Thursday, April 29, 2010

Mesyuarat Pertukaran GPI (M&R) dan GPI j-QAF Antara JPN dan BPI Bil. 1/2010 Pertengahan Tahun 2010


29April- Hari ini adalah hari terakhir kami berkampung di mesyuarat ini untuk membuat keputusan dan menilai segala permohonan dari seluruh negara dalam membuat keputusan pertukaran. Semoga kerja-kerja terakhir seumpama ini akan dipermudahkan oleh Allah dalam memberi jawapan terhadap semua permohonan bagi pergerakan jun 2010. Kemungkinan besar mesyuarat seumpama ini adalah kali yang terakhir bagi kami untuk menguruskan urusan seperti ini kerana urusan ini akan diambil alih sepenuhnya oleh bahagian lain di KPM.

Apapun diharapkan hasil keputusan yang akan dikeluarkan nanti akan memberi jawapan terbaik untuk semua permohonan yang disalurkan melalui sistem online pertukaran. Untuk memenuhi kehendak dan alasan yang dikemukakan oleh setiap permohonan adalah sesuatu yang mustahil, walaupun ianya terhad kepada ambilan 2005 dan 2006 sahaja. Tambahan pula berkemungkinan besar tambahan baru ambilan Jun 2010 Guru Dalam Latihan LPBS/j-QAF seperti yang diharapkan tidak dapat direalisasikan seperti yang dirancang dan dimaklumkan secara lisan sebelum ini.

Pada siang kelmarin sehari suntuk kami ditemani oleh Timbalan Pengarah Pengurusan Pendidikan Islam, Tuan Haji Mohammad Taib. Kehadirannya dalam mesyuarat seumpama ini kemungkinan kali terakhir baginya kerana beliau akan berpencen pada akhir tahun 2010. Kehadirannya memberikan kami motivasi dan berkongsi pendapat dan maklumat untuk membuat keputusan mesyuarat. Manakala pada sebelah malam pula kehadiran Tuan Pengarah, Tuan Haji Abdul Rashid Ngah yang dinantikan oleh semua deligasi telah menyuntik semangat dan maklumat terkini yang banyak menyentuh perkembangan terkini pelbagai aspek cabaran semasa dan akan datang kepada BPI dan SPI . Sesi dialog yang diadakan juga telah memberikan impak baru dan maklumat terkini untuk dijadikan panduan kepada kami meneruskan tugas di negeri masing-masing. Apapun , semoga kita semua dipermudahkan Allah Subhanahu waTa'ala dalam menjalankan tugas masing-masing di posisi tanggungjawab yang dan telah ditakdir diamanahkan. Semoga anak murid di sekolah mendapat hasilnya yang terbaik dari sumbangan tenaga dan fikiran kita semua. Murid didahulukan ,pencapaian diutamakan.

Terima kasih kepada Ustaz Nahwiyuddin, Ustazah Farhana, Ustaz Mohd Ruzi dan staf (En.Rashid dan Pn. Adila) dari BPI yang menjadi penyelaras sepanjang sesi mesyuarat pada kali ini.

Saturday, April 24, 2010

Majlis Tadarrus Al-Quran (MTQ)Peringkat Negeri 2010




24April- MTQ Sekolah-Sekolah Kementerian Pelajaran Malaysia Peringkat Negeri Kedah 2010 sedang berjalan di Komplek Pendidikan, Jabatan Pelajaran Negeri Kedah . Para peserta sudah berkampong di asrama BTPN sejak petang 23 /4/10. Sementara itu para hakim acara yang dipertandingkan juga telah mendapat taklimat dan melaksanakan muzakarah hakim pada malam tadi di bilik mesyuarat di BTPN. Majlis rasmi telah bermula jam 8.30 pagi dan dijangka berakhir jam 11.45 pagi. Acara Tilawah (R) direalisasikan di Dewan SMK Syed Mohammed Al-Bukhary, Tilawah (M) di surau sekolah yang sama. Sementara itu acara lain yang turut dipertandingkan ialah hafazan (R & M), Syarahan (M) dan Bercerita Kisah-Kisah Al-Quran (R) di BTPN. Majlis Penyampaian hadiah kepada peserta-peserta akan diadakan di Dewan Al-Farabi, BTPN pada tengahari ini disempurnakan oleh Tuan Pengarah Pelajaran Negeri Kedah.

Wednesday, April 21, 2010

Taklimat dan Perjumpaan Ketua Sektor dengan GPI dan GPI j-QAF Daerah Kulim / Bandar Baharu

20 April- Taklimat dan Perjumpaan tersebut di adakan di Dewan SMK Kulim, Kulim bermula jam 2.00 petang dan berakhir jam 5.00 petang. Dihadir hampir 290 guru SK Program j-QAF seluruh KBB. Terima kasih kepada Tuan Penyelia Kanan Pendidikan Islam, Ustaz Abdul Aziz, Tuan Pegawai Khas j-QAF, Ustaz Mohtar Mahmod dan Tuan Penyelia Pendidikan Islam Ustaz Mohd Razif merangkap pengerusi Majlis pada majlis tersebut.





