Sunday, April 12, 2009

Pemantauan Bersepadu SK Program j-QAF Kulim Bandar Baharu



12Mac- Bermula Esok 13,14,15 dan 16 Mac 2009 Pemantauan SK Program j-QAF akan bertandang ke Kulim Bandar Baharu. Pemantauan kali ini adalah urutan dan lanjutan kepada melihat keberkesanan dan tindakan yang telah di ambil oleh semua Ketua Panitia Pendidikan Islam dan Ketua Guru j-QAF dari hasil pertemuan yang telah dilakukan dalam perjumpaan pada Majlis Taklimat Penyelarasan Program j-QAF yang telah diadakan di PKG Sungai Ular beberapa minggu yang lalu.

Lawatan Pemantauan kali ini melibatkan semua pegawai yang bertanggungjawab menguruskan program j-QAF di PPD dan saya sendiri. Selain dari itu ia akan disertai juga oleh Penolong Pengarah Bahasa Arab dan Penolong Pengarah Kurikulum (R) serta ketua unit Pengurusan Pendidikan Islam, SPI iaitu Penolong Pengarah Kanan Pengurusan Sekolah, Tuan Haji Ismail Yahya.

InsyaAllah seperti yang dirancang , jika cuaca cerah dan perjalanan lancar semua pegawai akan berada di lokasi masing-masing pada jam 8.00 pagi dan akan berakhir pada awal petang hari-hari tersebut.

Postmoterm pemantauan akan diadakan di PKG Serdang pada hari Khamis , jam 2.00 petang. Semua hasil dapatan akan dilaporkan dan akan diarah ambil tindakan untuk memantapkan perjalanan program j-QAF di daerah Kulim Bandar Baharu. Hasil laporan pemantauan tersebut akan diserahkan kepada pengurusan tertinggi dan tindakan selanjutnya akan dikemukakan untuk tindakan susulan. Semoga pemantauan kali ini akan berjalan dengan baik dan lancar serta mencapai matlamat untuk memantapkan perjalanan program j-QAF di KBB.

Kepada Pegawai Khas j-QAF, KBB Tuan Haji Mokhtar Mahmud, Ustaz Abdul Mutalib Saad dan Ustaz Abdul Aziz saya ucapkan ribuan terima kasih di atas kerjasama dan segala kemudahan penjadualan serta segalanya yang berkaitan dengan operasi pemantauan ini. Selamat bertugas!

Keputusan Penuh MTQ SSKPM Peringkat Negeri Kedah Tahun 2009

12April-MTQSSKPM Peringkat Negeri Kedah telah melabuhkan tirainya pada petang 11/4/2009 di Dewan Besar SMK Dato Syed Ahmad Kuala Nerang. Keputusan keseluruhan acara yang dipertandingkan adalah seperti di imej yang terpampang di bawah. (untuk melihatnya klik 2 x) Bilik Tilawah (R) penuh sesak

Di bilik pertandingan

Asainya mai sekapung

Tahniah diucapkan kepada kontijen Daerah Kota Setar yang telah menjadi Johan Keseluruhan Pertandingan yang diadakan. Kepada yang tidak bernasib baik cuba lagi di tahun hadapan. Hakim yang arif dan Tuan haji Mahir bergaya sekali
melawat venue pertandingan

Demam Pertukaran ....Mudah-Mudahan Akan Kebah.

12April-Bila baca balik tulisan Syawaf dan Ain,(dalam Forum Komuniti j-QAF JPN Kedah) rasa simpati pulak pada yang berjauhan. Tapi itulah cabaran hidup. Tak kena tak terasa. Kalau kena baru tahu. Tapi kita kena mau ingat itu semua ketentuan yang telah tertulis untuk diri kita dan tak boleh nak disamakan dengan orang lain yang lebih bernasib baik dan yang lebih bernasib tak baik. Hakikatnya kita mesti benar-benar faham keadaan yang sebenarnya dan kembali pada rukun iman yang ke enam.

Ada kemungkinan urusan tukar ni menjadi senang diurus dan ada ketikanya menjadi amat sukar dan tak dinafikan ada yang akan gagal dalam beberapa percubaan yang kita lakukan, walaupun pada asalnya pertukaran suka sama suka diusahakan kepada suka, kepada suka bersilang kali suka sama suka kita ikhtiarkan (berbelit dan terbelit). Jadi, diharapkan ianya akan dapat diterima hakikatnya oleh sahabat-sahabat kita yang berurusan untuk tukar.

