Tuesday, March 30, 2010

Mesyuarat eG-Tukar Peringkat Negeri





30 Mac- Mesyuarat diadakan di PPD Kuala Muda Yan, bermula jam 8.30 pagi. Ucapan aluan di pengerusikan oleh Tuan Haji Munajat bin Tamrin Ketua Sektor Perkhidmatan, JPN Kedah.Semua pegawai pengurusan guru sekolah rendah dan menengah dari JPN dan semua PPD terlibat.

Proses permohonan pertukaran secara online akan bermula 1-25 April 2010 bagi tempoh pengisian permohonan oleh guru-guru yang memohon bertukar. 26-30 Mac 2010 adalah tempoh GB membuat pengesahan. Permohonan pertukaran secara online akan ditutup pada 1 Mei 2010.

Bagi guru j-QAF, kelayakan memohon pertukaran secara online hanya layak kepada guru yang telah berkhidmat 54 bulan di sesebuah sekolah. Maka bermulalah musim multaqa tukar secara maya pula pada sesi 2010 dan seterusnya. Selamat bertugas walau di mana tuan-puan berada. Pastiakn murid j-QAF mendapat haknya.
Mencemburui Gaji Guru
Oleh:Wahid Hashim
pendidikan@utusan.com.my

Isnin, 2010 Mac 29


SAYA mencemburui guru muda kerana gaji permulaan mereka sekarang berada dalam ranking ketiga selepas doktor dan jurutera awam. Dengan gaji permulaan sebanyak RM2,500 hingga RM2,700 - termasuk beberapa elaun - maka gaji pokok mereka sebenarnya mengatasi sebahagian besar pendapatan eksekutif syarikat swasta.

Kalau di pedalaman, mereka cuci kaki kerana kerajaan menyediakan rumah, televisyen katil tilam, dapur, malah khabarnya set televisyen dan 'mangkuk' Astro di bumbung! Bukan itu sahaja, guru juga ada elaun khas, dengan jumlahnya bergantung kepada tafsiran pedalaman tempat mereka mengajar.

Memang mereka bekerja keras. Tetapi, seribu satu pengumuman tentang kenaikan, elaun, kebajikan, kemuliaan, pengiktirafan dan penghormatan kepada golongan guru sepatutnya telah meletakkan profesion itu pada tahap yang sepatutnya sekarang.

Seperti kata Abraham Lincoln: ''Jangan fikir apa yang negara boleh beri kepada kita, tetapi fikirkanlah apa sumbangan yang boleh kita berikan kepada negara."

Maksud tokoh itu, jangan seperti seekor burung yang keluar pagi balik petang, sekadar mahu mengisi perut sendiri dan untuk anak-anaknya. Berfikirlah lebih daripada itu. Perjuangan lebih penting.

Jadi, apabila Tan Sri Muhyiddin Yassin mahu bersemuka dengan ahli kesatuan dan beberapa guru yang terlalu ghairah memperjuangkan nasib guru, maka saya ingin mengingatkan 'kepala-kepala' persatuan dan kesatuan ini supaya bersedia dengan fakta dan hujah yang waras dan logik atau laras senapang mungkin akan menghala ke arah kepala anda sendiri!

Dua isu besar yang selalu dibangkitkan ialah kerja perkeranian nan remeh temeh sehingga menambah beban seorang guru, dan kedua kenaikan gred atau mata gaji yang terlalu lembap oleh guru, apabila dibandingkan dengan pegawai tadbir dan diplomatik (PTD).

Memang isu yang pertama selalu bermain di bibir, tetapi tidak ada kes, data atau contoh yang boleh dijadikan asas kukuh untuk Kementerian Pelajaran melakukan tindakan susulan.

Kita perlu perhalusi bukti dan fakta. Kalau dikatakan kerja berlebihan, maka kerja lebih yang bagaimana, apa dan di mana? Nyatakan bukti dan skop. Lakukan analisis keperluan atau analisis jurang profesion. Kemukakan kertas lengkap kepada pejabat Menteri Pelajaran.

Apakah berlebihan seandainya seorang guru diminta membuat plan tindakan kecemerlangan pelajar kalau pelan itu boleh membantu meningkatkan prestasi sesebuah sekolah?

Kini sudah terdapat seramai 400,000 guru yang mendidik anak-anak kita di seluruh negara. Dalam setandan, ada sebiji yang rosak. Bukan semua. Kita faham benar dengan kekecewaan guru khususnya apabila isu tentang kenaikan gaji yang lembap disuarakan.

Memang benar kenaikan sebahagian besar gaji memang lembap berbanding PTD. Seorang ibu yang sudah 25 tahun menjadi guru mungkin baru menikmati mata gaji DG48, berbanding anaknya, pegawai PTD yang baru lima tahun berkhidmat sudah menikmati tangga gaji itu.

Untunglah kalangan guru yang cepat naik pangkat, kerana cepat jugalah kenaikan tangga gaji mereka. Bagi yang di bawah Khusus Untuk Penyandang (KUP) atau mengikut tempoh perkhidmatan, maka terpaksalah menunggu sehingga beranak, bercucu dan bercicit.

Tetapi perlulah juga diingatkan bahawa bagi setiap kenaikan gaji, maka ada beban tanggungjawab yang menyusulinya.

Maksudnya, mereka ini mungkin perlu diikat dengan konsep bai'ah. Pengetua dan guru besar mungkin sudah biasa dengan konsep bai'ah, tetapi belum bagi guru.Di bawah konsep bai'ah, pengetua atau guru besar membuat perakuan dan bersetuju bahawa dalam tempoh tiga tahun perlu ada peningkatan prestasi di sekolah mereka mengajar. Jika gagal, mereka mungkin 'dipencenkan' lebih awal.

Sekarang, guru tidak mempunyai komitmen atau akujanji terhadap pencapaian prestasi. Hal ini mungkin menyebabkan mereka goyang kaki.

Memang kita faham benar akan beban kerja guru dan pada masa yang sama masyarakat menuntut guru melakukan yang terbaik untuk mendidik anak bangsa. Namun, kalau kita percaya bahawa perbuatan baik dan kerja yang ikhlas akan dibalas dengan perkara yang baik juga, maka pasti kepentingan perjuangan kita akan mengatasi habuan dunia yang sementara ini.

Utusan Malaysia Online: 29 Mac 2010

Wednesday, March 24, 2010

Ucaptama & Taklimat Penyelarasan Program j-QAF dan PEKDIS Daerah KMY



22 Mac- Majlis ucaptama dan Taklimat ini telah diadakan di SM Teknik 2, Sungai Petani. Majlis bermula jam 2.00 petang dan berakhir jam 5.00 petang. Majlis pertemuan ini telah dihadiri oleh peserta yang terdiri dari Ketua Panitia, GPI Program j-QAF Bahasa Arab dan Ketua/Wakil Guru j-QAF Sekolah-Sekolah Program j-QAF Daerah Kuala Muda Yan yang terdiri dari 77 buah sekolah semuanya.



Ucaptama telah disampaikan oleh Yang Berusaha Tuan Ketua Sektor Pendidikan Islam, Puan Hajjah Zainab bin Md Saman. Antara perkara yang telah beliau sentuh dalam ucapannya ialah;
- mengingatkan kepada semua GPI bahawa Program j-QAF adalah amanah kerajaan (KPM)
dan harapan rakyat dan masyarakat Muslim di negara ini.
- j-QAF mampu membina insan mulia untuk generasi akan datang jika pelaksanaannya
dilaksanakan di atas dasar dan tanggungjawab bersama.
- GPI diminta memberi komitmen yang tinggi untuk melahirkan modal insan Muslim yang
cemerlang.
- Masih banyak ruang yang telah dilaksanakan perlu pada penambahbaikan dan penilaian
yang berkesan dari semua pihak jika kita mahu melihat keberkesanan maksima program
ini.
- Masih kedapatan sekolah-sekolah yang tidak melaksanakan program ini dengan sepenuh
hati dan sewajarnya seperti; meletakkan jadual B.Arab di luar jadual waktu atau di
waktu terakhir sahaja, tak semua murid dilibatkan dalam tasmik dan KBS, pengabaian
murid yang ponteng dan tiada tindakan susulan pemulihan murid yang lemah.
- laporan dari Guru Besar , kedapatan guru tidak menggunakan BBM sewajarnya dan
tidak aktif dalam P&P.
- sebagai guru Pendidikan Islam, ada perkara yang boleh dibuat, ada perkara yang tak
boleh dibuat.Usaha dan kimtmen, kreativiti dan istiqamah adalah tugas mulia
seorang ustaz dan ustazah.

Sesi taklimat penyelarasan j-QAF pula menyentuh perkara-perkara berkaitan;

- pengisian data e-Pelaporan dilaksanakan dengan lebih cekap dan tepat untuk laporan-
laporan prestasi berikutnya.
- sekolah diminta memberi respon dalam tempoh waktu ditetapkan dalam mematuhi arahan
untuk menyampaikan laporan, maklumat dan perkara-perkara yang diperlukan oleh JPN
melalui surat-surat yang telah disampaikan agar tidak melewati jangkamasa yang
tak sewajarnya.
- penumpuan pemulihan kepada murid yang tidak menguasai penguasaan bacaan Al-Quran
terutamanya murid yang masih di aras iqra' 1-3, 4-6 dan menghantar laporan ke
PPD/SPI,JPN Kedah .
- semakan dan pencerapan 100% Rekod Bacaan Murid Program j-QAF hendaklah diberi
tumpuan dan keutamaan terutamanya murid Tahun 5 dan 6.

