Sunday, January 29, 2012

Pertukaran Guru j-QAF

Ahad, 29 Januari 2012

Permohonan ditolak enam kali

JOHOR BAHRU: “Ketika isteri yang tinggal di Sarawak keguguran pada 17 Januari lalu, saya sedih kerana tidak mampu membantu sebaliknya hanya mendoakan keselamatannya kerana tinggal berjauhan (di Johor),” kata pekerja hotel, Mohd Fauzi Borhan, 37, yang amat bimbangkan keadaan isterinya kerana sudah dua kali keguguran dalam tempoh tiga tahun, dipercayai akibat tekanan hidup.

Menurutnya, lebih mengecewakan apabila usaha isterinya, Lida, 32, yang bekerja sebagai guru Lepasan Ijazah J-Qaf di Sekolah Kebangsaan Rantau Panjang, Sarawak, untuk bertukar ke Johor, tidak mendapat maklum balas positif sejak tiga tahun lalu.


Menurutnya, hasratnya membuat rayuan pertukaran isterinya itu menemui jalan buntu apabila tidak dibenarkan berbuat demikian oleh Bahagian Pengurusan Sekolah Harian di Kementerian Pelajaran Malaysia di Putrajaya.

Katanya, keluarganya dimaklumkan pengurusan di Putrajaya bahawa permohonan dikemukakan isterinya ditolak berikutan tidak menerima sokongan daripada Jabatan Pelajaran Negeri Sarawak.


“Saya dan isteri tinggal berjauhan sejak enam tahun lalu dan isteri sudah membuat permohonan pertukaran tempat kerja sebanyak enam kali iaitu dua kali setahun (sejak tiga tahun lalu).


“Dua tahun lalu, dia keguguran kali pertama, tetapi kami bersyukur kerana dikurniakan anak lelaki pertengahan Mei lalu,” katanya.

Fauzi berkata, kini dia terpaksa berjauhan dengan isteri dan anak lelakinya berusia lapan bulan berikutan permohonan kali keenam pada November lalu ditolak tanpa alasan dan dia difahamkan keputusan itu muktamad.


“Apa yang kami minta ialah budi bicara, isteri sudah enam tahun berkhidmat di Sarawak, wajarlah dia berpindah balik ke sini. Saya risaukan keadaan isteri kerana doktor menasihatkannya banyak berehat, namun disebabkan tinggal berseorangan, dia perlu bekerja dan mengurus anak. “Saya harap kementerian prihatin dengan masalah kami dan membenarkan pertukarannya,” katanya.


myMetro: 28 Januari 2012

Rabu, 18 Januari 2012

Guru lega dapat tukar sekolah


SITI MUNIROH menerima kunjungan Tengku Zainol (dua dari kiri) di kediamannya di Kampung Alor Buluh, Alor Setar, Kedah semalam.


ALOR SETAR – Seorang guru wanita yang mendakwa menjadi mangsa pukul suaminya yang panas baran kini boleh menarik nafas lega apabila dia dihubungi dua pegawai daripada Kementerian Pelajaran dan Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) Sabah semalam yang memaklumkan permohonannya sedang diproses.

Siti Muniroh Mohd. Shukri, 31, berkata, panggilan pertama diterima daripada seorang pegawai daripada kementerian pada pagi semalam sebelum disusuli JPN Sabah pada sebelah petang.

“Kedua-dua pegawai memaklumkan permohonan pertukaran sekolah yang saya buat sedang diproses dan pihak JPN Sabah akan turun ke Putrajaya untuk berbincang tentang perkara ini,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Alor Buluh, Jalan Datuk Kumbar di sini semalam.

Dia ditemui selepas menerima kunjungan daripada Yang Dipertua Persatuan Kerabat Diraja Kedah (PKDK), Datuk Tengku Zainol Rashid Tengku Yahya dan Pengerusi Yayasan Prihatin Kemiskinan dan Pendidikan Kedah, Zuraidi Rahim.

Kata Siti Muniroh, perkembangan mengenai permohonannya itu memberikan sedikit harapan untuknya menyambung semula tugas sebagai seorang guru Bahasa Melayu yang terhenti sejak Julai tahun lalu.

