Thursday, April 1, 2010

Perjumpaan GPI Programj-QAF Daerah Kota Setar dengan Ketua Sektor Pendidikan Islam JPN Kedah





31Mac 2010-Satu perjumpaan rasmi bersama Tuan Ketua Sektor Pendiidikan Islam, Puan Hajjah Zainab bin Md Saman telah di adakan pada jam 2.30 petang di Dewan SK Langgar, Alor Star.Perjumpaan tersebut melibatkan semua Guru Pendidikan Islam , Program j-QAF kohort 2005 dan 2006 daerah Kota Setar. Majlis tersebut dimulakan dengan ucapan Pegawai Khas j-QAF Daerah Kota Setar, Ustaz Dziauddin bin Saad. Dalam ucapannya beliau banyak menyentuh tentang integiti dan peranan mulia sebagai gur Pendidikan Islam atau Ustaz dan Ustazah. Menurut beliau , masa depan murid-murid Islam dalam penghayatan syari'at Islam bergantung kepada peranan dan sumbangan maksima yang disumbangkan oleh generasi Ustaz dan Ustazah kini di bangku sekolah rendah dalam program j-QAF. Bagi beliau secara peribadinya amat bimbang tentang pencapaian yang sewajarnya dicapai, jika urusan P&P dan aktiviti sampingan tidak diberi tumpuan dan sentuhan guru dengan sepenuh jiwa dan raga sebagai seorang pendidik. Di akhir ucapannya Ustaz Dziauddin menaruh harapan yang tinggi kepada semua Ustaz dan Ustazah program j-QAF daerah Kota Setar agar terus meningkatkan kualiti kerja dan mencari idea ke arah meningkatkan teknik penyampaian dalam P&P lebih berkesan agar Program j-QAF Cemerlang Tanpa Gagal.


Sementara itu dalam taklimat seterusnya saya sempat membentangkan pencapaian prestasi murid j-QAF daerah Kota Setar dalam pelaporan yang lalu. Pencapain tersebut didedahkan untuk dijadikan penanda aras ke arah peningkatan pencapaian yang lebih memberansangkan bagi daerah Kota Setar dalam pelaporan Jun 2010 akan datang. Ketelusan dan ketelitian dalam pengisian data perlu diberi tumpuan dan keutamaan untuk menghasilkan pelaporan yang diperakui.

Majlis diakhiri dengan ucaptama yang disampaikan oleh Tuan Ketua Sektor. Dalam ucapannya beliau mengajak Ustaz dan Ustazah mengimbau kembali nikmat menjawat jawatan guru. Peluang yang dikecapi itu haruslah diambil kesempatan yang sewajarnya untuk mendidik dan membantu murid-murid ke arah pendidikan bertaraf dunia ke arah melahirkan insan kamil dan berwawasan. Belaiu berharap Ustaz dan Ustazah menumpukan sepenuh perhatian pada kerjaya murni dan mulia ini serta tidak menimbulkan sebarang masalah kepada pentadbir di sekolah masing-masing. Jadilah Ustaz dan Ustazah yang disukai dan disenangi oleh semua pihak, baik murid, rakan sejawat, pentadbir dan ibu-bapa. Berusahalah untuk menjadi guru yang diingati tentang kebaikan dan kemuliaan seorang Ustaz dan Ustazah dalam mendidik murid. Beliau berharap masa depan murid j-QAF yang ada di bawah pengawasan Ustaz dan Ustazah j-QAF pada hari ini akan lahir sebagai generasi Muslim Kelas Pertama untuk kecemerlangan generasi masa depan.

Terima kasih kepada semua pegawai UPI ,PPD Kota Setar, Ustaz Dzhir dan Ustaz Ibrahim serta semua jawatankuasa kerja dan persiapan majlis tersebut.Tidak lupa juga kepada tuan rumah, Tuan Guru Besar SK Langgar yang memberi ruang dan kemudahan amat memuaskan serta layanan yang istimewa sehingga berakhirnya majlis. teriam kasih semua.










Seksanya Jadi Guru...? Ada Guru Dibebani Tugas dan Ada Yang ..... Di Mana Kita....?

Cikgu Produktif Dibeban Tugas Berat Tanpa Terima Insentif

BEBANAN tugas guru ibarat isu yang tiada kesudahannya padahal realiti sebenarnya bukan ditanggung oleh semua guru, tetapi sebahagian saja terutama guru mata pelajaran peperiksaan utama, yang menjawat jawatan penting sekolah dan yang terpaksa bertugas selepas waktu kelas seperti jurulatih sukan utama sekolah.

Namun yang pelik dalam gegak-gempita isu bebanan tugas mendidik ini, ada pula guru yang sempat membuka kedai kain, restoran, perniagaan jualan langsung dan pelbagai kerja sampingan yang tidak berkaitan dengan pendidikan.

Kalau terbeban dengan tugas sekolah, mana mampu guru ini menjawat ‘dua profesion’ pada satu masa. Sebenarnya, di ‘atas kertas’ Kementerian Pelajaran sudah mengimbangi bebanan tugas guru dengan jumlah masa mengajar mingguan maksimum hanya 13 jam seminggu dan gaji lumayan untuk guru muda yang hanya mampu dicapai guru lama yang berkhidmat lebih 18 tahun dan beberapa lagi insentif.