Tuesday, April 20, 2010

Mesyuarat Penyelarasan Pelaksanaan KBS Peringkat Negeri Kedah 1/2010

20 April- Mesyuarat tersebut di adakan di PKG Sg Limau, Yan bermula jam 8.30 dan berakhir 4.30 petang. Selain daripada membincangkan tentang Waran Peruntukan Kecil Kem Bestari Solat yang sedang dalam proses terakhir untuk disampaikan kepada semua sekolah program j-QAF, mesyuarat juga menyentuh tentang kaedah dan instrumen yang perlu dalam usaha untuk melaksanakan pemantauan KBS di sekolah-sekolah berdasarkan takwin KBS yang telah diberikan oleh sekolah ke PPD dan SPI, JPN Kedah pada bulan Februari yang lalu.

Mesyuarat juga membincangkan tentang isu-isu dan permasalahan pelaksanaan j-QAF semasa hasil pemantauan yang telah dilaksanakan di semua daerah di negeri Kedah. Selain dari itu masalah pertukaran guru secara online dan peruntukan tambahan guru KPLI/LPBS - SR program j-QAF juga dibaincangkan untuk disampaikan ke mesyuarat di peringkat kementerian.

Antara isu lain yang agak penting dibincangkan juga ialah berkaitan rekod Bacaan Murid dan Rekod Pencapaian Murid Program j-QAF sekolah-sekolah Kohort 2005 yang telah sampai ke tahun 6 pada tahun ini. Rekod-rekod ini telah pun diproses sejak tahun 2005 dalam e-Pelaporan Jun 2005 akan dikumpul semula untuk dilihat peningkatan prestasi murid di sekolah-sekolah program j-QAF 2005 hingga 2010 bagi tujuan semakan penambahbaikan pelaksanaan model-model p&p j-QAF pada pusingan pertama pencapaian murid j-QAF. Semoga e-Pelaporan Jun 2010 pada tahun ini akan menghasilkan pencapaian murid yang lebih cemerlang dan mencapai sasaran yang diharap-harapkan oleh semua pihak.

Wednesday, April 14, 2010

Bergantung Kepada Nawaitu ....

Isnin, 2010 April 12

Cabaran Guru Bandar

KUALA LUMPUR 11 April - Mengajar di pedalaman memang memeritkan fizikal dan mental para guru. Masalah infrastruktur dan tiada bekalan tenaga elektrik serta air sememangnya memberi tekanan.

Guru yang sudah terbiasa dengan jalan berturap pasti tertekan bila terpaksa melalui jalan berlopak dan meredah belantara untuk sampai ke sesuatu destinasi. Apatah lagi jika perlu bersampan atau menaiki bot tanpa jaket keselamatan.

Tiada bekalan air bersih dan air paip memburukkan lagi keadaan. Tenaga elektrik hanya bersumberkan set generator atau sel bateri basah pasti menimbulkan kesulitan.

Bangunan sekolah dan tempat tinggal yang daif memang satu cabaran untuk guru di pedalaman.

Bagaimanapun, guru di bandar juga punya cabaran tersendiri. Dalam bentuk berbeza namun amaun tekanan tetap sama.

Bagi guru bahasa, Fenty Khosny, 36, mengharungi kesesakan jalan raya setiap kali pergi dan balik sekolah merupakan cabaran utama yang membazirkan masa dan wang.

Menurutnya, dia terpaksa bangun seawal 5.30 pagi untuk mengelakkan kesesakan supaya sampai ke sekolah tepat pada masanya.

"Perjalanan memakan masa selama 45 minit dari Seri Kembangan ke Gombak melalui Jalan Lingkaran Tengah Dua (MRR2)," katanya.

Laporan Khas Utusan Malaysia pada 15 Mac lalu menyatakan menggunakan MRR2 seolah-olah melalui 'zon perang' kerana keadaan jalan itu yang terdapat banyak 'periuk api' dan 'jerangkap samar' selain menyamakan keadaan jalan seperti menaiki 'roller coaster'.

Dari segi bahaya, kata ibu yang mengandung tujuh bulan ini, risikonya hampir sama dengan melalui jalan di kawasan pedalaman.

Malah mungkin lebih berbahaya kerana kadar kematian jalan raya di Malaysia merupakan antara yang tertinggi di dunia.

Situasi serupa juga dilalui oleh guru pendidikan khas, Hasri Ismail, 38, yang bersolat subuh setiap hari di surau sekolah.

Hasri yang menetap di Klang, Selangor dan mengajar di Petaling Jaya perlu keluar awal dengan menaiki motosikal biarpun memiliki kereta untuk mengelakkan kesesakan dan sebagai satu langkah penjimatan.

"Menunggang motor tidak kena tol dan lebih cepat sampai ke sekolah," jelasnya.

Bermotosikal ke tempat kerja sudah menjadi trend kehidupan di bandar dan melibatkan semua jenis profesion.

Pergi subuh balik maghrib sudah menjadi rutin harian Fenty dan Hasri.

Berbeza pula halnya, dengan Nurazlina Ahamad Thamizi, 31, yang tinggal berhampiran dengan tempat dia mengajar.

Guru Matematik di Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Baru Bangi ini memberitahu, kesesakan bukan satu masalah tetapi kos sara hidup di bandar agak tinggi dan membebankan.

"Segala kemudahan memang tersedia namun ia datang dengan kos," ujarnya.

