Tuesday, June 23, 2009

Taklimat Pra Pemantauan Bersepadu dan majlis Dialog Bersama Ketua-Ketua Panitia Pendidikan Islam SK Program j-QAF kohort 2005 Daerah Kota Setar

22 Jun- Pagi tadi saya sempat meghadiri satu majlis Taklimat Pra Pemantauan SK Program j-QAF Kohort 2005 Daerah Kota Setar di bilik mesyuarat SK Taman Uda, Alor Setar. Majlis tersebut telah diatur selia dan dipengerusikan oleh Pegawai Khas j-QAF Daerah Kota Setar; Yang Berusaha Ustaz Dziauddin bin Saad. Taklimat selama kurang lebih satu jam serta sesi soal jawab bersama peserta yang hadir telah memberi input berguna kepada pegawai dan Ketua-Ketua Panitia yang hadir pada hari ini. Majlis berjalan dalam suasana sungguh harmoni dan berakhir pada jam 12.15 tengahari.

Dikesempatan itu juga saya berkesempatan meninjau proses penggabungan data e-Pelaporan 6 Bulan Pertama Daerah Kota Setar yang telah diadakan di makmal komputer sekolah tersebut. Dengan kecekapan dan ketelitian menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan, saya percaya jawatankuasa yang dibentuk khas oleh Yang Berusaha Ustaz Dziauddin akan dapat menyelesaikan proses penggabungan e-PPD Kota Setar dalam tempoh waktu yang singkat.

Terima kasih kepada semua Ketua Panitia Pendidikan Islam yang hadir dan turut serta dalam sesi soal jawab pada pagi tadi. Semoga pemantauan pada kali ini akan menghasilkan penemuan-penemuan yang boleh menguntungkan semua pihak dalam pelaksanaan program j-QAF di daerah Kota Setar. Syabas diucapkan pada PK j-QAF Kota Setar kerana berjaya mengadakan dua program serentak pada hari ini dan tidak lupa juga ribuan ucapan terima kasih diucapkan kepada Tuan Guru Besar, Tuan Haji Anuar yang sudi memberi segala kemudahan tempat dan prasarana untuk kedua-dua program yang sempat saya hadiri di SK Taman Uda pada hari ini.

Sunday, June 21, 2009

Mukhayyam Bahasa Arab Peringkat Daerah Langkawi Tahun 2009

20Jun - Aktiviti kokurikulum j-QAF pada minggu ini diserikan dengan Mukhayyam Bahasa Arab Sekolah-Sekolah Kebangsaan Daerah Langkawi. Aktiviti ini telah pun bermula sejak 8.00 pagi 18 Jun dan berakhir dengan majlis penutupan rasmi dan acara penyampaian sijil dan hadiah kepada para peserta dan jawatankuasa pelaksana oleh Penolong Pengarah Kanan Kurikulum Teras (M) Tuan Haji Mohd Rushdan bin Azizan pada pagi ini.

Lokasi perkhemahan Bahasa Arab Sekolah Kebangsaan Daerah Langkawi pada kali ini ialah di tapak perkhemahan LISRAM (Langkawi International Shooting Range of Malaysia) yang dikelilingi oleh hutan rimba dan bukit bukau dan sunyi sekali. 100 orang pelajar terdiri dari 50 lelaki dan 50 perempuan dari sekolah-sekolah program j-QAF kohort 2005 dan 2006 telah menyertai perkhemahan ini. Terima kasih dan tahniah diucapkan kepada PK j-QAF Langkawi serta semua JU dan Guru-Guru serta ahli jawatankuasa pelaksana perkhemahan pada kali ini. Semoga penat lelah anda mendapat keberkatan Ilahi berpanjangan.

Majlis Bacaan Yaasin, Tahlil dan Forum Perdana Ehwal Islam Sempena Hari Guru Peringkat Negeri Kedah 2009

18Jun- Majlis Bacaan Yaasin, Tahlil dan Forum Perdana Hal Ehwal Islam Sempena Sambutan hari Guru Peringkat Negeri Kedah 2009 telah diadakan di Masjid Al-Irshad, Pekan Serdang, Kedah. Majlis dimulakan dengan bacaan Yaasin dan Tahlil selepas solat Isyak dan diikuti dengan Forum Perdana di perkarangan masjid selepas solat Isyak.

