Sunday, May 30, 2010

e-Laporan Pencapaian Murid Program j-QAF Jun 2010

PROSES e-LAPORAN PENCAPAIAN MURID PROGRAM j-QAF JUN 2010 AKAN BERMULA DI PERINGKAT TAKLIMAT PEGAWAI JPN DAN JURULATIH UTAMA NEGERI SELURUH NEGARA PADA MINGGU PERTAMA JUN 2010 INI. MAKLUMAT SETERUSNYA AKAN DIMAKLUMKAN DI PERINGKAT NEGERI KEPADA SEMUA PEGAWAI YANG MENGURUSKAN PROGRAM j-QAF DAN JU e-LAPORAN MINGGU BERIKUTNYA ( DALAM WAKTU CUTI PERTENGAHAN TAHUN 2010). MAKLUMAT AWAL , DIFAHAMKAN BAHAWA FORMAT e-LAPORAN 2009 TIDAK BOLEH DIGUNAKAN UNTUK TAHUN 2010. e-LAPORAN 2010 ADALAH BARU BERDASARKAN KEPERLUAN DAN PERUBAHAN TERKINI.

Dijangkakan antara perubahan ketara dalam format laporan pencapaian j-QAF 2010 :

1. Kem Bestari Solat ( Solat Tambahan ) Untuk Tahun 4, 5 & 6.
2. Khatam Al-Quran. Bahagian Ayat Tertinggi menggunakan Muka Surat Al-Quran
berdasarkan sukatan. Bukannya berdasarkan ayat tertinggi dalam sukatan.
3. Bahasa Arab Tahun 3 berdasarkan soalan yang dibekalkan oleh BPK. Bukannya PKSR.
4. Bahasa Arab Tahun 2 ialah jumlah skala kadar sebulan ialah 40. Bukannya 35. Rujuk Buku
Panduan Guru Bahasa Arab.
5. Laporan Kem Lestarasi Al-Quran; sebelum dan selepas kem.


SEMENTARA MENUNGGU FORMAT e-LAPORAN 2010 YANG TERKINI, SEMUA GURU YANG BERKAITAN DIMINTA MENGEMAS KINI DAN MEMASTIKAN DATA MENTAH SEPERTI BORANG SKOR PKSR, UJIAN JAWI, BORANG PENGESANAN KBS DAN SEBAGAINYA SIAPSEDIA UNTUK BEROPERASI BILA DIPERLUKAN. PEMBAHAGIAN TUGAS DI KALANGAN GPI DAN GURU j-QAF PERLU BAGI MEMUDAHKAN PROSES e-LAPORAN SELANJUTNYA PADA KALI INI.

KERJASAMA DAN TINDAKAN PERLU YANG DIBERIKAN KE ARAH MEMANTAPKAN SISTEM MAKLUMAT e-LAPORAN DARI SEMUA PIHAK DIDAHULUI DENGAN UCAPAN RIBUAN TERIMA KASIH.

SEKIAN.

Saturday, May 29, 2010

Pelan Tindakan Strategik 2010 JPN Kedah


JPN Kedah Garis Enam Matlamat

Jumaat, 2010 Mei 28

KUBANG PASU 27 Mei - Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) Kedah menggariskan enam matlamat dalam rangka Pelan Tindakan Strategik 2010 jabatan itu bagi melahirkan bangsa yang unggul dari segi ilmu dan akhlaknya.

Pengarah Pelajaran negeri, Shahidan Abd. Rahman berkata, enam matlamat strategik itu berpaksikan pada kecemerlangan kepimpinan sekolah, pembinaan sekolah yang berkualiti dan kemantapan integriti serta kecekapan pengurusan pendidikan.

Selain itu, katanya, pembangunan modal insan berilmu, berakhlak mulia dan berketerampilan, penjanaan kecemerlangan akademik berterusan serta pemantapan penguasaan kemahiran asas di kalangan pelajar.

"Menjadi harapan saya agar semua warga pendidik di Kedah dapat sama-sama menghayati dan berusaha untuk melaksanakan program yang telah dirancang demi melonjakkan agenda pembangunan pendidikan sedia ada," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Perayaan Hari Guru Peringkat Negeri Kedah yang disempurnakan oleh Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah di Institut Pendidikan Guru, Kampus Darul Aman di Jitra di sini baru-baru ini.

Dalam pada itu, Shahidan mengajak semua golongan pendidik supaya sentiasa berusaha dan beriltizam tanpa jemu untuk melonjakkan sistem pendidikan agar mampu melahirkan negara bangsa mengikut acuan sendiri.

Menurutnya, dalam usaha menjulang kecemerlangan organisasi pendidikan, tidak ada orang lain yang dapat membantunya kecuali diri pendidik itu sendiri.

Katanya, setiap guru memiliki potensi amat besar untuk menjadi pendidik yang profesional dengan sikap profesionalisme tinggi, bersedia, mahu dan sanggup mengubah paradigma serta pendekatan terutama daripada aspek pengajaran dan pembelajaran.

"Seorang guru yang penuh iltizam, dedikasi, komited, berwawasan dan bertanggungjawab tidak akan mengkhianati tugas serta murid-muridnya.

"Prinsipnya ialah para guru mesti faham bahawa tugas mendidik merupakan satu pekerjaan yang sangat mulia. Guru mestilah menganggap pergi ke sekolah sebagai pergi ke medan jihad dan kerja mengajar sebagai satu ibadah," katanya.

Menurut Shahidan, guru-guru seumpama itu tidak akan cepat melatah atau menyalahkan keadaan dan tempat sebaliknya menilai diri sendiri terlebih dahulu selain berusaha meningkatkan keterampilan serta kewibawaan diri.

Utusan Malaysia Online: 28 Mei 2010

Thursday, May 27, 2010

Kena Banyak Sabar. Pastikan Ada Pendidikan Dalam Tindakan

Tamparan 'Maut' Guru


Oleh :
Riadz Radzi
riadz@hmetro.com.my
2010/05/26

KODIANG: Seorang murid tahun lima sebuah sekolah rendah di sini, berdepan risiko menjadi pekak selepas gegendang telinga kirinya pecah dipercayai akibat ditampar seorang gurunya, Khamis lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.45 tengah hari, Mohd Khairul Azri Zulkifli, 11, murid Sekolah Kebangsaan Siputeh, Padang Sera, dekat sini, turut bengkak di dahi apabila kepalanya terhentak ke dinding selepas ditampar guru lelaki berusia 40-an itu.


