Thursday, May 27, 2010

Kena Banyak Sabar. Pastikan Ada Pendidikan Dalam Tindakan

Tamparan 'Maut' Guru


Oleh :
Riadz Radzi
riadz@hmetro.com.my
2010/05/26

KODIANG: Seorang murid tahun lima sebuah sekolah rendah di sini, berdepan risiko menjadi pekak selepas gegendang telinga kirinya pecah dipercayai akibat ditampar seorang gurunya, Khamis lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.45 tengah hari, Mohd Khairul Azri Zulkifli, 11, murid Sekolah Kebangsaan Siputeh, Padang Sera, dekat sini, turut bengkak di dahi apabila kepalanya terhentak ke dinding selepas ditampar guru lelaki berusia 40-an itu.


Bapanya, Zulkifli Romli, 45, ketika ditemui berkata, pada hari kejadian anak bongsunya itu pulang ke rumah kira-kira jam 1.30 tengah hari dan terus tidur.


Dia berkata, tidak lama kemudian, anaknya mengadu kepada ibunya, Che Waqi Baharom, 45, telinga kirinya sakit dan selepas diperiksa didapati ada kesan darah.


“Apabila ditanya, barulah dia mengaku ditampar guru di sekolah. Saya membawanya ke klinik di Arau, Perlis, sebelum dirujuk ke Hospital Tunku Fauziah, Kangar, kira-kira jam 9 malam.


“Namun, pihak hospital kemudian merujuk anak saya kepada pakar telinga, hidung dan tekak (ENT) keesokannya dan mereka mengesahkan gegendang telinga kiri Mohd Khairul Azri pecah. Pemeriksaan juga menunjukkan anak saya mengalami masalah dengan pendengarannya,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Kubang Menerung di sini, semalam.


Katanya, anaknya perlu menjalani rawatan susulan bulan depan dan sekiranya gegendang telinganya masih rosak, dia perlu menjalani pembedahan.


Mohd Khairul Azri ketika ditemui mengakui telinganya sakit selain masih mengalami masalah pendengaran.


Difahamkan, kejadian itu bermula apabila seorang guru wanita mengarahkan murid dalam kelas Mohd Khairul Azri berpindah dari tingkat dua ke tingkat bawah blok bangunan sekolah itu.


Kebetulan, kelas di tingkat bawah itu masih digunakan murid tahun tiga bersama guru lelaki terbabit. Difahamkan, tindakan Mohd Khairul Azri memasuki kelas bersama tiga rakannya ketika guru lelaki itu masih di dalam kelas berkenaan mengundang kemarahannya.


Zulkifli berkata, guru terbabit memarahi anaknya dan tiga murid terbabit sebelum menampar keempat-empat mereka. Difahamkan, seorang daripada rakan Mohd Khairul Azri turut cedera di mulut apabila terjatuh ke lantai selepas ditampar.

“Saya kecewa dengan tindakan kasar guru itu. Dia sepatutnya tidak berbuat demikian terutama di depan lebih 30 murid lain. Malah, kejadian itu juga berlaku di depan guru wanita itu yang sepatutnya melaporkan kejadian itu kepada guru besar,” katanya yang membuat laporan di Balai Polis Kodiang, Ahad lalu.


Katanya, dia juga kecewa dengan pihak sekolah yang tidak memaklumkan kepadanya keputusan mesyuarat pihak sekolah bersama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) mengenai kejadian itu, Ahad lalu.


Zulkifli berkata, walaupun masih sakit, anaknya tetap ke sekolah semalam dan kelmarin kerana perlu menduduki peperiksaan pertengahan tahun.


Sementara itu, guru besar sekolah itu ketika dihubungi berkata, pihaknya sudah melawat kanak-kanak itu di rumahnya, Sabtu lalu dan sudah pun meminta maaf.

myMetro: 26 Mei 2010

No comments:

Post a Comment