Wednesday, June 23, 2010

Mesyuarat Penempatan Guru j-QAF Ambilan Jan 2009 BPI, KPM & SPI, JPN


22-24Jun - Mesyuarat berlangsung di Regency International Hotel, Kuala Lumpur. Kehadiran semua Penolong Pengarah j-QAF dari JPN seluruh negara pada kali ini bertambah seri dengan kehadiran Timbalan Pengarah BPI, Tuan Haji Mohd bin Haji Taib diiringi Ketua Unit Pengurusan Guru; BPI Puan Farhana dan Pengurus Projek , Tuan Haji Nahwiuddin.

Perjalanan mesyuarat bermula jam 8.30 malam 22/6/10 dengan Pembentangan Taklimat oleh Tuan Timbalan Pengarah BPI dan Mesyuarat yang menyentuh isu-isu semasa Guru j-QAF dan Isu-Isu Penempatan dan Pertukaran Guru j-QAF seluruh negara. Turut dibincangkan dalam mesyuarat pada kali ini ialah isu-isu penangguhan dan penyelarasan maklumat penangguhan guru dalam latihan dan penempatan selepas tamat kursus KPLI/LPBS SR program j-QAF ambilan Januari 2009.

Memo penempatan Guru Pendidikan Islam Program j-QAF Ambilan Januari 2009 dijangka akan diampaikan kepada semua calon di IPG seluruh negara pada minggu ke 2 Julai 2010 akan datang. Semua calon GST program j-QAF kini sedang bertungkus-lumus dalam KISSM di IPG tempat kursus masing-masing. Penempatan GST program j-QAF bagi negeri Kedah pada tahun ini melibatkan sejumlah 154 orang GPI Program j-QAF dari opsyen Bahasa Arab, Pendidikan Islam dan Pengajian Islam Pendidikan Khas. Semoga dengan tawaran perlantikan sebagai GST program j-QAF yang akan dibuat nanti menjadikan anda bakal guru yang akan dapat mencurahkan bakti dan keringat kepada warisan agama dan bangsa ke arah memantapkan pencapaian Pendidikan Islam di sekolah penempatan anda nanti.



Rabu, 2010 Jun 23

Semua Calon Lulus Kursus Diserap Guru Tetap

PUTRAJAYA 22 Jun - Semua calon yang telah lulus kursus perguruan tidak akan lagi dilantik sebagai Guru Sandaran Terlatih sebaliknya diserapkan sebagai guru tetap tidak lama lagi.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ini kerana kerajaan bukan sahaja dapat menjimatkan kos dan masa tetapi juga memberikan status perjawatan yang lebih baik kepada guru terlatih itu.

''Dalam pengambilan yang akan datang, kita tidak perlu ada guru sandaran terlatih lagi dan kalau ada jawatan yang kita perlukan, penempatan boleh dibuat secara langsung ke mana-mana sekolah yang sesuai.

''Apa yang penting kita hendak guru yang cukup baik dan terpilih diberikan jawatan tetap selepas proses tapisan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Persidangan Perkhidmatan Pendidikan 2010 anjuran Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) di sini hari ini.

Sehubungan itu, Muhyiddin berkata, bagi melaksanakan tindakan tersebut, sewajarnya perkongsian maklumat dari segi data pelatih antara Kementerian Pelajaran, Kementerian Pengajian Tinggi dan SPP dapat diperkemaskan.

Ini supaya proses pelantikan ke jawatan tetap itu dapat dilaksanakan dengan cekap, pantas dan berkesan.

''Buat masa ini pemilihan calon untuk mengikuti kursus perguruan dikendalikan Bahagian Pendidikan Guru Kementerian Pelajaran dan Unit Pusat Universiti Kementerian Pengajian Tinggi.

''Mereka yang telah lulus latihan kemudiannya akan dilantik sebagai guru oleh SPP," katanya.

Terdahulu dalam ucapannya, beliau menggariskan lima syor yang sedang dilaksanakan oleh kerajaan dalam usaha meningkatkan kualiti guru.

''Lima syor itu adalah mengadakan kempen merekrut calon-calon guru terbaik, memastikan guru-guru menumpukan sepenuhnya kepada tugas mengajar dan bukannya tugas perkeranian.

''Selain itu, meningkatkan akauntabiliti institut pendidikan guru melalui pengenalan sistem penarafan berdasarkan tahap kecemerlangan masing-masing, merekrut guru-guru berkualiti dalam bidang kritikal dan menambahbaik laluan kerjaya guru," katanya.

Utusan Malaysia Online: 23 Jun 2010

Tuesday, June 8, 2010

Selasa, 2010 Jun 08

Ubah Kaedah Pengajaran

2010/06/08

KUALA LUMPUR: Guru di negara ini perlu melakukan pembaharuan dalam kaedah pengajaran terutama di dalam kelas dalam usaha menambah baik kaedah pembelajaran sekali gus untuk menarik minat murid dan pelajar bersesuaian dengan keperluan semasa.