“Saya berasa lega sedikit dan nampak ada harapan berbanding sebelum ini yang kerap menemui jalan buntu setelah permohonan dibuat gagal,” katanya lagi.

Kosmo Online: 18 Januari 2012

‘Guru j-Qaf perlu sedia terima tugas’

Oleh Rashiqah Ilmi Abd Rahim dan H Hifzuddin Ikhsan

2012/01/18

KUALA LUMPUR: Guru j-Qaf diminta bersedia menerima tugas dipertanggungjawabkan kepada mereka walaupun terpaksa bertugas di pedalaman, termasuk Sabah dan Sarawak.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata kementerian bersimpati dengan nasib guru j-Qaf di sana, namun perlu memberi keutamaan kepada pelajar yang berdepan masalah kekurangan guru.
Beliau berkata, meskipun kementerian membuat perjanjian guru j-Qaf boleh memohon bertukar ke Semenanjung selepas berkhidmat tiga tahun, permohonan perlu melalui mesyuarat berpusat e-GTukar, yang diadakan dua tahun sekali.
“Mesyuarat ini mempertimbangkan beberapa perkara terutama masalah pengganti guru kerana jawatan guru j-Qaf adalah di luar norma, yang mana pengganti diperlukan jika pertukaran diluluskan.

“Keterbatasan tempat di negeri asal dimohon bertukar juga menyebabkan kelulusan pertukaran diberi terhad dan mengikut keutamaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai isu guru j-Qaf di Sarawak yang sukar bertukar walaupun sudah mencukupi tempoh perkhidmatan.

Lebih 1,000 guru j-Qaf mula dihantar bertugas ke Sarawak sejak 2005 masih belum dapat bertukar ke Semenanjung meskipun sudah melebihi tempoh berkhidmat sehingga mengakibatkan guru berkenaan menghadapi tekanan.
Bagaimanapun, katanya, kementerian berusaha mencari jalan penyelesaian bagi membolehkan masalah pertukaran itu diatasi sebaik mungkin.

“Sejak tahun lalu, kementerian cuba menyeimbangkan jumlah pengambilan guru dengan dasar 30:30:40 iaitu 30 peratus guru masing-masing dari Sabah dan Sarawak, manakala 40 peratus lagi guru Semenanjung,” katanya.

Di KUCHING: Kesatuan Guru Sarawak (STU) meminta Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) dan kementerian bersikap sensitif dan bertimbang rasa ketika berdepan isu perpindahan guru j-Qaf ke Semenanjung.

Tindakan tidak membenarkan guru j-Qaf berpindah hanya akan menyebabkan guru berkenaan bertugas dalam keadaan tidak rela dan gembira dengan kesannya akan dihadapi murid atau pelajar sekolah tempat mereka bertugas.


Berita Harian Online: 18 Januari 2012

Wednesday, January 4, 2012

Pendidikan Islam di sekolah Cina

Oleh HAMDAN ISMAIL


BACAAN ayat-ayat suci al-Quran bergema memenuhi ruang dewan terbuka Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJK(C)) Chung Hua Pujut, Miri, Sarawak baru-baru ini.

Di atas sebuah astaka mini, empat pelajar Islam tahun enam sekolah itu khusyuk memperdengarkan bacaan mereka dengar lancar dalam sebuah majlis khatam al-Quran.

Biarpun berlangsung dalam keadaan yang amat sederhana, majlis itu tetap unik dan meriah khususnya buat keempat-empat pelajar yang terlibat ekoran latar belakang keluarga mereka yang kesemuanya bukanlah terdiri daripada anak Melayu tulen.

Bacaan yang diperdengarkan oleh Mohamad Naim Kasri, Shaqeem Valinton, Hijazida Hamdan dan Jhony Mohamad Ali pada hari itu mengesahkan satu lagi pencapaian buat Ali Sagir. Ali merupakan guru pendidikan Islam yang mereka kenali sejak pertama kali menjejakkan kaki di sekolah itu enam tahun lalu.