Majlis perjumpaan kali ini berakhir dengan Taklimat PEKDIS (Pertubuhan Kegiatan Dakwah Islamiah Sekolah-Sekolah Malaysia) yang telah disampaikan oleh Tuan Haji Mahir Muhammad, Pen. Pengarah Kanan Operasi Dakwah , SPI, JPN Kedah. Taklimat ini bertujuan untuk kempen menambahkan ahli bagi menyusun dan menjana program PEKDIS di negeri Kedah.

Terima kasih kepada semua Unit Pendidikan Islam, PPD/KMY yang telah berusaha merealisasikan perjumpaan kali ini. Syukran Jazilan kepada Ustaz Ustazah yang telah menghadirkan diri sebagai wakil sekolah dan menyampaikan maklumat kepada rakan sekerja di sekolah masing-masing.

Thursday, March 18, 2010

Susahnya Nak Dapat KPLI ....... Yang Sedang Bertugas, Fikir-fikirkanlah .......

Kecewa tak dapat duduki Mtest

selasa:6/3/2010

SAYA antara ribuan pemohon Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) ambilan Jun 2010 dan mahu menyatakan dukacita terhadap proses pemilihan calon bagi menduduki ujian Mtest yang akan diadakan tidak lama lagi.

Untuk pengetahuan semua, ramai antara kami tidak tersenarai bagi menduduki ujian itu sedangkan syarat yang dikemukakan pada borang permohonan sudah dipenuhi. Apabila dirujuk kepada Kementerian Pendidikan, jawapannya ialah terlalu ramai yang memohon justeru, tapisan terpaksa dibuat. Adakah kementerian sedar bahawa kami membayar RM6 dengan membeli nombor pin hanya untuk menduduki ujian itu serta ujian seterusnya. Sepatutnya pihak kementerian sudah bersedia dengan keadaan ini berdasarkan pengalaman lalu.

Mengapa tidak diletakkan saja syarat ketat supaya hanya yang benar-benar berkelayakan yang memohon jika ingin mengurangkan bilangan permohonan? Mengapa perkara ini tidak berlaku pada sesi pengambilan sebelum ini? Adakah ini caranya kementerian mahu mengaut keuntungan. Kami sedar bajet tahun ini untuk setiap kementerian agak sedikit kurang disebabkan keadaan ekonomi yang tidak mengizinkan tetapi ini bukan caranya. Ramai pemohon sudah memohon untuk kali kedua, ketiga dan ada antaranya untuk kali ketujuh. Untuk kali ini mungkin harapan mereka sedikit menggunung berdasarkan pengalaman menduduki sebelum ini tetapi alangkah sedih apabila semua persediaan telah dibuat, siang malam mengulang kaji soalan dan jawapan malangnya nama tiada dalam senarai panggilan. Betapa kecewa dan remuknya hati mereka hanya Allah yang tahu. Ke mana perginya slogan ‘Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan’?

Oleh demikian, saya berharap Kementerian Pengajian Tinggi dapat membuat pertimbangan sewajarnya terhadap masalah ini. Beri mereka ini peluang sekali lagi. Semoga kita mendapat calon yang benar-benar berkelayakan yang dapat menunaikan tanggungjawab mendidik anak bangsa kita dalam mencapai kejayaan dan bukan hanya calon yang terdesak sekadar ingin berkerja dalam sektor kerajaan.

AZIZUDDIN OSMAN,
Kulim, Kedah.

Berita Harian Online: 16 Mac 2010

Monday, March 15, 2010

Kebajikan Guru : Bererti Kebajikan Murid Jua...

Isnin, 2010 Mac 15
Kementerian Kena Ambil Tahu Kebajikan Pendidik Luar Bandar

Oleh Azeem Daniel


DUNIA pendidikan memang tidak lepas daripada pelbagai isu sama ada membabitkan guru, pelajar mahupun ibu bapa. Sekarang heboh pula isu guru enggan bertugas di luar bandar hingga memaksa Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, merangkap Menteri Pelajaran mewajibkan mereka bertugas di luar bandar, sekurang-kurang tiga hingga lima tahun.

Penulis seorang guru yang bertugas di pedalaman sudah hampir sepuluh tahun. Bertugas di pedalaman adalah suatu pengalaman yang tidak boleh dibeli di mana-mana. Pengalaman selama tempoh itu mematangkan kerjaya penulis sebagai guru.

Namun yang menjadi isu sekarang ini apabila ada kalangan lepasan maktab enggan bertugas atau dihantar ke luar bandar dan pedalaman khususnya di Sarawak serta Sabah kerana momokan rakan seperjuangan mengatakan kedua-dua negeri itu keadaannya sangat perit. Ada yang mengambil jalan pintas dengan segera mendirikan rumah tangga menjelang akhir semester pengajian di institut perguruan dengan harapan mereka tidak dihantar ke pedalaman.

Ada yang terpaksa memikirkan berpuluh alasan untuk tidak ke sana kerana bimbang tidak mampu hidup di kawasan itu. Saya tidak menyalahkan bakal guru kerana kebimbangan mereka ada asas. Ini kerana bertugas di luar bandar atau pedalaman memerlukan kekuatan mental serta fizikal.

Kita perlu berkorban segala-galanya jika berada di luar bandar. Ketiadaan kemudahan asas adalah satu kenyataan yang perlu ditelan ketika melangkah ke kawasan itu. Hanya berbekalkan generator dan air sungai, guru perlu segera menyesuaikan diri.

Ada sekolah tidak mempunyai kemudahan telefon atau jaringan komunikasi. Penulis sendiri pernah mengalaminya. Hendak menelefon keluarga pun terpaksa menggunakan telefon atur atau terpaksa memanjat apa saja asalkan dapat menghubungi keluarga.
Begitu besar pengorbanan guru di luar bandar. Tambahan pula, ada kawasan tidak mempunyai kemudahan klinik. Kalau demam pun terpaksa menelan ubat yang dibeli di farmasi. Kalau hendak ke klinik akan memakan masa. Kecuali keadaan kesihatan yang serius maka terpaksa juga menggagahkan diri ke bandar untuk mendapatkan rawatan.

Ada kalangan kami yang ke bandar tetapi tidak mempunyai tempat penginapan. Kami terpaksa bermalam di hotel atau rumah tumpangan. Tidak mengira keselamatan diri, guru perempuan yang tidak mempunyai saudara mara di bandar terpaksa tinggal di hotel terutama apabila menghadiri kursus kerana jabatan tidak menyediakan tempat penginapan.

Apatah lagi sekarang ini adalah zaman penjimatan di mana setiap kursus perlu dilakukan di premis pendidikan sendiri. Terpaksalah guru luar bandar mencari alternatif untuk menjimatkan perbelanjaan daripada duduk di hotel beberapa hari.

Apa yang membimbangkan adalah sistem pengangkutan di luar bandar. Terpaksa naik perahu berjam-jam lamanya. Apa yang lebih memeritkan, penulis dan rakan terpaksa memberanikan diri menahan mana-mana kenderaan yang lalu lalang untuk ditumpangi ke bandar.

Begitulah peritnya hidup seorang guru di luar bandar. Namun, kami sangat terharu apabila kerajaan mengumumkan pemberian insentif sebanyak RM500 hingga RM1,500 untuk guru yang berkhidmat di luar bandar.

Akan tetapi, kami berasa dipinggirkan apabila terpaksa berjuang pula untuk mendapatkan insentif itu kerana sekolah kami mudah dihubungi menurut pandangan pegawai yang melakukan pemantauan. Kami sangat kecewa pada masa itu, memandangkan sekolah kami tidak mempunyai bekalan elektrik, perlu menaiki perahu, menggunakan jalan tanah merah malah tiada kemudahan telefon. Paling menambahkan beban, elaun perumahan ditarik balik memandangkan kami tinggal di kuarters sekolah walaupun kuarters itu sangat daif dan usang.

Sudah jatuh, ditimba tangga pula. Biarpun demikian, kami sangat berbesar hati apabila kerajaan memberi elaun balik kampung kepada kami memandangkan harga tambang untuk pulang ke kampung bernilai sebulan gaji.

Cadangan kerajaan mewajibkan guru bertugas di luar bandar bagi tempoh tiga hingga lima tahun adalah cadangan cukup baik. Namun kementerian perlu memastikan guru terbabit dapat berpindah ke negeri asal selepas tamat tempoh berkenaan.

Jangan jadi seperti penulis yang tidak kisah berkhidmat di luar bandar tetapi untuk tempoh selama sepuluh tahun ia memang memeritkan. Sepuluh tahun berkhidmat di sekolah sama begitu menekan. Apabila penulis memohon ke bandar, pelbagai alasan dikemukakan jabatan kepada penulis. Sebab itu, ramai bakal guru yang enggan ke luar bandar kerana bimbang akan terkandas di sana selama berpuluh tahun.