Kata Nurazlina, barang keperluan harian dan upah pengasuh di bandar secara relatifnya lebih tinggi berbanding dengan kawasan kampung.

Tambahnya, masalah yang sama turut membelenggu guru bandar yang tinggal di kuarters.

Kelebihan tinggal di kuarters - di desa atau kota - ialah boleh berjalan kaki ke sekolah. Cuma di kota, kereta menjadi satu keperluan menyebabkan si guru menanggung bayaran ansuran bulanan.

Hal ini tentunya memberi kesan kepada ekonomi keluarga guru di bandar berbanding di pedalaman.

Sementara itu, bekas guru, Muninah Masiran, 57, berpendapat, cabaran utama mengajar di bandar adalah memenuhi harapan ibu bapa yang mahukan prestasi akademik anak mereka pada kedudukan tertinggi.

Beliau berkata, tahap kesedaran ibu bapa di bandar tentang pentingnya pendidikan kepada masa depan anak masing-masing jauh lebih baik daripada ibu bapa di kampung atau kawasan pedalaman.

"Mereka akan mempersoalkan kewibawaan para guru jika prestasi pelajar tidak memuaskan," katanya.

Berdepan dengan ibu bapa yang 'intelektual' ini menuntut kesabaran tahap tinggi kerana jika tersalah jawab boleh menyebabkan pertelingkahan atau kes diheret ke mahkamah.

"Masalah disiplin ada di mana-mana dan memerlukan kebijaksanaan para guru untuk menyelesaikannya," jawab Muninah ketika disoal perbandingan kes salah laku pelajar di bandar dan di pedalaman.

Namun, bagi penuntut tahun akhir jurusan Pendidikan Dalam Sains (Fizik), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Farizatul Shima Hashim, faktor disiplin pelajar menjadi cabaran utama kepada dirinya.

Pengalaman menjalani latihan mengajar selama enam bulan di sebuah sekolah di Subang Jaya, Selangor membuatkan dia membatalkan hasrat menjadi guru dan beralih cita-cita menjadi pensyarah.

"Ketika mengajar dalam makmal hanya pelajar barisan depan sahaja yang menumpukan perhatian manakala yang lain tidak ambil peduli malah membuat bising hingga mengganggu perjalanan kelas," ceritanya yang akan menyambung pengajian ke peringkat sarjana dan Ph.D.

Mungkin susuk tubuhnya yang kecil molek dan usianya yang masih muda serta status guru pelatih menyebabkan pelajar kurang menghormati Farizatul Shima.

Walau apa pun, senario dan situasi yang dilalui oleh guru tidak kira di mana mereka mengajar memang mencabar dan perlu dihargai sama ada dalam bentuk insentif kewangan atau melalui ucapan terima kasih cikgu.

Sunday, April 11, 2010

Makmal j-QAF

11April - Makmal j-QAF bagi sekolah rendah program j-QAF sudah wujud dibeberpa buah sekolah rendah yang baru dibuka di negeri Kedah pada 2010. Peluang masa yang ada pada hari ini memberi peluang saya menziarahi Sekolah Kebangsaan Batu 8, Sik yang baru dibuka pada 1Mac yang lalu. Muridnya kelihatan ceria disekolah yang serba baru infrastrukturnya. Berdiri megah di lereng bukit bersebelahan SMK Batu 8, Sekolah Kebangsaan Batu 8 telah mendapat kemudahan Makmal j-QAF yang juga serba baru lengkap dengan perabutnya sekali. Kedatangan saya telah disambut mesra oleh Guru Besarnya yang baru, dan kebetulan di hari pertama beliau mula bertugas secara rasmi di sini pada hari ini. Cikgu Nasir , bekas Guru Besar SK Sik telah diamanahkan untuk menguruskan SK Batu 8 kelihatan begitu selesa sekali dengan tempat bertugasnya yang baru. Tahniah dan selamat bertugas.

Selesai melawat SK Batu 8, saya sempat menjemput Ustaz Jamaluddin Said di PPD Kuala Muda Yan untuk sama bergerak ke SK Teluk Wang untuk melawat makmal j-QAF yang terdapat di sekolah tersebut yang baru dibuka pada 1Mac yang lalu. Berdiri megah ditanah rata bersebelahan SMK Teluk Wang, sekolah ini kelihatan sungguh indah berlatarbelakangkan bendang yang terbentang. Makmal j-QAF sekolah ini telah beroperasi dan suraunya telahpun digunakan oleh guru dan murid-murid sekolah tersebut.

Makmal kedua-dua sekolah ini dilengkapi dengan bilik berwuduk untuk murid lelaki dan perempuan, ruang solat yang boleh menampung kurang lebih 60 hingga 70 murid serentak, bilik interaktif, bilik persediaan , bilik stor dan bilik pemulihan di satu aras dan bersebelahan kedudukkannya. Semoga dengan terlaksananya makmal j-QAF ini akan memantapkan lagi proses pelaksanaan p&p model j-QAF kepada guru dan murid terlibat. Manfaatkan sebaik mungkin makmal ini untuk kemudahan dan pencapaian yang lebih cemerlang.

