Sunday, August 16, 2009

Pematauan Anugerah SABK Kualiti (Q) 2009

16Ogos- Sehari suntuk saya, Ustaz Ismail Yahya dan Ustaz Musa Jayyid berkunjung ke sekolah yang telah ditugaskan kepada kami untuk membuat pemantauan kualiti SABK. Dari awal pagi hingga ke tengahari kami bertandang ke SMA Irsyadiah, Jeneri. Tak pernah lagi saya sampai ke kawasan sekolah tersebut. Inilah kali pertama saya melihat perkembangan yang berlaku di sekolah tersebut. Menurut Tuan Pengetua, Ustaz Tarmizi, banyak telah berlaku perubahan dari segi fizikal dan penyertaan murid serta penglibatan masyarakat sekeliling di sekolah tersebut. Dulunya serba kekurangan, tapi kini hampir semuanya melengkapi seperti sebuah institusi yang setanding dengan institusi pendidikan lain. Cuma infrastrukturnya semakin ditambah baikpulih dan disesuaikan dengan keperluan semasa.
Suasana sekolahnya cukup sesuai sebagai pusat pengajian walaupun kawasannya tidak berapa luas seperti sesetengah SMK. Tapi muridnya sejuk mata memandang, tertib dan peramah. Mudah diajak bicara dan mesra berbudi bahasa. Pemantauan kami pada separuh hari ini meliputi pelbagai aspek yang berkaitan dengan perjalanan aktiviti hari-hari dipersekolahan, kawasan, kemudahan, kemesraan, keselamatan, asrama dan penghuninya. Semoga SMA Irsyadiah, Jeneri berdiri sama gagah dengan sekolah-sekolah yang telah berjaya dipersada negara.

Pada sebelah petangnya pula saya dan Ustaz Musa Jayyid bergegas pula ke SMA Ma'ahad Tahfiz Al-Quran Al-Abidin , Pokok Tai, Daerah Pendang untuk urusan yang sama. Kehadiran kami ditunggu oleh Pentadbir sekolah tersebut Ustaz Badrul Hanif bin Sulaiman dan beberapa guru. Hujan lebat ketika kami sampai seolah-olah meraikan kedatangan kami. Tugasan perlu diselesaikan juga.

pertemuan anak murid dan gurunya



Proses menyiapkan beberapa blok bangunan sedang rancak berjalan. Dengan jumlah muridnya hampir 200 orang, serta kemudahan asrama lelaki dan perempuan, perjalanan pengajian berjalan seperti sediakala. Walaupun terganggu dengan bunyi bising kerja-kerja menyiapkan bangunan, ianya sudah menjadi kebiasaan dan boleh disesuaikan oleh penghuninya. Semoga dengan siapnya beberapa bangunan utama itu nanti SMA MATA akan terus cemerlang dan gemilang.

Wednesday, August 12, 2009

Berlabuh Sudah Pemantauan Bersepadu Pelaksanaan Pendidikan Islam Program j-QAF di Daerah Baling/Sik.

12 Ogos- Berlabuh sudah sauh pemantauan pelaksanaan program j-QAF sekolah-sekolah 2005/2006 daerah Baling/Sik pada petang ini. Namun sauhnya tidak cukup kuat menjunam ke dasar. Mana-mana sekolah yang tidak sempat dilawati akan dikunjungi kemudiannya. Bila....? tidak tentu hari dan tarikh, mungkin esok, minggu depan atau hari-hari yang bersesuaian. Tapi kena pi jugak.....


dah jumpa dah....! Inilah rekod tasmik berkelompok
yang saya dok melilau cari di merata daerah


sedia membantu & dibantuini yang kita semua mahu......

GB yang sentiasa sedia membantu anak buahnya

Buai laju-laju, sampai pucuk atap. Baru tahun satu dah pandai baca Al-Kitab


muafakat membawa berkat

3.30 petang sekumpulan pegawai pemantau berlabuh di Masjid Al-Rahman, Pekan Sik. Masing-masing nampak keletihan dan ada yang hampir lesu walaupun hari masih awal. Lesu bukan kerana letih, tapi lesu kerana isu dan dapatan yang dikumpul .Muzakarah halaqah selama kurang lebih 40 minit memberi suntikan dan semangat, pegawai kembali segar. Di wajah Ustaz Mohammad Yusuf , Penyelia Pendidikan Islam PPD Baling/Sik kelihatan serba tak kena. Tapi yang positifnya beliau akan segera bertindak mengatasi masalah yang ada. Bai'ah dari saya, sedia membantu. Tak pa, itu semua adalah pengalaman dan cara kita mengenal sikap dan watak guru-guru kita. Yang mantop dan hebat-hebat pun banyak kita temui, yang madah berhelah jua ada di mana-mana. Yang membisu seribu bahasa, khabarnya zon selesa, tapi tidak ke mana-mana. Kalau anak murid tak tau baca Al-Quran guru di zon selesa....tak tau nak kata apa jugalah kita....Yang penting nampaknya banyak lagi tugas yang perlu dilakukan untuk membantu rakan guru Pendidikan Islam di SK demi untuk memantapkan Pendidikan Islam Program j-QAF seperti diharapkan. Ada banyak kemungkinan yang boleh dinilai dan dijadikan kayu pengukur oleh semua pegawai yang terlibat untuk dilakukan. Bak kata tak pantau tak tau....