Bapanya, Zulkifli Romli, 45, ketika ditemui berkata, pada hari kejadian anak bongsunya itu pulang ke rumah kira-kira jam 1.30 tengah hari dan terus tidur.


Dia berkata, tidak lama kemudian, anaknya mengadu kepada ibunya, Che Waqi Baharom, 45, telinga kirinya sakit dan selepas diperiksa didapati ada kesan darah.


“Apabila ditanya, barulah dia mengaku ditampar guru di sekolah. Saya membawanya ke klinik di Arau, Perlis, sebelum dirujuk ke Hospital Tunku Fauziah, Kangar, kira-kira jam 9 malam.


“Namun, pihak hospital kemudian merujuk anak saya kepada pakar telinga, hidung dan tekak (ENT) keesokannya dan mereka mengesahkan gegendang telinga kiri Mohd Khairul Azri pecah. Pemeriksaan juga menunjukkan anak saya mengalami masalah dengan pendengarannya,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Kubang Menerung di sini, semalam.


Katanya, anaknya perlu menjalani rawatan susulan bulan depan dan sekiranya gegendang telinganya masih rosak, dia perlu menjalani pembedahan.


Mohd Khairul Azri ketika ditemui mengakui telinganya sakit selain masih mengalami masalah pendengaran.


Difahamkan, kejadian itu bermula apabila seorang guru wanita mengarahkan murid dalam kelas Mohd Khairul Azri berpindah dari tingkat dua ke tingkat bawah blok bangunan sekolah itu.


Kebetulan, kelas di tingkat bawah itu masih digunakan murid tahun tiga bersama guru lelaki terbabit. Difahamkan, tindakan Mohd Khairul Azri memasuki kelas bersama tiga rakannya ketika guru lelaki itu masih di dalam kelas berkenaan mengundang kemarahannya.


Zulkifli berkata, guru terbabit memarahi anaknya dan tiga murid terbabit sebelum menampar keempat-empat mereka. Difahamkan, seorang daripada rakan Mohd Khairul Azri turut cedera di mulut apabila terjatuh ke lantai selepas ditampar.

“Saya kecewa dengan tindakan kasar guru itu. Dia sepatutnya tidak berbuat demikian terutama di depan lebih 30 murid lain. Malah, kejadian itu juga berlaku di depan guru wanita itu yang sepatutnya melaporkan kejadian itu kepada guru besar,” katanya yang membuat laporan di Balai Polis Kodiang, Ahad lalu.


Katanya, dia juga kecewa dengan pihak sekolah yang tidak memaklumkan kepadanya keputusan mesyuarat pihak sekolah bersama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) mengenai kejadian itu, Ahad lalu.


Zulkifli berkata, walaupun masih sakit, anaknya tetap ke sekolah semalam dan kelmarin kerana perlu menduduki peperiksaan pertengahan tahun.


Sementara itu, guru besar sekolah itu ketika dihubungi berkata, pihaknya sudah melawat kanak-kanak itu di rumahnya, Sabtu lalu dan sudah pun meminta maaf.

myMetro: 26 Mei 2010

Monday, May 24, 2010

Tokoh Syor Empat Langkah Kurang Beban Tugas Guru
Oleh Syuhada Choo Abdullah

2010/05/24

Konsep ‘masyarakatkan pendidikan’ tak perlu kos tambahan

KUALA LUMPUR: Tokoh akademik dan bekas Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Dr Abdul Rahman Arshad, menyarankan empat langkah khusus untuk mengurangkan beban tugas guru di sekolah melalui konsep ‘memasyarakatkan pendidikan’ yang tidak mencetuskan kos tambahan kepada kerajaan.

Empat langkah berkenaan ialah memanfaatkan sepenuhnya peranan ibu bapa untuk menjayakan aktiviti di sekolah, mengoptimumkan pembabitan sektor swasta dalam pembangunan bidang pendidikan, mempergiatkan sumbangan bekas pelajar, serta mewujudkan persatuan pesara guru.

Beliau yang bertanggungjawab dalam penghasilan Laporan Abdul Rahman Arshad yang mengandungi 82 perakuan pada Ogos 1996, berkata sudah tiba masanya Kementerian Pelajaran memberi penekanan serius terhadap pelaksanaan konsep berkenaan, sekali gus memperluaskannya ke sekolah di seluruh negara.

“Menggembleng sepenuhnya kerjasama serta peranan ibu bapa dalam pelaksanaan aktiviti di sekolah, terutama bidang kokurikulum, secara langsung akan membantu guru memfokus kepada tugas pengajaran dan pembelajaran.

“Sebagai contoh, ibu bapa diberi ruang dan kepercayaan untuk mengatur serta mengendalikan penganjuran Hari Sukan di sekolah yang membabitkan banyak kerja di luar bilik darjah dan memakan masa guru selama ini,” katanya kepada Berita Harian.

Akhbar baru-baru ini melaporkan sebanyak 40 cadangan mengatasi beban tugas guru dikenal pasti oleh jawatankuasa khas yang ditubuhkan Kementerian Pelajaran bagi mengkaji masalah berkenaan, termasuk mengehadkan murid kepada hanya 25 orang bagi setiap kelas di sekolah rendah dan menengah.

Abdul Rahman berkata, Kementerian Pelajaran juga harus mempergiat usaha mengoptimumkan pembabitan sektor swasta dalam pembangunan bidang pendidikan di sekolah sebagai tanggungjawab sosial.
Dalam konteks ini, katanya, sektor swasta mampu berperanan merapatkan jurang prestasi pencapaian serta infrastruktur antara sekolah di bandar dan pedalaman.

