini, adalah pilihan terakhir dan ini jelas menunjukkan mereka tiada minat untuk menjadi seorang guru.

WAJA 2002,
Shah Alam.

Thursday, February 11, 2010

Taklimat & Bengkel Kepada Ketua GPI j-QAF PPD Baling Sik

11 Februari- Tahniah kepada Ustaz Yusuf dan Jawatankuasa j-QAF daerah Baling Sik yang telah berjaya menganjurkan program tersebut pada hari ini di PKG Sik. Reaksi awal mengadakan program seumpama ini pasti akan melancarkan perjalanan program di daerah Baling Sik dalam menyusun program-program seterusnya. Sejumlah 64 (23 : Ustazah dan 42 : Ustaz) GPI j-QAF telah menghadirkan diri dalam program tersebut. Tahniah dan terima kasih atas komitmen ustaz dan ustazah.

Saya berkesempatan menghadirkan diri setelah dijemput oleh Unit Pendidikan Islam, PPD Baling Sik untuk hadir memberi ucapan sepatah dua kata. Apa yang saya dapati dikesempatan tersebut saya melihat dan menyelami semangat ustaz dan ustazah untuk sama-sama sederap bergerak bagi memastikan pencapaian kesemua model pelaksanaan program j-QAF di sekolah masing-masing mencapai matlamatnya, terutama sekali penguasaan murid j-QAF tahun 6 yang masih belum menguasai bacaan Al-Quran, penguasaan tulisan dan bacaan jawi serta kemahiran murid berbahasa Arab yang mudah.

Saya amat yakin jika kerjasama dan pemuafakatan yang mantap berserta usaha yang bersungguh-sungguh segala perancangan akan berjalan lancar dan mencapai sasaran masing-masing. Apa yang perlu ialah kekuatan iltizam dan komitmen tanpa berbelah bagi untuk memastikan HAK sebenar anak murid dibawah tanggungjawab kita dilaksanakan secara bersungguh-sungguh dan "smart work" disusuli doa pada Ilahi. Apa jua masalah pasti dapat diatasi. Kami di UPI dan SPI sedia membantu. Pastikan kita 'mendahulukan tanggungjawab utama' terlebih dahulu untuk mencapai prestasi murid cemerlang. Serasikan " Murid Didahulukan, Pencapaian Diutamakan" untuk memastikan j-QAF Tanpa Gagal.

Taklimat Dan Penyerahan Memo Penempatan Semula (re-deployment) GPA Negeri Kedah

11 Februari- Majlis tersebut telah sempurna dilaksanakan di bilik seminar Dahlia, BTPN Kedah pada jam 10.00 pagi dan berakhir pada jam 11.45 pagi. Majlis telah dimulakan dengan ucapan motivasi oleh Tuan Ketua Sektor Psikologi dan Kaunseling,Tn. Haji Badrunsham bin Dahalan@Omar diikuti ucapan Tuan Ketua Sektor Pendidikan Islam, Puan Hajjah Zainab binti Md Saman. Majlis telah dipengerusikan oleh Tuan Haji Ismail bin Yahya Ketua Unit Pengurusan Pendidikan Islam, SPI.




Keperluan yang mendesak untuk mengisi GPA dibeberapa daerah di Kedah seperti KBB dan Langkawi memerlukan pergerakan GPA yang berlebihan dari beberapa daerah lain. Dijangkakan akan berlaku lagi beberapa siri re-deployment untuk guru-guru GPA SK dan SMK bagi memenuhi keperluan guru Pendidikan Islam dibeberapa buah daerah dan negeri ( Johor, Sabah dan Sarawak) pada masa akan datang. Dalam majlis pagi ini seramai 15 GPA telah menerima memo penempatan semula daripada Tuan Ketua Sektor Pendidikan Islam. Majlis berakhir dalam suasana tenang dan mesra.

Wednesday, February 10, 2010

Pemantauan BPI, KPM dan JPN Kedah ke SK Guar Lobak

10 Januari- Hari ini satu pertemuan khas dengan semua GPI dan GPI j-QAF telah diadakan di SK Guar Lobak pada jam 9.00 pagi. Pertemuan di adakan di bilik mesyuarat sekolah tersebut untuk bersoal jawab dan berbincang permasalahan dan kekangan tugas GPI dan GPI j-QAF untuk dijadikn sampel untuk kajian impak ke arah merealisasikan penambahan norma perjawatan guru j-QAF 2010 di seluruh negara.


Kami disambut oleh Tuan Guru Besar, Tuan Haji Abu Bakar .Hadir sama dalam perjumpaan khas tersebut ialah Ustazah Farhana, Ustaz Nahwiuddin dan Ustaz Zamri dari BPI. Manakala dari JPN , saya dan Ustaz Mutalib, Ustaz Mohtar PK j-QAF dan Ustaz Radzi dari PPD / KBB.


Dalam ucapan Ketua Unit Hal Ehwal Guru ,Ustazah Farhana menekankan usaha-usaha ke arah penambahbaikan norma perjawatan GPI dan GPI j-QAF sedang dijalankan. Beliau berharap agar dalam masa yang sama komitmen guru-guru sentiasa dipertingkatkan untuk mendidik murid.

Tuan Haji Nahwiuddin pula menekankan tentang usaha-usaha yang perlu dilakukan ke arah murid menguasai bacaan Al-Quran dan kelayakkan yang boleh diterima oleh GDL, DC dan DG dalam perjawatan sebagai GPI j-QAF. Terima kasih kepada Tuan Guru Besar , UPIM PPD/KBB dan semua GPI dan GPI j-QAF yang memberi sumbangan idea dalam perjumpaan tersebut.

Tuesday, February 9, 2010

Mesyuarat Penambahbaikan Unjuran Guru-Guru P. Islam Program j-QAF , BPI dan Bahagian Pengurusan Sumber Manusia (BPSM), KPM Bersama SPI, JPN

9 Feb - Mesyuarat bermula jam 9.00 pagi di bilik mesyuarat Dahlia BTPN dipengerusikan oleh Tuan Ketua Sektor, SPI, JPN Kedah Puan Hajjah Zainab bin Md Saman. Mesyuarat anjuran BPI melibatkan 4 negeri Kedah, Perlis, Pulau Pinang dan Perak disertai oleh Pen. Pengarah j-QAF. Wakil BPI, KPM disertai oleh Ketua Unit Hal Ehwal Guru, Ustazah Farhana binti Abdul Rashid, Pen. Pengarah Hak Ehwal Perjawatan Guru j-QAF Tuan Haji Nahwiuddin bin Abdul Manaf dan Penolong Pengarah Data dan Maklumat, Ustaz Zambri bin Awang dan Wakil Cawangan dasar dan Perancangan Sumber Manusia, KPM Encik Idris.




Mesyuarat menyentuh banyak perkara berhubung dengan norma perjawatan dan unjuran perjawatan guru j-QAF sehingga 2015. Semoga unjuran perjawatan guru j-QAF akan dapat disempurnakan bagi melancarkan perjalanan pelaksanaan program j-QAF di seluruh negara. Ia juga akan dapat mengatasi kekangan waktu P&P yang semakin bertambah kepada semua guru yang terlibat dengan pelaksanaan program j-QAF . Sama-samalah kita berdoa agar perjawatan guru j-QAF akan dapat ditangani dalam tempoh waktu yang singkat ini.