Pun demikian dalam usaha untuk berjaya atau tidak untuk bertukar kita mesti bersedia untuk menerima salah satu keputusan, yang mengembirakan dan yang tak menyenangkan kita. Bak kata salah satu akan menjadi pilihan dan ketentuan ke atas diri kita. Mungkin ada kawan-kawan kita yang berjaya...sebaliknya kita gagal. Sekali lagi kita mesti sudah bersedia untuk menerima hakikat ini dan jangan mencari alasan untuk itu dan ini semata-mata untuk kita mendapat apa yang kita hajati. Dalam kerjaya seumpama ini, keakuran terhadap tugas menjadi keperluan utama dalam perkhidmatan. Kita mesti membuat pilihan atau memilih salah satu jika tertakdir untuk membuat pilihan, kerjaya atau bagaimana......?

Agak sukar kita untuk dapat kedua-duanya sekali jika kita telah terjebak atau membuat pilihan sedemikian dari awal atau sesudah kita menerima kerjaya kita seadanya. Lainlah dengan rakan kita yang telah ternasib baik atau bernasib baik mendapat kedua-duanya sekali.

Untuk semua guru j-QAF (Kedah jee!)yang mempunyai masalah tempat bertugas bagi mendapat hak dan situasi yang sama atau mendapat kedua-dua impiannya sekali; keluarga dan kerjayadalam tempao masa terdekat saya rasa agak ganjil tetapi tidak mustahil. Tidak mustahil kerana kita boleh bersabar dan berusaha berterusan untuk mendapatkan kedua-duanya sekali. Satu cara ; mengambil masa dan satu cara lagi jika isteri tak dapat ikut suami, suami berusaha pula untuk menjejaki isteri. Maka kita akan dapat kedua-duanya sekali tetapi dalam keadaan yang berbeza. Harapan untuk balik ke negeri atau daerah atau kampung halaman sendiri tidak tertunai buat saat dan ketika ini. Kita perlu menanti dan berusaha lagi pada satu masa yang lain pula. Itulah hakikatnya yang saya dapat kongsikan bersama.

Keadaan ini sudah berpuluh tahun dialami oleh semua guru yang terjebak dan terlibat dalam masalah yang sama , tapi akhirnya tertunai jua. Sebab itu saya katakan tak mustahil. Kesabaran yang tinggi dan redha bercampur sebak tentu bermain dalam sanubari kita yang menerima keadaan seperti itu. Tapi adakah kita sahaja dalam kerjaya seumpama ini menerima keadaan seperti itu...? Sudah tentu tidak. Ramai orang yang telah melaluinya, termasuk pegawai, pengetua dan guru besar yang mempunyai pengalaman kerjaya ditempat orang yang tersendiri. Hatta pegawai-pegawai KPM tertinggi pun ada yang pernah melalui situasi seperti ini. Pujuklah hati kita mengikut arus untuk redha sejenak,dan jika kita menongkah arus, sudah tentu ada cabarannya.

Untuk ketika ini , ada peluang untuk isi pertukaran, jangan lepaskan peluang yang ada .... manalah tahu nasib kita ada di sini atau di sana. Janganlah kita berpegang pada prinsip nak jugak-jugak , takpa berjauhan dengan anak sementara sahaja dan , dan, dan... buatlah pilihan yang terbaik , anak, isteri , suami, ibu yang dah uzur , ayah yang dah tua kita rasa mereka perlukan kita....carilah peluang yang ada samada mengikut arus atau menongkah arus, atau ada jalan ketiga yang terbaik untuk itu semua.....fikir-fikirkanlah ! saya simpati pada semua, murid, anda dan saya sendiri. Semoga anda berjaya...tapi ingat tak semuanya sekali antara kita akan berjaya. Ucapkan tahniah pada yang berjaya, ucapkan ...sabar, usaha lagi pada yang tak berjaya. Itulah hakikat hidup. Kita sedar-sedar melihat rakan senior kini sedang menikmati kegembiraan dan kesenangan dalam kerjaya...tapi adakah kita pernah bertanya pengalaman susah payahnya sebelum ianya menerima semua nikmat itu. Jarang yang pipih datang melayang, yang bulat datang bergolek. Renung-renungkanlah.

