Saturday, February 28, 2009

Mesyuarat Penyelarasan Anggaran Belanja Mengurus (ABM) 2010 dan 2011 Sektor Pengurusan Sekolah, JPN Kedah 26-28 Februari 2009

Emperald Puteri Hotel, 23-26 Feb.- Mesyuarat ini bermula sejak 26 Feb dan akan berakhir pada jam 2.00 petang 28 Feb. Mesyuarat ini dianjurkan oleh Unit Pengurusan Sekolah, JPN Kedah dan disertai oleh semua penolong PPD dan wakil unit ICT PPD Negeri Kedah dan JPN Kedah. Perkara utama untuk diselesaikan di sepanjang mesyuarat ini ialah urusan penyediaan ABM guru, murid,kelas,dan segala keperluan pengurusan sekolah bagi tahun pelaksanaan 2010 dan 2011 nanti. Penelitian terhadap keperluan sekolah amat dititikberatkan dalam meyiapkan ABM ini.suasana di bilik mesyuarat, masing-masing sedang tekun

Disinilah saya melihat kehebatan pegawai-pegawai unit data dan maklumat menjalankan tanggungjawab yang telah diamanahkan dengan begitu teliti dan bersungguh sekali. Pendek kata semuanya mesti lengkap dan beres. Jika ada persoalan , mesti diberi jawapan yang paling tepat dan munasabah. Tidak ada perkataan ' saya tak tahu'.

begitu serius sekali

Pada pagi ini 27hb Februari kami dikejutkan dengan berita kepulangan kerahmatullah ibu kepada Ketua Penolong Pengarah, Unit Penyeliaan Sekolah Menengah, Encik Sofaruddin bin Hj.Ismail di Semeling. Kami sempat menziarahi jenazah almarhum dan disembahyangkan pada jam 6.00 petang. Al-Fatihah !, semoga arwah ibu kepada Encik Sofaruddin ditempatkan dikalangan hamba-hambaNYA yang dikasihi dan dirahmati Allah SWT di kalangan orang-orang yang solehah.suasana majlis penutup pada jam 1.30 tgh

Saya juga tidak lupa mengucapkan berbanyak terima kasih kepada semua pegawai Khas j-QAF dan Pegawai Khas Pendidikan Islam K.Pasu dan Penyelia Pendidikan Islam Baling/Sik yang mana masing-masing telah bertungkus lumus membantu saya menyiapkan unjuran kelas dan guru j-QAF keperluan sekolah 2010 dan 2011 bagi daerah masing-masing. Kehebatan tuan-tuan amat dikagumi dan syukuri. Walaupun baru sahaja sudah mesyuarat, tuan-tuan masih gagah untuk menyiapkan data tersebut untuk digunakan dalam penyediaan di mesyuarat tersebut. Semoga tuan-tuan dikurniakan kesihatan berpanjangan dan dimurahkan rezeki Ilahi sepanjang masa. Aaamin.! Kita berjumpa semula di PKGAH untuk urusan seterusnya pada 2.00petang ahad 1/3/2009.

Thursday, February 26, 2009

Mesyuarat Pengurusan SPI dan UPI Kali 1/2009

SP Inn, Sg. Petani 26 Feb.- Mesyuarat bermula jam 8.30 pagi dipengerusikan oleh Tuan Ketua Sektor Pendidikan Islam, Puan Hajjah Zainab bin Md Saman. 27 ahli mesyuarat telah hadir dan melibatkan diri dalam perbincangan bagi membuat keputusan untuk kepentingan pengurusan Pendidikan Islam di negeri Kedah. Mesyuarat di sulami dengan majlis meraikan dua rakan SPI yang telah bertukar , iaitu Tuan Haji Abdul Malek dari PPD Padang Terap dan Ustaz Rifa'ie dari PPD Baling / Sik .

Semua Penolong Pengarah Kanan Pengurusan Pendidikan Islam telah membentangkan laporan dan perancangan aktiviti pada tahun ini. Laporan pelaksanaan dan perancangan aktiviti j-QAF juga telah dibentangkan dan beberapa persoalan telah dikemukakan dalam mesyuarat tersebut, antaranya penempatan baru GDL j-QAF ambilan 2009 dan pemantauan yang akan dilakukan oleh Tuan Timbalan Pengarah Pengurusan Pendidikan Islam BPI, KPM serta rombongannya. Pemantauan ini akan dilaksanakan dalam bulan April atau Mei akan datang ke semua daerah di negeri Kedah bagi beberapa sekolah yang sudah terpilih. Diharap semua guruPendidikan Islam Program j-QAF bersedia dan melengkapkan keperluan yang sepatutnya sebelum kedatangan mereka nanti. Selain daripada itu banyak lagi agenda dan isu yang telah diperbincangkan yang tak dapat saya nyatakan di sini. Mesyuarat pada kali ini berakhir jam 6.00 petang.

Setelah tamat mesyuarat saya dan Ustaz Nazri Hamid bergegas pula ke EmperaldPuteri Hotel untuk menghadiri Mesyuarat Penyediaan Anggaran Belanjawan Mengurus Tahun 2010 dan 2011 anjuran JPN Kedah yang bermula sejak jam 2.00 petang ini di hotel tersebut. Mesyuarat akan berjalan selama 3 hari, Khamis hingga Sabtu (26-28 Februari 2009). Maka berakhirlah cuti saya bersama keluarga pada minggu ini. Apa boleh buat,... saya yang menurut perintah. Selamat bertugas.

Wednesday, February 25, 2009

Dialog Bersama Tuan Timbalan Pengarah BPI dan Pegawai Bahasa Arab BPI

KLIH ;25 Feb- Di sebelah pagi semua pegawai melibatkan diri dalam satu mesyuarat ringkas untuk membincangkan isu-isu semasa program j-QAF di seluruh negara. Jam 9.00 pagi mesyuarat disusuli dengan majlis dialog bersama Tuan Timbalan Pengarah Pengurusan Pendidikan Islam, BPI, Ustaz Haji Muhammad bin Haji Taib yang diserta juga oleh Ustaz Hasanuddin dan Ustaz Mohd Saudi Abdullah. Majlis dipengerusikan oleh Ustaz Nahwiyuddin, dari BPI .Pebincangan menyentuh tentang operasi pemantauan program j-QAF di seluruh negara dan isu-isu berkaitan kurikulum dan sukatan bahasa Arab.

Tidak ketinggalan juga majlis menyentuh isu bahasa Arab 5 waktu yang dilaksanakan di 252 buah sekolah program j-QAF di seluruh negara bagi kohort 2009 sahaja. Perbincangan juga disertai oleh Pegawai Bahasa Arab, BPI Ustaz Mohd Saudi bin Abdullah yang menekankan aspek pemantauan keseluruh negara untuk mengumpul maklumat pelaksanaan dan mengenalpasti masalah perjalanan Bahasa Arab 5 waktu terkini dan unjuran pelaksanaan pada tahun hadapan dan seterusnya sehingga tahun 2013. Semoga Bahasa Arab Program j-QAF semakin mantop dan berjalan dengan licin seperti yang dirancangkan.

Taklimat dan Berdialog Bersama Tuan Pengarah BPI Ustaz Haji Abdul Rashid bin Ngah

KL International Hotel 24 Feb.- Pada sebelah pagi kami masing-masing sebok menyiapkan data murid , kelas dan guru mengikut opsyen untuk disatukan di peringkat kebangsaan. Di sebelah petang pula kami berbincang dengan Ustaz Hasanuddin dari BPI untuk membuat unjuran B.Arab lima waktu sehingga tahun 2013. Perbincangan juga menyentuh isu penyediaan laporan beliau untuk dibentangkan berkaitan dengan cadangan pengambilan lulusan SPM sebagai calon LPBS j-QAF di seluruh negara pada tahun hadapan.



Sebelah malam satu majlis rasmi, Taklimat Tuan Pengarah BPI, Tuan Haji Abdul Rashid bin Ngah menyentuh pelbagai aspek kepentingan dalam tugas dan harapan yang tinggi terhadap program j-QAF yang telah menjadi program besar, harapan pemerintah dan rakyat.Selain daripada itu beliau juga menyentuh perkara-perkara yang berkaitan dengan tanggungjawab sebagai pegawai dan guru kepada diri, keluarga, masyarakat dan program j-QAF. Harapannya supaya kita dapat menjaga kebajikan semua pihak dalam bertugas, menjaga hubungan baik dengan pelanggan masing-masing.

Kehadiran beliau diiringi Tuan Timbalan Pengarah Pengurusan Pendidikan Islam,BPI Ustaz Muhammad bin Haji Taib dan Ustaz Hassanuddin dari unit j-QAF di BPI. Majlis taklimat disusuli dengan dialog antara pegawai j-QAF negeri dan BPI menyentuh pelbagai aspek pelaksanaan, kebajikan guru, pelaksanaan program j-QAF, perjawatan dan isu-isu Bahasa Arab 5 waktu dan banyak lagi isu-isu yg saya tak dapat catatkan di sini. Semoga j-QAF bertambah mantap.


Tuesday, February 24, 2009

MESYUARAT PENGUMPULAN DATA MURID,GURU & MAKLUMAT PROGRAM j-QAF KPM 23 - 25 FEBRUARI 2009

KL International Hotel 24 Februari - Mesyuarat telah bermula jam 8.30 malam 23/2/2009 dipengerusikan oleh Ustaz Nahwiuddin dari BPI. Semua pegawai negeri hadir dan bertaaruf dengan pegawai yang baru. Sekilas pandang mesyuarat berjalan dalam suasana agak tertekan di kalangan pegawai-pegawai baru. Ini kerana pengalaman 2 bulan menguruskan data negeri menuntut komitmen yang tinggi untuk pegawai-pegawai baru menyiapkan data seiring dengan pegawai-pegawai yang dah experiance dan sudah lali dan masak dengan pengurusan data, guru, murid, kelas ,opsyen dan status guru j-QAF seluruh negeri dan negara. Bagi negeri yang bilangan sekolahnya kecil, seperti Putrajaya, Perlis, Melaka dan Labuan, tugasan mereka bagaikan lumba formula one. Tapi bagi negeri yang ramai guru dan sekolah ditambah dengan pegawai yang baru memegang jawatan di JPN ibarat seperti trelar membawa besi dan mendaki gunung di Lebuhraya.

depa duk tengah pulun semak data negeri masing-masing, sampai
ada yang tak tidoq dan tak makan...hebat!!!


Begitu adat dan realiti hidup, bebanan dan tugas menjadikan mereka sanggup mengenepikan keselesaan dan bantal empuk dihotel demi untuk sama berlari dengan rakan yang senior. Apa pun dalam hidup kita, kita tidak akan terlepas dari ujian dan cabaran , yang penting semangat dan kesungguhan serta sangup menghadapi cabaran adalah kunci pencapaian dalam bertugas. Saya dikhabarkan , ada pegawai sehingga ke saat saya menulis masih belum tidur sejak kelmarin semata-mata untuk menyiapkan tugas yang diberikan dan episod baru dalam kerjaya mereka. Ibarat kata tak kenal maka tak cinta. Tapi bab tugas , bila kena baru tahu...tak semudah yang dicakapkan....Yang dikejar hasilnya , cara ... sendiri ikhtiarkan. Apapun semua pegawai mesra dan sesekali berderau gelak ketawa, suasana ini mengurangkan tekanan dalam tugas.

