Saturday, May 29, 2010

Pelan Tindakan Strategik 2010 JPN Kedah


JPN Kedah Garis Enam Matlamat

Jumaat, 2010 Mei 28

KUBANG PASU 27 Mei - Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) Kedah menggariskan enam matlamat dalam rangka Pelan Tindakan Strategik 2010 jabatan itu bagi melahirkan bangsa yang unggul dari segi ilmu dan akhlaknya.

Pengarah Pelajaran negeri, Shahidan Abd. Rahman berkata, enam matlamat strategik itu berpaksikan pada kecemerlangan kepimpinan sekolah, pembinaan sekolah yang berkualiti dan kemantapan integriti serta kecekapan pengurusan pendidikan.

Selain itu, katanya, pembangunan modal insan berilmu, berakhlak mulia dan berketerampilan, penjanaan kecemerlangan akademik berterusan serta pemantapan penguasaan kemahiran asas di kalangan pelajar.

"Menjadi harapan saya agar semua warga pendidik di Kedah dapat sama-sama menghayati dan berusaha untuk melaksanakan program yang telah dirancang demi melonjakkan agenda pembangunan pendidikan sedia ada," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Perayaan Hari Guru Peringkat Negeri Kedah yang disempurnakan oleh Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah di Institut Pendidikan Guru, Kampus Darul Aman di Jitra di sini baru-baru ini.

Dalam pada itu, Shahidan mengajak semua golongan pendidik supaya sentiasa berusaha dan beriltizam tanpa jemu untuk melonjakkan sistem pendidikan agar mampu melahirkan negara bangsa mengikut acuan sendiri.

Menurutnya, dalam usaha menjulang kecemerlangan organisasi pendidikan, tidak ada orang lain yang dapat membantunya kecuali diri pendidik itu sendiri.

Katanya, setiap guru memiliki potensi amat besar untuk menjadi pendidik yang profesional dengan sikap profesionalisme tinggi, bersedia, mahu dan sanggup mengubah paradigma serta pendekatan terutama daripada aspek pengajaran dan pembelajaran.

"Seorang guru yang penuh iltizam, dedikasi, komited, berwawasan dan bertanggungjawab tidak akan mengkhianati tugas serta murid-muridnya.

"Prinsipnya ialah para guru mesti faham bahawa tugas mendidik merupakan satu pekerjaan yang sangat mulia. Guru mestilah menganggap pergi ke sekolah sebagai pergi ke medan jihad dan kerja mengajar sebagai satu ibadah," katanya.

Menurut Shahidan, guru-guru seumpama itu tidak akan cepat melatah atau menyalahkan keadaan dan tempat sebaliknya menilai diri sendiri terlebih dahulu selain berusaha meningkatkan keterampilan serta kewibawaan diri.

Utusan Malaysia Online: 28 Mei 2010

No comments:

Post a Comment