Thursday, April 8, 2010

Mesyuarat Pengurusan Pegawai-Pegawai SPI & UPI Bil. 1/2010

8 April- Mesyuarat diadaka di Bilik Mesyuarat SM Sains Sultan Mohamad Jiwa, 08000 Sungai Petani, Kedah. Ketibaan semua pegawai telah menerima sambutan mesra dari tuan rumah yang terdiri dari pegawai di UPI, PPD KMY dan guru SMSSMJ. Mesyuarat bermula jam 8.40 pagi dan dijangka akan tamat pada 4.30 petang.

Wednesday, April 7, 2010

Selamat Bertugas Kepada GB Sek. Keb. Sik.

7April- Kesempatan menghadirkan diri ke SK Sik, Sik bersama Penyelia Pendidikan Islam Baling Sik, Ust Yusof Abdullah ke SK Sik pada pagi ini sekaligus meraikan kehadiran Tuan Guru Besar baru bertugas pada hari ini. Ibarat sirih pulang kegagang, sudah 10 tahun Cikgu Sukri Yaakob meninggalkan sekolah ini dan hari ini beliau kembali bertugas sebagai Guru Besar dan antara tempat pertama yang dilawatinya ialah bilik kelas tempat beliau belajar di zaman usianya di sekolah rendah dahulu. Selamat bertugas, semoga SK Sik bertambah gemilang di bawah pentadbiran tuan dan guru-guru sedia ada.


Lawatan rutin meninjau GDL 2009 dalam latihan praktikum pada hari ini ke arah memantapkan lagi perjalanan dan pelaksanaan program j-QAF di samping berbincang dengan pengurusan sekolah kedudukan GPI dan GPI j-QAF kesan perpindahan sebahagian murid SK Sik ke sekolah yang baru dibuka pada Mac lalu iaitu SK Batu Lapan, Sik. Terima kasih atas layanan dan sumbanagan idea ke arah pemuafakatan lebih mantap pelaksanaan program j-QAF di SK Sik.

Monday, April 5, 2010

Mesyuarat Pengurusan SMKA & SABK Negeri Kedah 2010

5April-Mesyuarat berlangsung di Bilik Dahlia, BTPN. Bermula jam 8.30 pagi dan dijangka berakhir pada jam 5.00 petang. Mesyuarat dipengerusikan oleh Tuan Ketua Sektor Pendidikan Islam. Dihadiri oleh semua Tuan Pengetua dan Penolong Kanan 1 dari 14 buah SABK dan 4 buah SMKA.
Mesyuarat banyak menyentuh tentang perancangan dan penambahbaikan pengurusan Kurikulum dan KoKurikulum serta urusan pentadbiran sekolah, terutamanya SABK.Selain daripada itu Tuan Ketua Sektor juga menyentuh beberapa perkara dasar kerajaan dan KPM berkaitan MBM dan MBI, Sekolah Berprestasi Tinggi, NKRA dan segala sub-elemen yang berkaitan dengannya. Para pegawai dari unit IPA juga tidak ketinggalan membentangkan laporan dan perancangan yang telah dirancangkan pada tahun ini.

Pembentangan dari Penolong Pengarah Pengurusan Akademik SMKA/SABK/KAA Ustaz Nadhzari Mahmud menyarankan agar semua pengurusan sekolah SABK dan SMKA supaya memberi tumpuan terhadap penguasaan dan peningkatan subjek Bahasa Arab ke arah memastikan peningkatan secara keseluruhan GPS dalam peperiksaan umum akan datang. Selain daripada itu juga pengurusan IPA juga menarik perhatian pentadbir SABK agak lebih agresif ke arah memastikan kurikulum Azhari di SABK dipertingkatkan kekedudukan yang sepatutnya. Ini kerana SABK ditubuhkan bertujuan untuk mengenengahkan kurikulum Azhari bagi melahirkan pelajar yang cemerlang ilmu agama.

Sunday, April 4, 2010

2010/04/04
Kementerian Pelajaran Perlu Pastikan Pekeliling Dasar Turut Dipatuhi Sekolah, Jabatan

PASTI ramai tertanya-tanya kenapa semakin banyak masalah berkaitan guru timbul sejak kebelakangan ini. Masalah berbangkit ini sebenarnya isu lama yang tidak diselesaikan sejak dulu, sebaliknya ia dibiarkan tergantung supaya isu itu akan lenyap mengikut masa.

Sikap keterbukaan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran ingin tahu masalah membabitkan warga pendidik akhirnya mendedahkan pekung sebenar. Sebaik pelantikannya sebagai Menteri Pelajaran, Muhyiddin turun padang melawat sekolah bermasalah dari segi infrastruktur di sekolah kebangsaan, sekolah menengah jenis kebangsaan Cina dan Tamil dan membantu memperbaikinya.

Dari situlah beliau mula melihat dan mengetahui masalah di sekolah, bukan setakat kurang kemudahan atau bangunan rosak, sebaliknya beban kerja warga pendidik yang terpaksa melakukan kerja berlebihan termasuk pentadbiran dan perkeranian hingga mengganggu tanggungjawab mendidik.

Berikutan itu, Muhyiddin mengumumkan penubuhan jawatankuasa yang dipengerusikan Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom dan dianggotai beberapa pegawai pelajaran dan wakil Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) bagi mengenal pasti tahap keseriusan isu berkenaan serta diberi tempoh dua bulan untuk menyelesaikannya.