“Matlamat ini boleh dicapai melalui program seperti anak angkat oleh syarikat swasta, tidak kira yang besar mahu pun kecil. Ketika ini, program sedemikian masih kurang dan kebanyakannya hanya terhad kepada sekolah yang majikan syarikat itu adalah alumni.

“Satu lagi langkah berkesan ialah menggerakkan secara aktif sumbangan murid tua’ atau bekas pelajar di sesebuah sekolah untuk membantu guru menjayakan program penting seperti bimbingan kerjaya dan ceramah menghadapi peperiksaan utama,” katanya.

Beliau juga mencadangkan supaya persatuan pesara guru diwujudkan bagi membolehkan golongan yang kaya dengan pengalaman itu menyalurkan idea untuk membantu Kementerian Pelajaran menangani pelbagai isu berkaitan, termasuk dalam usaha mempertingkat profesionalisme guru.

INFO: Empat langkah khusus untuk mengurangkan beban tugas guru

* Memanfaatkan sepenuhnya peranan ibu bapa untuk menjayakan aktiviti di sekolah
* Mengoptimumkan pembabitan sektor swasta dalam pembangunan bidang pendidikan
* Mempergiatkan sumbangan bekas pelajar
* Mewujudkan persatuan pesara guru

Berita Harian Online: 24 Mei 2010

Sunday, May 16, 2010

16 MEI 2010
GURU PEMBINA NEGARA BANGSA-TERIMA KASIH CIKGU.


“SELAMAT HARI GURU”


KEPADA SEMUA SAHABATKU YANG BERGELAR GURU
WALAU DI MANA ANDA BERADA


BERBURU ke padang datar
Dapat rusa belang kaki
Berguru kepalang ajar
Ibarat bunga kembang tak jadi

“SELAMAT HARI GURU”
Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya


SIAPALAH KITA SEBAGAI GURU JIKA TIADA MEREKA (PELAJAR) YANG HENDAK DIAJAR ILMU



BERBURU ke padang datar
Dapat rusa belang kaki
Berguru kepalang ajar
Ibarat bunga kembang tak jadi
(dedikasi kepada Hari Guru dan guruku tercinta)


Dialah pemberi paling setia
Tiap akar ilmu miliknya
Pelita dan lampu segala
Untuk manusia sebelum jadi dewasa.

Dialah ibu dialah bapa juga sahabat
Alur kesetiaan mengalirkan nasihat
Pemimpin yang ditauliahkan segala umat
Seribu tahun katanya menjadi hikmat.

Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa;
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.

Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya
Di sebuah sekolah mewah di Ibu Kota
Di bangunan tua sekolah Hulu Terengganu
Dia adalah guru mewakili seribu buku;
Semakin terpencil duduknya di ceruk desa
Semakin bererti tugasnya kepada negara.

Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu, guruku
Budi yang diapungkan di dulangi ilmu
Panggilan keramat "cikgu" kekal terpahat
Menjadi kenangan ke akhir hayat.

Tongkat Waran
1979





Tuesday, May 11, 2010

Pencerapan Buku Rekod Bacaan Murid Program j-QAF KMY Fasa 2/2010

11Mei- Sesi Pencerapan ke 2 PPD Kuala Muda Yan berjalan dalam keadaan yang agak padat dengan sesi taklimat serta pencerapan oleh pegawai-pegawai yang dilantik. Pencerapan berlangsung di Bilik Mesyuarat SK Taman Ria, Sungai Petani. Bilangan murid yang ramai dari sekolah-sekolah yang besar yang telah dipilih oleh UPI, PPD KMY menyebabkan ada pegawai yang tak sempat makan pagi. Walaubagaimanapun tugas lebih diutamakan. Tahniah dan terima kasih di atas semangat kerja yang mantap dan sentiasa ceria walaupun di asak dengan pelbagai soalan dan isu-isu permasalahan yang ditemui sepanjang sesi pencerapan berjalan.Sebanyak 16 buah sekolah program j-QAF kohort 2005/2006 daerah KMY telah dilakukan pencerapan oleh pegawai-pegawai yang hadir bermula jam 9.15 pagi hingga jam 4.30 petang. Mudah-mudahan semua dapatan yang diperolehi dapat dijadikan panduan dan rujukna semua guru didaerah KMY untuk dilakukan penambahbaikan dalam pegisian rekod bacaan Al-Quran murid program j-QAF pada masa akan datang dan menghasilkan impak terbaik untuk murid-murid yang berada dibangku sekolah. Apa yang penting ialah kerjasama dan saling mengambiltahu pencapaian murid untuk memastikan tahap penguasaan mereka mencapai sasaran 100% dalam model khatam Al-Quran.

Mesyuarat Pertukaran GPI (M&R) dan GPI j-QAFJun 2010 SPI dan UPI Kedah 2010.

10Mei- Mesyauarat telah berlangsung di SMK Bakar Arang , Sungai Petani. Mesyuarat sebelah pagi hingga rehat tengahari telah dipengerusikan oleh Tuan Ketua Sektor Puan Hajjah Zainab bin Md Saman. Manakala pada sebelah petang pula telah dipengerusikan oleh Keua Unit Pengurusan Pendidikan Islam, Tuan Haji Ismail bin Yahya. Semua pegawai terlibat yang telah menghadiri mesyuarat tersebut. Dijangkakan mesyuarat seumpama ini merupakan mesyuarat terakhir kerana urusan pertukaran guru pada pergerakan 1 Disember 2010 seluruh negara akan diambil-alih oleh Bahagian Sekolah di KPM.

Saturday, May 8, 2010

Bersyukurlah Dapat Jadi Guru/Guru Bak Limau Kasturi/SMS Saya Ingin Pergi Buat Selama-lamanya

SEJAK kebelakangan ini, banyak sungguh rungutan daripada mereka yang bergelar guru. Ada sahaja yang tidak puas hati terhadap apa yang dinikmati sekarang.

Bermula dengan isu guru penat mengajar, guru teraniaya, guru tersiksa mengajar di kawasan pedalaman dan entah apa-apa lagi, setiap rungutan dipaparkan bagi meraih simpati kerajaan dan orang ramai.