Sunday, February 22, 2009

Mesyuarat Data GPI j-QAF dan Data Murid dan Kelas Peringkat Negeri Kedah dan Taklimat SK Program j-QAF Kohort 2005 Kota Star

SMK Alor Janggus, 22 Feb- Pada hari ini dua program berjalan serentak di SMK Alor Janggus, Alor Star. Mesyuarat Penyediaan Data GPI Program j-QAF Peringkat Negeri melibatkan kesemua pegawai dari PPD seluruh negeri. Kami berkampung di sini bermula jam 9.00 pagi hingga berakhir pada jam 5.00 petang. Kehadiran ke semua ahli mesyuarat melancarkan perjalanan agenda mesyuarat pada hari ini. Mesyuarat menumpukan kepada ;
i. Penyediaan data lengkap GPI j-QAF dari semua daerah
ii. Penyediaan data bil. murid dan kelas murid program j-QAF
iii. Penyediaan maklumat akaun sekolah program j-QAF untuk urusan pengagihan peruntukan
perbelanjaan KBS agihan pertama 2009
iv. Perancangan pemantauan bersepadu sekolah-sekolah program j-QAF negeri Kedah 2009
v. Fokus pemantauan SK Program j-QAF 2005
vi. Dapatan semasa rekod penguasaan Khatam Al-Quran SK program j-QAF 2005 dan beberapa
isu semasa program j-QAF Kedah

Saya merasa kagum dan terhutang budi kepada pegawai-pegawai yang hadir, walaupun sebahagian besar ahli mesyuarat baru sampai ke Kedah pada tengah malam tadi setelah tamat seminar Aqidah Ahli Sunnah Wal-Jama'ah (ASWAJA) di Hotel Pan Pasifik, KLIA selama 3 hari , dan dalam kepenatan memandu kenderaan pergi dan balik, namun semangat kerja yang ditunjukkan amatlah tinggi. Ustaz Yusuff dan Ustaz Mokhtar terpaksa membatalkan cuti rehat mereka pada hari ini semata-mata untuk memenuhi tuntutan dan tanggungjawab yang silih berganti.

Manakala tuan rumah, Ustaz Dziauddin pula sebok dan tidak kenal erti penat dan letih walaupun sepanjang malam beliau memandu kenderaan dari KLIA ke Alor Star, tetapi demi tugas yang telah diatur dan dirancang lebih awal kesemua kepayahan diletak ditepi. Saya berbagga dengan pegawai berjiwa kental seperti ini. Kendaliannya sebagai tuan rumah membanggakan dan lancar seperti yang dirancang. Di wajah mereka terbayang semangat waja hulubalang j-QAF Kedah walaupun kadang-kadang tergambar keletihan dan kepenatan tugas dan tanggungjawab yang berganda dan bersilih-ganti. Manakala Ustaz Jamaluddin Said dari KMY juga tidak kurang semangat wajanya , walaupun beliau juga baru balik dari seminar yang sama tetapi semangat juangnya untuk j-QAF tidak tergugat. Ketibaannya ke lokasi lebih awal dan siap sedia untuk bertugas. Terima kasih tak terhingga kepada tuan-tuan.Nampaknya semangat seminar Aqidah Ahl Sunnah wal Jama'ah yang mereka hadiri memberi suntikan baru pada mereka. Kita berharap selepas ini semangat itu akan menjalar ke seluruh pelusuk negeri. Insya ALLAH !

Proses penyediaan data lengkap ini memakan masa yang agak panjang dan rumit. Pengalaman pertama penyediaan data ini dikongsi bersama oleh Ustaz Yusuff bin Haji Abdullah Penyelia Pendidikan Islam PPD Baling Sik. Beliau agak tertekan dan merasa sesuatu yang baru dalam kerjayanya. Namun tidak kenal erti kalah menyebabkan tugasan beliau berjalan lancar.
Tahniah ustaz Yusuff dan mai kita pakat-pakat pulun untuk j-QAF dan anak didik kita.

Dalam kesebokan menyediakan data, tuan rumah Ustaz Dziauddin sempat lagi melayan peserta yang hadir dan mempengerusikan Taklimat Ketua Panitia dan Ketua guru j-QAF SK program j-QAF 2005 yang diadakan pada jam 2.30 petang di bilik bersebelahan.Kehebatanya menyelengarakan dua program serentak jarang dilakukan di daerah lain setakat ini. Kehadiran Penolong Pengarah Kurikulum Teras (R) Ustaz Musa Jayyid menyemarakkan lagi taklimat pada petang ini. Taklimatnya padat dan tersemat, ucapanya kemas dan mantop.Tahniah Tuan !
wakil SK Program j-QAF 2005 Kota Setar


Seramai 50 peserta wakil sekolah masing-masing telah hadir dalam taklimat tersebut. Ruang diaolog yang disediakan oleh tuan pengerusi menyemarakkan lagi taklimat dan perjumpaan pada petang ini. Banyak input telah disampaikan untuk tindakan para peserta di sekolah masing-masing. Semoga apa yang disampaikan dapat melancarkan lagi perjalanan program j-QAF di daerah Kota Star ke arah mencapai matlamat j-QAF Tanpa Gagal. Terima kasih di atas sumbangan semua.

Peserta SK Program j-QAF 2005 Daerah Kota Setar

Tidak lupa juga ucapan terima kasih kepada Tuan Pengetua SMK Alor Janggus, yang memberi kemudahan prasarana dan segala kelengkapan yang kondusif dan semua pihak yang terlibat menjayakan taklimat pada petang ini.

InsyaALLAH perjumpaan dan taklimat pada hari esoknya di PPD Baling dan lusa di Sik akan dihadiri oleh Penolong Pengarah Kurikulum Teras (R) dan Penolong Pengarah Bahasa Arab Ustaz Khairulanwar. Saya tidak dapat hadir kerana terpaksa menghadiri mesyuarat data peringkat kebangsaan di Kuala Lumpur. Selamat maju jaya. j-QAF Tanpa Gagal

Thursday, February 19, 2009

Motivasi Murid

SPI, 19 Februari - Setiap dari kita biasanya terdorong dalam dua keadaan, iaitu dorongan dalaman dan dorongan luaran ;

1. Dorongan Dalaman
Kesediaan seseorang terdorong melakukan sesuatu tugas biasanya kerana tugas itu sendiri atau jenis pekerjaan itu sendiri yang menyebabkannya berasa seronok dan puas hati. Gambaran dorongan dalaman biasanya terungkap dalam kata-kata;
"Memang inilah kegemaran saya sejak dulu", "Saya memang suka melakukannya", "Saya puas dengan tugas ini" atau " saya seronok dengan kerja ini" dan seumpamanya.

2. Dorongan Luaran
Kesanggupan individu melakukan tugas kerana ada ganjaran-ganjaran luaran seperti wang,pangkat,hadiah,puji-pujian, gelaran dan macam-macam lagi. Kata-kata yang biasanya terungkap ; Nak cari makan", Nanti apa pula kata orang",Asal jangan kena marah sudah" atau "Jangan sampai kena tegur sudah la".

Sebagai guru kita sudah tentu kita berfikir bagaimana cara terbaik untuk mengubah tingkahlaku murid-murid di sekolah. Antara panduan yang boleh digunakan ialah;

1.Untuk mendorong murid supaya berusaha, jangan sebut dorongan luar. Sebagai contoh , jangan berkata seperti di bawah;

a. "Jika kamu dapat nombor satu, nanti cikgu belanja KFC"
b. "Jangan hampakan harapan bangsa dan negara"
c. "Ustaz bagi RM5.00 jika ada sesiapa yang boleh menjawab soalan ini"
d. "Jika kamu gagal' saya rotn 5 kali di betis"
e. "Handphone ini milik kamu jika sesiapa dapat markah 90 ke atas.

Cuba ubah kepada aspek dorongan yang boleh memberi kepuasan kepada diri mereka sendiri. Contoh ayat yang sesuai;
a. "Alangkah bertuahnya jika kamu menjadi pakar bedah, ke mana kamu pergi dihormati
orang dan mereka kagum dengan ilmu yang ada pada kamu"
b." Yang paling seronoknya apabila kamu menjadi ushawan, kamulah bos kepada diri kamu
sendiri".
c. " Belajar di universiti sungguh seronok, dimana kamu dapat belajar ilmu yang kamu suka.
d. "Alangkah bertuahnya kamu bila kamu nanti berjaya menjadi Pengarah sebuah Syarikat
terkenal."


bersambung.................

Wednesday, February 18, 2009

Pemantauan P&P Khatam Al-Quran SK Guar Lobak Dan Taklimat Ketua Panitia Pendidikan Islam serta SK j-QAF 2005 Di PKG Sg. Ular.

Kulim Bandar Baharu, 18Februari - Pagi tadi jam 8.30 pagi saya bersama Pegawai Khas j-QAF PPD Kulim Bandar Baharu Tn Hj. Mokhtar bin Mahmud melaksanakan pemantauan P&P Khatam Al-Quran di SK Guar Lobak, Padang Serai. Kunjungan kami disambut oleh Guru Besar Tn Hj Abu Bakar bin Shaari.

Bagi Ustaz Mokhtar, kunjungan ke SK Guar Lobak ini telah mengimbau kembali pengalamannya berada di sekolah ini sekitar hujung 80an semasa beliau bertugas sebagai Guru Pendidikan Islam. katanya suasana bangunan dan persekitaran hampir keseluruhannya telah berubah dan bilangan muridnya jelas semakin ramai, kerana murid-muridnya kini terpaksa rehat dalam 3 fasa. Menurut Tn. Hj. Abu Bakar, kemungkinan besar pada tahun hadapan sekolah ini terpaksa dilaksanakan sistem persekolahan dua sesi. Kini bilangan muridnya melebihi 1500 orang dan kelasnya berjumlah 38 kelas kesemuanya.Pen.Pengarah Bahasa Arab Ikut Serta Dalam P&P sebagai Murid Turus...

Di SK Guar Lobak, jumlah guru Pendidikan Islam seramai 18 orang kesemuanya, iaitu jumlah guru matapelajaran yang paling ramai. Pendek kata di mana-mana pun kini jumlah GPI didapati paling ramai di kalangan guru-guru matapelajaran lain. Sudah tentulah bilangan yang ramai ini melambangkan ada sesuatu yang perlu dilaksanakan dan difokuskan oleh KPM. Tak lain tak bukan tentulah Program j-QAF ke arah memantapkan pendidikan Islam yang difokuskan pencapaian pada tahun hadapan oleh seluruh masyarakat. Masanya semakin hampir dan tinggal tak berapa bulan lagi.

Dalam sesi perbincangan antara saya dengan barisan GPI SK Guar Lobak, banyak isu dan persoalan yang telah ditimbulkan oleh mereka untuk mendapat penjelasan lanjut. Alhamdulillah suasana perbincangan secara terbuka telah menghasilkan beberapa perkara yang perlu diambil tindakan segera oleh GPI bagi melicinkan lagi perjalanan program j-QAF di sekolah ini.Dalam proses P&P guru mesti memantau murid seperti ini,
bukannya melabuhkan punggung di kerisi guru.

Pada sebelah petang saya dan ustaz Musa Jayyid telah berkunjung ke PKG Sungai Ular untuk menghadiri Taklimat GPI j-QAF sekolah program j-QAF 2005 bersama Ketua Panitia Pendidikan Islam dari kategori sekolah yang sama. Tujuan taklimat ini ialah untuk menjelaskan kedudukan semasa program j-QAF di daerah Kulim Bandar Baharu. Di samping itu ia menekankan juga tindakan segara yang perlu dibuat oleh barisan GPI di sekolah masing-masing untuk memastikan pencapaian tanpa gagal program j-QAF. Pertemuan kami berakhir pada jam 5.15 petang. Terima kasih Tn Hj Mokhtar atas layanan tuan yang istimewa kepada kami berdua dan semua peserta yang telah hadir ke taklimat tersebut. InsyaALLAH jika diizinkan kita akan bertemu pada masa yang akan ditentukan kelak.

Pemanduan saya berakhir di rumah jam 7.40 malam. Walaupun letih dan lesu, tetapi hati saya puas kerana dapat melaksanakan tugas dan tanggungjawab seadanya.
Ahad depan kita bertandang ke daerah Kota Setar pula.

Tuesday, February 17, 2009

Kini Tiba Giliran Taklimat Kulim Bandar Baharu

Esok InsyaALLAH jika diizinkan ILAHI, saya dan Ustaz Musa akan berkunjung pula ke daerah KBB untuk kali ke dua. Pemantauan Pertama telah kami laksanakan di SK jalan Paya Besar pada minggu lepas. SK program j-QAF 2005 akan menjadi fokus Pemantauan kami pada awal pagi esok.
Perjalanan sejauh 120 km memerlukan langkah pertama yang awal untuk mencapai misi yang dihajatkan. Semoga diperkenankan ILAHI. Taklimat sesi petang akan di adakan di SK Sungai Ular. melibatkan Ketua Panitia Pendidikan Islam dan Ketua Guru j-QAF 2005.