Ada rakan sejawat penulis pernah bertugas di luar bandar selama 15 tahun barulah jabatan buka mata untuk memindahkan mereka. Itupun selepas mereka bertikam lidah dengan pihak berkenaan. Alasan yang selalu diberikan pihak berkenaan adalah tiada kekosongan di tempat yang diminta.

Selepas ini, penulis berharap urusan perpindahan guru diuruskan dengan lebih sistematik pihak terbabit. Sebagai guru, kami tidak kisah berkhidmat di mana-mana saja kerana sudah termaktub dalam ikrar kami sebelum menjadi guru. Akan tetapi, kebajikan kami perlu juga dijaga khususnya guru di luar bandar.

Hasrat kerajaan menambah insentif kepada guru di luar bandar sangat dialu-alukan supaya lebih ramai guru berminat untuk ke sana. Pemberian elaun hidup susah adalah contoh terbaik yang amat menggembirakan kami di luar bandar.

Cadangan penulis supaya setiap sekolah dibekalkan dengan bot laju atau van siap dengan pemandu bagi kemudahan guru berulang-alik ke bandar. Dan diharapkan generator yang ada di sekolah dapat membekalkan bekalan elektrik 24 jam tanpa sebarang masalah. Kadang-kadang ada sekolah yang mempunyai generator tetapi tidak boleh digunakan kerana rosak atau tiada bekalan minyak. Kasihanilah guru di luar bandar.

Penulis ialah guru di pedalaman Sarawak

Berita Harian Online: 15 Mac 2010
Dicatat oleh GURU_CIKGU di 16:28 0 ulasan
Label: pendapat, penempatan


Guru SK Balar Bersemangat Mengajar Di Pedalaman
Oleh Norliza Wasilan
norlizawasilan@bharian.com.my
2010/03/15

RAMAI guru dikatakan enggan bertugas di luar bandar dan pedalaman termasuk di penempatan Orang Asli. Bayangkan, untuk ke pekan terdekat mengambil masa berjam-jam. Namun, ramai lagi guru sanggup menerima cabaran berkhidmat di pedalaman meskipun serba kekurangan dari segi kemudahan prasarana.

Itulah pengalaman guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Balar yang perlu meredah hampir empat jam perjalanan sejauh 90 kilometer dari Bandar Gua Musang menuju ke sekolah paling terpencil di pedalaman Kelantan itu untuk sampai ke Pos Balar.

Perjalanan mereka merentasi tiga batang sungai, jalan berdebu ketika panas dan laluan licin berbahaya ketika musim hujan tentunya mencabar ketabahan mana-mana individu yang diarah menuju ke lokasi itu. Ada 15 guru berkhidmat di SK Balar demi menabur bakti kepada 315 murid terdiri daripada anak masyarakat Orang Asli suku Temiar. Semua guru itu tinggal di asrama yang disediakan dalam kawasan sekolah. Rutin harian mereka selain mengajar sepanjang waktu persekolahan ialah sebelah petang diisikan dengan kegiatan sukan bersama murid yang tinggal di asrama. Sebelah malam, generator yang menjadi sumber elektrik dimatikan kira-kira jam 11. Hujung minggu, ada antara guru mengambil kesempatan pulang melawat keluarga masing-masing menaiki motosikal untuk keluar dari Pos Balar ke Gua Musang yang mengambil masa hampir empat jam.

Mereka lebih gemar menunggang motosikal bagi mengurangkan kos kerana jika menggunakan khidmat kenderaan pacuan empat roda yang disewa untuk perjalanan pergi balik, tambang yang perlu dibayar mencecah RM1,000.

Guru Pendidikan Seni, Bahasa Malaysia dan Pendidikan Islam, Zaidi Ghani, 38, berkata berbeza sesetengah guru yang mungkin mengelak mengajar di pedalaman atas pelbagai alasan, beliau lebih bersemangat menggalas tanggungjawab pendidik di situ walaupun terpaksa hidup di lokasi terpencil sekali gus jauh daripada keselesaan di bandar.

Katanya, sepanjang berkhidmat sebagai guru sekolah itu, banyak pengalaman ditempuhi semata-mata mahu menabur bakti demi meningkatkan tahap pendidikan anak Orang Asli sekitar kawasan berkenaan.
“Saya sudah biasa mengajar di pedalaman. Sebelum bertukar ke sini, saya pernah berkhidmat di sekolah yang majoritinya kaum Iban di Sarawak. Ini menjadikan saya biasa dengan pedalaman. Di SK Balar ini, bukan sedikit cabaran perlu dihadapi namun saya menganggapnya lumrah kehidupan setiap guru.

“Paling ketara di sini ialah aspek bahasa. Sebab itu saya cuba mempelajari serba sedikit bahasa Orang Asli bagi mewujudkan kemesraan antara guru dan murid. Sepanjang berkhidmat di sini, antara cabaran lain terpaksa ditempuh ialah faktor pengangkutan dan perhubungan.

“Biasanya kalau mahu ke bandar, saya lebih suka menunggang motosikal kerana lebih mudah dan menjimatkan masa perjalanan sehingga hampir setengah jam,” katanya ketika ditemui pada Majlis Mesra Muhibah sempena lawatan Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi ke SK Balar, baru-baru ini.

Guru Matematik, Mohd Fadhli Md Diah, 29, berkata sebaik menerima surat tawaran mengajar di SK Balar pada 2008, beliau segera mencari lokasinya dalam peta dan juga internet, malangnya gagal kerana tidak disenaraikan.

“Saya tidak menolak ketika menerima tawaran ini, malah berusaha mencari lokasi sekolah dengan bertanya kepada orang ramai. Namun kebanyakan mereka termasuk masyarakat Gua Musang sendiri tidak tahu di mana sebenarnya sekolah itu.

“Saya tetap tidak patah semangat dan terus mencari di dalam peta dan internet tetapi masih gagal mengesannya. Kemudian saya mengambil keputusan melayari laman web Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan bertanya kepada PPD. Syukurlah sebab mereka dapat membantu saya,” katanya.

Katanya, ramai pelajar di situ lebih gemar menggunakan bahasa mereka sendiri ketika berkomunikasi. Situasi ini menguatkan azamnya untuk turut mempelajari bahasa itu bagi memudahkan beliau bergaul bersama mereka.

“Sebenarnya bukan sesuatu yang sukar untuk mengajar anak Orang Asli kerana mereka juga mempunyai keazaman kuat untuk belajar dan mengubah nasib keluarga.

Saya melihat kesungguhan mereka ini. Disebabkan itu, saya bertekad terus berkhidmat di sekolah ini selagi khidmat saya diperlukan,” katanya.

Guru Bahasa Melayu dan Pendidikan Moral, Mazlina Shafie, 32, dari Pasir Puteh, Kelantan, berkata meskipun hatinya agak berat menerima tawaran mengajar di sekolah berkenaan, beliau tidak mempunyai pilihan dan menganggapnya sebagai cabaran bagi guru baru sepertinya.

Mazlina yang mula berkhidmat awal Januari lalu berkata, beliau tidak menyangka sekolah tempat beliau berkhidmat terlalu jauh di pedalaman dan terpaksa melalui jalan balak yang cukup mencabar ketika waktu panas dan hujan.

“Memang saya tidak sangka langsung sekolah itu terlalu jauh meskipun menggunakan kenderaan pacuan empat roda dan berada di dalam hutan. Pada mulanya memang sukar untuk saya menerimanya, namun kini sudah boleh menyesuaikan diri.

“Tekad saya sekarang ialah untuk membantu murid Orang Asli ini berjaya dalam pelajaran seterusnya mengubah kehidupan keluarga masing-masing pada masa akan datang. Memang bukan mudah untuk menarik minat mereka belajar, namun saya akan terus berusaha sedaya upaya mendekati mereka sebaik mungkin,” katanya.

Berita Harian Online: 15 Mac 2010

Sunday, March 14, 2010

Jangan Bagi Kelas Tasmik Jadi Macam Ni....

Tak wajar kelas Kafa dibatal kerana sukan

SATU insiden berlaku di sebuah sekolah di sekitar Kuala Lumpur. Sekumpulan pelajar meminta dibatalkan Kelas Agama dan Fardhu Ain (Kafa) selama seminggu gara-gara acara sukan di sekolah kebangsaan.

Begitu pun, guru agama yang mengajar Kafa membuat rayuan supaya perkara itu dirundingkan kerana dalam perancangan mereka peperiksaan Kafa dibuat pada minggu berikutnya. Malangnya perkara itu tidak diendahkan termasuklah ibu bapa pelajar sendiri. Hal ini amat menyedihkan.

Aktiviti kokurikulum di sekolah kebangsaan penting, tetapi menafikan waktu pelajar mengikuti kelas agama di sebelah petang selama seminggu amat tidak patut. Guru sekolah kebangsaan harus merangka aktiviti kokurikulum supaya semua pihak mendapat hak yang sepatutnya.

Adilkah bagi guru Kafa apabila pelajar tidak hadir semata-mata diwajibkan bersukan? Perlu difahami, kelas Kafa adalah satu-satunya kaedah menambah dan memantapkan ilmu agama dalam diri pelajar kerana subjek Pendidikan Islam di sekolah kebangsaan sangat terhad.