Meneliti setiap rungutan yang dipaparkan oleh media, nampaknya guru sekarang terlalu berkira dan tidak lagi ikhlas bekerja demi agama, bangsa dan negara.

Pepatah, guru menerangi kehidupan orang lain tidak lagi sesuai dipraktikkan kerana segala apa yang dilakukan guru sekarang, mereka mahukan pembalasan sama ada gaji lebih, elaun lebih dan lain-lain.

Jika itulah rungutan guru sekarang, cuba fikirkan tentang rakan penjawat awam atau swasta lain yang sesetengahnya bergaji jauh lebih rendah, walaupun memiliki kelulusan akademik yang sama.

Kalau tak sanggup pikul tugas sebagai guru, lebih baik letak jawatan agar murid dan pelajar tidak menjadi mangsa guru yang terlalu berkira dan tidak ikhlas bekerja.

PENOREH GETAH

Jeli, Kelantan

Utusan Malaysia Online: 8 Mei 2010

Kerjaya Guru Bak Limau Kasturi, Lilin Membakar Diri

Oleh Abdul Razak Hussin

2010/05/08

Nukilan pengorbanan beberapa pengajar serlah kemuliaan sebagai pendidik

MENJELANG Hari Guru 16 Mei yang disambut bukan saja kelompok itu malah kalangan yang menghargai peranan dan sumbangan guru, terungkap pelbagai cerita mengenai pengorbanan, jerih payah, suka dan duka mereka.
Tempoh dua tahun di Pusat Pengajian Jarak Jauh (PJJ) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) awal 2000, cukup mengajar penulis mengenal dan menghargai jasa guru membentuk modal insan untuk pembangunan negara. Kita sering mendengar guru yang bertugas di pedalaman, mengorbankan kehidupan meriah di kota atau tempat asal yang lebih membangun.

Mereka berbicara mengenai kepentingan pendidikan yang akan mengubah nasib dan masa depan. Mereka memperkatakan mengenai kegelapan hidup tanpa cahaya yang disandarkan kepada pendidikan. Justeru, guru yang ditemui membuktikan falsafah pendidikan sepanjang hayat yang didukung, dengan melanjutkan pengajian pada peringkat ijazah pertama dan seterusnya menerusi pelbagai mod.

Meskipun menghadapi kesukaran, mereka tempuh juga untuk mempertingkatkan ilmu dan keupayaan sebagai guru cemerlang yang dimanfaatkan kembali dalam pengajaran mereka. Johnny, guru di sebuah sekolah di Pitas Sabah. Beliau adalah lambang seorang guru dalam pengertian sebenar.

Beliau belajar menerusi program PJJ UKM mulai 1998 untuk menjadi guru yang lebih baik bagi digarap ilmunya dalam pengajaran di sekolah. Setiap Sabtu dan Ahad, Johnny menghadiri kuliah di Kota Kinabalu. Selepas selesai mengajar pada Jumaat, beliau berjalan kaki merentasi jalan tanah merah ke jalan raya yang mengambil masa tiga jam.

Kalau bernasib baik, dapat menumpang lori balak yang membawanya ke jalan raya untuk beliau mendapatkan kenderaan ke pekan terdekat seterusnya menaiki bas ke Kota Kinabalu. Beliau tiba pada sebelah malam dan bermalam di mana saja yang berkesempatan. Pada petang Ahad selepas selesai kuliah, beliau pulang ke rumah tumpangan di Pitas. Begitulah rutin sepanjang pengajian sehingga memperoleh ijazah sarjana mudanya.
Dengan sengaja, Aris (sahabat sejak bersekolah di Johor Bahru) memohon penempatan mengajar di pedalaman Sarawak selepas selesai pengajian di Maktab Perguruan Raja Melewar pada awal 1980-an. Beliau berada di sana selama tiga tahun untuk mengenal realiti dunia pendidikan dan pada masa sama mengikuti PJJ UKM.

Pengalaman bertugas di Sarawak dan di Semenanjung benar-benar menginsafkan beliau mengenai cabaran dunia pendidikan. Keterbelakangan infrastruktur dan tahap kesedaran masyarakat, mencabar profesionalisme. Beliau meneruskan penerokaan sehingga memperoleh ijazah sarjana pendidikan dari UKM seterusnya melanjutkan lagi pengajiannya di Universiti Sains Malaysia (USM) dan memperoleh doktor falsafah.

Sepanjang tempoh pengajiannya, penulis mengetahui bagaimana sukar beliau menyusun hidupnya. Kini, sebagai seorang pensyarah di institut pendidikan, beliau boleh berteori dengan penuh yakin berasaskan pengalaman yang dilalui sepanjang kerjayanya sebagai seorang guru.

Abang Sapali, Ali dan Henry adalah tiga guru sekawan yang belajar menerusi PJJ UKM. Mereka merumuskan cabaran bagi guru yang belajar dan bekerja pada masa sama, amat besar. Bagi mereka, itu adalah pengorbanan. Bukan saja memerlukan keupayaan membahagikan masa antara tugas hakiki sebagai guru, juga sebagai suami, ayah dan anggota masyarakat.

Bukan saja wang ringgit yang harus dirancang bagi memastikan keperluan keluarga dipenuhi malah perasaan sendiri dan kefahaman anggota keluarga terhadap perubahan pola kehidupan yang sedang dihadapi.

Penulis juga mendapati, ramai pelajar sekarang terpaksa membuat pinjaman bank dan menggunakan kad kredit untuk menampung kos pembelajaran.

Kerjaya sebagai guru sememangnya cita-cita Rozi sejak sekolah menengah lagi. Sebagai anak kota, beliau menginsafi kepentingan bahasa Inggeris sebagai bahasa dunia yang akan melengkapkan anak Malaysia dalam menghadapi cabaran masa depan.

Dalam tempoh 25 tahun sebagai guru di bandar, pelbagai kerenah pelajar, ibu bapa dan masyarakat yang ditemui. Apabila kita mengimbau pengorbanan guru, sering kali kita digambarkan mengenai kesukaran dihadapi guru yang bertugas di pedalaman.