Terima kasih kepada Ustaz Mohamad Yusuf dan Tuan Haji Zahari Majid yang setia membantu, terima kasih kepada semua Tuan Guru Besar, Penolong Kanan, semua pegawai SPI dan UPI yang terlibat dan semua guru Pendikan Islam SK yang terlibat dalam pemantauan kali ini. Insya Allah ada masa ketemu lagi. Apa yang penting, kekalkan kerjasama, kuatkan muafakat, jadikan teguran sebagai azimat penguat semangat untuk terus mendidik murid mencapai hasrat yang difokuskan. Kuatkan azam dan tekad untuk membantu anak murid sesuai dengan zaman mereka, tunaikan hak yang perlu kita tunaikan hak-hak mereka. Mudah-mudahan kita mendapat berkatnya. Apa yang penting ...."kerjaaasama"! Apa yang penting .... rujuk buku panduan. Apa yang penting ..... saling pesan memesan! Selamat bertugas demi untuk memantapkan Pendidikan Islam di SK. Siapa lagi kalau bukan kita......?

takpa....jangan gelabah, yang penting kerjasama

Pemantauan Bersepadu Pelaksanaan Pendidikan Islam Program j-QAF di Daerah Baling/Sik.

10-12 Ogos- Minggu ini agak kelam kabut. Anak-anak beransur pulih dari demam tetapi tidak ke sekolah lagi kerana khuatir dengan wabak H1N1 yang kini melanda Kedah pula. Minggu peperiksaan percubaan PMR sudah hampir sangat dah. Rata-rata dalam keadaan berawas-awasi diri dan keluarga. Moga Allah jauhkan bala ujianNYA ini secepat mungkin dari negara kita.


barisan mantap GPI dan GPI j-QAF SK Syed Sheh

Walaupun dalam situasi sedemikian, perancangan awal untuk melaksanakan satu lagi siri Pemantauan Bersepadu Program j-QAF ke daerah Baling Sik perlu diteruskan jua. Perancangan rapi telah dibuat oleh pegawai penyelarasnya di PPD Baling Sik; Ustaz Mohd Yusuff Abdullah. Walaupun demikian tidak semua pegawai yang dilantik melaksanakan pemantauan ini dapat bertugas di daerah Baling Sik sepenuhnya pada kali ini, kerana masing-masing mempunyai komitmen yang lebih utama dalam urusan masing-masing. Oleh itu ada beberapa sekolah yang dijangka berlaku pemantauan tidak dapat terlaksana. Namun demikian pemantauan susulan akan berlaku di sekolah-sekolah terlibat dalam jangkamasa terdekat.

Bagi pegawai yang berkesempatan, saya dahului dengan ucapan ribuan terima kasih dan syabas di atas komitmen padu tuan-tuan ke arah memantapkan Pendidikan Islam Sekolah Rendah melalui pelaksanaan Program j-QAF ini. Sebenarnya banyak lagi perkara yang perlu diambilkira untuk menjadikan perjalanan j=QAF ini benar-benar mantap . Oleh itu sumbangan padu tenaga dan buah fikiran amat-amat ditagih dari tuan-tuan yang berpengalaman dan berkesempatan memberi sumbangan. Masa yang kian suntuk dan perjalanan yang semakin pendek dalam program j-QAF di SK ini membuatkan saya agak risau tentang pencapaian murid pada 2010 nanti. Di samping berusaha membantu sekadar mampu ditambah lagi komitmen guru-guru Pendidikan Islam dan Guru Pendidikan Islam Program j-QAF; selebihnya saya pulangkan kepada ketentuan Ilahi. Semoga unjuran pencapaian murid program j-QAF di Kedah khususnya akan melegakan kita semua.


