Wednesday, June 23, 2010

Mesyuarat Penempatan Guru j-QAF Ambilan Jan 2009 BPI, KPM & SPI, JPN


22-24Jun - Mesyuarat berlangsung di Regency International Hotel, Kuala Lumpur. Kehadiran semua Penolong Pengarah j-QAF dari JPN seluruh negara pada kali ini bertambah seri dengan kehadiran Timbalan Pengarah BPI, Tuan Haji Mohd bin Haji Taib diiringi Ketua Unit Pengurusan Guru; BPI Puan Farhana dan Pengurus Projek , Tuan Haji Nahwiuddin.

Perjalanan mesyuarat bermula jam 8.30 malam 22/6/10 dengan Pembentangan Taklimat oleh Tuan Timbalan Pengarah BPI dan Mesyuarat yang menyentuh isu-isu semasa Guru j-QAF dan Isu-Isu Penempatan dan Pertukaran Guru j-QAF seluruh negara. Turut dibincangkan dalam mesyuarat pada kali ini ialah isu-isu penangguhan dan penyelarasan maklumat penangguhan guru dalam latihan dan penempatan selepas tamat kursus KPLI/LPBS SR program j-QAF ambilan Januari 2009.

Memo penempatan Guru Pendidikan Islam Program j-QAF Ambilan Januari 2009 dijangka akan diampaikan kepada semua calon di IPG seluruh negara pada minggu ke 2 Julai 2010 akan datang. Semua calon GST program j-QAF kini sedang bertungkus-lumus dalam KISSM di IPG tempat kursus masing-masing. Penempatan GST program j-QAF bagi negeri Kedah pada tahun ini melibatkan sejumlah 154 orang GPI Program j-QAF dari opsyen Bahasa Arab, Pendidikan Islam dan Pengajian Islam Pendidikan Khas. Semoga dengan tawaran perlantikan sebagai GST program j-QAF yang akan dibuat nanti menjadikan anda bakal guru yang akan dapat mencurahkan bakti dan keringat kepada warisan agama dan bangsa ke arah memantapkan pencapaian Pendidikan Islam di sekolah penempatan anda nanti.



Rabu, 2010 Jun 23

Semua Calon Lulus Kursus Diserap Guru Tetap

PUTRAJAYA 22 Jun - Semua calon yang telah lulus kursus perguruan tidak akan lagi dilantik sebagai Guru Sandaran Terlatih sebaliknya diserapkan sebagai guru tetap tidak lama lagi.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ini kerana kerajaan bukan sahaja dapat menjimatkan kos dan masa tetapi juga memberikan status perjawatan yang lebih baik kepada guru terlatih itu.

''Dalam pengambilan yang akan datang, kita tidak perlu ada guru sandaran terlatih lagi dan kalau ada jawatan yang kita perlukan, penempatan boleh dibuat secara langsung ke mana-mana sekolah yang sesuai.

''Apa yang penting kita hendak guru yang cukup baik dan terpilih diberikan jawatan tetap selepas proses tapisan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Persidangan Perkhidmatan Pendidikan 2010 anjuran Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) di sini hari ini.

Sehubungan itu, Muhyiddin berkata, bagi melaksanakan tindakan tersebut, sewajarnya perkongsian maklumat dari segi data pelatih antara Kementerian Pelajaran, Kementerian Pengajian Tinggi dan SPP dapat diperkemaskan.

Ini supaya proses pelantikan ke jawatan tetap itu dapat dilaksanakan dengan cekap, pantas dan berkesan.

''Buat masa ini pemilihan calon untuk mengikuti kursus perguruan dikendalikan Bahagian Pendidikan Guru Kementerian Pelajaran dan Unit Pusat Universiti Kementerian Pengajian Tinggi.

''Mereka yang telah lulus latihan kemudiannya akan dilantik sebagai guru oleh SPP," katanya.

Terdahulu dalam ucapannya, beliau menggariskan lima syor yang sedang dilaksanakan oleh kerajaan dalam usaha meningkatkan kualiti guru.

''Lima syor itu adalah mengadakan kempen merekrut calon-calon guru terbaik, memastikan guru-guru menumpukan sepenuhnya kepada tugas mengajar dan bukannya tugas perkeranian.

''Selain itu, meningkatkan akauntabiliti institut pendidikan guru melalui pengenalan sistem penarafan berdasarkan tahap kecemerlangan masing-masing, merekrut guru-guru berkualiti dalam bidang kritikal dan menambahbaik laluan kerjaya guru," katanya.

Utusan Malaysia Online: 23 Jun 2010

No comments:

Post a Comment

Post a Comment