Bagi NUTP, guru menanggung beban kerja berganda akibat wujudnya arahan dalam arahan apabila mereka terpaksa melakukan tugasan dalam skop sama berulang kali atas arahan pihak atasan pada peringkat berbeza. Ketika ini, semua pihak di kementerian, jabatan pelajaran negeri, pegawai pelajaran daerah dan pengetua memberikan arahan masing-masing akibatnya sudah pasti antara arahan ini menyanggahi atau melampaui arahan yang berasal dari kementerian.

Seperti kata Setiausaha Agung NUTP, Lok Yim Pheng, senario itu berlaku apabila Kementerian Pelajaran mengeluarkan pekeliling yang mengarahkan guru melaksanakan program tertentu, tetapi pada masa sama mereka dikehendaki menjalankan lagi program seumpama atas arahan pentadbiran pada peringkat jabatan pelajaran negeri atau daerah, walaupun semua mengandungi pengisian hampir sama.

Keadaan sedemikian didakwa NUTP berlaku di negeri tertentu menyebabkan guru terpaksa akur dengan arahan pihak atasan pada peringkat berbeza sehingga berlaku pembaziran masa dan menjejaskan tanggungjawab pendidik dalam pengajaran dan pembelajaran.
Justeru, dalam menangani situasi sebegini, NUTP berharap guru hanya perlu akur kepada pekeliling Kementerian Pelajaran dan tidak perlu ditokok tambah dengan program yang mirip oleh jabatan pelajaran negeri atau daerah.

Di atas kertas, cadangan penyelesaian NUTP ini nampak mudah. Namun, berdasarkan senario semasa, ia bukan semudah itu. Sebagai contoh, sehingga kini, kebanyakan sekolah tidak mematuhi pekeliling waktu mengajar guru pusat sumber sekolah, terutama di Kuala Lumpur. Pekeliling mengenainya sudah ada tetapi tidak diikuti atas alasan sekolah kekurangan guru, selain tiada kesungguhan untuk melaksanakannya, termasuk pada peringkat Bahagian Teknologi Pendidikan (BTP) yang mengawal Pusat Sumber Pendidikan Negeri (PSPN). Mengikut satu sumber, seorang bekas pengarah pelajaran pernah memperkecilkan pekeliling ini pada satu majlis terbuka.

Ini hanya satu contoh permasalahan kecil yang sehingga kini tidak dapat diselesaikan JPN, sedangkan pekeliling mengenainya sudah ada. Hakikatnya, pekeliling bukan penyelesaian masalah yang ada di sekolah, sebaliknya ia lebih kepada kelemahan penguatkuasaan pekeliling terbabit.

Selain mematuhi pekeliling, ketelusan perlu ada dalam isu tertentu, khususnya membabitkan guru/pegawai jabatan tidak dibenarkan membuat tuntutan perbatuan atau perjalanan. Sehingga kini tiada pekeliling mengenai larangan ini, sebaliknya ia hanya dicanangkan ketua kerani di sekolah.

Sukar untuk percaya tetapi itulah hakikatnya apabila guru dan pengetua menghadiri mesyuarat atau berkursus dijamu nasi atau kuih dibungkus dalam plastik bersama air mineral yang harganya tidak melebihi RM4, selain dipesan ketua kerani supaya tidak membuat tuntutan perjalanan, sedangkan ada kakitangan awam lain menerima pelarasan gaji dan tunggakan elaun.

Berita Harian Online: 4 April 2010


Makmal Nilai Pencapaian Guru Diwujud

2010/04/03

HULU SELANGOR: Kementerian Pelajaran mewujudkan sebuah lagi makmal bagi menilai tahap pencapaian guru bertujuan memastikan proses kenaikan pangkat guru dapat dibuat dengan lebih telus. adil dan saksama sebagai usaha memartabatkan lagi profesion perguruan.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata ia juga dibuat bagi memastikan tidak ada lagi guru yang sepatutnya mendapat kenaikan kerana cemerlang dalam perkhidmatan terlepas pandang hanya kerana mereka mengajar di pedalaman.

Ada sesetengah guru berasakan mereka seolah-olah tidak diberikan perhatian dan oleh sebab itu kita nak pastikan supaya ada satu sistem yang lebih telus diikuti dengan sistem pengurusan lebih cekap supaya rekod guru yang ada terkini dan kemas.

Melaluinya kita dapat melihat semua profil guru yang ada disimpan dengan lengkap dan bila guru berkhidmat, prestasi guru dinilai dari semasa ke semasa dengan lebih rapi supaya kita boleh memberikan pengiktirafan kepada guru, katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perjumpaan Timbalan Perdana Menteri Bersama Guru Seluruh Hulu Selangor di Sekolah Menengah Sains Hulu Selangor, di sini semalam.

Hadir sama, Menteri Pertanian, Datuk Noh Omar dan Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, langkah itu perlu dilihat sebagai cabaran kerana jabatan yang akan menguruskan bahagian itu bukan jabatan biasa kerana ia memerlukan tenaga manusia ramai untuk menilai dia memastikan sistem itu agak kemas dan wujud dengan cara rapi selain penilaian perlu dibuat secara adil dan saksama.
Langkah itu juga dibuat bagi memastikan tidak ada guru berasa seolah-olah `dianaktirikan atau tidak diberikan layanan yang baik dan saksama atau tidak diberikan perhatian langsung, katanya.