Siri Pemantauan Dan Taklimat j-QAF Ke Kuala Muda/Yan

Sungai Petani, 17Februari - Setibanya saya di PPD KMY kurang lebih jam 7.40 pagi, saya menantikan Ustaz Jamaluddin yang sedang 'morning prayer' dan Ustaz Khairulanuar dari Kulim untuk bergerak kedestinasi seterusnya. Setelah sarapan pagi , kami berbincang dan membuat keputusan untuk membuat tinjauan ke SK j-QAF terdekat. Maka SK Ibrahim menjadi tumpuan kami. Lalu kami bergerak ke sana dan tiba jam 9.15 pagi. Kami di sambut penuh ceria oleh Tuan PK HEM kerana GB dan PK I ada urusan di luar.

Perbincangan antara kami dengan pihak pentadbir berjalan dalam suasana harmoni berkaitan perjalanan program j-QAF dan hasrat serta fokus kedatangan kami. Akhirnya pemantauan perjalanan p&p dilaksanakan dalam model Bahasa Arab dan Khatam Al-Quran 6 bulan pertama.

Setelah tamat sesi pemantauan yang ringkas , satu perbincangan antara kami dan GPI serta GPI j-QAF diadakan di bilik mesyuarat. Dalam perbincangan tersebut postmoterm dilakukan dan perbincangan berjalan dalan suasana yang rancak. Permasalahan jadual, model p&p dan persediaan mengajar yang dipantau dibincangkan dalam pertemuan tersebut. Akhirnya yang samar dicerahkan dan yang kusut terungkai lerai. Terima kasih Puan Khatijah Be dan Cikgu Fadhil bin Puteh.Alhamdulillah !


postmorterm pemantauan di SK Ibrahim, Ustaz Hj. Jamaluddin khusyuk
mendengar masalah yang ditimbulkan oleh guru.




Setelah tamat pemantauan di SK Ibrahim, kami menuju ke SK Sungai Pasir. Suasana sekolah dua sesi kelihatan agak riuh rendah kerana ketibaan kami ketika berlaku pertembungan sesi pagi tamat dan sesi petang baru bermula. Di samping itu para guru pula sedang sibuk dan berurusan ke sana sini setelah selesainya sesi sukantara sekolah ini pada pagi tadi.
Namun demikian, kehebatan pentadbir yang berpengalaman sedikitpun tidak menampakkan rasa kurang senang dengan kehadiran kami secara tiba-tiba itu, malah mereka merasakan satu peluang yang ditunggu selama ini untuk berjumpa dan berbincang tentang pengurusan jadual dan model p&p sebenar dalam program j-QAF ini. Ibarat pucuk dicita ulam mendatang.



perjalanan kelas tasmik di surau SK Sg. Pasir, Sg. Petani.

Perbincangan berjalan dalam situasi yang harmoni dan profesional. Masa yang agak singkat diambil oleh kami untuk memantau perjalanan kelas tasmik di surau. Dalam perjumpaan selepas pemantauan ringkas itu, pelbagai soalan telah dilontarkan kepada kami tentang pengurusan j-QAF. Pelbagai input telah disampaikan dan pihak pentadbir dan barisan GPI dan GPI j-QAF cukup berpuashati dengan penjelasan yang diberikan. Masa berjalan pantas, kami terpaksa berundur pada jam 2.10 petang kerana ada perjumpaan dan Taklimat Kepada Ketua Pinitia Pendidikan Islam dan Ketua Guru j-QAF 2005 di SK Bakar Arang pada jam 2.30 petang.

Ketibaan kami di SK Bakar Arang sedia dinantikan oleh kehadiran peserta yang dijemput. Taklimat pertama dibentangkan oleh Penolong Pengarah Bahasa Arab, Ustaz Kahairulanwar disusuli oleh Penolong Pengarah Kurikulum Teras (R) Ustaz Musa Jayyid. Taklimat menyentuh tentang pemantauan-pemantauan yang telah dibuat dan dapatan-dapatan yang boleh dikongsi bersama. Taklimat PPK j-QAF pula menyentuh situasi Model Khatam Al-Quran, Tasmik dan Rekod bacaan murid perlu dititikberatkan kesempurnaannya. Aktiviti j-QAF dan kegiatan Kokurikulum j-QAF dan teknik p&p juga diberikan penekanan.

Diakhir ucapan PPK j-QAF menyampaikan tugasan kepada wakil sekolah untuk menghantar rancangan aktiviti KBS 1-4 yang akan dilauksanakan pada 2009 ke email asomadwf@gmail.com selewat-lewatnya pada hari Isnin hadapan. Hanya email sahaja diterima , fax dan hardcopy dikecualikan. Taklimat kemudiannya disambung oleh Tuan Haji Pisol Penolong Pengarah Kanan Dakwah dan Kepimpinan yang tiba hampir jam 4 petang. Beliau menyarankan supaya semua wakil sekolah dapat membuat tindakan segera terhadap aktiviti syiar Islam di sekolah masing-masing .
Peserta taklimat khusyuk mendengar ucapan
Pen. Pengarah Kurikulum Teras Pendidikan Islam (R)


Akhirnya pertemuan kami berakhir pada jam 5.00 petang. Terima kasih Ustaz Jamalnasir, Tuan Haji Jamaluddin Said,Tuan Haji Shaari GB SK Tasik Apong dan Tuan Guru Besar SK Bakar Arang di atas sumbangan tuan-tuan menjayakan Taklimat Pengurusan JPN pada petang ini. Semoga Allah akan merahmati tuan-tuan sekelian. Aamiin !

Monday, February 16, 2009

Pemantauan Berfokus Seterusnya di KMY .

Esok satu lagi siri pemantauan berfoku seterusnya akan dilaksanakan di SK j-QAF kohort 2005. Daerah yang akan dilawati ialah Kuala Muda / Yan. Sekolah mana ? belum ditetapkan lagi. 7.15 pagi esok kami akan menetapkannya, iaitu ketika kami mula bergerak masuk ke lebuhraya.

Semua dapatan yang akan diperolehi dari pemantauan tersebut akan direfleksi bersama dan dibuat postmoterm pada sebelah petang, iaitu ketika perjumpaan dengan semua guru j-QAF dan Ketua Panitia Pendidikan Islam KMY yang akan diadakan di SK Bakar Arang, jam 2.00 petang. InsyaALLAH !

Perjumpaan Dengan Ketua Guru j-QAF Kohort 2005 dan Ketua Panitia Pendidikan Islam SR /PTP

Kuala Nerang,Isnin, 16 FEB - Petang ini , insyaALLAH satu lagi perjumpaan dan taklimat kurikulum SR dan pengurusan j-QAF akan diadakan di SK Panglima Awang, Kuala Nerang. Saya bercadang untuk hadir bersama dengan Ust Musa Jayyid sahaja kerana Ust Khairulanwar bercuti. Ada urusan penting sangat-sangat katanya. Yang saya boleh ucapkan kepadanya ialah tahniah dan selamat kembali ke Gerigeh !

Fokus taklimat pada petang ini akan menumpukan kepada mendapatkan menyampaikan fokus j-QAF pada 2009 dan membuat refleksi berkaitan dengan kaedah p&p model Khatam Al-Quran dan hubungannya dengan pencapaian semasa murid j-QAF tahun lima. Sehubungan itu juga beberapa perkara akan disentuh seperti;

i. Penubuhan dan aktiviti Persatuan Bahasa Arab, Kelab Tulisan Jawi dan Khat
ii. Pencapaian Iqra' pelajar yang lambat ikut sukatan dan langkah-langkah mengatasinya
iii. Tasmik dan keterlibatan GPI
iv. Masalah Khatam Al-Quran di sekolah serta kekangannya
v. Catatan rekod bacaan murid .

semoga program pada petang ini akan berjalan dengan lancar dan mendatangkan impak yang besar untuk semua GPI dan GPI j-QAF daerah PTP.

siap menanti....demi masa!



Tepat jam 2.30 petang kami sampai ke bilik mesyuarat SK Panglima Awang. Inilah kali pertama saya menjejakkan kaki ke sini. Kami disambut oleh tuan rumah, Ust. Shahabudin kerana Ust. Nadzhari Mahmud Pegawai Khas j-QAF ada urusan penting di Pendang. Yang pasti bagi saya sekolah ini memang hebat, ceria dan kondusif sekali.Betullah seperti yang diceritakan selama ini.
Satu sikap yang membanggakan kami ialah tentang ketepatan masa yang diurus oleh peserta begitu membanggakan kami, tidak ada yang hadir selepas kami tiba di bilik pertemuan tersebut. Kehadiran lengkap dan kesungguhan yang dipamerkan peserta amat memuaskan hati kami. Kalau beginilah sikap semua warga GPI seluruh Kedah, kita memang hebat.
ketekunan mengambil maklumat penting untuk disampaikan
kepada rakan sejawat di sekolah masing-masing

Setelah selesai taklimat yang diberikan oleh Ustaz Musa Jayyid, Penolong Pengarah Kurikulum Teras (R), tiba giliran saya pula. Selang beberapa minit Ustaz Pisol, Penolong Pengarah Kanan Dakwah dan Kepimpinan dan Ustaz Ahmadi Putra, Penyelia Kawalan Akidah JPN pula tiba untuk menyampaikan amanat dan taklimat. Kami menamatkan pertemuan kali pertama 2009 ini pada jam 5.15 petang.
Tuan Haji Shabudin menjadi pengerusi taklimat,
sambil-sambil tu diselitkan dengan pesanan dan ingatan...


Taklimat yang mantap oleh Ustaz Musa Jayyid
memberi impak yang besar kepada peserta.



Masing-masing peserta yang menjadi wakil sekolah membawa amanat dan tugasan yang perlu disampaikan dan dilaksanakan di peringkat akar umbi. Terima kasih kepada tuan Guru Besar SK Panglima Awang, Unit Pendidikan Islam, PPD Padang Terap dan semua peserta yang hadir. Selamat meneruskan misi j-QAF yang difokuskan sasarannya pada 2009.

Sunday, February 15, 2009

Taklimat Bahasa Arab Lima Waktu dan Penempatan Ambilan Ke 2 KPLI LPBS j-QAF

SMKAY-SMKAK;15 Feb- Sayang sekali pada hari ini saya tidak berkesempatan untuk menyertai Taklimat Bahasa Arab 5 waktu kepada GB sekolah-sekolah program j-QAF 2009 yang bermula jam 9.00 pagi dan berakhir hampir jam 12.00 tengahari.Ketirisan kali ini berlaku pada saya kerana terpaksa menguruskan perpindahan anak sulung kesayangan saya dari SMKAY ke SMKAK setelah ia merayu pada saya hampir sebulan lebih. Akhirnya abah yg serius dan tegas serta jarang beri peluang ini terpaksa mengalah pada kemahuan anak remajanya. Alasan ? beribu alasan. Anakku ...

Pelaksanaan jadual baru ini merupakan arahan KPPM lanjutan daripada keputusan yang diambil dalam mesyuarat yang dilaksanakan di KPM pada 28 Disember yang lalu. Ia hanya dilaksanakan kepada sekolah satu sesi program j-QAF kohort 2009. Semoga anak-anak murid j-QAF baru, guru opsyen Bahasa Arab yang baru, pentadbir yang baru terdedah pada program j-QAF 2009 dan persekitaran yang baru akan dapat melancar penerimaan dan perjalanan Bahasa Arab 5 waktu ini dengan baik dan memberi impak yang membanggakan kita semua.

Saya mendapat laporan,tentang kehebatan dan kesungguhan yang ditunjukkan oleh pegawai Bahasa Arab JPN, iaitu Penolong Pengarah Bahasa Arab dan para Pegawai Khas j-QAF seluruh PPD dalam memberi input dan sumbang-saran sepanjang soal-jawab selepas taklimat, amat membanggakan dan menjawab beberapa persoalan yang dikemukakan oleh para peserta taklimat tersebut. Antum semua memang hebat. Kita semua amat berharap dan berdoa semoga pemuafakatan seumpama ini akan semakin erat dan jitu pada masa-masa akan datang demi untuk memantapkan Pendidikan Islam di negara kita. Terima kasih.