Saturday, April 11, 2009

MTQ Peringkat Negeri Membuka Tirai di Kuala Nerang

11April- MTQ Sekolah-Sekolah Kementerian Pelajaran Malaysia Peringkat Negeri Kedah Tahun 2009 mula membuka tirainya pada hari ini, Jumaat 10/4/2009 di Kuala Nerang. Semua kontijen telah berkampung di Kuala Nerang sejak awal hari ini untuk persediaan kemuncak pertandingan pada esoknya. Pada petang tadi Pertandingan Syarahan telah dilaksanakan dengan jayanya di lokasi berkenaan. Taklimat oleh Ustaz Nadzhari

Pada malam tadi satu majlis Taklimat Pertandingan dan Muzakarah para hakim telah diadakan di PPD PTP bermula jam 8.15 malam dan berakhir pada jam 11.00 malam. Hujan lebat pada akhir petang dan awal malam tidak menjejaskan kehadiran para hakim, urusetia dan penyelaras pertandingan pada malam ini. Ketika saya baru bertolak pulang dari Pekan Kuala Nerang , jam 12.15 malam, hujan masih renyai-renyai. Semoga mentari pagi 11/4/2009 akan bersinar terang menyambut tetamu MTQ 2009 di Kuala Nerang pada esok hari. pengurusan yang mantop dan mesra dari Ustaz Shauqi

Penyelaras Pertandingan Tilawah ( M ) memberi taklimat dalam muzakarah para hakim

Menurut Pegawai Khas j-QAF; Ustaz Nadzhari Mahmud, semua kontijen telah disediakan tempat penginapan dan makan minum yang telah disusun rapi. Manakala para hakim dan urusetia juga telah disediakan segala kemudahan dan keperluan yang cukup dan selesa. hakim-hakim Tilawah Menengah dan Rendah sedang bermuzakarah

Menurutnya lagi; beliau merasa bertuah kerana MTQ kali ini adalah pengalamannya yang kedua setelah beliau pada tahun lepas telah diamanahkan untuk menguruskan MKQ Peringkat Negeri 2008 dengan jayanya. Pengalamannya pada tahun lepas telah memudahkan beliau menunaikan tanggungjawabnya dengan lebih kemas dan teratur pada MTQ kali ini. Syabas PK j-QAF bersama Ustaz Shahabudin bersama-sama jawatankuasanya yang terbukti mantop dan hebat.

Esok acara pertandingan seterusnya melibatkan Tilawah (M dan R) Kuiz dan Hafazan akan berlangsung dilokasi SMK Dato Syed Ahmad dan SK Tunku Abdul Rahman seawal jam 8.15 pagi.
Dijangkakan semua pertandingan akan berakhir pada jam 12.30 tengahari. Majlis penutupan rasmi dan penyampaian hadiah kepada para pemenang dan peserta akan disempurnakan oleh Tuan Pengarah Pelajaran Negeri Kedah, Tuan Haji Shahidan bin Abdul Rahman pada jam 2.00 petang.

Selamat bertugas dan semoga menghasilkan wakil negeri dalam semua acara yang dipertandingkan dengan mantap dan berkualiti untuk mewakili Kedah ke MTQ Kebangsaan pada Mei nanti. Tahniah dan selamat maju jaya untuk Penolong Pengarah Kanan Unit Dakwah, Tuan Haji Mahir, Tuan haji Pisal dan Ustaz Shauqi. Anda sesungguhnya hebat.

Tuesday, April 7, 2009

Laptop Ganti Buku Teks ?



Pada 12 Januari lalu, Bernama Online melaporkan Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd Dom sebagai berkata Kementerian Pelajaran akan mengkaji terlebih dahulu keberkesanan pelaksanaan program e-Buku (e-Book) yang dilancarkan di Terengganu, pada hari berkenaan, sebelum diperluas dalam sistem pendidikan negara. Mengikut laporan itu, Terengganu menjadi negeri perintis program e-Buku yang menyediakan komputer riba kepada pelajar bagi menggantikan buku sekolah.

Ada beberapa fakta dalam laporan berita itu yang menarik perhatian saya:

1. Datuk Alimuddin berkata, projek itu satu perkembangan baik untuk kemajuan pendidikan yang bakal melonjakkan lagi pencapaian Terengganu dalam bidang pendidikan. Maknanya, dengan penggunaan e-Buku, pencapaian pendidikan di Terengganu akan melonjak.