Sementara itu, Muhyiddin mengumumkan peruntukan RM2 juta untuk menyelesaikan masalah banjir yang sering menghantui kira-kira 2,000 penduduk di Kampung Sentosa, Bukit Beruntung, dekat sini.

Berita Harian Online: 3 April 2010


Tiga Tahun Tidur Di Bawah Bilik Darjah Demi Murid
2010/04/03

Guru kaum Penan cekal walau tempat tinggal tidak sempurna

LONG LATIN (Ulu Baram): Empat guru disebuah sekolah rendah di sini termasuk sepasang suami isteri terpaksa tidur dalam sebuah bilik sempit berukuran 20 kaki panjang dan 10 kaki lebar dengan ketinggian hanya tujuh kaki sejak tiga tahun lalu kerana kediaman guru yang sedia ada tidak mencukupi.

Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Long Lutin, Edward Ngullie Anggun, berkata sekolah itu yang dibina awal 1980-an hanya mempunyai empat unit kediaman guru termasuk satu unit yang sudah uzur serta hampir runtuh dan tidak cukup untuk menampung 12 guru serta keluarga mereka.

Kami terpaksa membina dua bilik untuk kediaman guru di bawah kelas serta satu lagi dijadikan bilik darjah kerana kemudahan kediaman yang sedia ada memang tidak mencukupi, katanya.

Helleh Lihan, 29, guru kelas peralihan di sekolah terbabit berkata, dia dan suaminya, Fanuel Gerawal Edom, 26, terpaksa tinggal dalam sebuah bilik yang sempit di bawah bilik darjah sejak tiga tahun lalu.

Katanya, walaupun begitu mereka tetap bersyukur kerana mempunyai tempat untuk tinggal dan ia sedikitpun tidak mematahkan semangat untuk memberikan pendidikan terbaik untuk anak-anak orang Penan di kawasan Ulu Baram.

Seorang lagi guru di sekolah itu, Benjamin Lenjan, 45, berkata dia kini terpaksa tinggal dalam sebuah rumah guru yang hanya menunggu masa untuk runtuh.

Katanya, sejak enam tahun lalu pelbagai usaha dilakukan oleh pihak sekolah untuk mendapatkan kediaman baru guru namun setakat ini tidak berjaya.
Kalau difikirkan rumah guru ini memang tidak lagi selamat untuk diduduki lebih-lebih lagi kedudukannya di tepi sungai dan ketika hujan memang banyak ruang yang basah, katanya.

Hampir 100 peratus daripada 209 murid di sekolah terbabit adalah anak-anak kaum Penan dari tujuh kampung dari sekitar Long Lutin dan semua murid terbabit tinggal di asrama. - Bernama

Berita Harian Online: 3 April 2010

PKPIM Sokong Kaji Bebanan Tugas Guru
2010/04/03

PERSATUAN Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) menyokong penuh usaha mewujudkan jawatankuasa khas bagi mengkaji beban tugas berlebihan yang ditanggung oleh guru di seluruh negara. Isu ini sebenarnya sudah lama menjadi perbualan khususnya di kalangan guru namun sehingga kini masih belum nampak jalan penyelesaiannya.

Dengan penubuhan jawatankuasa khas ini, diharap dapat membantu mencari jawapan kaedah penyelesaian masalah yang membelenggu guru, yang pastinya banyak membantutkan usaha guru untuk menjalankan tanggungjawab dan amanah mendidik anak bangsa dengan sebaik mungkin.

Kebanyakan guru sekarang dibebankan dengan tugas pentadbiran dan hal teknikal sehingga menjejaskan tumpuan kepada tugas mendidik pelajar. Masa banyak dihabiskan untuk menyelesaikan masalah dan kerja pentadbiran sehingga menimbulkan tekanan kerja yang berat, sekali gus membuatkan tugas sebenar guru terabai.

Masa guru juga perlu banyak dihabiskan bersama pelajar demi membina hubungan akrab, sekali gus membantu guru mendidik pelajarnya dengan penuh sifat kebapaan dan keibuan. Oleh itu, guru bukan sekadar dapat mengajar di dalam kelas semata-mata malah dapat mendidik akhlak dan sahsiah pelajar agar menjadi insan beradab dan memiliki budi pekerti mulia.

Guru juga dapat membuat persiapan secukupnya demi merancang kaedah pengajaran lebih sistematik dan menarik minat pelajar di samping dapat menyediakan modul kontemporari sebagai persiapan mengajar.

Hal ini tidak mungkin dapat dilakukan oleh guru sekiranya mereka terlampau disibukkan dengan bebanan tugas pentadbiran dan pengurusan sehingga terpaksa menghadiri pelbagai mesyuarat dan akhirnya menyebabkan mereka sendiri terpaksa ponteng mengajar.