Pada sebelah petang saya melayani beberapa orang lagi dari pelanggan yang masih lagi berurusan tentang urusan penempatan GDL ambilan ke 2 yang hampir sampai ke penghujungnya pada hari ini. Kebanyakan dari mereka bernasib baik kerana ditempatkan di sekolah-sekolah yang tidak jauh sangat pun dengan tempat tinggal mereka. Semuanya ini adalah rezeki Allah kepada mereka yang sudah tersurat. Walaubagaimanapun saya amat berharap semua GDL 2009 akan dapat memberi khidmat terbaik dan berperanan seperti sepatutnya. Cari ilmu, rajin bertanya, sentiasa ingin majukan diri, anak murid dan masa depan Islam pada anak didik.
Gunakan kaedah dan pendekatan-pendekatan yang sepatutnya dilakukan dalam p&p , terutama kaedah BIG yang betul dan berfungsi, kaedah kalaboratif yang berkesan dan teknik kooperatif yang boleh membangkitkan minat murid untuk belajar dan terus belajar. Bukannya kaedah tulis dan cakap sahaja. Ketepikan soal karenah murid, masalah-masalah yang boleh membantutkan sumbanagan dan kerjabuat kita yang sepatutnya. Pimpinlah mereka seadanya. Tanggungjawab memulihkan murid yang lemah merupakan bidang kerja sebenar sebagai GPI j-QAF. Janganlah lupa untuk membuat analisis pencapaian murid dalam subjek yang diajar. InsyaALLAH anda tidak akan jemu-jemu untuk menabur bakti . Saya doakan GDL 2009 mantap di samping GPI dan GPI j-QAF yang sedia ada terus menjadi guru induk p&p di samping memberi bimbingan yang terbaik kepada mereka. Selamat bertugas. j-QAF tanpa gagal.

Saturday, February 14, 2009

REFLEKSI PERANAN, TUGAS & SIKAP GURU PENDIDIKAN ISLAM

Falsafah Pendidikan Negara
Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha berterusan ke arah
memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu
untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek,
rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada
Tuhan. Usaha ini adalah untuk melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu
pengetahuan, berketerampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab, dan
berkeupayaan mencapai kesejahteraan dari segi memberi sumbang terhadap
keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara.

Falsafah Pendidikan Islam
Pendidikan Islam adalah suatu usaha berterusan untuk menyampaikan
ilmu, kemahiran dan penghayatan Islam berdasarkan al-Qur'an dan al-
Sunnah bagi membentuk sikap, kemahiran, keperibadian dan pandangan
hidup sebagai hamba Allah yang mempunyai tanggungjawab untuk
membangunkan diri, masyarakat, alam sekitar dan negara ke arah
mencapai kebaikan di dunia dan kesejahteraan di akhirat

Pedagogi

Pedagogi adalah ilmu yang berkaitan dengan pengajaran dan
pembelajaran di bilik darjah, seperti pendekatan, kaedah, teknik dan
strategi pengajaran-pembelajaran, organisasi sekolah dan pengurusan
bilik darjah, kurikulum dan sukatan pelajaran, pengujian dan
penilaian, pemulihan dan pengayaan.

Peranan Guru Agama Terhadap Murid

1. Menyedari bahawa mereka bagai role model
2. Menanamkan perasaan cinta dan taat kepada Allah
3. Mendedahkan dan memahamkan murid kepada pelbagai bentuk ibadah wajib, kelebihan, ancaman, cara melaksanakan serta kaitan dengan kehidupan di dunia dan akhirat
4. Memotivasikan murid untuk melaksanakan amalan agama dalam
kehidupan seharian

Peranan Guru Agama Dalam Pengajaran & Pembelajaran (P & P)

1. Guru bukan sekadar pengajar tetapi dia juga pendidik

2. Guru perlu menguasai dasar pendidikan dan cara-cara
mengajar yang berkesan

3. Mementingkan konsep di dalam pengajaran

4. Sentiasa mengunakan pendekatan motivasi

5. Mengusai pengurusan bilik darjah

Peranan Guru Menanamkan Kecintaan terhadap Agama

Wan Bakar Wan Dagang (1991)

1. Menanamkan asas agama yang kukuh

2. Menanam minit beragama dan sensitif kepadanya

3. Menggerak dan menaikkan emosi murid supaya cintakan
agama

4. Membasmi kejahilan beragama berasaskan pendidikan
Islam

5. Melahirkan Jailul Qur'an di kalangan murid

6. Meningkatkan cara hidup Islam dikalangan murid

7. Mewujudkan nafsu mutmainnah dikalangan murid

8. Mewujudkan ciri-ciri tamadun Islam di sekolah dan
luar sekolah

9. Membanteras kemungkaran dan kesesatan dikalangan
dengan cara yang baik

10. Membentuk iklim sekolah dengan nilai agama

Keterampilan yang perlu dimilikki oleh Guru Agama

1. Lebih berdidikasi

2. Cemerlang melaksanakan tugas

3. Membantu murid untuk menjadi seorang muslim yang
berakhlak, berilmu, beriman, beramal dan bertaqwa

4. Memahami falsafah, matlamat dan hasrat pendidikan
Islam

5. Meningkatkan ilmu yang sedia ada

6. Pendekatan pengajaran yang boleh menimbulkan minat
pelajar

7. Menguatkan ukhuwwah dan gerakan sesama guru
pendidikan Islam

8. Kepimpinan dan sahsiah yang mempunyai pemikiran yang
mantap, rasional, bijaksana dan matlamat yang jelas

9. Menjadi seorang murabbi, muaddib, dai'e dan qaid

Peranan Guru dalam Meningkatkan Mutu Pendidikan

Syed Lutfi (1994)

1. Guru adalah agen perubahan dalam mencapai matlamat
pendidikan

2. Guru berperanan sebagai pengajar, pendidik dalam
membentuk sikap, nilai dan akhlak

3. Sentiasa memikirkan cara-cara memperbaiki kualiti
pendidikan

4. Memperbanyakkan latihan, tunjuk ajar, kelas tambahan
dan sebagainya untuk memastikan murid dapat menguasai ilmu

5. Sentiasa melengkap dan mempertingkatkan ilmunya

6. Sentiasa inovatif dalam menyampaikan pengajarannya

7. Menampilkan karisma kepimpinannya

8. Bijak memberi pertimbangan kepada kepelbagaian sikap
murid

9. Bertindak sebagai pemberi galakan dan bimbingan

10. Malaksanakan amanah pendidikan dengan penuh
berkualiti

Tanggungjawab Guru Terhadap Ibu Bapa

1. Menghormati tanggungjawab utama ibu bapa terhadap anak- anak
mereka dan berusaha mewujudkan hubungan mesra dan kerjasama yang
erat anatara intitusi pendidikan dengan rumah tangga
2. Menganggap semua maklumat yang diberi oleh ibu bapa
tentang keadaan rumah tangga atau anak mereka sebagai sulit
dan tidak akan membocorkannya kepada sesiapa kecuali kepada
merka yang berhak mengetahuinya
3. Memberi maklumat kepada ibu bapa demi kepentingan anak- anak
mereka dan menggunakan maklumat yang diterima daripada ibu bapa
secara teliti dan bijaksana
4. Mengelakan diri daripada menggunakan atau dipengaruhi oleh
kedudukan sosial dan ekonomi ibu bapa murid
5. Mengelakkan diri daripada mengelurkan kata-kata atau
melakukan sesuatu yang boleh menjejaskan kepercayaan pelajar terhadap
ibu bapa atau penjaga mereka

Tanggungjawab Terhadap Masyarakat & Negara
1. Mengelakkan diri daripada menyebarkan sesuatu ajaran
yang boleh merosakkan kepentingan murid, masyarakat, negara ataupun
yang bertentangan dengan rukun negara

2. Memupuk dalam diri setiap murid sikap dan nilai yang
boleh membantu dan membimbing mereka untuk menjadi warganegara yang
taat setia, bertanggungjawab dan berguna serta menghormati adanya
perbezaan kebudayaan, keturunan dan agama

3. Menghormati masyarakat tempat beliau berkhidmat dan
memenuhi segala tanggungjawab sebagai seorang warga negara dan
sentiasa sanggup mengambil bahagian dalam sebarang kegiatan masyarakat

4. Menggalakkan kerjasama dan persefahaman di antara
guru dengan ibu bapa dan institusi pendidikan dengan masyarakat

5. Memberi sumbangan cergas untuk meninggikan kehidupan
moral, kebudayaan dan kecendikiawan masyarakat

6. Berpegang kepada tingkah laku sopan yang diterima
oleh masyarakat dan menjalani kehidupan seharian dengan baik

Tanggungjawab Terhadap Rakan Sejawat & Profesion Perguruan
1. Mengelakkan diri daripada membuat sebarang kenyataan
atau ulasan yang boleh mencemarkan nama baik seorang guru di hadapan
murid atau ibu bapa, atau berbuat sesuatu yang boleh menjatuhkan
maruah seorang guru
2. Tidak melibatkan diri dengan kegiatan yang boleh
menjejaskan kecekapannya sebagai guru
3. Berusaha bersungguh-sungguh dalam menunaikan
tanggungjawab dengan rajin dan mengekalkannya sejajar dengan kemajuan
ikhtisas dan sosial
4. Sentiasa bersedia membantu rakan sejawat terutamanya
mereka yang baru dalam profesion perguruan
5. Sentiasa mengawal diri supaya tidak mencemarkan nama
baik profesion perguruan
6. Menjadi ahli sesebuah pertubuhan guru


Sifat-Sifat Guru Pendidikan Islam

Abdul Halim Muhammadi (1991)
1. Sifat zuhud (mendidik kerana mencari keredhaan Allah
S.W.T)
2. Kebersihan diri luaran dan dalaman
3. Menjaga kehebatan dan kehormatan diri
4. Sebagai bapa atau ibu dalam menghadapi muridnya
5. Memahami tabiat muridnya

Sifat-Sifat Guru Pendidikan Islam

Abdullah Ishak (1989)
1. Memilikki ilmu dan kaedah pengajaran
2. Ketokohan dan kperibadian guru
3. Memberi ilmu kerana Allah
4. Kebijaksanaan dan kematangan
5. BErsifat kasih sayang
6. Perwatakkan guru

Sifat-Sifat Guru Pendidikan Islam

Abdullah Nasih Ulwan (1981)
1. Ikhlas
2. Bertaqwa
3. Berilmu pengetahuan
4. Pemaaf
5. Bertanggungjawab

Sifat-Sifat Guru yang Disukai Murid

Atan Long (1993)
1. Mempunyai emosi yang stabil dan mental yang sihat
2. Mempunyai badan yang sihat dan sahsiah yang dinamik
3. Mempunyai kecerdasan otak yang lebih tinggi dari
kebanyakkan orang
4. Mempunyai sifat yang kreatif, imiginasi dan ikhtiar
5. Mempunyai suara dan tingkah laku yang beradab
6. Bertata tertib, bertimbang rasa, mempunyai simpati
dan bijaksana dalam menghadapi masalah
7. Sabar
8. Jujur
9. Tegas
10. Menepati masa dan berkebolehan mengurus
11. Mempunyai sikap yang positif dan menggalakkan
12. Memberi bimbingan yang demokratik
13. Menjaga status ikhtisas perguruan

Sifat Guru Yang Tidak Baik
1. Garang, membebel, tidak pernah senyum, suka memerli
dan mudah hilang sabar
2. Tidak membantu kerja-kerja di sekolah, tidak
menerangkan pelajaran dan tugasan secara jelas serta bekerja tanpa
perancangan
3. Berat sebelah, pilih kasih dan menyukai pelajar
tertentu
4. Besar diri, sombong. Angkuh, susah menerima
pandangan dan tidak menyedari muridnya keluar kelas
5. Tiada pendirian, keras kepala, tidak bertimbang
rasa, terlalu tegas dan membuat huru hara
6. Tidak adil dalam peperiksaan dan pemberian markah
ujian dan peperiksaan
7. Tidak memberikan perhatian terhadap perasaan murid,
memalukan murid di hadapan teman sekelas dan memanjangkan masa
pembelajaran
8. Tidak berminat untuk mengenali murid dan latar
belakang mereka
9. Pemberian tugasan dan kerja rumah tanpa sewajarnya

Ust Samsuddin : Guru di awal gurulah di akhir

Thursday, February 12, 2009

Pemantauan P&P Khatam Al-Quran, P&P Ulum Syariyyah Dan Bahasa Arab, Sambutan Ma'al Hijrah 1430 Warga JPN Kedah dan Tugasan Rutin.