2. Bagaimanapun beliau difahamkan ia agak mahal. Jadi, Kementerian Pelajaran akan melihat dahulu bagus atau tidaknya penggunaan e-Buku ini. Jika bagus, kata Datuk Alimuddin, kementerian akan mempertimbangkan penggunaannya untuk masa depan.

3. Datuk Alimuddin juga berkata, keberkesanan projek itu hanya dapat dilihat dalam tempoh dua tiga bulan sebaik ia mula digunakan oleh murid darjah lima di Terengganu Mei ini. Maknanya, dalam tempoh dua tiga bulan saja sudah dapat dilihat lonjakan hasil penggunaan projek itu.

4. Kementerian juga, kata Datuk Alimuddin, turut melihat projek e-Buku sebagai alternatif bagi mengatasi masalah beg sekolah berat yang dihadapi murid-murid.

5. Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said, pula berkata kilang pemasangan komputer riba itu yang bernilai RM8.5 juta di kawasan Perindustrian Gong Badak dekat sini dijangka siap Mac ini. Bagaimanapun laporan itu tidak menyebutkan kilang itu milik dan diusahakan oleh siapa.

6. Beliau juga berkata, seramai 23,000 hingga 25,000 murid tahun lima akan mula menerima komputer mulai Mei secara berperingkat-peringkat sebelum diperluaskan kepada murid darjah enam, empat, tiga, dua dan satu. Pelajar sekolah menengah di negeri itu diberitahu akan menerimanya pada fasa kedua.

7. Datuk Ahmad juga berkata, kerajaan negeri memperuntukkan RM30 juta setahun bagi projek itu. "Setiap komputer yang dibekalkan berharga kira-kira RM1,300 dan kita akan pastikan setiap murid sekolah rendah dan pelajar sekolah menengah menerima e-Buku sebelum mengedarkannya ke negeri lain," katanya. Datuk Ahmad berkata beberapa buah negeri telah menunjukkan minat untuk melaksanakan e-Buku dan membeli komputer dari Terengganu.

Saya percaya ramai ibu bapa tidak menentang penggunaan e-buku, komputer peribadi (PC) ataupun komputer riba di sekolah sama ada untuk tujuan pengurusan mahupun pengajaran dan pembelajaran. Malah kita mengalu-alukan penubuhan makmal komputer di sekolah untuk mengajar anak-anak kita menggunakan alat dan teknologi berkenaan. Ia sesuai dengan kata-kata Saidina Umar supaya kita mengajar anak-anak kita sesuai dengan zaman mereka.

Bagaimanapun, apabila komputer riba hendak diberikan kepada setiap pelajar bagi menggantikan buku sekolah, saya ada sedikit 'reservation'. Ada beberapa persoalan yang bermain dalam fikiran saya:

1. Benarkah penggunaan komputer riba atau dalam konteks lebih luas, teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), boleh membantu melonjakkan pencapaian pelajar? Maknanya, pelajar yang tidak pernah mendapat Gred A sebelum ini, tetapi dengan penggunaan ICT, boleh mendapat Gred A bagi semua subjek atau jika tidak pun, banyaklah subjek yang mendapat Gred A. Adakah begitu?

Seorang bekas pegawai tinggi di Kementerian Pelajaran pernah berkata kepada saya bahawa penggunaan ICT memang terbukti berjaya meningkatkan kecekapan pengurusan seperti dalam pembayaran gaji kerana kerja yang selama ini dibuat oleh lima enam orang, dengan kemudahan ICT, boleh dikendalikan oleh seorang saja. Tetapi, katanya, belum ada kajian menunjukkan penggunaan ICT boleh meningkatkan atau melonjakkan pencapaian akademik pelajar. Maknanya, belum ada testimoni menunjukkan dengan penggunaan komputer atau ICT, pelajar tercorot melonjak pencapaiannya!

2. Komputer riba itu dilaporkan berharga kira-kira RM1,300 sebuah. Dengan peruntukan RM30 juta setahun, bermakna seramai 23,077 pelajar di Terengganu akan menerima komputer riba setiap tahun. Terengganu mungkin tidak menghadapi masalah menyediakan peruntukan itu kerana ada banyak duit, terutama royalti minyak. Tetapi bagaimana negeri lain yang dikatakan berminat untuk mengikut jejak Terengganu itu? Jika Kementerian Pelajaran hendak meniru projek itu, kita perlu ingat ketika ini kita ada kira-kira lima juta pelajar di seluruh negara. Maknanya, kita memerlukan RM8.5 bilion untuk tujuan itu saja. Atau kita mulakan dengan murid tahun satu saja. Jika setiap tahun 420,000 murid masuk tahun satu (ambil statistik tahun ini), kementerian perlukan RM546 juta setahun itu. (Tahun ini kementerian itu dilaporkan membelanjakan RM180 juta untuk Skim Pinjaman Buku Teks).