Pihak sekolah kebangsaan dan pengelola kelas Kafa (Jabatan Agama Islam negeri biasanya), perlu duduk semeja bagi menyelesaikan perkara ini dengan baik. Semoga perkara ini dilihat sebagai suatu hal yang serius. Semoga insiden seumpama ini tidak berlaku lagi pada masa akan datang.

HANAFI ISA,
Sentul, Kuala Lumpur.

Berita Harian Online: 10 Mac 2010

Thursday, March 11, 2010

Pemantauan Sebelum Cuti/ Isu Guru Luar bandar:NUTP sokong....

Selasa, 2010 Mac 09

Guru Patut Bergilir Ke Luar Bandar


KUALA LUMPUR 8 Mac - Para guru perlu menganggap penempatan di kawasan luar bandar sebagai khidmat negara, kata Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Lok Yim Pheng hari ini.

Dengan perubahan paradigma ini, tempoh perkhidmatan mereka di kawasan luar bandar akan lebih bermanfaat dan berhasil kerana mereka akan dapat menjalankan tugas dan tanggungjawab mereka dengan penuh minat, katanya.

Melalui sistem itu, NUTP berharap kerajaan akan membenarkan guru terbabit dipindahkan selepas mereka mengajar dua hingga tiga tahun di sekolah luar bandar.

"Apa yang berlaku sekarang ialah sebaik sahaja guru berkenaan ditempatkan untuk mengajar di kawasan luar bandar, mereka dilupakan dan dibiarkan di situ selama bertahun-tahun lamanya," katanya.

"Ini yang kami mahu elakkan dan akan menggesa Kementerian Pelajaran merumuskan sistem giliran yang adil dan saksama di mana semua guru baru diberi peluang mengajar di sekolah di luar bandar," katanya.

Katanya, NUTP yang mewakili 160,000 guru "menyokong penuh langkah kerajaan untuk mewajibkan guru baru ditempatkan di sekolah luar bandar."

Bagaimanapun, kesatuan itu berharap kementerian akan membincangkan butiran terperinci mengenai cadangan itu dengan pelbagai wakil dan persatuan guru.

Minggu lepas, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang juga Menteri Pelajaran berkata kerajaan sedang menimbangkan untuk mewajibkan guru mengajar sekurang-kurangnya tiga hingga lima tahun di sekolah luar bandar dan pedalaman.

Kerajaan menawarkan ganjaran dan insentif lain untuk menarik guru supaya mengajar di kawasan luar bandar.

Pada ketika ini, guru yang mengajar di luar bandar dibayar elaun bertugas di pedalaman antara RM500 hingga RM1,500. - Bernama

Utusan Malaysia Online: 9 Mac 2010







11Mac- Minggu ini sempat saya menziarahi beberapa buah sekolahh program j-QAF untuk melihat perjalanan dan juga pelaksanaan program j-QAF di sekolah tersebut di samping membantu sekolah dan ustaz -stazah j-QAF yang melaksanakan proses p&p serta membincangkan beberapa isu yang berkaitan dengan penempatan dan keperluan guru di sana.

Antara sekolah yang sempat saya kunjungi ialah SK Sungai Kob (KBB),SK Kampung Bukit dan dan SK Tualang (PPDKS) SK Sik Dalam dan SK Kuala Ketil (PPDBS).Terima kasih di atas sambutan dan layanan yang telah di berikan oleh pentadbir dan guru-guru Pendidikan Islam sekolah -sekolah tersebut.


Sunday, March 7, 2010

Kelebihan Al-Quran Al-Karim.

Al-Quran ialah Kitabullah yang terakhir yang diturunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w. Al-Quran merupakan senjata yang paling mujarab yang melimpah ruah, mata air yang tidak mungkin kering, di dalamnya penuh dengan nur hidayah rahmat dan zikir.

Al-Quran diturunkan untuk mengajar manusia tentang pengesaannya kepada Allah (tauhid). Konsep ibadat yang jelas dan menyeluruh agar manusia sentiasa mendapat bekalan yang baru dan segar. Mengajak manusia berfikir tentang ciptaan, pengawasan dan penjagaan yang ditadbirkan oleh yang Maha Agong agar dapat mengenal sifat-sifatNya yang Unggul.

Di dalam Al-Quran dipaparkan juga contoh tauladan dan juga kisah-kisah yang benar berlaku sebelum turunnya Al-Quran dan pada masa penurunan Al-Quran. Dengan itu manusia mendapat pengajaran dan panduan dalam mengharungi kehidupan sebagai muslim yang sejati dan benar dalam semua bidang kehidupan.

Al-Quran menjelaskan juga persoalan tentang akhir kehidupan manusia, situasi terakhir yang akan dirasai oleh manusia sebelum bumi ini dihancurkan oleh Allah untuk bermulanya hari qiamat dan nasib tiap-tiap insan sama ada ke syurga atau ke neraka.

Sebelum Al-Quran diturunkan ada banyak kitab suci dan suhuf yang diturunkan oleh Allah S.W.T kepada nabi-nabi dan rasul-rasulNya. Antara yang termasyhur ialah kitab Zabur yang diturunkan kepada nabi Daud a.s, kitab Taurat yang diturunkan kepada nabi Musa a.s, dan kitab Injil yang diturunkan kepada nabi Isa a.s tetapi tidak syak lagi bahawa Al-Quran adalah kitab yang paling utama dan termulia di sisi Allah S.W.T.

Dalam sebuah hadis, Rasulullah s.a.w telah bersabda yang berbunyi:

Dari Aisyah r.a telah bersabda Rasulullah s.a.w:
“Sesungguhnya tiap-tiap sesuatu itu mempunyai kemegahan yang mana manusia berbangga dengannya dan menjadi kemegahan kebanggaan umatku ialah Al-Quran yang mulia.”

Al-Quran terpelihara dan susunannya tidak berubah-ubah dan tidak boleh dipinda atau dihapuskan. Walaupun banyak usaha dilakukan oleh musuh-musuh Islam untuk mengubah dan meminda isi kandungan Al-Quran atau memutar belit ayat-ayat dan surah-surah, setiap kali usaha itu dibuat ia tetap dapat diketahui termasuk juga usaha golongan-golongan kuffar.

Al-Quran adalah satu perlembagaan yang lengkap bagi semua aspek kehidupan, mengandungi semua yang dihajati oleh manusia walaupun sebahagian daripada huraiannya tidak terperinci. Tujuannya Allah menyuruh manusia menggunakan fikiran yang sihat dan sempurna untuk mencari dan mengkaji berpandukan saranan yang diberi oleh Allah S.W.T.

Dalam Al-Quran Allah S.W.T berfirman:

“Sesungguhnya telah datang kepada kau cahaya kebenaran (Nabi Muhammad s.a.w) dari Allah dan sebuah Kitab (Al-Quran) yang jelas nyata kebenarannya dengan itu Allah menunjukkan jalan keselamatan serta kesejahteraan kepada sesiapa yang mengikut keredhaanNya dan denganya Tuhan keluarkan mereka dari kegelapan (kufur) kepada cahaya (iman) yang terang benderang dengan izinNya dan dengannya juga Tuhan menunjukkan mereka ke jalan yang betul dan harus. “
(Surah Al-Maidah: 14 &15)

Firman Allah S.W.T lagi:

“Kitab Al-Quran ini tidak ada sebarang syak padanya dan ianya menjadi petunjuk bagi orang yang bertaqwa. “
(Surah Al-Baqarah: 2)

Sebuah hadis dari Rasulullah s.a.w berbunyi:

Abu Zar r.a berkata bahawa beliau meminta Rasulullah s.a.w memberi satu pesanan yang berpanjangan. Rasulullah s.a.w bersabda:
“Semaikanlah perasaan taqwa kepada Allah kerana ia adalah sumber bagi segala amalan-amalan baik. Aku meminta supaya baginda menambah lagi. Tetapkanlah membaca Al-Quran kerana ia adalah nur untuk kehidupan ini dan bekalan untuk hari akhirat.”

Kita dikehendaki membaca, mendalami dan menghayati isi kandungan Al-Quran kerana ia diturunkan bukan untuk dijadikan perhiasan sahaja, dengan itu kita mendapat faedah yang besar bukan sahaja pahala da keredhaan Allah tetapi juga kegunaan lain dalam kehidupan sehari-hari.

Membaca Al-Quran dikira sebagai berzikir dan zikir membaca Al-Quran lebih afdal dan utama daripada zikir-zikir yang lain. Oleh itu membaca Al-Quran adalah sebagai ibadat tetapi tidaklah melebihi daripada ibadat-ibadat yang wajib.

Dalam sebuah hadis Rasulullah bersabda:

“Semulia-mulia ibadat umatku ialah membaca Al-Quranul Karim ( ibadat yang bukan wajib).”

Membaca Al-Quran disifatkan sebagai santapan rohani kepada tiap-tiap orang Islam.



Rasulullah s.a.w bersabda dalam sebuah hadis berbunyi:

“Sesungguhnya Al-Quran ini ialah hidangan Allah S.W.T maka hendaklah kamu terima hidangan Allah sebanyak mana yang kamu boleh.”

Al-Quran juga merupakan senjata yang paling berkesan untuk membersihkan jiwa dan menyinarkannya.