Kulim,12 Februari - Perancangan untuk memantau ke daerah Kulim dibuat dalam keadaan agak tertekan di mana keputusannya terpaksa dibincangkan berulangkali dengan Penolong Pengarah Bahasa Arab, Penolong Pengarah Kurikulum Teras SR , Pegawai Khas j-QAF Padang Terap Pendang dan Pegawai Khas j-QAF PPD Kulim Bandar Baharu. Keadaan ini berlaku kerana pada hari yang sama berlangsungnya Majlis Sambutan Ma'al Hijrah JPN Kedah 1430 Peringkat Negeri di SMK Keladi, Kulim bermula seawal 8.30 pagi lagi dan Majlis Penyampaian Hadiah Tokoh Ma'al Hijrah yang di sempurnakan oleh Tuan Pengarah Pelajaran Kedah pula berlangsung jam 10.45 pagi di Dewan Waja, SMK Keladi.

Kekangan masa dan tuntutan tugas menuntut saya membuat keputusan yang agak tertekan, maklum sahajalah, pukul berapa mahu bertolak, menyerok pagi tang mana, dan ka? majlis rasmi dan pakaian ganti perlu diambil kira dalam tugas yang berbeza ini. Akhirnya saya mengambil keputusan dan memaklumkan kepada rakan setugas melalui sms; "kita perlu pi, walaupun setengah jam kita membuat pemantauan, tapi bagi pelanggan kita di sekolah tentu impaknya cukup besar, kalau ada kesempatan hadir ke bumi Kulim kenapa perlu datang pada lain kali yang belum tentu menjadi kepastian".

Lalu seawal jam 6.25 pagi sesudah solat subuh saya menggolekkan tayar kenderaan melewati lebuhraya utara selatan bertolak ke Kulim dengan harapan, jika tiba awal pagi tentu impaknya semakin besar. Alhamdulillah, berkat pecutan dilebuhraya bersama Ust Musa dan Ustaz Nadzhari Pegawai Khas j-QAF PTP, kami tiba jam 8.15 pagi di dataran SK Jalan Paya Besar dan disambut dengan mesra dan cukup ceria oleh Penolong Kanan I SKJPB. Perbincangan awal yang singkat menjelaskan tujuan kunjungan kami, kami terus dibawa ke kelas dimana P&P program j-QAF berjalan serentak dalam tiga kelas yang berbeza.

Tentu kehadiran kami yang tiba-tiba itu telah memberikan satu kejutan kepada guru-guru yang terlibat dengan pemantauan kami pada hari ini. Tetapi bagi murid yang hadir ke sekolah untuk belajar tidak terusik dengan kahadiran kami secara tiba-tiba. Mereka tetap ceria seperti seadanya.

Hasil dari pemantauan kami di SKJPB cukup bermakna dan mencapai tujuan dan maksud yang diharapkan. Melalui pertemuan dengan guru program j-QAF banyak maklumat dan nasihat serta imput yang dapat disampaikan kepada mereka, maklumlah mereka pun sudah lama tidak menerima kunjungan seperti seadanya. Hanya masa, ketika dan pengalaman sahaja yang mampu menghasilkan segala yang kita harapkan.

Ustaz Fareed ketua guru j-QAF SKJPB ketika ditanya perasaannya menerima kunjungan kami dan juga tentang perjalanan program j-QAF; menjelaskan rasa terima kasih diatas kehadiran kami yang tak disangka-sangka itu.Beliau berjanji akan memberi komitmen berganda untuk mempertingkatkan lagi pengurusan dan perjalanan P&P di SKJPB serta mengadakan permuafakatan yang lebih mantap di masa hadapan demi untuk memantapkan Pendidikan Islam di negara kita.

Terima kasih daun keladi buat pentadbiran SKJPB , semua GPI dan GPI j-QAF serta murid-murid. InsyaAllah ada masa kami berkunjung lagi untuk pusingan u seterusnya ......

Jam menunjukkan 10.05 pagi, kami bergegas ke rumah Ustaz Khairulanwar di Komplek Pendidikan menukar pakaian baju kebangsaan .Masing-masing tersenyum kerana nampak segak dan bergaya sekali. Kata Ustaz Nadzhari; kalau macam ni selalu tentu ramai yang berkenan. Tanpa membuang masa kami terus meluncur ke SMK Keladi untuk menunaikan satu lagi tanggungjawab di sana.

Setelah tamat majlis dan menjamu selera makan tengahari bersama Tuan Pengarah, kami berempat terus bertolak pulang ke pejabat dan tiba pada jam 4.15 petang. Belum lagi saya sempat menukar pakaian, beberapa pelanggan sudah sedia menunggu untuk berurusan dengan saya. Kunjungan mereka yang terdiri dari Guru Dalam Latihan Program KPLI/LPBS j-QAF seramai 8 orang . Tujuan kedatangan mereka datang bertemu saya ialah untuk mendapatkan surat penempatan latihan di sekolah-sekolah yang telah ditetapkan. Al-Hamdulillah semuanya sempat saya uruskan hingga jam 6.00 petang . Setelah selesai menjalankan tugas untuk hari ini, baru terasa kepenatannya, lalu Ustaz Khairulanwar yang hendak balik ke rumahnya di Kulim seperti setiap hari-harinya mengajak saya makan di restoran Mama pada jam 6.45 petang. Selesai makan kami berpecah ke destinasi masing-masing . Jam di tangan saya 7.25 malam. Alhamdulillah !

Wednesday, February 11, 2009

Pemantauan P&P Khatam Al-Quran dan Kelas Tasmik SK Taman Seri Wang Sungai Petani.

Sungai Petani, 11 Feb- Alhamdulillah, pagi tadi walaupun dalam kesebokan dengan urusan di pejabat, saya,Ust. Musa Jayyid dan Ust. Jamaluddin Saad Pegawai Khas j-QAF KMY bertekad juga untuk membuat pemantauan kurikulum j-QAF dan Teras Sekolah Rendah pada hari ini di daerah KMY pula. Kebetulan pada pagi ini ada perjumpaan dan Taklimat penggunaan BBM bersama semua pegawai khas j-QAF di pejabat jam 9.00 pagi serta kedatangan tetamu yang kunjung tiba berurusan di pejabat sejak awal pagi lagi, kami sempat mencelah pada jam 10.00pagi memecut kenderaan di lebuhraya ke SK Taman Seri Wang, sebuah sekolah yang agak ramai juga pelajarnya, kurang lebih 1103 bersama 12 orang gabungan GPI dan GPI j-QAF .

Kunjungan kami bertiga disambut mesra oleh pentadbir sekolah dan GPI serta GPIj-QAF. Sepanjang 3 jam berada di sana kami sempat meninjau perjalanan p&p Khatam Al-Quran pelajar-pelajar tahun 5A dan 5I. Pemantauan kali ini menekankan tentang permuafakatan GPI dan GPIj-QAF dalam membuat persediaan rancangan pengajaran untuk proses p&p dalam kelas, dan kaedah pelaksanaan p&p dan pedagogi sehingga tamat pembelajaran. Sementara itu semakan rekod pencapaian dan rekod bacaan Khatam Al-Quran dan Tasmik juga telah dilakukan ke atas rekod pelajar tahun lima secara keseluruhannya. Al-hamdulillah , tugasan kami berjalan lancar dan mendapat kerjasama yang memuaskan dari GPI dan GPI j-QAF serta sokongan yang kuat dari Tuan Guru Besar SKTSW.

Perbincangan tiga penjuru antara kami dari JPN Kedah, PPD KMY dan pihak Guru Besar membuahkan input yang memberansangkan ke arah memantapkan lagi program j-QAF di SKTSW pada masa depan. Tuan Guru Besar, Encik Hamzah dalam ucapannya berjanji akan memberi komitmen yang sewajarnya ke arah memantapkan Pendidikan Islam dengan mempertingkatkan pengurusan j-QAF melalui model Khatam Al-Quran dan mengemaskinikan perjalanan kelas Tasmik.

Kesimpulan dari pemantauan pada hari ini, mendapati perjalanan program j-QAF adalah baik kerana gabungan tenaga GPI dan GPI j-QAF yang mempunyai matlamat yan g sama ke arah memantapkan pendidikan Islam, pengalaman luas dari GPI SKTSW ,dan sokongan kuat dari pentadbir meletakkan program j-QAF di landasan yang sewajarnya. Semoga perjalanan program j-QAF SKTSW, Sungai Petani bertambah mantap.

P&P Berkesan Meningkatkan Pembelajaran

AMALAN PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN

KE ARAH PENINGKATAN PRESTASI

(Suatu pengalaman untuk dikongsi)

Oleh : Ustaz Hj.Samsudin bin Md Noor

Guru Cemerlang Pendidikan Islam Gred Khas ( JUSA ) C

SMK Model Khas Baling, Kedah

Pendahuluan

Peranan guru bukan sekadar memindah ilmu kepada murid-muridnya tetapi dalam konteks yang lebih luas iaitu sebagai muallim, murabbi, muaddib, mursyid, pendidik, pembimbing, pengajar, pengurus, pengarah, penyelia, pengelola, penyelidik, pengkaji, pakar rujuk, agen perubahan, agen sosialisasi, dan pembina masa depan negara dan sebagainya, bertujuan membina murid menjadi modal insan yang berguna kepada diri, keluarga, masyarakat dan negara serta agama.

Perancangan Awal

Perancangan strategik lima tahun dan tahun semasa perlu diadakan supaya apa yang dicadangkan untuk dilaksanakan sebagai panduan pelaksanaan sepanjang tahun dan strategi masa hadapan.

Perancangan strategik perlu dimasukkan 'target' atau pelunjuran yang hendak dicapai, biasanya 'target' itu adalah lebih baik daripada tahun sebelumnya. Perkara yang lebih penting untuk diutamakan dalam perancangan itu ialah aktiviti-aktiviti yang hendak dilaksanakan bagi mencapai target. Aktiviti-aktiviti tersebut merangkumi program-program pengajaran dan pembelajaran berkesan, kelas tambahan, kelas pemulihan, kelas pengukuhan dan pengayaan, projek-projek akademik dan kegiatan ko-korikulum.

Perancangan awal yang perlu dilakukan iaitu penyediaan bahan-bahan pengajaran dan pembelajaran selain daripada buku teks seperti nota-nota tambahan, bahan-bahan 'power points', CD, VD, dan bahan bantuan mengajar bagi mempermudahkan murid memahami sesuatu tajuk. Guru sepatutnya membuat pengukuran masa bagi sesuatu topik yang hendak diajar, ada topik yang diselesaikan dalam satu masa dan ada yang perlu lebih dari satu masa.

Perancangan kemudahan pembelajaran murid, seperti keadaan kelas yang lebih kondusif, kemudahan peralatan kegunaan pelajar. Jika tiada masalah kertas-kertas, pelbagai jenis pen yang dakwatnya berbagai warna , yang boleh memberi keseronokan kepada murid untuk belajar disediakan oleh guru, kemungkinan peruntukan kewangan sekolah boleh digunakan untuk tujuan ini atas budibicara pentadbir sekolah. Keadaannya menjadi lebih baik jika guru berusaha adakan sebuah Bilik Khas Pendidikan Islam (jika ada bilik yang kosong),

Perancangan pengajaran dan pembelajaran sepanjang tahun seharusnya mengikut agihan yang telah ditentukan dan guru boleh mengambil daya anisiatif supaya sukatan pelajaran dapat diselesaikan lebih awal. Guru boleh menggunakan masa-masa baki untuk tujuan pengayaan, pengukuhan, pemurnian, pemulihan, peningkatan kemahiran menjawab dan sebagainya sebelum tiba masa peperiksaan yang sebenar.


Siapa Guru Di Hati Murid?

Usaha menarik minat murid mendampingi guru adalah satu langkah yang cukup berkesan untuk menarik mereka menyukai mata pelajaran yang diajar. Guru yang memiliki penampilan diri yang baik akan memberi bonus kepadanya kerana secara tidak langsung ia menjadi idola kepada murid terutama murid di kelas yang beliau ajar.