Para jemputan telah tiba seawal jam 6.00 petang untuk jamuan makan malam. Turut menyerikan majlis pada mala ini ilah Tuan Pengarah dan Tuan Timbalan Pengarah Jabatan Peljaran Negeri Kedah, Ketua-Ketua Sektor, Pegawai-Pegawai Pelajaran Daerah, Pegawai-Pegawai JPN Kedah dan PPD seluruh Kedah.

Ceramah yang dimulakan pada jam 10.00 malam telah dipengerusikan oleh Al-Fadhil Ustaz Mohd Shauqi bin Ismail dari Sektor Pendidikan Islam, JPN Kedah. Penceramah jemputan yang mengupas tajuk forum "Tampamu Guru, Siapalah Saya" ialah Yang Berbahagia Tuan Syeikh Abdullah bin Awang Sa dari Majlis Agama Islam Kedah dan Yang Berbahagia Ustaz Roslan bin Che Ros dari MAIPP.

Wednesday, June 17, 2009

Majlis Ihtifal SMKA Dan SABK Peringkat Negeri Kedah 2009

17Jun-Majlis Ihtifal SMKA dan SABK Peringkat Negeri Kedah 2009 bermula pada pagi ini di SMKA Baling. Pertandingan-pertandingan telah bermula seawal jam 8.45 pagi dilokasi yang telah ditetapkan dan dijangkakan semua pertandingan akan berakhir pada jam 11.45 pagi. Antara acara pertandingan yang dipertandingkan ialah;

Bidang Al-Quran meliputi acara تحفيظ الــــقراأن , قــــراة الســــــبعة dan Kuiz Al-Qur'an.
Bidang Bahasa Arab pula melibatkan pertandingan seperti كلمة الصــباح, حـــوار dan Kuiz Bahasa Arab.
Majlis penutupan rasmi dan acara penyampaian hadiah kepada para peserta dijangkakan akan berlangsung pada jam 12.30 tengahari disempurnakan oleh Tuan Haji Abdullah bin Saad,Timbalan Pengarah, Jabatan Pelajaran Negeri Kedah di Dewan Besar, SMKA Baling.

Mesyuarat Penyelarasan Kehakiman Ihtifal SMKA Dan SABK Peringkat Negeri Kedah Darul Aman Tahun 2009e

16 Jun- Mesyuarat telah diadakan di SMK Batu Lima, Jalan Jeniang pada jam 2.00 petang. Penyelaras majlis Ihtifal, Ustaz Khairul Anwar bin Haji Mohd. Ali telah menyampaikan taklimat pada majlis tersebut berkaitan dengan peraturan dan perjalanan majlis yang akan berlangsung esok hari di SMKA Baling.
Turut hadir dalam mesyuarat tersebut ialan Ketua Penolong Pengarah, Sektor Pendidikan Islam, JPN Kedah Tuan Haji Mohd Fazial bin Haji Ahmad. Dalam ucapan alu-aluannya beliau amat berharap aktiviti kokurikulum seumpama ini dapat digerakka bagi membantu dan menarik minat pelajar ke arah memperkukuhkan kefahaman akademik para pelajar di bilik darjah.
Turut hadir dalam mesyuarat pada petang ini ialah pegawai-pegawai dari PPD dan JPN yang telah dilantik menjadi penyelaras pertandingan pada esok hari turut terlibat dalam perbincangan jawatankuasa kehakiman masing-masing. Semoga majlis Ihtifal SMKA dan SABK akan berjalan dengan jayanya.

Wednesday, June 10, 2009

Mesyuarat Penyelarasan KPLI Mode Sepenuh Masa dan KPLI j-QAF LPBS Ambilan Khas Jun 2009

8 Jun- Mesyuarat tersebut bermula pada 8 Jun di Grand Continental Hotel, Kuala Lumpur bertujuan melaksanakan satu penyelarasan untuk menentukan pemilihan calon-calon GDL KPLI dalam subjek tertentu untuk diisi dalam tempoh waktu terdekat bagi memenuhi keperluan guru di SMK dan SK seluruh negara. Keperluan ini juga melibatkan pengambilan khas terhadap GDL bagi kursus KPLI LPBS - SR Program j-QAF seluruh negara.