Dalam sebuah hadis Rasulullah s.a.w bersabda:

Daripada Ibnu Umar r.a berkata:
“Rasulullah s.a.w telah bersabda, hati manusia akan berkarat seperti besi yang dikaratkan oleh air. Apakah cara untuk menjadikan hati bersinar semula. Katanya dengan banyak mengingati mati dan membaca Al-Quran.”


PAHALA MEMBACA AL-QURAN

Allah S.W.T. Yang Maha Pemurah memberi pahala yang amat besar kepada orang yang membaca Al-Quran, tiap-tiap satu huruf ada pahalanya dan tiap-tiap satu ayat pun ada ditentukan pahalanya yang tidak sama antara satu dengan yang lain.

Pahala tiap-tiap huruf Al-Quran dijelaskan dalam sebuah Hadis dari Ibnu Masud r.a dari Rasulullah s.a.w:

Daripada Ibnu Masud r.a telah berkata bahawa Rasulullah s.a.w telah bersabda;
“Barangsiapa membaca satu huruf daripada Kitabullah maka baginya satu kebajikan dan setiap kebajikan sepuluh kali gandanya. Aku tidak mengatakan Alif Laam Miim satu huruf tetapi Alif satu huruf, Lam satu huruf dan Mim satu huruf”.

Mengenai pahala tiap-tiap ayat telah disebut dalam beberapa hadis antaranya yang diriwayatkan daripada Abi Hurairah r.a telah bersabda Rasulullah s.a.w:

“Sesiapa yang membaca Al-Quran sepuluh ayat dalam satu malam tidak dimasukkan ke dalam golongan yang lalai.”


Sesiapa yang memelihara sembahyang fardu tidak termasuk dalam golongan yang lalai dan sesiapa yang membaca 100 ayat pada satu malam dimasukkan ke dalam golongan yang taat.


Barangsiapa yang mendengarkan satu ayat daripada Al-Quran ditulis baginya satu kebajikan yang berlipat kali ganda dan barang siapa yang membacanya adalah baginya cahaya pada hari Qiamat.

Adapun pahala membaca surah-surah banyak diriwayatkan dalam hadis-hadis Rasulullah s.a.w antaranya:

“Sesiapa yang mambaca surah Yasin dipermulaan hari, segala hajatnya bagi hari itu dipenuhi.”


Sesiapa yang membaca surah al-Waqiah pada tiap-tiap malam kebuluran/kepapaan tidak akan menima dirinya.

Selain daripada pahala yang disebut sebelum ini, pahala membaca dalam solat dan pahala membaca dengan berwuduk lebihbesar ganjarannya daripada tidak berwuduk. Berpandukan Hadis Rasulullah s.a.w yang panjang dapat disimpulkan seperti berikut:

1. Pahala membaca Al-Quran dalam solat bagi tiap-tiap satu huruf seratus kebajikan.
2. Pahala membaca dengan berwuduk di luar solat bagi tiap-tiap satu huruf sepuluh
kebajikan.



KELEBIHAN MEMBACA AL-QURAN

Orang yang selalu membaca Al-Quran semata-mata kerana Allah diberi kelebihan yang tinggi dan berbeza semasa mereka masih hidup ataupun sesudah berada di akhirat di samping kemuliaan yang dikurniakan kepada orang yang membaca Al-Quran kelebihan melimpah juga kepada kedua ibubapanya.

Hadis dari Rasulullah s.a.w yang berbunyi:

“Sesiapa yang membaca Al-Quran dan beramal dengan apa yang terkandung di dalamnya, ibubapanya akan dipakaikan mahkota pada hari kiamat yang sinarannya akan melebihi daripada cahaya matahari jika matahari itu berada di dalam rumah-rumahnya di dunia ini. Jadi bayangkanlah bagaimana pula orang yang dirinya sendiri mengamalkan dengannya.”

Al-Quran juga dapat memberi syafaat (pertolongan) yang paling tinggi di sisi Allah S.W.T di hari qiamat. Ini berpandukan kepada Hadis Rasulullah s.a.w yang berbunyi:

Tidak ada syafaat yang paling tinggi melainkan Al-Quran yang bukan Nabi dan bukan malaikat dan sebagainya.

Hadis lain daripada Othman Ibnu Affan r.a dari Rasulullah s.a.w yang berbunyi:

“Sebaik-baik kamu yang mempelajari Al-Quran dan mengajarnya kepada orang lain.”



KERUGIAN MEREKA YANG TIDAK MEMBACA AL-QURAN

Dalam hadis Rasulullah s.a.w baginda ada menyebut tentang orang yang tidak ada langsung membaca Al-Quran dan rongga mulutnya kosong dengan ayat-ayat Al-Quran seperti rumah yang kosong dari penghuni.

Hadis dari Rasulullah s.a.w berbunyi:

“Sesungguhnya orang yang tidak ada pada rongganya sedikitpun daripada Al-Quran seperti rumah yang ditinggalkan kosong”.



ADAB MEMBACA AL-QURAN

Seseorang yang membaca Al-Quran seolah-olah ia berada di sisi Allah S.W.T dan bermunajat kepadaNya maka hendaklah menjaga adab-adab yang tertentu yang layak di sisi tuhan Yang Maha Agong lagi Maha Mulia. Ulamak-ulamak muktabar telah menggariskan beberapa adab sebagai panduan sepeti berikut:

1. Hendaklah sentiasa suci pada zahir dan batin kerana membaca Al-Quran adalah zikir yang paling afdal (utama) dari segala zikir yang lain.

2. Hendaklah membaca di tempat yang suci dan bersih yang layak dengan kebesaran Yang Maha Agong dan ketinggian Al-Quranul Karim. Para Ulamak berpendapat sunat membaca Al-Quran di Masjid iaitu tempat yang bersih dan mulia di samping dapat menambah kelebihan pahala-pahala iktiqaf.

3. Hendaklah memakai pakaian yang bersih, cantik dan kemas.

4. Hendaklah bersugi dan membersihkan mulut. Melalui mulut tempat mengeluarkan suara menyebut ayat Al-Quran. Hadis Rasulullah s.a.w berbunyi:
“Sesungguhnya mulut-mulut kamu adalah merupakan jalan-jalan lalunya Al-Quran maka peliharalah dengan bersugi.”

Berkata Yazid bin Abdul Mallek:
“Sesungguhnya mulut-mulut kamu adalah merupakan jalan-jalan lalunya Al-Quran maka peliharalah dengan bersugi.”

5. Hendaklah melahirkan di dalam ingatan bahawa apabila membaca Al-Quran seolah-olah berhadapan dengan Allah dan bacalah dalam keadaan seolah-olah melihat Allah S.W.T. Walaupun kita tidak dapat melihat Allah sesungguhnya Allah tetap melihat kita.

6. Hendaklah menjauhkan diri dari ketawa dan bercakap kosong ketika membaca Al-Quran.

7. Jangan bergurau dan bermain-main ketika sedang membaca Al-Quran.

8. Hendaklah berada dalam keadaan tenang dan duduk penuh tertib. Jika membaca dalam keadaan berdiri hendaklah atas sebab yang tidak dapat dielakkan adalah harus.

9. Setiap kali memulakan bacaan lebih dahulu hendaklah membaca Istiazah: (A'uzubillahiminasy-syaitannirrajim).
Kerana memohon perlindungan dari Allah dari syaitan yang kena rejam.

10. Kemudian diikuti dengan membaca basmallah: (Bismillahirrahmanirrahim).
Hendaklah membaca Bismillah itu pada tiap-tiap awal surah kecuali pada surah At-Taubah.

11. Hendaklah diulang kembali membaca Istiazah apabila terputus bacaan di luar daripada Al-Quran.

12. Hendaklah membaca dengan Tartil (memelihara hukum Tajwid). Secara tidak langsung menambah lagi minat kepada penghayatan ayat-ayat yang dibawa dan melahirkan kesan yang mendalam di dalam jiwa.
Firman Allah S.W.T:

“Kami membaca Al-Quran itu dengan tartil.”
(Surah Al-Furqan: 32)

“Hendaklah kamu membaca Al-Quran dengan tartil.”
(Surah Al-Muzammmil: 4)


Pengertian Tartil pada bahasa:

Memperkatakan sesuatu perkara itu dengan tersusun dan dapat difahami serta tanpa gopoh-gopoh.

Menurut Istilah Tajwid ialah membaca Al-Quran dalam tenang dan dapat melahirkan sebutan huruf dengan baik serta meletakkan bunyi setiap huruf tepat pada tempat-tempatnya.

Saidina Ali k.w berkata:

“Pengertian tartil ialah mentajwidkan akan huruf-huruf Al-Quran dan mengetahui wakaf-wakafnya.”

13. Hendaklah berusaha memahami ayat-ayat yang dibaca sehingga dapat mengetahui tujuan Al-Quran diturunkan oleh Allah S.W.T.
Allah S.W.T. berfirman:

“Inilah Al-Quran yang memimpin jalan yang lurus.”