Pandangan pertama iaitu pakaian yang sentiasa kemas pada setiap hari persekolahan, kesungguhan dalam pekerjaan, dedikasi dalam menyampaikan ilmu, bersikap adil kepada semua murid, sentiasa bertimbangrasa dan penyayang, mesra dan sentiasa nampak periang, sentiasa tenang dan berhati-hati dalam tindakan supaya tidak tersalah langkah, beretika dan boleh diteladani, berwatak tegas tetapi amat berhemah dalam tindakan, sentiasa memelihara disiplin diri, bersifat cekal dan sabar, berprinsip tetapi bersifat terbuka untuk menerima berbagai pandangan, berilmu dan mahir dalam bidang kerjayanya, sentiasa mengharga masa, 'komited' dengan tugas, memiliki idea-idea yang bernas, kreatif dan inovatif, berwibawa, sedia berkorban masa dan wang ringgit serta berketrampilan adalah antara ciri-ciri personaliti yang boleh menawan hati murid-murid.Kekemasan tempat atau bilik guru sebagai tempat untuk guru melaksanakan kerja-kerja rutin juga menjadi perhatian murid. Mereka begitu gemar datang berurusan dan berjumpa untuk menyelesaikan berbagai masalah atau meminta guru menilai tahap pencapaiannya jika tempat itu kelihatan kemas dan tersusun yang mencerminkan perwatakan guru yang sebenar.

Buku rekod sebagai buku penting yang perlu disediakan dengan kemas dan rapi serta lengkap menjadikan guru berkenaan mendapat keyakinan yang dihati pentadbir dan murid-muridnya. Begitu juga dengan kekemasan kerja-kerja yang lain yang boleh dinilai baik oleh murid, rakan sejawatan dan pentadbir sebagai guru yang memiliki komitmen yang tinggi. Guru boleh membuat berbagai program di luar bilik darjah yang bertujuan merapatkan diri dengan mereka. Antaranya, membuat jamuan makan sekali atau dua kali setahun, membawa mereka ke tempat rekriasi melalui program Pendidikan Islam, lawatan ke tempat-tempat tertentu, berkunjung ke rumah salah seorang murid, terutama yang sakit, program menelaah bersama di waktu petang dan sebagainya.Aktiviti membaca yasin, solat hajat sebulan sekali dan lebih kerap di masa hampir dengan tarikh peperiksaan menyebabkan mereka terasa seolah-olah guru itu mengambil berat dan prihatin ke atas mereka.

Kebijaksanaan berkomunikasi dengan murid-murid, memahami perasaan mereka melalui pendekatan kesedaran emosi seperti mengambil berat tentang permasalahan mereka, bersimpati dan empati, cuba penyelesaian kekusutan yang berlaku ke atas mereka, dan sebagainya akan mendekatkan lagi mereka dengan guru. Melalui cara ini murid mudah mematuhi segala yang dihajati guru.

Gerakerja guru yang menampakkan kecemerlangan dalam melaksanakan tugas juga dapat mempengaruhi minat murid terhadap guru. Guru sewajarnya memiliki keperibadian yang tinggi, berpengetahuan luas tentang tajuk yang hendak diajar, serta berkemahiran dalam pengajaran dan pembelajaran, kemerlangan dalam mengurus bilik darjah, dan menampakkan personaliti sebagai guru yang berwibawa. Oleh itu kemahiran dalam pengajaran dan pembelajaran yang memberangsangkan, bijak mengurus masa secara optimum, berupaya meningkatkan prestasi murid, dan bijak mengawal disiplin akan meningkatkan keyakinan murid terhadap kemampuan guru.


Guru Dan Bilik Darjah

Pada peringkat awal, murid-murid akan membuat berbagai tanggapan atau persepsi terhadap guru yang akan masuk ke kelas mereka. Mungkin murid-murid sudah tahu tentang latarbelakang guru itu secara tidak langsung sebelum ini, kerana mereka sudah dua atau tiga tahun belajar di sekolah ini cuma belum pernah belajar dengannya. Sebaliknya terdapat juga murid langsung tidak tahu tentang guru itu, kerana dia mungkin murid yang baru di sekolah itu atau murid ini hanya tahu guru yang mengajarnya sahaja.

Berkenalan dengan murid yang akan diajari adalah suatu yang tidak boleh diabaikan kerana pernilaian murid ke atas diri guru pada hari pertama akan diterjemahkan terus ke dalam minda mereka tentang perwatakan guru itu. Murid bertanggapan guru itu garang jika guru itu bermula dengan watak tegas. Murid juga mungkin bertanggapan guru ini boleh dipermainkan kerana perwatakan yang tersangat lembut atau tidak serius.

Semasa inilah guru perlu memainkan peranan yang cukup bijak bagi menawan hati mereka seperti memuji mereka dengan kata-kata yang menggambar guru itu amat sayang kepada mereka. Ketika itu juga guru berusaha dengan kata-kata bersemangat dan menampakkan kesungguhan untuk menjadikan mereka murid yang berjaya, murid yang baik, murid yang memiliki keyakinan diri yang tinggi. Beberapa peraturan yang mesti dipatuhi yang menampakkan ketegasan tetapi berhemah serta memiliki sifat keterbukaan dalam menerima pandangan serta bersedia melakukan perubahan.

Guru memperincikan bahan-bahan yang perlu disediakan oleh mereka dan bahan yang akan disediakan oleh guru sendiri supaya murid mengetahui bahawa gurunya bersedia untuk mengajar mereka. Jika sekiranya menjadi guru kelas berkenaan maka kesediaan guru untuk menjadikan kelas ini lebih ceria dan menarik menjadikan murid-murid berkeyakinan terhadap gurunya itu. Mengenali nama setiap murid di kelas tersebut adalah satu pendekatan yang baik. Murid akan menampakkan lebih mesra jika disebut nama mereka semasa berkomunikasi. Berbagai cara yang boleh dilakukan oleh guru untuk mengingati 'nama-nama mereka seperti bertanya nama setiap kali hendak bercakap dengan mereka, atau memasukkan foto-foto mereka dalam komputer peribadi untuk diingat setiap hari. Dalam masa yang singkat guru dapat mengingati semua nama mereka.

Guru juga boleh menyatakan beberapa ganjaran yang akan diberikan kepada murid jika mereka bersedia untuk memberi kerjasama semasa pengajaran dan pembelajaran berlaku atau pencapaian kemajuan murid bertambah baik dari masa semasa, seperti berjanji untuk bawa mereka ke tempat perkelahan atau lawatan ke mana-mana atau berjanji untuk menghadiahkan sesuatu. Guru sewajar menunaikan janji-janji itu supaya murid tidak kecewa dengan sikap guru yang dianggap berpura-pura itu. Saya pernah berjanji untuk membuat jamuan makan kepada mereka, membawa mereka ke tempat rekriasi, memberi hadiah tertentu, dan saya tunai setelah mereka tunjukkan peningkatan.


Pengajaran Dan Pembelajaran

Objektif pengajaran dan pembelajaran akan tercapai apabila murid mengetahui dan memahami tajuk yang diajar, kemudian mampu menganalisa dan membanding beza serta membuat penilaian serta mampu untuk mengaplikasi dalam situasi yang tertentu. Guru perlu memahami modul pengajaran dan pembelajaran yang bermula dengan set induksi, perkembangan isi mengikut aras serta menggunakan kaedah dan teknik yang sesuai, penerapan prinsip-prinsip Islam Hadhari, rumusan, tugasan dan ulasan kendiri. Biasanya apabila loceng berbunyi, guru akan masuk ke bilik darjah berkenaan atau murid –murid datang ke Bilik Pendidikan Islam. Ketika ini guru menunjukkan sikap kesungguhan untuk masuk ke kelas itu, dengan gaya berjalan yang laju serta membawa beberapa bahan yang diperlukan atau menjemput mereka supaya bergerak pantas ke Bilik Pendidikan Islam.

Apabila melangkah masuk teruskan memberi salam, mereka bangun dan membaca doa dengan ikhlas dan khusyuk supaya mendapat keberkatan Allah SWT. Selepas itu, guru meminta mereka bersihkan kelas, kemaskan diri, meja, kerusi, dan apa sahaja yang kelihatan tidak menceriakan sebagai suatu cara untuk mendidik dan memperadabkan mereka sebelum mereka menerima pelajaran.

Guru bertanyakan mereka, seperti 'apa khabar semua', 'ada yang sakit atau yang tidak sihat','siapa yang ada apa-apa masalah,' 'ustaz nampak semuanya seronok, ini yang menjadikan ustaz pun seronok hendak mengajar'. Pertanyaan-pertanyaan dan kata-kata begini adalah sentuhan awal supaya mereka seronok dengan kedatangan guru itu. Guru memuji dengan perkataan, 'bagus' supaya murid merasakan mereka dihargai, dan cuba berjenaka dengan mereka seperti memberi satu teka-teki dan sebagainya.

Guru memulakan pelajaran dengan menunjukkan sesuatu, atau menceritakan satu cerita pendek atau apa sahaja sebagai set induksi. Apabila sesuatu tajuk disentuh, guru cuba bertanya tentang beberapa pengalaman mereka yang ada kaitan dengan tajuk berkenaan. Murid-murid membuka buku teks bagi tajuk berkenaan, nota tambahan yang disedikan guru sebagai 'hand out', dan kertas A4 untuk dibuat peta minda. Guru juga mempamerkan bahan maklumat melalui 'slide' yang ditayang dengan bantuan 'LCD' atau menggunakan teknik-teknik yang lain.

Guru berbincang dengan murid secara bersahaja, tentang tajuk yang dipelajari, murid berbincang sesama mereka, membuat peta minda, bersoal jawab, guru memberi persoalan untuk diselesaikan oleh murid sendiri, murid membuat aktiviti kumpulan, guru membuat penilaian mengikut aras, dan berbagai aktiviti lain yang boleh merangsangkan minat murid. Di samping itu guru sentiasa berjenaka dan memberi perangsang serta memuji sebagai penghargaan bagi semua kerja yang sedang mereka lakukan. Guru sepatutnya tidak menyampaikan ilmu secara sehala, dari awal hingga akhir kerana teknik ini ternyata membosankan murid.Peranan otak kiri dan otak kanan perlu diseimbangkan. Otak kiri memberi penekanan kepada bahasa, rumusan matematik, lojik, urutan, nombor, analisi dan lirik lagu. Otak kanan memberi penekanan kepada bentuk dan corak, maipulasi ruang, imiginasi, angan-angan, dan rentak lagu. Maka peranan guru mempastikan kedua-dua otak itu berfungsi dengan baik.

Apabila mereka seronok dengan pembelajaran seperti ini menjadikan mereka terasa masa berada di kelas terlalu sebentar dan kadang-kadang mereka akan terus berada di kelas ini walaupun loceng telah berbunyi kerana kemungkinan selepas ini tiada guru yang datang ke kelas mereka.Pendekatan cara bermain atau berintraksi bersama mereka semasa pengajaran dan pembelajaran dijalankan menjadikan mereka semakin berani mengeluarkan berbagai idea secara spontan dan berani bertanya tentang perkara-perkara yang mereka tidak faham sebab mereka tidak merasa tertekan dan hati dan perasaan mereka sentiasa tenang. Mereka sendiri memahami apa yang terkandung dalam buku, guru hanya bertindak sebagai fasilitator yang hanya menekan aspek-aspek tertentu dalam kandungan itu.

Murid-murid ternyata lebih gemar membuat peta minda setelah mereka dilatih untuk membuatnya berkali-kali dan seolah-olah menjadi 'kegilaan' kepada mereka. Kelebihan membuat peta minda ialah mereka dapat menguasai semua isi yang terkandung dalam buku atau nota, dan mereka hanya menggunakan bahasa dan ayat-ayat sendiri ketika menjawab soalan, tidak bergantung ayat-ayat yang terdapat dalam buku. Oleh itu minda mereka akan lebih terbuka, di samping melatih mereka berfikiran kreatif dan kritis. Kadang-kadang guru berhadapan dengan murid yang lambat faham akan sesuatu tajuk atau isi kandungan. Pendekatan yang digunakan antaranya menjadikan rakannya sebagai 'guru' untuk menjelaskan perkara tersebut, menggalakkan pelajar berkenaan segera bertanya rakannya yang berdekatan atau mereka akan bangun bertanya rakan yang lebih meyakinkannya. Murid berkenaan tidak segan silu untuk terus bertanya dengan guru. Guru mengulangi semula dengan pendekatan yang lebih mudah atau membina soalan untuk dibincang dalam kumpulan setelah mengenalpasti ada murid yang masih belum faham kandungan tersebut.