Namun dalam konteks hari ini, cabaran dihadapi guru di bandar lebih getir. Dengan pelbagai pengaruh dihadapi pelajar, tahap sosio-ekonomi dan pendidikan ibu bapa yang lebih tinggi, kesedaran terhadap hak dan undang-undang serta jangkaan tinggi terhadap piawaian pendidikan menjadikan guru lebih tertekan.

Seperti dihadapi Rozi, siapakah yang paling cepat mengerti kesukaran dihadapi Kamaruldin, anak muridnya yang kematian ibu bapa dan terpaksa mengurus diri sendiri sehingga menjejas pencapaian pelajarannya? Siapakah yang dapat mengubati kemurungan seorang lagi muridnya yang baru kematian ibu dan kakaknya, kalau tidak beliau, seorang guru yang profesional dan sangat prihatin?

Seperti guru lain, selepas menempuh pelbagai cabaran multi peranan, beliau berjaya memperoleh ijazah dari Universiti Terbuka Malaysia.

Catatan ini adalah sekelumit saja daripada hikayat guru berbanding nukilan yang boleh dilakarkan seluas alam. Setiap kejayaan, pastinya bermula daripada seorang guru. Guru sepanjang zaman adalah kerjaya mulia yang memerlukan seluruh minat, iltizam dan kesungguhan penjawatnya.

Banyak sekali harapan dan program negara yang terpikul di bahu mereka.
Justeru, penulis percaya, kerjaya ini sentiasa disemarakkan dengan pelbagai insentif dan peningkatan oleh pemerintah bagi menghargai kepentingannya.

Kalau di negara lebih maju, kerjaya guru masih sangat disanjung masyarakat, tentunya di Malaysia sanjungan itu masih tetap utuh. Dua pelajar yang duduk di kiri dan kanan penulis dalam Majlis Makan Malam Regimental Palapes baru-baru ini, ketika melihat lilin yang terbakar menghiasi meja, mengibaratkan golongan seperti guru bagaikan lilin yang membakar diri untuk menerangi orang lain.

Lantas mereka mencadangkan guru seharusnya menjadi persis limau kasturi yang bukan saja harum mewangi malah selepas memanfaatkan orang lain pun keharuman sendiri masih tidak hilang dan dapat dinikmati.

Penulis ialah Timbalan Pengarah Pusat Komunikasi Korporat UKM

Berita Harian Online: 8 Mei 2010

Oleh Rashidi Karim

2010/05/08

KUALA PERLIS: Seorang guru hampir pengsan apabila menerima khidmat pesanan ringkas (SMS), daripada suaminya yang menyatakan dia ingin pergi buat selama-lamanya, sebelum mayat suaminya itu ditemui dipercayai akibat lemas di tepi pantai Kuala Sungai Baru, dekat sini, tengah hari semalam.

Selepas menerima SMS daripada suaminya pada kira-kira jam 9 pagi, Noriza Kassim, 37, yang juga guru di Sekolah Kebangsaan Tengku Budriah, Arau, pergi ke tepi pantai itu seorang diri dan menjerit-jerit memanggil nama suaminya itu.


Tindakannya menjerit nama suaminya, Zuki Ibrahim, 40, yang juga seorang guru di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Syed Saffi, dekat Simpang Empat, menarik perhatian orang ramai yang berada di situ sebelum gerakan mencari mangsa di kawasan terbabit dijalankan.


“Selepas menerima SMS itu, saya terus meninggalkan sekolah untuk ke pantai dan menjumpai kenderaan Proton Exora dan telefon bimbit milik suami. Daripada situ saya yakin, suami terjun ke laut seperti dinyatakan dalam SMS.


“Pada mulanya, saya menjangkakan SMS terakhir dihantar suami sebagai satu gurauan tetapi tidak sedap hati dan terus menghubunginya, namun tiada jawapan,” katanya yang sedih ketika ditemui di Bilik Mayat Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di sini, semalam.


Mayat Zuki ditemui orang awam beberapa meter daripada tempat dia dipercayai turun ke laut sejurus meninggalkan kenderaan dipandunya di tepi pantai selepas menghantar SMS kepada isterinya.


Tiga anak pasangan guru berkenaan yang masih kecil iaitu berusia lima, sembilan dan 11 tahun hadir di bilik mayat HTF.


Hadir sama Pengarah Pelajaran negeri, Mansor Lat dan bekas Menteri Besar, Datuk Seri Shahidan Kassim.


Noriza berkata, suaminya tidak menunjukkan sebarang perubahan ketika bersama anak di rumah pada malamnya dan pagi semalam, dia seperti biasa menghantar anak ke sekolah.

Bagaimanapun, katanya, Zuki ada mengadu tertekan dan tidak berpuas hati selepas dipindahkan dari SMK Padang Siding ke SMK Syed Saffi, dua bulan lalu.


“Dia mendakwa tertekan kerana tidak sesuai berada di sekolah baru berkenaan. Namun, saya langsung tidak menyangka dia sanggup mengambil tindakan sebegini, apatah lagi malam tadi dia kelihatan biasa saja terutama ketika bermain dengan tiga anak kami,” katanya.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Abdul Rahman Mohd Noordin, ketika dihubungi mengesahkan penemuan mayat mangsa. Bagaimanapun, punca sebenar kematian masih disiasat.


“Buat masa sekarang, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan mayat mangsa dihantar ke HTF untuk dibedah siasat,” katanya.

Difahamkan, usaha mencari dan menyelamat mangsa dimulakan pada jam 10 pagi membabitkan Agensi Penguat Kuasa Maritim Malaysia (APMM), Pasukan Gerakan Marin (PGM), Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), serta Unit K9 Polis Diraja Malaysia (PDRM).


Sementara itu, Mansor mengesahkan Zuki ditukar ke sekolah lain sejak dua bulan tetapi disebabkan kenaikan pangkat dan pihaknya tidak menerima sebarang maklum balas daripadanya berhubung pertukaran terbabit.

myMetro: 8 Mei 2010



Friday, May 7, 2010

Pendidik Perlu Ikhlas Ajar Anak Bangsa

2010/05/06

TUGAS seorang guru tidak akan berakhir di sekolah. Segala tugas yang diamanahkan adalah akur dengan kata-kata 'saya menurut perintah'. Kalau ada luahan dan rintihan itu perlu melihat setakat mana tugas itu dijalankan dengan hati yang terbuka.