Pelbagai implikasi yang negatif akibat bebanan tugas pentadbiran dan pengurusan kepada guru yang perlu dikaji dan diperhalusi oleh jawatankuasa khas nanti. Semoga ia dapat mengurangkan bebanan tugas guru sehingga mereka dapat menunaikan amanah mendidik anak bangsa dengan lebih sempurna.
WAN MOHAMAD WASIF WAN MOHAMAD,
Exco Pendidikan dan Penyelidikan PKPIM

Berita Harian Online: 3 April 2010

Thursday, April 1, 2010

Perjumpaan GPI Programj-QAF Daerah Kota Setar dengan Ketua Sektor Pendidikan Islam JPN Kedah





31Mac 2010-Satu perjumpaan rasmi bersama Tuan Ketua Sektor Pendiidikan Islam, Puan Hajjah Zainab bin Md Saman telah di adakan pada jam 2.30 petang di Dewan SK Langgar, Alor Star.Perjumpaan tersebut melibatkan semua Guru Pendidikan Islam , Program j-QAF kohort 2005 dan 2006 daerah Kota Setar. Majlis tersebut dimulakan dengan ucapan Pegawai Khas j-QAF Daerah Kota Setar, Ustaz Dziauddin bin Saad. Dalam ucapannya beliau banyak menyentuh tentang integiti dan peranan mulia sebagai gur Pendidikan Islam atau Ustaz dan Ustazah. Menurut beliau , masa depan murid-murid Islam dalam penghayatan syari'at Islam bergantung kepada peranan dan sumbangan maksima yang disumbangkan oleh generasi Ustaz dan Ustazah kini di bangku sekolah rendah dalam program j-QAF. Bagi beliau secara peribadinya amat bimbang tentang pencapaian yang sewajarnya dicapai, jika urusan P&P dan aktiviti sampingan tidak diberi tumpuan dan sentuhan guru dengan sepenuh jiwa dan raga sebagai seorang pendidik. Di akhir ucapannya Ustaz Dziauddin menaruh harapan yang tinggi kepada semua Ustaz dan Ustazah program j-QAF daerah Kota Setar agar terus meningkatkan kualiti kerja dan mencari idea ke arah meningkatkan teknik penyampaian dalam P&P lebih berkesan agar Program j-QAF Cemerlang Tanpa Gagal.


Sementara itu dalam taklimat seterusnya saya sempat membentangkan pencapaian prestasi murid j-QAF daerah Kota Setar dalam pelaporan yang lalu. Pencapain tersebut didedahkan untuk dijadikan penanda aras ke arah peningkatan pencapaian yang lebih memberansangkan bagi daerah Kota Setar dalam pelaporan Jun 2010 akan datang. Ketelusan dan ketelitian dalam pengisian data perlu diberi tumpuan dan keutamaan untuk menghasilkan pelaporan yang diperakui.

Majlis diakhiri dengan ucaptama yang disampaikan oleh Tuan Ketua Sektor. Dalam ucapannya beliau mengajak Ustaz dan Ustazah mengimbau kembali nikmat menjawat jawatan guru. Peluang yang dikecapi itu haruslah diambil kesempatan yang sewajarnya untuk mendidik dan membantu murid-murid ke arah pendidikan bertaraf dunia ke arah melahirkan insan kamil dan berwawasan. Belaiu berharap Ustaz dan Ustazah menumpukan sepenuh perhatian pada kerjaya murni dan mulia ini serta tidak menimbulkan sebarang masalah kepada pentadbir di sekolah masing-masing. Jadilah Ustaz dan Ustazah yang disukai dan disenangi oleh semua pihak, baik murid, rakan sejawat, pentadbir dan ibu-bapa. Berusahalah untuk menjadi guru yang diingati tentang kebaikan dan kemuliaan seorang Ustaz dan Ustazah dalam mendidik murid. Beliau berharap masa depan murid j-QAF yang ada di bawah pengawasan Ustaz dan Ustazah j-QAF pada hari ini akan lahir sebagai generasi Muslim Kelas Pertama untuk kecemerlangan generasi masa depan.

Terima kasih kepada semua pegawai UPI ,PPD Kota Setar, Ustaz Dzhir dan Ustaz Ibrahim serta semua jawatankuasa kerja dan persiapan majlis tersebut.Tidak lupa juga kepada tuan rumah, Tuan Guru Besar SK Langgar yang memberi ruang dan kemudahan amat memuaskan serta layanan yang istimewa sehingga berakhirnya majlis. teriam kasih semua.










Seksanya Jadi Guru...? Ada Guru Dibebani Tugas dan Ada Yang ..... Di Mana Kita....?

Cikgu Produktif Dibeban Tugas Berat Tanpa Terima Insentif

BEBANAN tugas guru ibarat isu yang tiada kesudahannya padahal realiti sebenarnya bukan ditanggung oleh semua guru, tetapi sebahagian saja terutama guru mata pelajaran peperiksaan utama, yang menjawat jawatan penting sekolah dan yang terpaksa bertugas selepas waktu kelas seperti jurulatih sukan utama sekolah.

Namun yang pelik dalam gegak-gempita isu bebanan tugas mendidik ini, ada pula guru yang sempat membuka kedai kain, restoran, perniagaan jualan langsung dan pelbagai kerja sampingan yang tidak berkaitan dengan pendidikan.

