Sunday, May 2, 2010

Mungkin Di Mata Kita: Mana Ada Kerjaya Yang Mudah......

Sabtu, 1 Mei 2010 Mei

'Guru Saya Dulu Tidak Pernah Merungut'

(Admin: Saya ulang semula posting bahan ini. Kandungannya mendapat ulasan yang tertinggi setakat ini. Mungkin ada sesuatu yang tersirat dalam hati kita sebagai guru apabila orang luar cuba menyelami masalah yang kita tanggung.)

SAYA terpanggil untuk menulis di ruangan ini setelah melihat pelbagai rungutan daripada golongan pendidik sekarang.

Saya juga merupakan seorang penjawat awam dan amat gembira bekerja dari pukul 8 pagi hingga 5 petang. Terpaksa mengharungi kesesakan jalan raya bersama-sama pengguna lain, berbanding dengan guru yang bekerja separuh hari sahaja.

Saya tidak dapat bayangkan betapa gembiranya jika saya tamat waktu bekerja pada pukul 1 tengah hari.

Sudahlah waktu bekerjanya separuh hari, waktu kelasnya pula mungkin 3 atau 4 waktu sahaja. Bersyukurlah. Dengan semua guru baru bermula dengan DG41 bertuahnya anda semua.

Saya merupakan bekas pelajar SBP di Sek. Dato Abdul Razak, Seremban. Saya ingin menyatakan bahawa komitmen guru-guru saya dahulu begitu jitu.

Saya masih teringat lagi bekas guru saya iaitu Cikgu Rahim yang sanggup datang meronda asrama pada waktu malam walaupun beliau tidak tinggal di dalam kuarters rumah guru di dalam kawasan sekolah, guru matematik saya di Sek. Men. Dato Hj. Hussein iaitu Puan Rodziah yang sanggup mengajar lebih waktu untuk para pelajarnya yang lemah dalam subjek itu. Itulah komitmen.

Kedua-dua ibu bapa saya merupakan guru dan saya tidak pernah melihat mereka merungut. Jika ada pelajar bermasalah, mereka akan pergi ke rumah pelajar tersebut bertanyakan masalah.

Malah sumbangan dari segi kewangan dan barang-barang dapur untuk keluarga pelajar bermasalah juga pernah diberikan beberapa kali.

Malah bapa saya kadangkala menyanyikan lagu Kami Guru Malaysia walaupun sedang membuat kerja di rumah. Begitulah sayang dan bangganya beliau pada kerjayanya.

Akhir kata, selamat maju jaya kepada warga-warga pendidik. Jasamu dikenang selamanya.

IZRUL FARIS IDRIS
Utusan Malaysia Online: 29 April 2010


Pensyarah Merungut Kerjaya Memalukan Diri Sendiri

2010/04/30

SAYA ingin merujuk surat bertajuk ‘Beban tugas paksa pensyarah IPGM kerja lebih masa’ seperti disiarkan di ruangan ini kelmarin kiriman ‘Pensyarah penat’.

Pada pendapat saya, adalah sesuatu yang amat menjengkelkan sekiranya seseorang pendidik termasuk guru atau pensyarah seperti beliau merungut di atas penat lelah yang ditabur ketika melaksanakan tugas diamanahkan kepada mereka.

Bagi saya, ia adalah sesuatu yang amat memalukan kerana mereka sendiri yang memilih bidang berkenaan, malah secara kuantitatifnya, mereka dibayar setiap bulan untuk mengajar ditambah dengan elaun yang lebih tinggi bagi yang berkhidmat di pedalaman.

Saya berikan satu contoh yang amat mudah difahami... katakan seorang jurutera geoteknikal yang dibayar oleh Petronas untuk melaksanakan sebarang proses kejuruteraan struktur di pelantar minyak sejauh Miri atau Kerteh selama sebulan di tengah lautan dalam dan langsung tidak bertemu dengan keluarga selama tempoh itu, saya yakin sepenuhnya bahawa jurutera itu tidak akan membantah atau mengeluh.

Ini kerana jurutera itu sendiri yang memilih pekerjaan berkenaan dan dibayar untuk melakukannya walaupun risiko untuk kehilangan nyawa adalah tinggi.

Sikap merengek manja di kalangan pendidik dan pensyarah dan juga seluruh kakitangan awam mestilah dielakkan agar bidang terbabit tidak menjadi gurauan sinis kononnya sifat tidak ikhlas dan malas itu sudah sebati dalam budaya rakyat Malaysia.

Bak kata bekas Perdana Menteri kita, Tun Dr Mahathir Mohamad ‘Malaysia memiliki prasarana kelas dunia dengan mentaliti kelas ketiga’. Inilah mentaliti yang cuba kita ketepikan dengan bekerja bersungguh-sungguh serta melaksanakan semua tanggungjawab yang diamanahkan dengan ikhlas dan efisyen.

MOHAMMAD SHAFIQ SOHOT,
Kuala Lumpur


Berita Harian Online: 30 April 2010

No comments:

Post a Comment