Apabila ada rintihan akan menyebabkan guru akan cepat mendapat penyakit yang dinamakan ‘sindrom A’. Beban tugas guru memang ada tetapi sampai bila beban itu perlu dipikul apabila guru berada di sekolah. Apabila guru berada di luar sekolah, guru juga berperanan sebagai ejen sosial.
Tetapi gelaran guru tidak digunakan dengan sebaik yang mungkin. Mungkin pada anggapan guru, tugas mereka hanya di sekolah tetapi lebih daripada itu. Guru apabila berada di sekolah bukan saja mengajar malah terpaksa mengisi itu dan ini. Berapa banyak kertas yang terpaksa ditanda kerana itu yang dinilai nanti.

Konsep sekolah sebagai tempat mendidik sudah tiada tetapi diganti dengan sistem mutu yang dinilai dari kerja yang dibuat atas kertas. Amanah guru di sekolah dikejar oleh fail-fail yang perlu disiapkan segera.

Anak murid melihat guru begitu tekun mengisi fail-fail itu. Realitinya sistem pendidikan kita yang selalu berubah kerana sikap kita yang suka membuat uji kaji tanpa membuat kajian terperinci. Guru di sekolah hanya sebagai pelaksana bukan pembuat dasar.

Oleh yang demikian, saya mengesyorkan agar sebarang dasar atau sebagainya perlu mendapat persetujuan daripada warga pendidik. Guru dulu berbeza dengan guru sekarang. Jangan anggap jawatan itu sebagai beban kepada orang lain.

Jangan buat sambil lewa saja sampai matlamat dan tujuannya tidak mencapai apa yang dikehendaki. Semoga guru dapat menjadi insan pembina bangsa yang dapat menyatukan dan memahamkan antara satu sama lain.

NORHAIDI MOHD NORDIN,
Johor


Berita Harian Online: 6 Mei 2010

Thursday, May 6, 2010

Pencerapan Buku Rekod Bacaan Al-Quran Murid SK Program j-QAF 2005/2006 Daerah KMY

6 Mei - Pencerapan Buku Rekod Bacaan Murid SK Program j-QAF Daerah KMY telah diadakan di SK Haji Hussin Dol ,08800 Guar Chempedak. Seramai 4 orang pegawai dari PPD Kot Setar, PPD Kubang Pasu, PPD Kulim / Bandar Baharu dan 2 pegawai dari tuan rumah KMY telah terlibat dalam sesi pencerapan yang diadakan di makmal Kemahiran Hidup di SK Haji Hussin Dol.

Taklimat pencerapan disampaikan terlebih dahulu bermula jam 9.00 pagi kepada 15 buah sekolah yang telah dipanggil oleh PPD Kuala Muda Yan. Setiap sekolah diwakili oleh 2 orang guru membawa buku rekod tersebut mengikut jumlah bilangan murid untuk disemak oleh pegawai yang ditugaskan.

Pencerapan menjadi sedikit panas apabila pelbagai penemuan telah dikesan dan ditegur oleh pegawai bertugas. Namun demikian segala permasalahan dapat dirungkai dengan sempurna dan jawapan yang boleh diterima oleh wakil-wakli sekolah. Kepakaran dan ketelitian pegawai menjalankan sesi pencerapan sedikit sebanyak menjadikan penyejuk kepada para wakil sekolah menerima teguran untuk diperbaiki dan membuat penambahbaikan pada masa akan datang.

Pada sesi pencerapan ini juga pelbagai versi borang serta buku rekod ditemui dari sekolah-sekolah yang dipanggil. Namun kesemuanya itu membuktikan guru-guru mengambil langkah perlu untuk merekodkan bacaan murid mereka. Cuma apa yang dikesalkan rekod bacaan murid kebanyakkannya tidak lengkap. Maka timbullah pelbagai alasan untuk menjelaskan keadaan tersebut.

MAJLIS TAKLIMAT DAN PERJUMPAAN KETUA SEKTOR PENDIDIKAN ISLAM JABATAN PELAJARAN NEGERI KEDAH DENGAN GPI DAN GPI j-QAF DAERAH PENDANG

5 Mei- Majlis tersebut telah diadakan di Dewan Sek. Keb. Ayer Puteh, Pendang. Dihadiri hampir 180 peserta dari kalangan GPI dan GPI j-QAF. Majlis tersebut telah disusun atur dan diselenggarakan dengan baik sekali oleh Ustaz Abdul Razak Talib, Penolong PPD Pendidikan Islam daerah Pendang bersama JU daerah Pendang. Majlis bermula pada 2.50 petang dan berakhir pada jam 5.20 petang.


Majlis tersebut telah dihadiri oleh Tuan Ketua Sektor Pendidikan Islam, Ketua Unit Operasi Dakwah dan Penyelia Syiar Islam Unit Operasi Dakwah SPI. Seeperti biasa dalam majlis tersebut taklimat j-QAF dan promosi PEKDIS turut disampaikan oleh pegawai berkaitan.


Dalam ucapan Tuan Ketua Sektor , beliau mengingatkan tentang tanggungjawab guru program j-QAF terhadap pelaksanaan tugas mendidik murid dibawah tanggungjawab masing-masing dan memastikan murid berjaya menguasai model-model p&p j-QAF yang telah diamanahkan. Amanah adalah pakaian kita.