Jika diminta bertugas di luar bandar pula, pelbagai alasan diberikan atau berjenis ‘kabel’ digunakan untuk mengelakkan diri, sedangkan ketika temu duga jangankan Gunung Everest, lautan api sanggup direnangi.

Jadi, apabila timbul keadaan ada segelintir guru yang enggan susah dan anak manja, maka terbitlah masalah bebanan guru kerana ada guru terpaksa memikul beban guru berkenaan.

Ditambah pula dengan pentadbir sekolah yang mengejar populariti, guru yang rajin dan berkebolehan akan dibebani pelbagai tugas tanpa memikirkan kebajikan guru berkenaan.

Mereka dihantui dengan kerja yang tidak berkesudahan setiap hari sedangkan ada segelintir rakan guru yang lain enak dibuai mimpi.
Sebagai orang lama dalam dunia pendidikan, Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (KPPK) kini dilihat semakin hilang sengat terutama pada kaca mata guru lama.

KPPK dilihat lebih mengejar populariti dan nama berbanding kebajikan guru. Isu yang diperjuangkannya seperti menguntungkan satu pihak tetapi menyakitkan hati pihak lain.

Untuk mengembalikan taring KPPK, peranan sebenar KPPK ialah menuntut Kementerian Pelajaran memberi insentif untuk guru yang sanggup menanggung bebanan tugas yang diberikan.

Insentif berbentuk elaun boleh memberi keadilan kepada guru terbabit agar terubat duka menanggung bebanan tugas yang diberikan.

KPPK juga harus membuat soal selidik bebanan tugas guru di sekolah melalui wakil guru dan ahli KPPK yang hampir mencecah 200,000 guru itu.

Jangan hanya terjah dan timbang kilo tanpa fakta tepat kerana ini hanya merugikan guru yang berkebolehan, aktif dan produktif di sekolah.

IRMAZ DINI,
Pendang, Kedah

Berita Harian Online: 1 April 2010



Seksa Jadi Cikgu
Oleh Khairul Azran Hussin
khaiazr@bharian.com.my

2010/04/01

TIMBALAN Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin (dua dari kiri), bersalaman bersama Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Hashim Adnan semasa Perjumpaan bersama NUTP di Parlimen di Kuala Lumpur, semalam. - Foto Bernama
TIMBALAN Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin (dua dari kiri), bersalaman bersama Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Hashim Adnan semasa Perjumpaan bersama NUTP di Parlimen di Kuala Lumpur, semalam. - Foto Bernama
Jawatankuasa khas diberi dua bulan selesai tekanan hidup guru: Muhyiddin

KUALA LUMPUR: Sebuah jawatankuasa khas ditubuhkan bagi mengkaji beban tugas guru yang kini terpaksa melakukan kerja berlebihan, termasuk pentadbiran dan perkeranian hingga mengganggu tanggungjawab mendidik pelajar.

Jawatankuasa itu yang dipengerusikan Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom dan dianggotai beberapa pegawai pelajaran dan wakil Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) akan mengenal pasti tahap keseriusan isu berkenaan serta diberi tempoh dua bulan untuk menyelesaikannya.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata berdasarkan aduan NUTP, selain tugas mengajar, ada guru terpaksa mengendalikan aktiviti kokurikulum, bilik darjah, hal ehwal murid, pentadbiran dan perkeranian serta beberapa kerja tambahan lain.

“NUTP turut membuat aduan yang guru terpaksa bekerja setiap Sabtu disebabkan terbabit dengan banyak aktiviti, sedangkan pekeliling yang dikeluarkan membenarkan guru bercuti pada Sabtu sebanyak dua kali setiap bulan.

“Jadi, kita akan teliti masalah itu kerana tidak mahu tugas hakiki guru, iaitu mendidik pelajar tidak terganggu disebabkan bebanan macam-macam tugas yang terpaksa dibuat,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat antara Kementerian Pelajaran dengan NUTP di bangunan Parlimen, semalam.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, jawatankuasa itu akan mengenal pasti punca masalah berkenaan dan mencari penanda aras yang boleh diguna pakai bagi menyelesaikannya.
“Piawaian antarabangsa atau dari negara jiran yang tahap pendidikannya lebih tinggi boleh kita contohi,” katanya.

Muhyiddin berkata, kementerian menyedari tugas sebenar guru ialah pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas, bukannya melakukan tugas tertentu yang sepatutnya dilakukan kerani.

Dalam perkembangan lain, Muhyiddin berkata, dasar baru kementerian yang menekankan aspek kokurikulum di sekolah mendapat maklum balas positif daripada NUTP yang menyatakan sokongan penuh terhadap usaha berkenaan.

“NUTP turut menyokong Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) bagi meningkatkan jaringan pendidikan kepada rakyat. Kementerian akan cuba sedaya upaya untuk memberikan yang terbaik kepada guru dan rakyat,” katanya.

Berita Harian Online: 1 April 2010

1 comment:

  1. Salam. Bagaimana pula dengan guru yang terpaksa bertugas pada Sabtu ( Ko-kurikulum ) dan Ahad menghantar murid untuk pertandingan ko kurikulum.Nampaknya masa untuk keluarga terpaksa dikorbankan kerana tugas, walaupun bukan selalu.

    ReplyDelete