Pendekatan-pendekatan yang lebih mudah, meringankan bebanan murid dan meningkatkan minat untuk terus menyelesaikan tugasan bagi tajuk berkenaan. Contohnya, murid yang sukar menghafaz ayat-ayat al-Quran bagi tingkatan empat, guru memberi kebebasan kepada murid bertemu dengan guru untuk menghafaz ayat-ayat itu di hadapan guru, guru boleh melantik murid-murid yang cemerlang menjadi naqib untuk mendengar hafazan murid berkenaan, kadang-kadang terdapat murid yang ingin menghafaz sedikit demi sedikit dan akhirnya semua ayat tersebut telah berjaya di hafaz atau pun menggunakan pelbagai pendekatan yang disukai oleh murid berkenaan dan guru sepatutnya melayan kehendak mereka.

Bagi murid-murid yang tidak menguasai bacaan al-Quran, guru boleh menggunakan pendekatan yang lebih berhemah. Contohnya, menjemput mereka berkumpul di suatu bilik yang tidak disertai oleh murid-murid lain. Guru memberi semangat, perangsang, serta mencerita kelebihan-kelebihan apabila boleh membaca al-Quran. Guru meminta pandangan mereka tentang cara yang kehendaki supaya mereka boleh mereka lakukan dan matlamatnya mereka boleh membaca al-Quran. Guru juga memberi cadangan, misalnya, guru memberi jaminan kepada mereka bahawa mereka boleh membaca al-Quran jika mereka mengikuti teknik dan kaedah yang akan di bawa oleh gurunya itu tetapi mereka hendaklah melakukan latihan berterusan di rumah atau di luar bilik darjah. Gabungan kaedah Iqrak, Qiraati dan Hattawiyah boleh digunakan tetapi guru hendaklah sentiasa memantau perkembangan mereka dengan memberi galakan, pujian, ganjaran, penghargaan berterusan. Murid-murid ini kadang terasa malu disebabkan kelemahan mereka. Oleh itu guru tidak perlu menggunakan kaedah yang menyebabkan mereka menjadi malu, seperti menyuruhnya membaca dengan kuat di hadapan kelas, sebaiknya mereka di bawa ke tempat lain atau membaca dalam kumpulan yang sama atau membaca secara beramai-ramai.

Jika mampu selalu berjumpa mereka untuk berbincang dan sekali sekala jemput mereka makan di kantin dan sebagainya supaya mereka dapat merasai bahawa guru itu benar-benar untuk membantu mereka menguasai bacaaan al-Quran. Setelah mereka berjaya membaca maka berilah penghargaan berupa sijil di perhimpunan sekolah. Apabila mereka merasakan seronok belajar Pendidikan Islam maka mereka akan berusaha untuk memahami tajuk yang sedang dipelajari. Di samping galakan dan motivasi guru yang berterusan. Dengan wajah keriangan yang ditunjukkan oleh guru, serta menampakkan kesayangan guru itu terhadap murid, menjadikan mereka terasa bersalah jika mereka tidak mendengar nasihat-nasihat yang dilontarkan oleh guru.

Guru juga hendaklah menunjukkan ketegasan semasa pengajaran dan pembelajaran berlangsung, tetapi ketegasan itu dilakukan dengan senda gurau, sambil mengenakan sedikit denda terhadap mereka, dan mereka bersedia untuk menerima dengan lapang dada seperti menarik sedikit telinga sebagai menandakan guru tidak gemar dengan perlakuan tersebut. Murid yang sememangnya sayang kepada gurunya itu, dengan cepat memohon maaf, dan guru terus maafkan dan letakkan tangan dibelakang mereka atau memuji mereka supaya mereka tidak merasakan sesuatu yang boleh menjejaskan penumpuan terhadap pelajaran yang sedang dihadapi itu. Denda atau hukuman yang boleh menjatuhkan maruah dan memalukannya sepatutnya dielakkan supaya murid berkenaan tidak tertekan, akibatnya murid berkenaan mungkin membuat tindakan negatif seperti tidak datang ke sekolah, merosakkan harta benda sekolah dan sebagainya.

Penggunaan alatan bantuan mengajar, model-model tertentu, atau kepelbagaian kaedah yang lebih kepada berpusatkan murid. Pendekatan, modul atau kaedah seperti Pembelajaran Masteri, Pembelajaran Kerjasama, Kontruktivisma, Pembelajaran Kontektual, adalah di antara kaedah yang boleh digunakan mengikut kesesuaian tajuk, kemampuan murid, dan kebijaksanaan guru mengaplikasikannya supaya dapat menghasilkan pembelajaran yang memberangsang minda mereka. Kesannya, murid mudah faham dan minat mereka untuk meneruskan pembelajaran dan mereka tidak menunjukkan perlakuan yang bermaksud bosan dengan cara guru menyampaikan pengajaran.

Contohnya, tajuk cara menyempurnakan ibadah haji dan umrah. Model-model berbentuk replika seperti model kaabah, jamrah, tempat saei, tempat wukuf, Mina dan Muzdalifah serta Miqat Makani. Guru menggunakan beberapa murid untuk menunjuk cara, simulasi, main peranan dan sebagainya. Penggunaan pendekatan ini, murid akan lebih mudah faham dalam masa yang singkat.

Bagi meningkatkan pencapaian murid dalam bacaan dan tulisan jawi, maka tindakan yang boleh difikirkan ialah langkah pertama, mengadakan penilaian mudah untuk mengetahui tahap sebenar pencapaian murid berkenaan, bagi murid yang terlalu lemah, diperkenalkan huruf hijaiyah yang dipadankan dengan huruf rumi, kemudian ditingkatkan ke tahap mengenal suku kata hingga seterusnya murid boleh membaca kalimah mudah dan kalimah yang lebih dari dua sukukata hinggalah ke tahap boleh membaca ayat-ayat dan esei. Pendekatan mendekati murid adalah seperti yang telah dijelaskan perlu untuk menarik minat mereka menyintai jawi.

Memasang lagu-lagu nasyid atau zikir yang boleh menjadi halwa telinga mereka tetapi diperlahankan suaranya, supaya murid rasa terhibur dan kadang-kadang kandungan lagu itu memberi kesedaran dan keinsafan kepada mereka, juga dapat membantu meningkatkan keseronokan dan minat murid untuk meneruskan pembelajaran.

Kebiasaannya guru berhadapan dengan masalah apabila berada di kelas yang terlalu lemah dan kemungkinan terdapat empat atau lima murid yang tidak boleh membaca dengan baik dan yang lain pula bersikap malas, suka ponteng, tidak suka membuat tugasan yang diberikan oleh guru, suka tidur dan sebagainya menyebabkan guru terasa bosan untuk berhadapan dengan mereka. Sebagai guru yang telah diberikan amanah untuk mengajar di kelas yang berkenaan seharus mencari pendekatan yang boleh meningkatkan motivasi dan kecenderungan mereka untuk mengikuti pelajaran yang sedang diajar.

Guru sepatutnya mengelakkan diri daripada melakukan perkara-perkara yang boleh menambahkan kebencian mereka terhadap mata pelajaran yang diajar atau terhadap guru sendiri. Leteran yang berterusan, menyebut perkara-perkara negatif yang ada pada mereka seperti mengecap mereka sebagai pemalas, pengotor, kaki tidur dan sebagainya akan menghilangkan minat mereka untuk berada bersama guru itu. Pendekatan yang berkesan, murid-murid diberikan perhatian, dan pujian jika mereka melakukan sedikit perubahan ke arah kebaikan. Mulakan pelajaran dengan perkara yang cukup mudah, banyak memberi contoh-contoh, dekat dengan mereka ketika mengajar. Jika mereka tidak faham, cuba ulang bahagian itu melalui kaedah yang berbeza seperti memberi lambaran kerja, bimbing mereka untuk mendapatkan jawapan, gembirakan hati mereka, berjenaka, dan memberi tindak balas positif terhadap perlakuan dan pertuturan mereka.

Apabila mereka sudah menampakkan kecenderungan untuk belajar, teruskan memberi galakan, motivasi dan pengharapan yang baik, seperti kata-kata,'saya yakin murid kelas ini boleh lulus pelajaran ini dalam peperiksaan nanti, kerana ustaz sudah nampak ada peningkatan, ustaz seronok jika murid kelas ini berjaya'. InsyaAllah perubahan akan berlaku, sekurang-kurang guru dapat menjalankan tugas dengan sempurna dan berkesan di kelas berkenaan, tetapi amalan ini hendaklah dilakukan berterusan bukan secara sekali sekala. Yang lebih penting guru menunjukkan komitmen yang tinggi terhadap mereka.

Latihan, Penilaian Dan Pentaksiran

Aspek yang diberikan penekanan ketika membuat latihan dan menjawab peperiksaan ialah keikhlasan dalam melaksanakan tanggungjawab, bukan kerana terpaksa atau dipaksa atau melaksanakan sekadar melepas batuk di tangga, tidak menipu dengan cara meniru rakan secara menyalin semula jawapannya, belajar menerima hakikat iaitu menyatakan kemampuan sebenar supaya guru boleh membuat penambahbaikan, tidak malu untuk menyatakan kelemahan, sedia mendapatkan pertolongan rakan bagi meningkatkan kemahiran dan kefahaman. Akhirnya murid-murid dapat mendengar nasihat guru dan melaksanakan tugasan dengan baik.

Sebaik-baiknya, setiap tajuk yang dipelajari diberikan latihan untuk dilaksanakan di minit-minit terakhir dan menyambung tugasan itu di luar kelas atau di rumah sebagai kerja rumah. Guru menggalakkan murid menjawab latihan mengikut teknik jawapan yang betul dan jawapan yang dikemukakan itu adalah betul. Caranya, murid diminta berbincang dengan rakan-rakan sekiranya tidak yakin dengan jawapan yang diberikan itu. Nasihatkan mereka secara ikhlas supaya mereka tidak menyalin terus daripada jawapan rakannya itu. Berikan penekanan bahawa murid yang ikhlas dan yakin dengan pekerjaan akan mudah mencapai kejayaan dan keberkatan.

Menjawab soalan-soalan yang diberi oleh guru melalui perbincangan kumpulan juga satu teknik yang boleh membantu murid yang lemah. Setelah mendapat jawapan, masing-masing murid menulis jawapan tersebut. Kemudian ketua kumpulan akan menyemak semula jawapan setiap ahli kumpulan. Guru menunjukkan teknik dan kaedah menjawab soalan yang berkesan diperingkat awal lagi. Guru melatih sehingga mereka faham, kemudian latihan demi latihan mengikut teknik peperiksaan sebenar. Semua guru sepatutnya memahami teknik menjawab soalan peperiksaan awam (PMR dan SPM) supaya murid-murid dilatih sejak di tingkatan satu bagi PMR dan di tingkatan empat bagi SPM.

Setiap latihan murid direkod dalam buku rekod dengan memberi markah mudah iaitu A,A-,A+,B,B-,B+,C,C-,C+,D,dan E, rekod-rekod dipamerkan kepada mereka melalui 'LCD', supaya mereka dapat membezakan percapaian mereka dan membandingkan dengan pencapaian rakan-rakan mereka. Guru akan memberi nasihat dan bimbingan kepada pencapaian yang lemah, pencapaian yang masih tidak berubah atau yang menurun.

Bagi kelas yang lemah, guru perlu memperbanyakkan soalan-soalan pencapaian rendah dan cuba memberi satu jawapan contoh supaya mereka berminat untuk terus menjawab soalan-soalan itu sehingga selesai. Galakan dan pujian harus diberikan terutama murid yang lemah jika ada sedikit pencapaian, guru perlu membuat pembetulan perkara-perkara yang salah dan berikan sedikit markah bagi jawapan tersebut, supaya murid berkenaan merasakan ada peningkatan dalam diri mereka.

Pemulihan, Pengukuhan dan Pengayaan

Bagi memastikan pencapaian murid terus meningkatkan prestasi maka perlu diadakan program pemulihan, pengukuhan dan pengayaan. Program ini boleh dilaksanakan di masa pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah, guru perlu mengenal pasti murid yang masih tidak menguasai topik berkenaan kemudian diberi pemulihan segera, jika tiada kesempatan, program itu perlu dilanjutkan di luar bilik darjah iaitu semasa lapang atau di luar waktu persekolahan.