3. Jika komputer riba yang diberikan kepada pelajar itu rosak, siapa akan menanggung kos penyengaraannya? Kerajaan negeri, Kementerian Pelajaran atau pelajar dan ibu bapa sendiri? Laporan Bernama tidak menyatakan sama ada peruntukan RM30 juta setahun yang disediakan Kerajaan Terengganu itu meliputi kos penyenggaraan. Jika kementerian laksanakan program itu, sanggupkah kementerian memikulnya? Kita ada 5 juta pelajar!

Saya ragu-ragu jika ibu bapa pelajar sendiri yang perlu menanggungnya. Mungkin ramai yang tidak kisah kerana komputer riba pun dah percuma. Cuma kita lihat, dalam keadaan sekarang, walaupun buku teks percuma diberikan kepada semua pelajar, yuran khas RM4.50 seorang (di sekolah) dan RM9.50 seorang (di sekolah) dah dimansuhkan, nak bayar yuran tambahan sebanyak RM20, RM30 atau RM50 setahun bagi satu keluarga kepada PIBG pun ada riuh rendah satu negara. Ada pengetua kata, termasuk yang buat riuh rendah tu, pegawai pendidikan sendiri! Jadi, bagaimanalah agaknya jika ibu bapa macam tu kena keluarkan duit kocek sendiri untuk penyenggaraan komputer riba itu?

4. Benarkah keberkesanan projek itu dapat dilihat dalam tempoh dua tiga bulan? Keberkesanan dari segi apa? Dari segi kemahiran pelajar menggunakan komputer riba itu sewaktu pembelajaran atau dari segi lonjakan pencapaian pelajar dalam pelajaran? Kalau yang pertama mungkin, tetapi yang kedua, saya tak pasti!

Saya dapati kita di Malaysia terkenal dengan projek perintis yang pantas ini. KBSR misalnya, dicuba setahun, kemudian tahun berikutnya, terus dilaksanakan di seluruh negara. Begitu juga apabila subjek Sains diperkenalkan semula di sekolah rendah menggantikan Alam dan Manusia, selepas setahun dibuat projek rintis di beberapa sekolah, tahun berikutnya terus dilaksanakan di seluruh negara. PPSMI (pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris) lagi hebat, tanpa sebarang projek perintis, terus dilaksanakan di seluruh negara.

5. Bolehkah ia menyelesaikan masalah beg berat? Rupa-rupanya isu ini masih belum selesai sejak ia hangat diperkatakan dan dilaporkan dalam media massa pada zaman Tan Sri Sulaiman Daud menjadi menteri pendidikan kali kedua. Isu yang sama juga timbul zaman Datuk Seri Najib Razak dan Tan Sri Musa Mohamed memegang portfolio yang sama. Ya, mungkin menggantikan buku teks tetapi untuk atasi masalah beg berat, saya rasa bergantung kepada berapa berat komputer riba yang nak dipikul oleh pelajar nanti, terutama murid tahun satu!

Saya bimbang masalah beg berat tak selesai, timbul masalah lain pula. Maklumlah, alat elektronik – sensitif. Silap pikul, jatuh beg atas jalan, dibuatnya tak boleh berfungsi, dah timbul masalah lain pula. Nak baiki, siapa nak tanggung kosnya? Atau boleh dapat ganti yang baru? Sekarang, jika buku teks rosak atau hilang, ibu bapa kena bayar. Jika komputer komputer riba tu rosak atau hilang, macam mana?

6. Benarkah program e-Buku ini untuk melonjakkan kecemerlangan akademik dan mengatasi masalah beg berat, atau ada agenda lain? Sekarang ini pun ada banyak makmal komputer yang dibina dan dibuka di sekolah yang tak dapat berfungsi dan dimanfaatkan sepenuhnya. Begitu juga dengan komputer peribadi dan LCD projector yang dibekalkan kepada guru, berapa ramai yang menggunakannya sewaktu pengajaran? Bagaimana pula dengan LCD projector yang dipasang dalam kelas, tak memadaikah untuk pengajaran?

