14Julai-Siri pemantauan sekolah-sekolah program j-QAF bagi daerah Padang Terap Pendang telah bermula pada hari ini. Seramai 15 pegawai telah dipertanggungjawabkan untuk melakukan siri pemantauan pada kali ini yang melibatkan semua pegawai Khas j-QAF dari semua PPD dan pegawai-pegawai kurikulum dari SPI, JPN Kedah.
Sebanyak enam buah sekolah yang menjadi fokus pemantauan pada hari ini di Pendang dan juga Padang Terap. Keseluruhan pemantauan berjalan dengan baik dan dapat diselesaikan hingga waktu sesi petang.
Sebelum siri pemantauan kali ini dilaksanakan , semua wakil sekolah terlibat telah diberikan taklimat pra pemantuan terlebih dahulu agar semua GPI dan GPI program j-QAF dapat membuat persediaan yang terbaik terlebih dahulu dengan merujuk kepada pekeliling dan juga buku-buku panduan yang telah dibekalkan sebelum ini ke semua sekolah.
Hasil daripada pemantauan yang dilakukan oleh kumpulan saya pada hari ini mendapati ada berlaku perubahan yang agak memuaskan dari segi persediaan guru dan juga teknik penyampaian serta penggunaan BBM dalam p&p. Kaedah ransangan dan motivasi murid juga kelihatan kerap digunakan dan penggunaan alat BBM jelas menarik minat dan menghidupkan suasana pembelajaran yang dilakukan oleh guru.
Namun demikian terdapat juga beberapa perkara yang perlu dipertingkatkan berhubung dengan aspek pengurusan kelas, pengurusan masa dan tugas-tugas lanjutan yang perlu dibekalkan oleh guru kepada pelajar untuk aktiviti pembelajaran berterusan di rumah di samping mempelbagaikan penggunaan BBM. Terdapat juga beberapa isu berkaitan dasar dalam p&p yang perlu diperbetulkan supaya program j-QAF ini berada di landasan yang diperakui arahannya.
Sehubungan dengan siri pemantauan ini juga, laporan awal mendapati ada guru-guru GPI dan GPI program j-QAF yang masih menggunakan kaedah chalk & talk. Kedapatan juga guru yang langsung tidak bersedia untuk p&p dan jauh sekali menggunakan BBM dalam tugasannya. Ini menunjukkan ketidakakuran kepada arahan dan panduan pelaksanaan proses p&p yang disarankan masih berlaku di kalangan sebahagian dari guru-guru kita. Ketidakakuran arahan ini sekaligus telah membuktikan teknik penyampaian yang lemah, hambar dan tidak menarik minat murid, malah ada guru yang masih tidak mengenal nama muridnya walaupun sudah masuk minggu ke dua bulan Julai.
Amalan mempermudahkan tanggungjawab di dalam bilik darjah sebenarnya menonjolkan ciri dan keperibadian yang kurang baik seorang guru kepada muridnya seolah-olah ia tidak pernah mendapat latihan perguruan. Situasi ini perlu dielakkan dan diperbetulkan demi untuk melahirkan murid yang cemerlang dalam Pendidikan Islam dan meletakkan imej GPI di mata masyarakat, ibarat kata jangan kerana nila setitik rosak susu sebelanga.
Semoga pemantauan pada esok hari oleh pegawai-pegawai yang bertugas akan menemui guru-guru yang berhati waja dan berjiwa perkasa yang akur pada arahan ke arah memperkasakan Pendidikan Islam di sekolah kebangsaan. Selamat bertugas, terima kasih .
No comments:
Post a Comment