Mesyuarat yang dijangka dihadir oleh 56 pegawai terdiri daripada Penolong-Penolong Pengarah j-QAF JPN seluruh negara, Pensyarah-Pensyarah IPGM seluruh negara, pegawai BPI dan Pegawai-Pegawai serta staf dari BPG, KPM. Penyelaras Mesyuarat, Tuan Haji Anuar bin Abdul Moin dari BPG dalam taklimat awalnay berharap ambilan khas Jun 2009 ini akan dapat mengurangkan keperluan mendesak bekalan guru dalam subjek-subjek yang diunjurkan pada kali ini. Dalam ucapan aluan Tuan Timbalan Pengarah BPG, KPM En. Abdul Halim bin Abdul Razak juga berharap ambilan kali ini akan dapat mengisi keperluan yang mendesak di sekolah-sekolah di pendalaman seperti Sabah dan Sarawak serta pendalaman di Semenanjung. Mesyuarat ini dijangka akan berakhir pada 2.00 petang 11.6.2009.

Monday, June 8, 2009

Perjumpaan Dan Dialog Bersama GDL 2008 dan 2009 di IPGM Kampus Darulaman

7 Mei- Hari ini saya sempat mengambil cuti untuk menyelesaikan beberapa perkara berhubung dengan pengurusan data terkini dan menyiapkan sampel-sampel soal selidik yang akan digunakan untuk mendapatkan dapatan tentang kekuatan dan kekurangan yang ada dalam pelaksanaan program j-QAF. Sampel ini akan digunakan untuk mendapatkan pandangan beberapa pihak untuk dinilai bagi penyediaan bahan yang boleh menyokong cadangan untuk meneruskan pelaksanaan program j-QAF di sekolah menengah pada 2011 nanti.

Pada sebelah malam, saya berkesempatan hadir ke satu majlis yang dianjurkan oleh Jabatan Pengajian Islam (JAPIM) IPGM Kampus Darulaman kepada semua GDL 2008 dan 2009 yang berkursus di sana. Majlis bermula jam 8.15 malam dipengerusikan oleh Ustaz Hafidz Salleh, Pegawai yang menguruskan hal ehwal pelajar IPGM Darualaman. Memulakan ucapan aluan oleh Ustaz Mohd Zaki Hashim, Ketua Jabatan Pengajian Islam, IPGM Kampus Darulaman yang menyentuh soal sikap dan dan persediaan diri sebagai guru yang sempurna sesuai dengan zaman kini. Banyak nasihat dan harapan yang dilontarkan untuk dirnung dan dihayati.


Diikuti dengan ucapan saya menyentuh tentang persiapan diri sebagai bakal Guru Terlatih, setiap peserta kursus hendaklah sentiasa bersiap siaga untuk menjalankan tugas pada kadar paling sempurna dalam p&p bagi menjayakan pelaksanaan program j-QAF dan menyampaikan ilmu yang menjadi hak murid kepada sasaran di sekolah. Memberanikan diri meninggalkan sikap acuh tidak acuh tentang tugas dan menunaikan amanah yang dijunjung sebagai ustaz dan ustazah yang menjadi tempat bergantung harapan ibubapa adalah satu beban tanggungjawab yang mesti dipikul untuk menjamin masa depan murid Islam yang cemerlang dunia akhirat.

Untuk itu berpandulah kepada paduan dasar pelaksanaan yang telah ditetapkan dan tidak malu dan segan untuk bertanya dan meningkatkan persembahan p&p adalah ciri guru yang ditagih.
Selain daripada itu, GDL 2008 dan 2009 juga diperingatkan tentang rekod data e-Pelaporan enam bulan pertama 2009 yang perlu diserahkan kepada panitia sekolah untuk disiapkan dalam e-Pelaporan di peringkat e-PPD selepas cuti pertengahan tahun berakhir pada minggu hadapan.


Kesungguhan yang ditunjukkan oleh GDL 2008 dan 2009 dalam sesi dialog untuk memahami dan mengaplikasikan p&p seperti kaedah BIG dan contoh p&p terbaik juga telah membuktikan bahawa tahap perbincangan mereka semakin terarah kepada peningkatan pemahaman dalam kaedah p&p dan tidak lagi tertumpu pada masalah pertembungan sikap, penempatan dan soal-soal peribadi. Semoga GDL 2008 dan 2009 yang kini berkursus di IPGM Kampus Darulaman semakin mantop dalam kaedah pelaksanaan program j-QAF.