taklimatdan dialog pemantauan di SK Tunku Putera

Dalam sesi lawatan yang dilakukan dalam tempoh dua hari di daerah Baling Sik, ada kedapatan sedikit perubahan berlaku dalam proses P&P program j-QAF iaitu penggunaan BBM. namun demikian agak sedikit kecewa kerana penggunaan BBM dalam bentuk ICT masih kaku dan tidak berfungsi, sedangkan ledakan ICT ini berlaku di mana-mana dan blog-blog j-QAF begitu hebat tumbuh seperti cendawan selepas hujan. Tetapi hakikatnya ledakan ICT ini berlaku atau tidak dalam proses P&P yang boleh membantu keberkesanannya ? Sekadar menggunakan kertas edaran semata-mata dan manila card adalah situasi yang berlaku di zaman awal saya atau rakan sebelum saya mula-mula bertugas dahulu. Malah kaedah itu telahpun saya pindahkan ke era ICT yang banyak menggunakan persembahan power point dalam P&P dihujung tahun 90an dan awal abad 21 ini, dan penggunaan audio video serta radio kerap menjadi kemestian dalam P&P kami pada ketika itu. Ini kerana ia mudah , berkesan dan menarik minat serta menjimatkan waktu.

Penggunaan BBM ICT dan kaedah pecahan murid mengikut aras penguasaan murid masih tidak menampakkan cahaya secerah harapan saya dalam taklimat-taklimat sebelum ini yang telah saya sarankan di sepanjang taklimat di semua daerah negeri ini. Namun demikian agihan tugas guru dalam P&P sudah mula aktif dalam pemantauan kali ini dan aksi kaku guru pendamping sudah mula nampak aktif dan saling bekerjasama. Banyak lagi penemuan yang didapati rakan sejawat dan insyaALLah akan kami rumuskan dalam pertemuan akan datang di peringkat negeri untuk perhatian kita semua. Semoga hari seterusnya akan kami temui contoh terbaik dari persembahan P&P di Baling Sik.

Tuesday, August 11, 2009

Mesyuarat Penyelarasan Pelaksanaan Program j-QAF IPGM Kampus Darulaman dan Sektor Pendidikan Islam, JPN Kedah 1/2009

9Ogos- Minggu lalu saya berada di Hotel Capitol, Kuala Lumpur untuk dua urusan serentak iaitu Mesyuarat Pengurusan Sektor Pendidikan Islam / Kursus Fail Meja dan Mesyuarat Jawatankuasa Penyelarasan Data e-Pelaporan Program j-QAF 6 Bulan 1/2009.

mesyuarat berjalan lancar, di akhir mesyuarat
majlis meraikan Ust Imran, kini pensyarah kanan Matrikulasi Changloon.

masing-masing sebok menyiapkan data diperingkat akhir

berehat sebelum pembedahan...moga cepat sembuh.
sendirian diHKL ... kini rehat di rumah

Pada awal minggu ini iaitu pada 9 Ogos yang lalu, saya bersama semua Pegawai Khas j-QAF (kecuali Ustaz Nadzhari; baru lepas pembedahan dan Ustaz Burhanurdin; demam)dari setiap daerah yang menguruskan pelaksanaan program j-QAF di negeri ini telah menghadiri satu mesyuarat anjuran Jabatan Pendidikan Islam dan Moral, IPGM Kampus Darulaman yang saya kira penting dan perlu untuk menyelaraskan perjalanan j-QAF di negeri ini khasnya.


komitmen tinggi

Mesyuarat telah diadakan di bilik Sanet bermula jam 9.00 pagi dan berakhir pada jam 12.45 tengahari. Mesyuarat dipengerusikan oleh Ustaz Ahmad Zaki bin Hashim Ketua Jabatan Pendidikan Islam dan Moral. Turut hadir dalam mesyuarat tersebut di pihak IPGMKD ialah Penyelaras Program j-QAF IPGMKD Ustaz Asri, Ustaz Zakaria, Ustaz Azhar dan Ketua Unit Praktikum IPGMKD Encik Hishamuddin. Turut hadir Ustaz Musa Jayyid dan Ustaz Khairulanwar Mohd Ali dari SPI.

pegawai yang hebat idea dan komited

Taklimat awal berkenaan pelaksanaan praktikum dan pengurusan j-QAF turut dibentangkan dalam mesyuarat tersebut oleh IPGMKD dan saya sendiri. Banyak isu yang telah dikemukakan dan diperbincangkan untuk mencari satu resolusi yang terbaik bagi memantapkan lagi kerjasama antara dua pihak dalam tugas-tugas berkaitan pelaksanaan program j-QAF kepada GDL/LPBS KPLI yang selama ini telah dikendalikan oleh SPI,JPN Kedah dan IPGMKD. Mesyuarat memutuskan agar pertemuan seperti ini akan terus berlangsung di masa hadapan dan segala resolusi yang dicapai dapat diketengahkan kepada pihak berkaitan dan tindakan susulan dapat diambil dengan lebih berkesan. Semoga perbincangan ke arah penyelarasan tugas dalam pelaksanaan program j-QAF seumpama ini akan dapat menyelesaikan beberapa permasalahan dan kekeliruan yang berlaku di kalangan GDL program j-QAF di bawah seliaan IPGMKD dan JPN Kedah.