Program pengukuhan dan pengayaan boleh dilaksanakan dari masa ke semasa melalui kelas-kelas tambahan atau tugasan tambahan yang diberikan kepada murid untuk diselesaikan secara individu atau kelompok. Penekanan secara lebih intensif dilaksanakan sebulan sebelum peperiksaan percubaan. Selepas peperiksaan percubaan guru membuat analisa keputusan untuk melihat kelemahan dan kekuatan murid kemudian tindakan susulan dijalankan bagi membantu meningkatkan kemahiran.

Penutup

Kejayaan seseorang guru dalam usaha untuk meningkatkan prestasi murid tidaklah semata-mata bergantung kepada kemahiran menggunakan teknik dan kaedah pengajaran yang pelbagai sahaja. Keberkesanan pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah juga berkait rapat dengan kefahaman guru tentang peranan mereka yang sebenar, personaliti, keperibadian, kewibaan dan kesungguhan yang ditonjolkan, kebijaksanaan menawan hati budi murid, sifat pengorbanan dan keikhlasan, di samping perancangan yang teliti dan menyeluruh.

Pemantauan dan penyeliaan yang berterusan serta melakukan refleksi bagi tujuan pemulihan, pengukuhan dan pengayaan merupakan usaha-usaha dilakukan semasa dan selepas aktiviti pengajaran dan pembelajaran dalam konsep hari ini lebih baik dari semalam dan esok lebih baik dari hari ini.

Kajian tindakan atau soal selidik boleh dilakukan oleh guru sebagai asas untuk tindakan yang lebih berkesan ke arah peningkatan prestasi murid. Perkongsian bijak dengan rakan-rakan panitia juga salah satu langkah ke arah memeperkasakan pengajaran dan dan pembelajaran. Bagi melaksanakan tugas yang mencabar ini, guru tidak perlu mengeluh dan merasa kecewa jika usaha-usaha yang dijalankan menemui kegagalan. Usaha dan ikhtiar yang berterusan mengikut pendekatan-pendekatan yang difikirkan wajar hasil daripada kreativiti dan innovasi serta komitmen guru yang tinggi. Kepuasan bagi seorang itu ialah apabila ramai murid yang diajar mencapai kejayaan. InsyaAllah dengan doa dan harapan, usaha yang disertaikan dengan niat yang ikhlas kerana Allah akan mendapat keberkatanNya jua.

Guru di awal gurulah di akhir

Tuesday, February 10, 2009

Bertemu Ketua-Ketua Panitia Pendidikan Islam SR Daerah Langkawi

10Feb. Langkawi- Pagi ini saya dan Ust Musa Jayyid akan bertandang ke bumi bertuah Langkawi untuk bertemu dengan semua ketua-ketua Panitia Pendidikan Islam SR bagi membincangkan beberapa perkara berkaitan program j-QAF di sana. Tumpuan khusus akan difokaskan kepada model Khatam Al-Quran yang menyentuh perkara-perkara yang perlu diberi perhatian oleh ketua panitia dalam program ini, kerana kita tidak mahu lagi mendengar ungkapan tak tahu, tak perasan, tak diberitahu dan bermacam-macam 'tak' lagi bila soal j-QAF dibangkitkan di sekolah masing-masing. Perkara yang akan disentuh ialah;

i. Konsep BIG dalam P&P Khatam Al-Quran
ii. Pencapaian Iqra' pelajar yang lambat ikut sukatan dan langkah-langkah mengatasinya
iii. Tasmik dan keterlibatan GPI
iv. Purata jadual seminggu antara GPI dan GPI program j-QAF
v. Masalah Khatam Al-Quran di sekolah serta kekangannya
vi. Rekod bacaan dicatat atau tidak.
vi. Kelas pemulihan Khatam Al-Quran dibuat atau tidak serta KLAQ peringkat sekolah
vii. Perkara sampingan dan sepintas lalu model P&P yang lain.

Pada sebelah petang , jika diizinkan kami akan bertemu dengan semua guru-guru Pendidikan Islam Rendah dan Menengah di Auditorium LADA bersama dengan Tuan Ketua Sektor, Puan Hajjah Zainab berserta Penolong Pengarah Kanan yang lain , iaitu Tn. Hj. Mohd Rushdan, Tn Hj. Ismail Yahya dan pegawai dari UPI PPD Langkawi. Semoga pertemuan hari ini akan mencetuskan satu lompatan yang objektif ke arah memantapkan Pendidikan Islam di negeri Kedah. Selamat bertemu di Langkawi.

Model Khatam Al-Quran Sekadar Imbauan Dinihari

Tinggal kurang lebih setahun lagi kita akan bersama anak murid yang telah kita duduk dan didiknya dari tak mengenal Iqra' kepada tamat buku enam panduan bacaan Iqra'. Daripada tidak mengenal Al-Quran kepada mengenal Al-Quran, dapat bertatih-tatih mengikut bacaan gurunya hari demi hari hingga lancar dan fasih bacaannya. Kita mengucapkan...lafaz Alhamdulillah ! berhasil kerja buatku selama 5 tahun bergelomang dengan masa, keringat dan tenaga. Perit rasanya menghadapi situasi itu...tapi itulah kerjabuat kita selama kita bergelar guru Pendidikan Islam Program j-QAF.
Semua orang tahu dan biasa dengar dan amat arif dengan huruf " j-Q-A-F" ini, dari orang kampong di hulu Kapit, Sarawak melintas ke Lahat Datu di Sabah dan menyusur ke Padang Besar di Kaki Bukit, Perlis Indera Kayangan. Sebut j-QAF mereka tahu apa itu? Tapi mereka tak berapa arif kerjabuat yang dilalui oleh peneroka-penerokanya seawal 2005 lalu. Hasilnya kini sedang memutik dan hampir masak dihujung ranting. Terjulai dipuput bayu masa dan entah berapa ratus juta RM telah dibelanjakan untuknya. Masanya pasti akan tiba, ada yang sedang menunggunya di pesada SMK sana mengharapkan hasil garapan kita memberi sinar baru kepada abang-kakak para ustaz dan ustazah untuk merasakan nikmatnya mencurahkan ilmu ke dada-dada murid yang kita hasilkannya dari program ini. Sekali lagi kita merasa legha. Alhamdulillah!
Terkadang risau juga , trauma rasanya bila ada sebilangan dari anak didik kita yang masih tergagap-gagap merangkak , merangkak dan terus merangkak mengharapkan asuhan extra dari kita. Di rumah? tiada siapa pedulinya, di sekolah tertinggal oleh rakan-rakannya. Terkadang terpandang oleh kita, tetapi bila mengenangkan kepayahan dan kesukarannya kita cepat merasa letih dan tidak bermaya. Maka sejuta alasan terbayang diminda untuk membantunya. Penat rasanya.....astaghfirullah! di manakah silapnya anak muridku seumpama ini. Pastinya inilah cabaran sebenar untuk ku hadapi dalam perjuangan j-QAF bagi memantapkan Pendidikan Islam pada bangsaku ini.
Maafkan daku anak didikku , jika selama ini aku teralpa denganmu. Akan ku pastikan kalian seiring sejalan dengan rakan-rakanmu nanti.
Akan ku tebas kesukaran disekelilingnya supaya ia nampak ada sinar di hadapannya. Akan ku asuhnya hingga ia mampu menyebut, membaca dan melagukannya. Kerana teringin sekali aku ingin mendengar suaranya yang merangkak-rangkak itu menyebut dengan berlagu ayat-ayat suciMU pada tempoh waktu yang tertinggal ini. Betapa syahdunya, betapa rindunya aku pada situasi itu.
Ayuh kita bangun dan gerak sederap untuk membantu anak-anak didik kita yang masih tertinggal sukatan sebenar dalam model Khatam Al-Quran......j-QAF tanpa gagal.!

Monday, February 9, 2009

Penempatan GPI Program j-QAF KPLI -LPBS Ambilan Ke 2/2009.

IPDA- 9 Februari :Pagi ini saya sempat berkunjung ke IPDA untuk bertemu dengan bakal guru KPLI LPBS program j-QAF Ambilan ke 2/2009. Seramai 7 orang rakan baru kita sempat diberikan taklimat tentang perjalanan yang akan mereka tempuh di alam program j-QAF. Nampaknya mereka begitu bersemangat sekali untuk ke sekolah dan bersedia untuk bertugas di mana sahaja walaupun ke Sabah dan Sarawak (tapi dalam nada dan wajah agak berbeza.Harap-harap ikhlaslah ya ! cuma agak gayat sikit kut !)
Guru ambilan ke 2/2009 ini akan melaporkan diri ke sekolah pada 16/2/2009 nanti. Situasi ini sedikit sebanyak akan dapat mengurangkan bebanan dan keperluan guru semasa yang diperlukan oleh sekolah-sekolah yang agak kritikal di semua daerah diseluruh negeri Kedah pada tahun ini . Apa yang diharapkan pada mereka, janganlah nanti ada yang separuh jalan sahaja dalam program j-QAF ini. Maksud saya tak tahan cabaran dan membuat masalah di sekolah (tapi bilangannya amat sedikit, namun terasa jua). Semoga mereka akan dapat bertugas sehingga dilantik semula pada tahun depan.
Setibanya saya di pejabat kira-kira jam 11.20 pagi, didapati ada 5 lagi rakan baru LPBS program j-QAF yang diutuskan oleh Ust. Zuki dari IPSAH sedang menunggu saya sejak jam 9.30 pagi lagi untuk mendapatkan surat penempatan mereka. Kebanyakan mereka adalah dari kalangan yang telah mempunyai pengalaman bertugas sebagai guru di SABK dan sekolah-sekolah agama swasta dari merata tempat.
Ustaz Lukman Hakim bin Abdul Razak dari Felda Bukit Tangga, Changlun ketika ditanya tentang perasaannya mendapat tawaran sebagai guru telah melahirkan rasa syukur tak terhingga kerana doanya selama ini telah dimakbulkan oleh Allah Ta'ala, kerana beliau amat berharap sekali untuk berkhidmat sebagai pendidik. Katanya ,di mana sahaja beliau ditempatkan, beliau sedia untuk berkhidmat. Inilah kata-kata yang sering kita dengar diawal perkhidmatan sebagai guru, lebih-lebih lagi waktu temuduga. Hakikatnya setelah beberapa ketika ombak badai saban hari menimpa pantai, akhirnya pantai akan berubah jua.... renung-renungkanlah wahai sahabat-sahabatku GPI program j-QAF. Pastikan j-QAF tanpa gagal !

Thursday, February 5, 2009

Taklimat Pengurusan Data GPI Program j-QAF Peringkat Negeri Kedah Kali 1/2009

Kubang Pasu - 5 Februari: Hari ini satu taklimat penting dalam pengurusan j-QAF telah diadakan di PKG Ayer Hitam. Seramai 25 peserta telah terlibat dalam taklimat ini, terdiri dari Semua Pegawai Khas j-QAF dan pakar-pakar IT dari kalangan GPI j-QAF dari seluruh daerah di negeri Kedah.

Taklimat ini telah diusahakan oleh Penolong Pengarah Kanan Kurikulum Teras (Menengah),Tuan Haji Mohd Rushdan bin Haji Azizan Cetusan idea beliau untuk mengadakan Taklimat ini adalah lanjutan daripada Bengkel Penyelarasan Data yang telah dilaksanakan di PKG Sungai Limau kepada pegawai-pegawai Khas j-QAF dan JU seluruh Kedah pada tahun lepas.

Kehadiran Pakar IT dari PPD KMY, Cikgu Zulkifli bin Abu Bakar sepanjang taklimat itu telah mencetuskan minat yang cukup tinggi dari kalangan peserta. Ilmu yang diusaha dan dibangunkan oleh beliau itu banyak faedahnya dan memudahkan kerja dalam pengurusan data.
Semoga usaha ini akan berterusan dan dapat ditingkatkan lagi pendedahannya untuk memudahkan urusan data dan menjadikan pengkalan data GPI yang canggih dan mudah dikendalikan dari masa ke masa.

Terima kasih diucapkan kepada Tuan Haji Rushdan, Cikgu Zulkifli b. Abu Bakar, semua pegawai dan JU dari semua daerah dalam menjayakan taklimat pada hari ini. Tak lupa juga kepada Penyelia PKGAH,Ust. Idham, Ust. Asri dan Kak Long yang menyediakan prasarana lengkap dan kondusif serta tak pernah jemu-jemu menerima kehadiran kami .