Timbalan Pengarah Pendidikan Guru dan Pembangunan Profesional, Datuk Asariah Mior Shaharuddin berkata, kaedah pendidikan bukan suatu yang statik sebaliknya guru perlu mengubah minda jika tidak mahu ketinggalan di samping mewujudkan suasana kelas yang menyeronokkan bagi mengelakkan pelajar terbabit bosan untuk menghadiri kelas. “Guru perlu kreatif untuk menarik pelajar ke kelas berikutan banyak alternatif lain seperti televisyen, Internet yang menjadi pesaing kepada guru itu. Mereka perlu peka dengan persekitaran selain mengajar cara moden dan menjiwai pelajar mereka.


“Kami tahu cabaran guru masa kini amat berat. Mungkin, dulu murid tidak begitu pandai kerana tidak didedahkan dengan pelbagai teknologi yang mungkin boleh mempengaruhi mereka. “Oleh itu, guru perlu menerima pembaharuan ini dan cuba meningkatkan mutu pengajaran pada masa depan,” katanya dalam sidang media di Persidangan Antarabangsa Persatuan Pengajaran Bahasa Inggeris Malaysia (Melta) ke-19 di Hotel Royale Chulan, di sini, semalam. Persidangan disempurnakan Sultanah Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah.


Sementara itu, Sultanah Johor bertitah, guru di negara ini perlu diberi penghargaan dan pengiktirafan sejajar pengorbanan mereka mendidik anak bangsa menjadi manusia berguna. “Ramai yang berjaya pada hari ini kerana jasa guru mendidik mereka. Tanpa mereka, kita tidak tahu di mana kita berada sekarang. Bagi saya, guru perlu dihormati dan diangkat martabatnya sesuai dengan pengorbanan mereka selama ini.


“Ramai ibu bapa menyalahkan guru jika anak mereka berkelakuan buruk malah ada menyerahkan tanggungjawab mendidik 100 peratus kepada guru ketika di sekolah walhal tanggungjawab itu tidak seharusnya terpikul kepada guru semata-mata, mereka juga perlu bersama mendidik,” katanya.

Sunday, June 6, 2010

Ahad, 2010 Jun 06

Pengetua Atur Cuti Sabtu Guru

2010/06/06

KUALA LUMPUR: Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB) mencadangkan guru besar dan pengetua mengeluarkan takwim serta mengatur jadual guru dengan terancang supaya pelaksanaan cuti dua kali Sabtu sebulan dapat dilaksanakan seperti ditetapkan pekeliling Kementerian Pelajaran.

Presiden KGMMB, Mohamed Sabri Mohd Arsad, berkata hanya perancangan teratur akan menjamin pelaksanaan cuti dua kali Sabtu itu berjalan lancar dan sebaiknya guru terbabit dimaklumkan lebih awal.
Katanya, beliau tidak mahu perkara berkenaan hanya tertulis sebagai pekeliling saja tetapi tidak dapat dipraktik dan guru terus menerima bebanan tugasan yang banyak.

“Kita harap dengan adanya pekeliling itu, tiada pihak lain seperti Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) mengambil kesempatan untuk melaksanakan program atau kursus pada Sabtu yang sepatutnya menjadi waktu rehat guru. Apa yang penting, hal berkaitan sekolah dan pelajar perlu diutamakan berbanding program peringkat PPD,” katanya.

Beliau mengulas kenyataan Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom, kelmarin mengenai usaha terbaru Kementerian Pelajaran mewajibkan guru besar dan pengetua memberikan guru dua kali Sabtu setiap bulan untuk mengurangkan beban tugas mereka.

Katanya, guru besar dan pengetua tidak boleh memaksa guru bertugas pada setiap Sabtu untuk aktiviti kokurikulum dan akademik bagi memberi ruang kepada mereka berehat.

Sabri berkata, beliau berpendapat pemberian cuti dua kali Sabtu setiap bulan itu memberi kebaikan kepada sekolah yang mempunyai dua sesi yang menggunakan bangunan sekolah yang sama.
“Pemberian cuti itu akan memudahkan guru di sekolah dua sesi merancang jadual mereka dan bagi sekolah satu sesi kita harap dengan pemberian cuti dua kali Sabtu itu tidak timbul lagi guru bertugas sehingga 4.30 petang selepas memulakan tugas seawal 7.30 pagi,” katanya.

“Sepatutnya dengan adanya cuti pada Sabtu, guru boleh merancang aktiviti kokurikulum dan akademik dengan lebih sistematik dan mereka boleh pulang awal kerana tidak perlu melaksanakan aktiviti selepas waktu pengajaran,” katanya.

Kelmarin, Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Hashim Adnan, meminta semua pengetua dan guru besar supaya akur dengan surat pekeliling yang dikeluarkan Kementerian Pelajaran itu.

Katanya, tindakan segelintir pengetua dan guru besar yang memaksa guru mereka mengajar kelas tambahan pada setiap hari Sabtu hanya merugikan pihak sekolah dan guru itu sendiri.


* yang penting KBS dan Aktiviti Persatuan BA, Kelab Tulisan Jawi dan Khat dapat bergerak sederap

Berita Harian Online: 6 Jun 2010