Sunday, August 2, 2009

Pemantauan SK Program j-QAF Kohort 2005 Daerah Kota Setar


28 Julai- Pemantauan kali ini bermula pada 28 hingga 30 Julai 2009. Sekolah terlibat diharap telah pun persediaan untuk menerima kunjungan pegawai-pegawai dari UPI dan SPI melibatkan 24 buah sekolah programj-QAF kohort 2005. Seramai 20 orang telah disenaraikan dan mereka dipecahkan kepada empat kumpulan untuk bertanggungjawab membuat pemantauan ke dua buah sekolah pada setiap hari pemantaun dilakukan.

Hasil dapatan akan dibuat rumusan dalam satu mesyuarat khas berhubung dengan pemantauan tersebut. Laporan pemantauan akan dikeluarkan dan jika perlu tindakan susulan dalam tempoh masa terdekat akan dilakukan semula kepada sekolah-sekolah yang perlu.

Terima kasih diucapkan kepada semua pegawai yang telah menyumbang tenaga dan buah fikiran dalam pemantauan tersebut. Tidak lupa juga ucapan terima kasih ditujukan kepada semua pentadbir sekolah yang menerima kunjungan pegawai-pegawai yang telah ditugaskan ke sekolah tuan-tuan. Kepada semua Guru Pendidikan Islam dan Guru Pendidikan Islam Program j-QAF diucapkan ribuan terima kasih di atas persdiaan tuan/puan untuk mlakukan persembahan yang terbaik dalam proses P&P pada hari-hari pemantauan tersebut. Jika hari itu persembahan P&P anda yang terbaik , tingkatkan supaya ia lebih cemerlang dan memberi bekas dan kesan yang mendalam kepada anak-anak didik tuan/puan. Jika ada yang menerima teguran dan cadangan, maka lakukanlah terus tanpa teragak-agak. Jika hari ini anda tidak berubah untuk kecemerlangan kerjaya dan kecemerlangan penyampaian ilmu pada anak-anak murid anda, bila lagi waktu yang sesuai dan terbaik untuk itu semua.

Akhir sekali sekalung terima kasih kepada Pegawai Khas j-QAF;Ustaz Dziauddin dan pegawai di UPI Kota Setar yang telah banyak bersusah payah menyusun jadual dan membuat hubungan antara semua pegawai dan pentadbir sekolah bagi mengatur segala pergerakan untuk menjayakan siri pemantauan pada kali ini. Segala kekurangan harap dimaafi.

Berkunjung Ke SMA Annajah, Baling

27Julai- Jam 9.30 pg saya telah sampai ke SMA Annajah, sekolah SABK yang diberikan tugasan kepada saya sebagai mentor. Hajat hendak berkunjung ke sini sudah lama, tapi baru hari ni dan atur langkah ke sana. Kawasan sekolah agak ceria disudut hadapannya tetapi di bahagian belakang bangunan sedia ada agak mengganggu pandangan kerana sedang dalam proses membina dua blok bangunan empat tingkat yang baru mencecah RM 5 juta. Pembinaannya baru bermula dan dijangka akan siapa pada bulan 10/2010. Semoga siap seperti dijangkakan.Tujuan kunjungan saya kali pertama pada hari ini adalah untuk meninjau persekitaran dan bertanya khabar tentang perjalanan sekolah sudah 7 bulan berlalu 2009. Selain dari itu juga bertujuan untuk menjalinkan silatulrahim dengan pentadbiran dan semua warga sekolah yang ada dan melihat SMA Annajah dari sudut yang lebih dekat.
Sehubungan itu juga, saya sempat juga untuk bertanya khabar tentang persediaan pihak sekolah untuk menerima pemantauan Anugerah Kualiti SABK yang telah berlangsung sejak 15 Julai dan dijangka berakhir 20 Ogos akan datang. Perbincangan sedikit sebanyak menyentuh aspek akademik, kemesraan, kebersihan, pengurusan disiplin murid dan keceriaan yang akan diselia nanti. Kunjungan saya berakhir jam 1.45 petang. Semoga SMA Annajah bertambah giat menuju kecemerlangan rohani dan jasmani serta setanding dengan sekolah-sekolah yang cemerlang dan gemilang dipersada negara.