Kalau terbeban dengan tugas sekolah, mana mampu guru ini menjawat ‘dua profesion’ pada satu masa. Sebenarnya, di ‘atas kertas’ Kementerian Pelajaran sudah mengimbangi bebanan tugas guru dengan jumlah masa mengajar mingguan maksimum hanya 13 jam seminggu dan gaji lumayan untuk guru muda yang hanya mampu dicapai guru lama yang berkhidmat lebih 18 tahun dan beberapa lagi insentif.

Jika diminta bertugas di luar bandar pula, pelbagai alasan diberikan atau berjenis ‘kabel’ digunakan untuk mengelakkan diri, sedangkan ketika temu duga jangankan Gunung Everest, lautan api sanggup direnangi.

Jadi, apabila timbul keadaan ada segelintir guru yang enggan susah dan anak manja, maka terbitlah masalah bebanan guru kerana ada guru terpaksa memikul beban guru berkenaan.

Ditambah pula dengan pentadbir sekolah yang mengejar populariti, guru yang rajin dan berkebolehan akan dibebani pelbagai tugas tanpa memikirkan kebajikan guru berkenaan.

Mereka dihantui dengan kerja yang tidak berkesudahan setiap hari sedangkan ada segelintir rakan guru yang lain enak dibuai mimpi.
Sebagai orang lama dalam dunia pendidikan, Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (KPPK) kini dilihat semakin hilang sengat terutama pada kaca mata guru lama.

KPPK dilihat lebih mengejar populariti dan nama berbanding kebajikan guru. Isu yang diperjuangkannya seperti menguntungkan satu pihak tetapi menyakitkan hati pihak lain.

Untuk mengembalikan taring KPPK, peranan sebenar KPPK ialah menuntut Kementerian Pelajaran memberi insentif untuk guru yang sanggup menanggung bebanan tugas yang diberikan.

Insentif berbentuk elaun boleh memberi keadilan kepada guru terbabit agar terubat duka menanggung bebanan tugas yang diberikan.

KPPK juga harus membuat soal selidik bebanan tugas guru di sekolah melalui wakil guru dan ahli KPPK yang hampir mencecah 200,000 guru itu.

Jangan hanya terjah dan timbang kilo tanpa fakta tepat kerana ini hanya merugikan guru yang berkebolehan, aktif dan produktif di sekolah.

IRMAZ DINI,
Pendang, Kedah

Berita Harian Online: 1 April 2010



Seksa Jadi Cikgu
Oleh Khairul Azran Hussin
khaiazr@bharian.com.my

2010/04/01

TIMBALAN Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin (dua dari kiri), bersalaman bersama Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Hashim Adnan semasa Perjumpaan bersama NUTP di Parlimen di Kuala Lumpur, semalam. - Foto Bernama
TIMBALAN Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin (dua dari kiri), bersalaman bersama Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Hashim Adnan semasa Perjumpaan bersama NUTP di Parlimen di Kuala Lumpur, semalam. - Foto Bernama
Jawatankuasa khas diberi dua bulan selesai tekanan hidup guru: Muhyiddin

KUALA LUMPUR: Sebuah jawatankuasa khas ditubuhkan bagi mengkaji beban tugas guru yang kini terpaksa melakukan kerja berlebihan, termasuk pentadbiran dan perkeranian hingga mengganggu tanggungjawab mendidik pelajar.

Jawatankuasa itu yang dipengerusikan Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom dan dianggotai beberapa pegawai pelajaran dan wakil Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) akan mengenal pasti tahap keseriusan isu berkenaan serta diberi tempoh dua bulan untuk menyelesaikannya.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata berdasarkan aduan NUTP, selain tugas mengajar, ada guru terpaksa mengendalikan aktiviti kokurikulum, bilik darjah, hal ehwal murid, pentadbiran dan perkeranian serta beberapa kerja tambahan lain.

“NUTP turut membuat aduan yang guru terpaksa bekerja setiap Sabtu disebabkan terbabit dengan banyak aktiviti, sedangkan pekeliling yang dikeluarkan membenarkan guru bercuti pada Sabtu sebanyak dua kali setiap bulan.

“Jadi, kita akan teliti masalah itu kerana tidak mahu tugas hakiki guru, iaitu mendidik pelajar tidak terganggu disebabkan bebanan macam-macam tugas yang terpaksa dibuat,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat antara Kementerian Pelajaran dengan NUTP di bangunan Parlimen, semalam.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, jawatankuasa itu akan mengenal pasti punca masalah berkenaan dan mencari penanda aras yang boleh diguna pakai bagi menyelesaikannya.
“Piawaian antarabangsa atau dari negara jiran yang tahap pendidikannya lebih tinggi boleh kita contohi,” katanya.

Muhyiddin berkata, kementerian menyedari tugas sebenar guru ialah pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas, bukannya melakukan tugas tertentu yang sepatutnya dilakukan kerani.

Dalam perkembangan lain, Muhyiddin berkata, dasar baru kementerian yang menekankan aspek kokurikulum di sekolah mendapat maklum balas positif daripada NUTP yang menyatakan sokongan penuh terhadap usaha berkenaan.

“NUTP turut menyokong Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) bagi meningkatkan jaringan pendidikan kepada rakyat. Kementerian akan cuba sedaya upaya untuk memberikan yang terbaik kepada guru dan rakyat,” katanya.

Berita Harian Online: 1 April 2010