Beliau juga menyarankan agar para guru menambahkan lagi pengetahuan yang ada dengan melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi atau pun dengan menambahkan bahan bacaan yang berkaitan dengan kerjaya sebagai seorang guru. Tuan Ketua Sektor juga mengingatkan semua hadirin dengan 7 prinsip yang terkandung dalam etika kerja sebagai penjawat awam. Disamping itu juga pemuafakatan diantara kita juga perlu mantap dan berintegriti. Sebagai guru kita dinilai oleh masyarakat tentang setinggi mana pandangan mereka kepada kita bergantung kepada sejauhmana ilmu yang telah kita sumbangkan kepada generasi kini untuk persiapan generasi akan datang. Terima kasih diucapkan kepada Ustaz Abdul Razak, Ustaz Zulkifli, Ustaz Yusri dan Ustaz Ashraf yang bertuingkus lumus memastikan perjalanan majlis pada petang ini berjalan lancar. Tidak lupa juga kepada Tuan Guru Besar SK Ayer Puteh yang sudi memberi ruang kemudahan di sekolah tersebut untuk tujuan majlis tersebut.

Monday, May 3, 2010

Pencerapan Buku Rekod Bacaan Al-Quran Murid Program j-QAF PPD Pendang : Pelbagai Versi & Resepi.

Buku Rekod Bacaan Dari Sebuah Sekolah:Pelbagai Versi & Resepi
Bagaimana dengan murid anda?

Sikit-sikit, lama-lama .....
Jangan hilangkan dah la....

3Mei- Pencerapan Buku Rekod Bacaan Murid program j-QAF membuka tirainya di daerah Pendang. Sebanyak 5 buah sekolah terlibat dari kohort 2005. Saya telah dibantu oleh 3 pegawai untuk melaksanakan urusan tersebut iaitu Ustaz Md Isa Ali Penyelia Pendidikan Islam PPD Kubang Pasu, Ustaz Dziauddin , Pegawai Khas j-QAF PPD Kota Setar dan Pen. PPD Pendidikan Islam, PPD Pendang Ustaz Abdul Razak bin Talib.

Teliti, detail dan bermotivasi. Kelebihan dan seni peribadi anugerah Ilahi

2:20 petang di PKG Pendang semua sekolah pelaksanaan program j-QAF kohort 2005 telah siap sedia dengan ikatan buku rekod pelajar sekolah masing-masing untuk sesi pencerapan. Untuk melihat secara detail dan dari muka surat ke muka surat dalam tempoh waktu yang ada adalah sesuatu yang mustahil dapat dilaksanakan. Namun demikian kesungguhan yang ditunjukkan oleh wakil dari setiap sekolah memuaskan dan membanggakan walaupun ada sedikit sebanyak kekurangan di sana sini.



Pencerapan kali pertama ini mencapai sasaran , di mana semua murid yang disenaraikan dari sekolah yang dijemput hadir mempunyai Buku Rekod Bacaan Al-Quran yang cukup bilangan jumlahnya. Namun demikian ada sedikit sebanyak teguran dan penambahbaikan yang perlu diberi perhatian dan diambil tindakan. Umpamanya; semakkan dan perakuan dari Guru Besar atau pentadbir, rekod nama guru yang bertanggungjawab terhadap bacaan murid di bawah seliaannya pada setiap helaian catatan, tandatangan guru dan jumlah ayat terkumpul.


Walaupun ada sebahagian sekolah yang menyediakan rekod tersebut dalam pelbagai versi dan saiz kerana bekalan yang tidak berterusan dari KPM atau hilang , namun apa yang penting ialah catatan rekod bacaan murid terkini perlulah direkodkan selepas proses bacaan selesai. Selain dari itu juga, rekod catatan yang telah dilakukan dalam buku catatan peribadi guru atau helaian kertas dan seumpamanya selama ini mesti dikumpul, disemak dan direkodkan dengan menyalin semula ke dalam rekod bacaan murid . Ini kerana alasan mencatat dalam buku berasingan selama ini menyebabkan rekod bacaan murid tersebut hilang dan sebagainya. Teguran dan arahan tindakan dalam hal seumpama ini telah kerapkali diberikan peringatan dalam perjumpaan, taklimat dan pemantauan yang telah dilakukan sejak 2008 lagi.

Terima kasih diucapkan kepada Ustaz Abdul Razak yang banyak memberi kerjasama pantas dalam merealisasikan usaha murni ini. Tidak lupa juga kepada Ust. Md Isa dan Ustaz Dziauddin, Penyelia PKG Pendang, Ustaz Mohd Nasir Ahmad Pegawai dan Staf serta semua guru yang terlibat dalam proses pencerapan kali ini. Pastikan pencapaian penguasaan bacaan Al-Quran murid j-QAF mencapai sasaran 100%.

Sunday, May 2, 2010

Mesyuarat e-GTukar Jun 2010 JPN Bersama PPD

2Mei - Mesyuarat berlangsung di PPD Baling. Bermula jam 9.00 pagi dan dijangka berakhir jam 4.30 petang dan dijangka berterusan hingga 3 Mei di PPD Padang Terap. Mesyuarat telah dipengerusikan oleh Tuan Ketua Sektor Pengurusan Sekolah, Tuan Haji Munajat bin Tamrin. Turut serta Penolong-Penolong Pengarah Pengurusan Sekolah dan SPI serta semua Unit Sekolah di PPD seluruh Kedah.


Ahad, 2010 Mei 02

Kesatuan Guru Mohon Ditimbang 11 Insentif

KUALA LUMPUR 1 Mei - Kesatuan Guru-guru Dalam Perkhidmatan Pelajaran Malaysia (Kongres) menyenaraikan 11 insentif bagi golongan pendidik untuk dipertimbangkan oleh kerajaan sempena sambutan Hari Guru pada 16 Mei ini.

Penetapan insentif berkenaan dibuat pada Mesyuarat Khas Memartabatkan Profesion Perguruan yang diadakan oleh Kongres hari ini untuk dikemukakan kepada Kementerian Pelajaran.

Presiden Kongres, Jamale Paiman berkata, insentif itu termasuk mewujudkan kaedah perkhidmatan bersepadu guru lulusan diploma dan ijazah, penambahbaikan struktur Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), kenaikan pangkat pegawai pendidikan lepasan diploma (PPLD), mewujudkan gred tambahan DGA40 dan penambahan staf sokongan.

Menurutnya, permohonan insentif itu telah dikemukakan dua tahun lepas dan pernah dibincangkan di peringkat menteri.