Saya rasa soal lonjakan pendidikan, tidak ada kaitan dengan penggunaan buku teks atau tidak. Yang pentingnya bagaimana kita mendorong anak-anak kita tekun belajar. Adakah ibu bapa sendiri jelas tujuan mereka menghantar anak-anak ke sekolah? Dan adakah mereka juga memastikan anak-anak mereka jelas tujuan itu? Adakah sekolah dan guru-guru menjadi faktor yang berjaya menarik pelajar untuk datang ke sekolah setiap hari dan pendorong untuk pelajar tekun belajar?

oleh:
Mohd Fuad Razali | Jan 15, 09 11:14am
malaysiakini


Adab Dengan Guru: Adakah Semakin Terhakis ?

7Mac-

Kita pernah mendengar berita mengenai pelajar yang menendang dan menumbuk gurunya hanya kerana dimarahi tidak menyiapkan kerja sekolah. Tidak cukup dengan itu, pelajar-pelajar itu memanggil rakan-rakan lain untuk sama membalas dendam kepada guru tersebut. Bayangkan guru yang ketakutan tersebut, terpaksa melarikan diri menyelamatkan diri dan melaporkan perkara tersebut kepada polis.


Banyak lagi kes-kes yang kita telah dengar dan mungkin banyak lagi yang belum didedahkan. Sungguhpun kes tersebut adalah sebahagian daripada kes-kes terpencil, tetapi kejadian-kejadian tersebut tidak harus berulang, kerana ia bukan sahaja menjejaskan reputasi sekolah dan institusi pendidikan, tetapi melambangkan kebejatan adab di kalangan pelajar terhadap guru. Soalnya, di manakah silapnya? Apakah peranan yang harus dimainkan oleh semua pihak dalam menangani hal ini?

Fenomena Yang Menakutkan


Barangkali pada zaman sebelum merdeka, ibu bapa kita tidak pernah membayangkan situasi di atas akan berlaku. Guru pula yang seakan-akan dihukum oleh pelajar dan pelajar menentukan bagaimana guru harus melayani mereka. Tidak dinafikan bahawa zaman dan situasi semasa telah banyak merubah senario pendidikan pada hari ini.

Tugas guru semakin mencabar dan berat, bukan sahaja dihambat masa untuk menghabiskan sukatan pelajaran kepada para pelajar, tetapi juga perlu menghadapi kerenah sesetengah pelajar yang tidak beradab dan tidak tahu menghormati guru.


Guru menghadapi ancaman seperti kereta dicalar dan tayar dipancitkan, bahkan diancam dicederakan. Soal pelajar bercakap kasar dan mengeluarkan kata-kata kesat kepada guru barangkali sudah menjadi mainan kepada guru disiplin.


Tambah malang sekiranya apabila tindakan diambil ke atas pelajar, guru dipersalahkan dan 'diserang' pula oleh para ibu bapa.

Ini sedikit sebanyak akan menjejaskan semangat guru untuk mendidik para pelajar dan akhirnya beranggapan bahawa tugas mendidik dan mengajar adalah dua perkara berbeza. Tugas mereka hanyalah mengajar sukatan pelajaran sekolah dan pelajaran adab diletakkan pada bahu guru tertentu sahaja kerana tidak berupaya atau tidak mahu masuk campur dalam hal tersebut.

Kita mengetahui bahawa tugas guru bukan saja mengajar, tetapi perlu menyambung kesinambungan tugas ibu bapa dalam mendidik anak-anak.


Namun begitu, tugas menyemai dan mendidik anak akan erti akhlak dan budi mesti bermula daripada ibu bapa dan dorongan keluarga.

Guru di sekolah hanya menyuburkan sifat-sifat tersebut dengan menunjukkan contoh yang baik dalam pergaulan serta perhubungan dengan pelajar dan sesama guru.

Anak-anak yang tidak diajar dengan adab sedari kecil akan membentuk watak yang memberontak dan terkongkong di sekitar pemikiran mereka sahaja. Tanpa adab, pelajar akan bercakap dengan kasar, sinis serta terlalu bebas bersuara ke
rana merasakan diri sudah pandai dan tak perlu diajar tentang tingkah laku.

Hal yang sebaliknya akan berlaku apabila adab dititipkan ke dalam diri anak-anak, ia akan melahirkan pelajar yang menghormati pandangan orang lain, berbudi ketika berbahas, serta memahami perasaan orang lain serta lebih berketerampilan.