Mesra dengan panggilan Ustaz Ali, guru agama yang berasal dari Pahang itu berbangga dengan pencapaian anak didiknya menamatkan pengajian al-Quran mereka sebelum menamatkan pendidikan di sekolah itu.

“Sebenarnya jumlah pelajar Islam tahun enam di sini memang sedikit. Biarpun jumlah mereka sedikit, hasrat kami adalah untuk memastikan mereka dapat membaca al-Quran dengan baik sebelum tamat persekolahan mereka.

“Ibu bapa mereka pun beria-ia benar meminta saya mengadakan majlis khatam al-Quran di sekolah sebagai tanda pencapaian anak-anak mereka. Jadi kami buat majlis ini dengan kerjasama ibu bapa mereka,” katanya.

Sekolah Tunggal

Ali berkata, SJK(C) Chung Hua Pujut adalah satu-satunya sekolah aliran Cina di Miri yang melaksanakan program j-QAF iaitu program yang bertujuan untuk memperkasa pendidikan Islam melalui penekanan khusus dalam pengajaran Jawi, al-Quran, bahasa Arab dan Fardhu Ain.

Bermula dengan hanya beliau seorang di sekolah itu sebagai guru khusus dalam pendidikan Islam, sekolah itu kini mempunyai dua lagi tenaga pengajar bagi membantunya melaksanakan program j-QAF.

Tidak seperti di sekolah kebangsaan, kekerapan waktu yang diperuntuk untuk pendidikan Islam adalah enam kali seminggu, sebaliknya di SJK(C) Chung Hua Pujut pendidikan Islam diperuntukkan sebanyak empat kali.

Namun, ia tidak menjadi penghalang kepada Ali untuk menjalankan tugasnya. Beliau secara sukarela mengadakan kelas mengaji untuk pelajarnya berikutan permintaan daripada ibu bapa.

“Peranan yang dimainkan oleh ibu bapa pelajar ini juga amat saya hargai kerana mereka amat prihatin demi memastikan anak-anak mereka tidak ketinggalan dalam pelajaran agama biarpun berada di sekolah aliran Cina,” katanya.

Ali menyifatkan sokongan yang diberikan oleh pihak pentadbiran SJK(C) Chung Hua Pujut, khususnya guru besarnya, Chuo Kwong Ung dan guru-guru lain telah membolehkannya menjalankan amanah sebagai guru agama sekolah itu dengan baik.

“Mereka amat terbuka setiap kali kami menyuarakan saranan dan sudah sekian lama berada di sekolah ini, saya merasakan kepentingan terhadap pendidikan Islam untuk pelajar tidak pernah dipinggirkan,” katanya yang telah berkhidmat lebih sedekad di sekolah itu.

Seorang lagi tenaga pengajar program itu, Nor Akmal Mohamad Zain berkata, beliau melalui pengalaman mengajar yang menarik sejak mula menjejakkan kaki di sekolah itu sejak 10 bulan lalu.

Kejutan

Anak kelahiran Kelantan yang juga merupakan graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dalam bidang Ilmu Wahyu dan Warisan pada mulanya agak terkejut menerima arahan untuk ditempatkan di sekolah aliran Cina.

“Daripada sejumlah 50 orang pelatih kursus program j-QAF ini, saya seorang sahaja yang dihantar untuk mengajar di sekolah aliran Cina,” katanya mengingati semula waktu beliau menerima arahan mengajar di sekolah itu.

Bagaimanapun, segala kerunsingan yang dirasakan sewaktu mula menjejak kaki ke sekolah itu hilang apabila beliau tidak mengambil masa yang agak lama untuk menyesuaikan diri dalam persekitaran yang baharu itu.

Menurut Nor Akmal, pelatih di bawah program j-QAF akan dihantar ke sekolah dahulu untuk menimba pengalaman praktikal dan semasa cuti sekolah mereka akan kembali untuk berkursus di institut pendidikan guru.

Kata anak muda itu lagi, tempoh latihannya di situ hanyalah selama 18 bulan. Bagaimanapun kalau ditakdirkan juga untuk terus mengajar di situ, dia tetap menerima dengan tangan terbuka. – Bernama

Kosmo Online: 20 Disember 2011