(Surah Al-Israi’: 9)

Firman Allah S.W.T.:

“Kami turunkan Al-Quran sesuatu yang menjadi penawar dan rahmat bagi orang mukminin.”
(Surah Al-Isra’: 82)

Firman Allah S.W.T. lagi:

“Ini adalah sebuah kitab yang Kami turunkan kepadamu dengan penuh barakah supaya mereka memperhatikan ayat-ayatnya dan supaya mendapat pelajaran orang-orang yang mempunyai fikiran.”
(Surah Sad: 29)

14. Hendaklah menjaga hak tiap-tiap huruf sehingga jelas sebutannya kerana tiap-tiap satu huruf mengandungi sepuluh kebajikan. Hadis dari Rasulullah s.a.w berbunyi:

Diriwayatkan dari Tirmizi dari Abdullah bin Masud daripada Rasulullah s.a.w telah bersabda:

“ sesiapa yang membaca satu huruf daripada Kitabullah (Al-Quran) maka baginya satu kebajikan dan setiap kebajikan sepuluh kali gandanya. Aku tidak mengatakan Alif Laam Miim satu huruf tetapi Alif satu huruf, Lam satu huruf dan Mim satu huruf.”

15. Hendaklah membaca al-Quran mengikut tertib Mashaf. Dilarang membaca dengan cara yang tidak mengikut susunan kecuali diceraikan surah-surah dengan tujuan mengajar kanak-kanak adalah diharuskan.

16. Hendaklah berhenti mambaca apabila terasa mengantuk dan menguap kerana seseorang yang sedang membaca Al-Quran ia bermunajat kepada Allah dan apabila menguap akan terhalang munajat itu kerana perbuatan menguap adalah dari syaitan.
Berkata Mujahid:

‘Apabila kamu menguap ketika membaca Al-Quran maka berhentilah dari membaca sebagai menghormati Al-Quran sehingga selesai menguap.’

17. Hendaklah meletakkan Al-Quran di riba atau di tempat yang tinggi dan jangan sekali-kali meletakkannya di lantai atau di tempat yang rendah. Sabda Rasulullah s.a.w berbunyi:
Ubaidah Mulaiki r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda:

“Wahai kaum ahli-ahli Al-Quran jangan gunakan Al-Quran sebagai bantal tetapi hendaklah kamu membacanya dengan teratur siang dan malam.”

18. Hendaklah memperelokkan bacaan dan menghiaskannya dengan suara yang baik.
Sabda Nabi s.a.w dalam sebuah hadis:

“Telah bersabda Nabi Muhammad saw, hiasilah Al-Quran dengan suara-suara kamu.”

19. Setiap bacaan hendaklah disudahi dengan membaca:

(Sadaqallahul’azim).

20. Disunatkan berpuasa di hari khatam Al-Quran dan diikuti dengan mengumpul ahli keluarga dan sahabat handai bersama-sama di dalam hari khatam Al-Quran. Dalam sebuah hadis ada menjelaskan kelebihan orang yang telah khatam Al-Quran menerusi sebuah hadis yang berbunyi:

Telah bersabda Nabi Muhammad s.a.w,:

“ sesiapa yang telah khatam Al-Quran baginya doa yang dimakbulkan”.

aamiin.

Saturday, March 6, 2010

Guru Oh Guru ! Renung-Renungkanlah ...

Sajak - Guru Oh Guru
BERBURU ke padang datar
Dapat rusa belang kaki
Berguru kepala ajar
Ibarat bunga kembang tak jadi
(dedikasi kepada Hari Guru dan guruku tercinta)
Dialah pemberi paling setia
Tiap akar ilmu miliknya
Pelita dan lampu segala
Untuk manusia sebelum jadi dewasa.
Dialah ibu dialah bapa juga sahabat
Alur kesetiaan mengalirkan nasihat
Pemimpin yang ditauliahkan segala umat
Seribu tahun katanya menjadi hikmat.
Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa;
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.
Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya
Di sebuah sekolah mewah di Ibu Kota
Di bangunan tua sekolah Hulu Terengganu
Dia adalah guru mewakili seribu buku;
Semakin terpencil duduknya di ceruk desa
Semakin bererti tugasnya kepada negara.
Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu, guruku
Budi yang diapungkan di dulangi ilmu
Panggilan keramat "cikgu" kekal terpahat
Menjadi kenangan ke akhir hayat.

USMAN AWANG
1979


Sabtu, 2010 Mac 06

Terlalu Lama Di Pedalaman

SAYA menyambut baik kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa guru mungkin diwajibkan berkhidmat di kawasan pedalaman antara tiga hingga lima tahun dalam tempoh perkhidmatan mereka.

Ini adalah pengorbanan besar bagi guru dari segi fizikal, moral, mental dan sebagainya untuk berkhidmat demi anak bangsa.

Tetapi timbul persoalan dalam pemikiran saya, adakah selepas tempoh ditetapkan itu membolehkan guru terbabit bertukar ke sekolah dimohon atau hanya sekadar melayakkan untuk mengisi borang permohonan tukar guru saja?

Ini disebabkan kebanyakan guru Semenanjung yang mengajar di pedalaman terutama di Sabah dan Sarawak sudah melebihi tiga hingga lima tahun, bahkan ada yang mencecah hampir 10 tahun tempoh perkhidmatan.

Namun, permohonan pertukaran mereka ini tidak diluluskan hanya sekadar memberi pengharapan tetapi tidak kesampaian terutama guru yang mengajar subjek Pendidikan Islam.

Saya yakin dan percaya antara yang membolehkan ramai guru baru sanggup menerima cabaran dan pengorbanan untuk berkhidmat di pedalaman seperti dikehendaki Kementerian Pendidikan mengikut tempoh ditetapkan itu, ialah dengan meluluskan permohonan pertukaran mereka bila cukup tempoh perkhidmatan ditetapkan sekiranya mereka berkhidmat di pedalaman kecuali jika guru itu tidak mahu bertukar dan suka mengajar di pedalaman.

GURU PEDALAMAN,
Sarawak.

Berita Harian Online: 6 Mac 2010


Jumaat, 2010 Mac 05

Elok Gilir Guru Baru

Oleh Faizatul Farlin Farush Khan
ffarlin@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) meminta kementerian menetapkan guru baru lepasan pusat latihan perguruan di seluruh negara perlu digerakkan berkhidmat ke kawasan luar bandar sebagai sebahagian tanggungjawab seorang pendidik kepada anak bangsanya.

Bagaimanapun, Setiausaha Agung NUTP, Lok Yim Pheng, berkata walaupun ada cadangan supaya guru wajib berkhidmat di kawasan luar bandar, Kementerian Pendidikan perlu menyediakan sedikit ruang bagi kes tertentu dan mengambil kira rayuan dikemukakan guru jika ia tidak dapat memenuhi tuntutan bertugas di pedalaman.

Beliau berkata, cadangan dikemukakan itu ada asasnya kerana guru perlu memberi keutamaan kepada pelajar disebabkan murid di luar bandar memerlukan guru, apalagi golongan pendidik diberi insentif kerajaan bertugas di luar bandar.

“Namun NUTP berpandangan hanya guru baru perlu ditempatkan di luar bandar dan bertugas secara bergilir, bukannya guru yang bertahun-tahun berkhidmat di bandar kerana guru itu berakar umbi di situ dan jika kita tarik dia diletakkan di luar bandar, dibimbangi prestasi kerjanya akan terjejas.

“Lagipun, setiap bakal guru perlu sedar keperluan mereka berkhidmat di luar bandar selain bersiap sedia dari segi minda sejak awal bertugas di mana saja yang ditetapkan kementerian,” katanya ketika dihubungi .

Beliau mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Selasa lalu, berhubung cadangan mewajibkan guru bertugas di pedalaman serta luar bandar antara tiga hingga lima tahun dalam tempoh perkhidmatan sebagai satu daripada langkah mengatasi kekurangan tenaga pengajar di kawasan berkenaan. Muhyiddin berkata, sebagai penggalak, mereka diberikan ganjaran yang diharap dapat mengatasi masalah kekurangan guru di luar bandar dan pedalaman dialami sektor pendidikan ketika ini. Dalam laporan kelmarin juga, Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom, berkata pengalaman berkhidmat di sekolah luar bandar dan pedalaman diambil kira dalam pertimbangan kenaikan pangkat dan pemberian insentif lain, termasuk tawaran biasiswa melanjutkan pengajian pada peringkat lebih tinggi. Katanya, ganjaran itu antara bentuk dorongan baru dikaji menggalakkan guru berkhidmat di kawasan berkenaan.

myMetro: 5 Mac 2010


Khamis, 2010 Mac 04

Mudah Naik Pangkat

Oleh Syuhada Choo Abdullahmailto:Abdullahchoo@bharian.com.my

TIMBALAN Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menyampaikan ucapan pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Pelajaran di Putrajaya, semalam. Turut kelihatan timbalannya Dr. Mohd Puad Zarkashi (duduk dua dari kanan) serta Ketua Pengarah Pelajaran Tan Sri Alimuddin Mohd Dom (duduk kanan). - Foto Izhari Ariffin

Guru Berkhidmat Di Luar Bandar Diberi Kelebihan

KUALA LUMPUR: Pengalaman berkhidmat di sekolah luar bandar dan pedalaman akan diambil kira dalam pertimbangan untuk kenaikan pangkat dan pemberian insentif lain, termasuk tawaran biasiswa untuk melanjutkan pengajian pada peringkat lebih tinggi.

Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom, berkata ganjaran itu antara bentuk dorongan baru yang sedang dikaji untuk menggalakkan guru berkhidmat di kawasan berkenaan, selain sebagai penghargaan dan pengiktirafan terhadap pengorbanan mereka.
Beliau bagaimanapun berkata, pengalaman berkhidmat di luar bandar bukan bermakna guru terbabit akan mendapat kenaikan pangkat dan ganjaran lain secara automatik, sebaliknya ia memberi mereka kelebihan dalam pertimbangan yang turut bergantung kepada faktor penting lain, seperti kekosongan jawatan, kekananan dan prestasi perkhidmatan. "Satu kertas kerja yang mencakupi segala aspek menyeluruh mengenai perkhidmatan guru di luar bandar dan pedalaman, termasuk dari segi pemilihan, penempatan, bentuk galakan serta ganjaran sedang pada peringkat akhir penyediaan oleh jawatankuasa yang saya pengerusikan. "Usaha ini dimulakan sejak akhir tahun lalu di mana kita mengambil kira, mempertimbang dan membincangkan secara teliti semua isu berkaitan serta masalah daripada keseluruhan aspek yang dijangka timbul berhubung perkara berkenaan," katanya ketika dihubungi Berita Harian, semalam.
Beliau mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, kelmarin, berhubung cadangan mewajibkan guru bertugas di pedalaman serta luar bandar antara tiga hingga lima tahun dalam tempoh perkhidmatan sebagai salah satu langkah mengatasi kekurangan tenaga pengajar di kawasan itu. Muhyiddin berkata, sebagai penggalak, mereka akan diberikan ganjaran yang diharap dapat mengatasi masalah kekurangan guru di luar bandar dan pedalaman yang dialami sektor pendidikan ketika ini. Alimuddin berkata, kertas kerja yang disediakan Bahagian Pengurusan Sekolah Harian itu akan siap tidak lama lagi dan akan dibentangkan pada mesyuarat pengurusan dan profesional sebelum dikemukakan kepada Muhyiddin untuk kelulusan. "Apabila ia diluluskan, dasar baru berkenaan boleh dilaksanakan dalam tahun ini juga sekiranya sempat atau pada sesi persekolahan baru tahun depan," katanya.
Beliau berkata, guru harus melihat penempatan di sekolah luar bandar dan pedalaman selama tiga hingga lima tahun daripada keseluruhan tempoh 33 hingga 35 tahun perkhidmatan mereka dalam profesion itu, sebagai satu tanggungjawab sosial dan khidmat negara yang amat bermakna. Katanya, rata-rata tenaga pengajar di sekolah luar bandar dan pedalaman ketika ini adalah guru baru, sedangkan khidmat guru berpengalaman melebihi lima tahun juga diperlukan untuk membantu mempertingkat kecemerlangan pendidikan di kawasan itu, sekali gus merapatkan jurang prestasi antara pelajarnya dengan rakan sebaya di sekolah bandar.
"Justeru, kertas kerja itu tidak hanya bertumpu kepada penghantaran guru baru, sebaliknya turut mengkaji kepentingan menempatkan guru berpengalaman ke luar bandar serta pedalaman untuk mengisi kekosongan berdasarkan keperluan opsyen, terutama bagi mereka yang belum pernah ditukarkan ke kawasan berkenaan.
"Memang ada guru berpengalaman yang tidak pernah ditukarkan ke kawasan luar bandar atau pedalaman walaupun sudah hampir bersara. Maka, dasar umpama khidmat negara sebegini dipercayai akan mendorong guru berusaha mendapatkan penempatan ke sekolah luar bandar dan pedalaman lebih awal," katanya.
Berita Harian Oline: 4 Mac 2010

Khamis, 2010 Mac 04

Minda Pengarang: Pengorbanan Guru Ke Pedalaman Buka Ruang Lebih Berjaya

APABILA Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, guru sedia ada dan guru baru akan diwajibkan bertugas di luar bandar serta pedalaman maka ketetapan itu bertujuan menjayakan sebahagian lagi proses Program Transformasi Kerajaan (GTP) bagi menambah baik sistem penyampaian perkhidmatan kepada rakyat tanpa dibatasi garis sempadan. Langkah mewajibkan guru berkhidmat antara tiga hingga lima tahun adalah antara usaha mengatasi kekurangan tenaga pengajar di kawasan berkenaan. Sistem pendidikan terbaik adalah yang memastikan setiap kanak-kanak berjaya dan ejen kepada kejayaan ini ialah guru. Ada seramai 369,931 guru berkhidmat di seluruh negara (perangkaan 2008). Mereka adalah ejen pembangunan sosial paling penting dalam merubah dan membentuk seorang individu sekali gus menjadi warga negara yang menyumbang kepada pembangunan keluarga, masyarakat, bangsa, agama dan negaranya. Syarat wajib ini jangan dilihat sebagai beban, igauan dan fobia kepada guru sedia ada mahu pun calon guru. Berkhidmat di luar bandar dan pedalaman mesti disambut secara positif. Kepayahan di sana akan melahirkan ketabahan dan tekad kental individu yang melalui. Keterpencilan melahirkan keinsafan sekali gus meningkat usaha seseorang untuk membuktikan kemampuan. Proses ini boleh dikategorikan sebagai hijrah yang terbukti di seluruh dunia sentiasa menjanjikan seseorang untuk menggapai kecemerlangan. Keputusan Nabi Muhammad SAW berhijrah dari Makkah ke Madinah adalah bukti paling jelas bahawa perpindahan membuka ruang seluas-luasnya kepada seseorang untuk lebih berjaya, tabah dan lebih berperancangan.

Apabila ayat pertama al-Quran yang diturunkan kepada Rasulullah berbunyi 'iqra' (baca) maka dengan jelas dan tepat menunjukkan keupayaan membaca bakal menentukan kehidupan seseorang dan hanya guru yang sanggup berkorban akan memastikan anak bangsa di luar bandar serta pedalaman menguasai kemahiran membaca seterusnya berupaya meneruskan kehidupan pada tahap terbaik selepas tamat persekolahan. Apabila kehidupan ini berkait sangat rapat dengan membaca (ilmu dan kemahiran) maka guru adalah kelompok yang sangat penting dalam sesuatu komuniti. Tanpa menafikan peranan ibu bapa dan persekitaran dalam proses kedewasaan seseorang, guru adalah individu paling hampir dengan setiap individu di dunia ini. Murid di bandar dan pinggir bandar menikmati proses pendidikan mantap serta sempurna dan ini mesti disamaratakan dengan murid di luar bandar serta pedalaman. Dengan purata 30 hingga 40 peratus murid adalah warga luar bandar serta pedalaman, angka ini memerlukan pengorbanan besar guru sedia ada mahupun guru muda untuk berkhidmat menjadi lilin tanpa alasan untuk menolak arahan. Melalui makmal pendidikan GTP yang mengumpulkan pelbagai maklumat kerjaya perguruan dan sistem pendidikan terbaik dunia, maka sektor itu mampu menghasilkan inisiatif melahirkan guru terbaik yang menguasai pedagogi pendidikan untuk membangunkan potensi murid luar bandar serta pedalaman.

Berita Harian Online: 4 Mac 2010


Rabu, 2010 Mac 03

Wajib Bertugas Di Pedalaman?

Oleh SAIFUL HAIZAN HASAMdan TARMIZI ABDUL


Muhyiddin Yassin bertemu kakitangan Kementerian Pelajaran selepas menyampaikan amanat kepada kakitangan kementerian itu pada majlis perhimpunan bulanan di Kuala Lumpur, semalam. – Bernama
KUALA LUMPUR 2 Mac – Kerajaan akan menimbangkan untuk mewajibkan semua guru bertugas di kawasan pedalaman antara tiga dengan lima tahun daripada tempoh perkhidmatan mereka.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kumpulan sasaran untuk menyahut cabaran itu ialah guru-guru yang masih belum berkeluarga.
Katanya, langkah itu akan menjadi satu bentuk dorongan dan cabaran baru kepada warga pendidik untuk bertugas di kawasan pedalaman di atas dasar khidmat sosial kepada negara.
Beliau berkata, cadangan itu bertujuan mengatasi masalah penempatan guru di kawasan pedalaman yang menjadi salah satu cabaran besar yang dihadapi Kementerian Pelajaran pada masa ini.
“Dalam tempoh 30 tahun guru berkhidmat, mungkin boleh antara tiga ke lima tahun dari tempoh itu mereka memberi perkhidmatan di kawasan pedalaman.
“(Ini) sebagai satu kewajipan, bukan sebagai satu pilihan dan ini memang perlu kita lihat,” katanya.
Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata demikian sewaktu ditemu bual dalam rancangan Agenda Awani yang disiarkan oleh stesen televisyen Astro, di sini malam ini.
Sementara itu, Muhyiddin berkata, kerajaan sebenarnya telah menyediakan beberapa bentuk galakan untuk guru bertugas di kawasan pedalaman seperti elaun sara hidup maksimum RM1,500 sebulan.
Bagaimanapun, katanya, yang lebih penting ialah kesungguhan dan kesediaan warga perguruan untuk berkorban demi anak bangsa.
“Kalau semua nak pergi ke kawasan bandar, tidak ada pihak yang bersedia untuk berkorban mendidik anak- anak di pedalaman. Ini adalah satu kepincangan dalam sistem (pendidikan) kita,” katanya.
Dalam pada itu, mengenai arahan mewajibkan setiap pelajar sekolah menengah dan rendah mengambil satu jenis sukan bermula tahun depan, Muhyiddin berkata, pihak sekolah tidak wajar memberikan pelbagai alasan untuk tidak mematuhinya.
Muhyiddin mengakui antara masalah yang ditimbulkan ialah sesetengah sekolah terutama yang tidak mempunyai prasarana sukan mencukupi seperti kemudahan padang dan kelengkapan.
Beliau berkata, mereka masih mempunyai alternatif lain seperti menjalinkan kerjasama menang-menang dengan persatuan sukan, badan korporat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk menggunakan kemudahan yang dimiliki oleh pihak berkenaan.
“Sukan mempunyai prospek yang amat besar dan saya yakin ia mampu dilaksanakan serta pada masa yang sama, kerajaan sedia memberikan kerjasama sewajarnya.
“Selain itu, kerajaan juga mempunyai tujuan bersifat serampang dua mata dalam melaksanakan dasar ini iaitu bagi menangani masalah terlalu ramai kanak-kanak yang mengalami masalah obesiti,” katanya.
Utusan Malaysia Online: 3 Mac 2010