Islam amat menyanjung tinggi pengorbanan guru sebagai pendidik. Rasulullah SAW sangat menghormati majlis ilmu dan juga menggalakkan umatnya untuk menghormati guru. Apatah lagi guru tersebut lebih tua daripada pelajar, maka guru selayaknya diberi penghormatan yang tinggi kerana usia mereka serta pengorbanan yang mereka lakukan.


Pelajar seharusnya menganggap mereka sebagai teman dan ibu bapa kedua mereka di sekolah selain daripada ibu bapa di rumah.

Guru adalah merupakan ejen kepada keberkesanan pendidikan. Kejayaan dan keberkesanan para guru adalah bersandarkan tanggungjawab, kelengkapan, keilmuan dan keluhuran peribadi.

Pendidik dari kacamata Islam merupakan murabbi, muallim, muaddib, alim atau ulama. Mereka berfungsi bukan saja untuk memberi kesedaran pada diri sendiri malah juga masyarakat. Ia juga berkait rapat tentang tanggungjawab, amanah, komitmen dan hubungannya dengan Allah.

Allah telah meletakkan orang yang beriman dan berilmu ke tahap yang paling tinggi, seperti firman-Nya: Allah akan meninggikan orang-orang yang beriman antara kamu dan orang-orang yang diberikan ilmu pengetahuan beberapa darjat. (al-Mujadalah: 11)

Dalam suatu hadis, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, "Tiada perkara yang lebih berat di timbangan akhirat selain akhlak yang mulia. Dan sesungguhnya, orang yang mempunyai budi pekerti yang akan mencapai darjat orang yang berpuasa dan mengerjakan solat". (riwayat Tirmizi dan Abu Daud)

Pelajar Atau Guru Yang Membentuk Suasana Sekolah?

Apabila timbul kes pelajar buli guru, siapakah yang mengambil kesempatan untuk melepaskan diri sendiri? Pelajar, sekolah atau ibu bapa? Terdapat di kalangan ibu bapa yang melepaskan sepenuhnya tanggungjawab mendidik anak-anak ke bahu pihak sekolah dan apabila hal yang kurang baik berlaku, pihak sekolah dipersalahkan untuk menutup malu di atas kesilapan mereka tidak mendidik anak dengan baik.

Di sekolah, guru menghadapi tanggungjawab yang banyak dan besar. Suasana pembelajaran di sekolah banyak bergantung kepada keupayaan guru dan pelajar untuk saling memahami falsafah dan misi sesuatu sekolah. Teras kedua dalam Rancangan Malaysia Kesembilan ada menggariskan mengenai meningkatkan keupayaan pengetahuan dan inovasi negara serta memupuk 'minda kelas pertama'.

Di dalam teras tersebut mengandungi Dasar Pendidikan Kebangsaan yang menggariskan bahawa untuk menambah baik kualiti pendidikan antara lain adalah dengan mewujudkan persekitaran yang kondusif serta meningkatkan keupayaan guru dalam profesion mereka.

Terdapat para pelajar yang tidak berminat dengan suasana sekolah sama ada kerana peraturan yang terlalu ketat atau suasana pembelajaran yang tidak kondusif. Ia terjadi kerana terdapatnya faktor luar yang menarik perhatian mereka sedangkan faktor dalaman di sekolah seolah-olah menolaknya dan tidak menggalakkan pelajar untuk berminat dengan pelajaran di sekolah.

Mata pelajaran yang agak susah atau penyampaian guru yang tidak berkesan boleh menjadi faktor tolakan kepada pelajar ini. Selain itu, pengaruh hedonisme atau budaya bersuka-suka yang semakin membarah dalam masyarakat kita pada hari ini boleh menjadi punca kepada mengapa pelajar tidak berminat untuk belajar seterusnya bersikap biadap terhadap guru di sekolah.

Justeru, dalam mengatasi hal ini, sokongan semua pihak amat diperlukan. Guru harus bersifat lebih ihsan terhadap pelajar, namun dalam masa yang sama harus tegas dengan kebenaran dan kebatilan. Pihak sekolah mesti mengadakan lebih banyak aktiviti bersama pelajar dengan menggalakkan penyertaan semua pelajar dalam kegiatan yang berfaedah.

Para pelajar pula harus belajar mendengar pandangan orang lain serta belajar untuk berhujah dengan baik sekalipun terdapat perkara yang mereka rasakan tidak betul.

