Tuesday, March 2, 2010

Taklimat Pendedahan HSP BA : Murid Kita Rezeki dan Syurga Kita.

2Mac- Petang tadi sempat saya menghadiri Taklimat HSP Bahasa Arab yang dianjurkan oleh PPD Kota Setar di SK Taman Awana. Taklimat tersebut bermula seawal jam 8.00 pagi dan berakhir pada jam 4.00 petang. Suasana selesa di Dewan Sekolah yang baru dengan pendingin hawa yang baru menjadikan persekitaran majlis berjalan lancar dan selesai disempurnakan dengan jayanya.

Tahniah diucapkan kepada Ustaz Dziauddin PK j-QAF Kota Setar dan JU Bahasa Arabnya yang mantop dan berpengalaman luas seperti Ustaz Mohammad Azizi bin Md Mukhtar, Ustaz Mohd Syakir bin Othman, Ustazah Azhimiyah binti Osman dan Ustazah Norsalwati binti Mohd Tahir. Terima kasih atas sumbangan dan bantuan anda. Saya berharap dengan kehadiran 72/77 wakil semua sekolah di daerah Kota Setar pada hari ini pastinya menghasilkan objektif yang difokuskan.

Semoga sedikit sebanyak maklumat yang telah saya utarakan kepada barisan Guru Pendidikan Islam Program j-QAF opsyen Bahasa Arab pada petang tadi dapat sama-sama kita renung dan perincikan tindakan susulannya agar pelaksanaan P&P Bahasa Arab di sekolah ustaz dan ustazah semakin mantap dan menjadi satu model yang diminati oleh murid-murid program j-QAF.

Harapan saya kepada ustaz ustazah Bahasa Arab agar menyemak semula rekod pencapaian murid dalam e-Pelaporan dan mengambil tindakan susulan penambahbaikan dalam segenap sudut model Bahasa Arab akan dapat meningkatkan pencapaian Bahas Arab seperti yang telah saya laporkan sebelum ini.

Langkah mewujudkan persekitaran Bahasa Arab di sekolah, memperkasakan Bahasa Arab dalam diri murid melalui kesedaran dalaman tentang peri pentingnya Bahasa Arab untuk duniawi dan ukhrawi, ekonomi dan sosial serta masa depan dalam sektor pekerjaan dan sebagainya dirasakan akan dapat menarik minat murid kepada cinta Bahasa Arab jika diberi penekanan yang bersungguh-sungguh dan berulangkali. Sementelahan pula arahan surat pekeliling 7 Januari 2008 berkaitan Persatuan Bahasa Arab dan Kelab Jawi dan Penulisan Khat sudah semestinya dapat menghidup dan menyemarakkan lagi Bahasa Arab kepada murid-murid.

Membiasakan murid dengan tugasan terancang pada waktu cuti melalui lembaran kerja Bahasa Arab, kelas-kelas pemulihan dan pengayaan serta latih tubi juga akan dapat menjadikan pembelajaran Bahasa Arab kepada murid bertali arus serta menjadikan murid sentiasa sibuk dengan model ini. Apa yang penting perancangan dan tindakan susulan yang dilakukan dengan membuat sedikit analisis serta fokus dan objektif yang boleh dicapai akan menghasilkan suasana bidang tugas kita sentiasa bersemarak dan ceria. Akan terhindarlah seribu alasan dan kebosanan dalam kerja jika "kekhusyokan" menjadi amalan untuk mencari sejuta jalan harapan. Ingatlah....anak murid kita, rezeki dan syurga kita.

No comments:

Post a Comment