Thursday, March 4, 2010

Mesyuarat Pengurusan Sektor Pendidikan Islam Kali 2/2010

4 Mac - Mesyuarat diadakan di Bilik Mesyuarat Dahlia, BTPN dipengerusikan oleh Tuan Ketua Sektor Pendidikan Islam Puan Hajjah Zainab binti Md Saman bermula jam 10.00 pagi selepas acara Sambutan Maulidur Rasul Peringkat JPN yang berakhir jam 9.15 pagi.
Mesyuarat dijangka berakhir pada jam 1.30 tengahari. Banyak isu-isu baru diketengahkan dalam mesyuarat kali ini terutama berkaitan dengan peruntukan kewangan semasa dari KPM dan prosedur-prosedur baru yang perlu dipatuhi.

Wednesday, March 3, 2010

Taklimat Penyelarasan Program j-QAF Daerah Kubang Pasu: Siapa Lagi Kalau Bukan Kita !

3 Mac- Terima kasih dan tahniah diucapkan kepada Unit Pendidikan Islam, Pejabat Pelajaran Daerah Kubang Pasu yang telah berjaya menghimpunkan semua guru Pendidikan Islam Program j-QAF yang berjumlah 180 dan 43 Guru Pembimbing program j-QAF di perjumpaan yang telah diadakan pada petang tadi di SMK Tanjung Pauh.Agak lama majlis seumpama ini tidak diadakan di daerah ini kerana kekangan masa dan tergendala beberapa kali sejak 2009 disebabkan beberapa perkara yang tidak dapat dielakkan.
Semoga segala maklumat, terguran serta peringatan yang telah disampaikan pada sesi taklimat tadi dapat dijadikan bahan perbincangan dalam panitia Pendidikan Islam di sekolah masing-masing ke arah memantapkan perjalanan program j-QAF di sekolah masing-masing dalam semua maodel program j-QAF yang telah dipertanggungjawabkan kepada kita tujuan memantapkan Pendidikan Islam di sekolah rendah.

2010 adalah tahun ke enam pelaksanaan program ini dipertanggungjawabkan kepada kita untuk sama-sama mengembelingkan tenaga ke arah melahirkan generasi harapan agama dan negara pada masa hadapan. Ukuran sebenar pencapaian awal program ini akan diukur oleh masyarakat apabila tamat satu pusingan program j-QAF dilaksanakan di sekolah rendah pada penghujung tahun ini. Amatlah malang jika ukuran pencapaian mengecewakan kita semua di sebalik bilangan guru Pendidikan Islam yang ramai di sesebuah sekolah pada ketika ini bagi menjayakan program j-QAF yang menjadi harapan masyarakat ini.

Dalam pada itu perkara-perkara yang berkaitan dengan integriti Guru Pendidikan Islam, maruah,dan sikap serta gerak kerja yang berkait dengan bidang tugas harus dijaga dan dipelihara dengan bersungguh-sungguh.Pematuhan kepada etika kerja dan etika penjawat awam perlu dipelihara sepanjang masa. Pengorbanan tenaga dan pemikiran serta sokongan sewajarnya berlarutan bertali arus ke arah pemuafakatan yang jitu bagi melicinkan pelaksanaan semua model program yang disasarkan. Siapa lagi yang harus mempertahankan Pendidikan Islam yang sudah menjadi sebahagian besar dari tanggungjawab kita di medan ini ?

Apa yang diharapkan, kepekaan tanggungjawab yang semakin kritikal ini perlu dikongsi bersama antara semua GPI dan GPI j-QAF. Sepatutnya dan sememangnya bilangan yang ramai di kalangan kita , janganlah wujud ketidak sepakatan dan masing-masing membawa diri dan hala tuju sendiri, dan kita mengasingkan diri dengan kerja-kerja di luar bidang tugas kita yang sewajibnya. Ibarat 'sibuk membajak di petak orang lain, sedangkan petak sendiri gersang dan penuh lalang'. Kini penantian 6 tahun hampir tiba, minggu ke 18 penggal pertama murid tahun 6 adalah kritikal dan perlu pada pengesanan pencapaian setiap bulan bagi memastikan mereka Khatam Al-Quran sebelum enam bulan pertama e-Pelaporan Jun 2010 dikeluarkan. Kalau bukan kita , siapa lgi ? Renung-renungkanlah !

Tuesday, March 2, 2010

Taklimat Pendedahan HSP BA : Murid Kita Rezeki dan Syurga Kita.

2Mac- Petang tadi sempat saya menghadiri Taklimat HSP Bahasa Arab yang dianjurkan oleh PPD Kota Setar di SK Taman Awana. Taklimat tersebut bermula seawal jam 8.00 pagi dan berakhir pada jam 4.00 petang. Suasana selesa di Dewan Sekolah yang baru dengan pendingin hawa yang baru menjadikan persekitaran majlis berjalan lancar dan selesai disempurnakan dengan jayanya.

Tahniah diucapkan kepada Ustaz Dziauddin PK j-QAF Kota Setar dan JU Bahasa Arabnya yang mantop dan berpengalaman luas seperti Ustaz Mohammad Azizi bin Md Mukhtar, Ustaz Mohd Syakir bin Othman, Ustazah Azhimiyah binti Osman dan Ustazah Norsalwati binti Mohd Tahir. Terima kasih atas sumbangan dan bantuan anda. Saya berharap dengan kehadiran 72/77 wakil semua sekolah di daerah Kota Setar pada hari ini pastinya menghasilkan objektif yang difokuskan.

Semoga sedikit sebanyak maklumat yang telah saya utarakan kepada barisan Guru Pendidikan Islam Program j-QAF opsyen Bahasa Arab pada petang tadi dapat sama-sama kita renung dan perincikan tindakan susulannya agar pelaksanaan P&P Bahasa Arab di sekolah ustaz dan ustazah semakin mantap dan menjadi satu model yang diminati oleh murid-murid program j-QAF.

Harapan saya kepada ustaz ustazah Bahasa Arab agar menyemak semula rekod pencapaian murid dalam e-Pelaporan dan mengambil tindakan susulan penambahbaikan dalam segenap sudut model Bahasa Arab akan dapat meningkatkan pencapaian Bahas Arab seperti yang telah saya laporkan sebelum ini.

Langkah mewujudkan persekitaran Bahasa Arab di sekolah, memperkasakan Bahasa Arab dalam diri murid melalui kesedaran dalaman tentang peri pentingnya Bahasa Arab untuk duniawi dan ukhrawi, ekonomi dan sosial serta masa depan dalam sektor pekerjaan dan sebagainya dirasakan akan dapat menarik minat murid kepada cinta Bahasa Arab jika diberi penekanan yang bersungguh-sungguh dan berulangkali. Sementelahan pula arahan surat pekeliling 7 Januari 2008 berkaitan Persatuan Bahasa Arab dan Kelab Jawi dan Penulisan Khat sudah semestinya dapat menghidup dan menyemarakkan lagi Bahasa Arab kepada murid-murid.

Membiasakan murid dengan tugasan terancang pada waktu cuti melalui lembaran kerja Bahasa Arab, kelas-kelas pemulihan dan pengayaan serta latih tubi juga akan dapat menjadikan pembelajaran Bahasa Arab kepada murid bertali arus serta menjadikan murid sentiasa sibuk dengan model ini. Apa yang penting perancangan dan tindakan susulan yang dilakukan dengan membuat sedikit analisis serta fokus dan objektif yang boleh dicapai akan menghasilkan suasana bidang tugas kita sentiasa bersemarak dan ceria. Akan terhindarlah seribu alasan dan kebosanan dalam kerja jika "kekhusyokan" menjadi amalan untuk mencari sejuta jalan harapan. Ingatlah....anak murid kita, rezeki dan syurga kita.