Seterusnya ibu bapa wajib memainkan peranan utama dalam mendidik anak-anak mereka mengenai adab terhadap orang lain, dan bukan hanya meletakkan tanggungjawab tersebut kepada pihak sekolah. Akhir sekali, masyarakat serta media massa perlu menunjukkan contoh tauladan yang baik dengan mengamalkan tingkah laku serta tata susila yang betul apabila bergaul dalam kehidupan seharian.

Kesimpulan

Pelajar tidak harus melupakan batas-batas mereka dengan guru dan tidak hanya menganggap guru sebagai orang yang dibayar gaji untuk menulis di papan hitam segala sukatan mata pelajaran yang telah ditetapkan.

Pujangga Arab pernah menyatakan: "Sesungguhnya umat yang berakhlak akan kekal, tetapi jika akhlak mereka hilang, maka hilanglah mereka."

Justeru, dalam melahirkan generasi yang berketerampilan dan berakhlak mulia, pelajaran adab dan ihsan haruslah ditanamkan dalam jiwa generasi muda agar tidak tidak mudah terpengaruh dengan anasir-anasir luar yang berusaha menghakis keperibadian mereka. Seperti kata Pendita Zaaba dalam mengungkapkan ihsan dalam syairnya:

"Berbuat baik ayuhai rakan,

Kalau tidak dikenal insan,

Dalam laut ia dicampakkan, Kalau tidak dikenal ikan, Tuhan tahu iakah bukan".


Oleh: MOHD. FARID MD. ALIAS



Saturday, April 4, 2009

MUHASABAH: 40 KESILAPAN IBUBAPA

1. Pemilihan jodoh tanpa memperhitungkan mengenai zuriat

2. Perhubungan suami isteri tanpa memperhitungkan mengenai zuriat

3. Kurang berlemah lembut terhadap anak-anak

4. Memaki hamun sebagai cara menegur kesilapan anak-anak

5. Tidak berusaha mempelbagaikan makanan yang disajikan kepada anak-anak

6. Jarang bersama anak-anak sewaktu mereka sedang makan

7. Melahirkan suasana yang kurang seronok ketika makan

8. Membeza-bezakan kasih sayang terhadap anak-anak

9. Kurang melahirkan kasih sayang

10. Sering mengeluh di hadapan anak-anak

11. Tidak meraikan anak-anak ketika mereka pergi dan pulang dari sekolah

12. Tidak mengenalkan anak-anak dengan konsep keadilan

13. Tidak memberatkan pendidikan agama di kalangan anak-anak

14. Tidak terlibat dengan urusan pelajaran anak-anak

15. Tidak memprogramkan masa rehat dan riadah anak-anak

16. Tidak menggalakkan dan menyediakan suasana suka membaca

17. Mengizinkan anak-anak menjamah makanan dan minuman yang tidak halal

18. Tidak menunjukkan contoh tauladan yang baik di hadapan anak-anak

19. Jarang meluangkan masa untuk bergurau senda dengan anak-anak

20. Terdapat jurang komunikasi di antara ibubapa dengan anak-anak

21. Tidak menggunakan bahasa yang betul

22. Suka bertengkar di hadapan anak-anak

23. Sentiasa menunjukkan muka masam di hadapan anak-anak

24. Tidak membimbing anak-anak supaya mematuhi syariat

25. Memberi kebebasan yang berlebihan kepada anak-anak

26. Terlalu mengongkong kebebasan anak-anak

27. Tidak menunaikan janji yang dibuat terhadap anak-anak

28. Tidak menunjukkan minat kepada aktiviti anak-anak

29. Tidak memupuk semangat membaca di kalangan anak-anak

30. Tidak berminat melayan pertanyaan atau kemusykilan anak-anak

31. Tidak memberi perhatian terhadap buah fikiran anak-anak

32. Lambat memberi penghargaan kepada anak-anak

33. Kerap meleteri sesuatu kesilapan yang dilakukan anak-anak

34. Hukuman yang tidak setimpal dengan kesalahan yang dilakukan

35. Sering mengancam dan menakutkan anak-anak

36. Menghukum tanpa menyatakan kesalahan yang dilakukan

37. Tidak konsisten dalam menjatuhkan hukuman ke atas anak-anak

38. Memberi nasihat yang sama kepada anak-anak

39. Tidak tegas mendidik anak-anak

40. Tidak menggalakkan anak-anak hidup bekerjasama