''Perkara yang dipohon merupakan kaedah terbaik dalam membentuk laluan kerjaya di sektor pendidikan. Ia bertujuan mengurangkan beban tugas guru,'' katanya selepas mempengerusikan mesyuarat itu di sini hari ini.

Tambah Jamale, Kongres turut bersetuju supaya Kementerian Pelajaran mempertimbangkan untuk mempercepatkan pengesahan jawatan gred DGA34 dan DGA48, memperluaskan gred DG38 untuk guru besar dan pengelola cemerlang kepada semua jawatan manakala kedudukan pegawai pendidikan daerah (PPD) pada gred DG52 dan DG54.

''Di samping itu, kami berharap kementerian tidak meletakkan Pegawai Tadbir Diplomatik (PTD) dalam Kementerian Pelajaran serta mengambil semula guru bagi program pengajian Jawi, al-Quran, bahasa Arab dan Fardu Ain (j-QAF).

''Kami juga berharap kerajaan mengkaji peruntukan tuntutan perjalanan para pegawai kerana jumlahnya yang rendah menjejaskan tugasan pemantauan dan penyeliaan yang lebih kerap,'' katanya.

Utusan Malaysia Online: 2 Mei 2010

Mungkin Di Mata Kita: Mana Ada Kerjaya Yang Mudah......

Sabtu, 1 Mei 2010 Mei

'Guru Saya Dulu Tidak Pernah Merungut'

(Admin: Saya ulang semula posting bahan ini. Kandungannya mendapat ulasan yang tertinggi setakat ini. Mungkin ada sesuatu yang tersirat dalam hati kita sebagai guru apabila orang luar cuba menyelami masalah yang kita tanggung.)

SAYA terpanggil untuk menulis di ruangan ini setelah melihat pelbagai rungutan daripada golongan pendidik sekarang.

Saya juga merupakan seorang penjawat awam dan amat gembira bekerja dari pukul 8 pagi hingga 5 petang. Terpaksa mengharungi kesesakan jalan raya bersama-sama pengguna lain, berbanding dengan guru yang bekerja separuh hari sahaja.

Saya tidak dapat bayangkan betapa gembiranya jika saya tamat waktu bekerja pada pukul 1 tengah hari.

Sudahlah waktu bekerjanya separuh hari, waktu kelasnya pula mungkin 3 atau 4 waktu sahaja. Bersyukurlah. Dengan semua guru baru bermula dengan DG41 bertuahnya anda semua.

Saya merupakan bekas pelajar SBP di Sek. Dato Abdul Razak, Seremban. Saya ingin menyatakan bahawa komitmen guru-guru saya dahulu begitu jitu.

Saya masih teringat lagi bekas guru saya iaitu Cikgu Rahim yang sanggup datang meronda asrama pada waktu malam walaupun beliau tidak tinggal di dalam kuarters rumah guru di dalam kawasan sekolah, guru matematik saya di Sek. Men. Dato Hj. Hussein iaitu Puan Rodziah yang sanggup mengajar lebih waktu untuk para pelajarnya yang lemah dalam subjek itu. Itulah komitmen.

Kedua-dua ibu bapa saya merupakan guru dan saya tidak pernah melihat mereka merungut. Jika ada pelajar bermasalah, mereka akan pergi ke rumah pelajar tersebut bertanyakan masalah.

Malah sumbangan dari segi kewangan dan barang-barang dapur untuk keluarga pelajar bermasalah juga pernah diberikan beberapa kali.

Malah bapa saya kadangkala menyanyikan lagu Kami Guru Malaysia walaupun sedang membuat kerja di rumah. Begitulah sayang dan bangganya beliau pada kerjayanya.

Akhir kata, selamat maju jaya kepada warga-warga pendidik. Jasamu dikenang selamanya.

IZRUL FARIS IDRIS
Utusan Malaysia Online: 29 April 2010


Pensyarah Merungut Kerjaya Memalukan Diri Sendiri

2010/04/30

SAYA ingin merujuk surat bertajuk ‘Beban tugas paksa pensyarah IPGM kerja lebih masa’ seperti disiarkan di ruangan ini kelmarin kiriman ‘Pensyarah penat’.

Pada pendapat saya, adalah sesuatu yang amat menjengkelkan sekiranya seseorang pendidik termasuk guru atau pensyarah seperti beliau merungut di atas penat lelah yang ditabur ketika melaksanakan tugas diamanahkan kepada mereka.

Bagi saya, ia adalah sesuatu yang amat memalukan kerana mereka sendiri yang memilih bidang berkenaan, malah secara kuantitatifnya, mereka dibayar setiap bulan untuk mengajar ditambah dengan elaun yang lebih tinggi bagi yang berkhidmat di pedalaman.

Saya berikan satu contoh yang amat mudah difahami... katakan seorang jurutera geoteknikal yang dibayar oleh Petronas untuk melaksanakan sebarang proses kejuruteraan struktur di pelantar minyak sejauh Miri atau Kerteh selama sebulan di tengah lautan dalam dan langsung tidak bertemu dengan keluarga selama tempoh itu, saya yakin sepenuhnya bahawa jurutera itu tidak akan membantah atau mengeluh.

Ini kerana jurutera itu sendiri yang memilih pekerjaan berkenaan dan dibayar untuk melakukannya walaupun risiko untuk kehilangan nyawa adalah tinggi.

Sikap merengek manja di kalangan pendidik dan pensyarah dan juga seluruh kakitangan awam mestilah dielakkan agar bidang terbabit tidak menjadi gurauan sinis kononnya sifat tidak ikhlas dan malas itu sudah sebati dalam budaya rakyat Malaysia.

Bak kata bekas Perdana Menteri kita, Tun Dr Mahathir Mohamad ‘Malaysia memiliki prasarana kelas dunia dengan mentaliti kelas ketiga’. Inilah mentaliti yang cuba kita ketepikan dengan bekerja bersungguh-sungguh serta melaksanakan semua tanggungjawab yang diamanahkan dengan ikhlas dan efisyen.

MOHAMMAD SHAFIQ SOHOT,
Kuala Lumpur


Berita Harian Online: 30 April 2010