Thursday, May 7, 2009

Demam Pertukaran Semakin Panas....Moga Cepat "Kebah"

6 Mei-Nampak gaya mesyuarat pada hari ini semakin rancak dan masing-masing pegawai dari seluruh negara membelek dan meneliti setiap permohonan dan rekod yang telah dikumpulkan dari negeri dan BPI sendiri. Masa rehat semakin pendek dan masa tamat semakin berlabuh lewat semata-mata untuk menyiapkan secara terperinci permohonan-permohonan yang telah dikemukakan oleh guru-guru kita dari seluruh negara. Namun demikian demam pertukaran kali ini suhunya agak tinggi hingga menyebabkan Pengerusi Mesyuarat, Ustaz Nahwiyuddin Abdul Manaf demam dan terpaksa menelan ubat melebihi dos untuk mengurangkan suhu badannya yang terasa bahang apabila saya menyentuh tangannya. Apapun tugas terpaksa diselesaikan mengikut jadual, rehat dan keselesaan menghuni hotel sudah tidak terasa lagi. Masing-masing mengejar masa dan tugas supaya selesai dalam waktunya. Punggung dan tulang belakang sudah terasa kebas. Namun tugas jangan terbabas.

waktu rehat...tanggungjawab terhadap keluarga sentiasa
ke udara ditalian siber....



intergarasi antara pegawai sentiasa diaplikasikan,demi keselarasan
...senyum,ketawa penyeri suasana


Apabila saya membuka blog ini dan mengenang kembali tulisan saya pada bulan yang lalu bertajuk "Demam Pertukaran Mudah-Mudahan Akan Kebah" maka ianya menjadi kenyataan apabila tekanan tugas menyebabkan beberapa rakan pegawai yang menguruskan pertukaran kali ini demam dan batuk-batuk. Apa pun saya mendoakan semoga pegawai-pegawai yang demam itu akan "kebah" dan sihat seperti sediakala apabila tugas ini semakin berlabuh. Semua ini adalah demi tugas dan demi untuk memastikan yang layak mendapat haknya dan demi untuk menjaga kebajikan semua guru kita dan seterusnya murid-murid dibangku sekolah. Yang pasti, ada permohonan yang berjaya dan yang pastinya juga ada permohonan yang gagal. Setiap keputusan adalah mengambilkira syarat-syarat pertukaran dan kepentingan perkhidmatan bukannya mendahulukan kepentingan peribadi pemohon.

Apa pun keputusan , sewajarnya kita sebagai orang yang bijak dan berilmu harus menerima hakikat ini seperti yang pernah saya nyatakan dalam contengan saya sebelum ini. Ada peluang tak ke mana, buat permohonan seterusnya pada waktu akan datang jika syarat kita bersesuaian. Insyaallah jika ada rezeki kita dapat bertukar, akan ada orang lain pula menduduki singgahsana tempat kita bertugas dan tempat sumbangan dan pengalaman kita bersemi. Begitulah adat hidup, putaran masa dan suasana pasti berlaku,cuma watak sahaja yang berbeza. Ini fitrah alam, jika kita menongkah arus fitrah alam sudah pasti kita terpaksa menghadapi dilema yang berlarutan dan ketidakselesaan dalam tugas dan murid yang tak berdosa menjadi mangsa suasana yang dicipta. Kadang-kadang kita faham situasi itu, tapi kita cuba untuk mencoba nasib.

Berbalik pada situasi malam ini , mesyuarat kami terus berjalan hingga jam 11.15 malam. Suhu badan Ustaz Nahwi semakin panas, saya dapat rasakan betapa tekanan yang belaiu hadapi. Tugasnya mempengerusikan mesyuarat pada malam ini diselang-seli dengan beberapa pegawai untuk meneruskan kelancaran perjalanan yang pasti akan berakhir buat sementara ini.
kunjungan Tuan Pengarah menyuntik potensi kerja....mesra dan mahabbah

Sebelum mesyuarat bermula para pegawai j-QAF seluruh negara telah dikunjungi oleh Yang Berusaha Tuan Pengarah BPI, KPM Tuan Haji Abdul Rashid bin Ngah yang meluangkan masanya untuk meninjau perjalanan mesyuarat kami. Dalam tinjauannya pada malam ini, banyak pesanan yang penting dan peringatan yang bermakna untuk pegawai aplikasikan dalam tugas sebagai pegawai yang menguruskan hal-ehwal pertukaran dan orang yang bertanggungjawab memastikan perjalanan program j-QAF di negeri-negeri berjalan lancar. Segala pesanan dan amanat beliau sudah pasti akan tersemat disanubari semua pegawai demi untuk memastikan urusan kerja berjalan lancar. Terima kasih Tuan Pengarah!

No comments:

Post a Comment