2010/04/04
Kementerian Pelajaran Perlu Pastikan Pekeliling Dasar Turut Dipatuhi Sekolah, Jabatan
PASTI ramai tertanya-tanya kenapa semakin banyak masalah berkaitan guru timbul sejak kebelakangan ini. Masalah berbangkit ini sebenarnya isu lama yang tidak diselesaikan sejak dulu, sebaliknya ia dibiarkan tergantung supaya isu itu akan lenyap mengikut masa.
Sikap keterbukaan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran ingin tahu masalah membabitkan warga pendidik akhirnya mendedahkan pekung sebenar. Sebaik pelantikannya sebagai Menteri Pelajaran, Muhyiddin turun padang melawat sekolah bermasalah dari segi infrastruktur di sekolah kebangsaan, sekolah menengah jenis kebangsaan Cina dan Tamil dan membantu memperbaikinya.
Dari situlah beliau mula melihat dan mengetahui masalah di sekolah, bukan setakat kurang kemudahan atau bangunan rosak, sebaliknya beban kerja warga pendidik yang terpaksa melakukan kerja berlebihan termasuk pentadbiran dan perkeranian hingga mengganggu tanggungjawab mendidik.
Berikutan itu, Muhyiddin mengumumkan penubuhan jawatankuasa yang dipengerusikan Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom dan dianggotai beberapa pegawai pelajaran dan wakil Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) bagi mengenal pasti tahap keseriusan isu berkenaan serta diberi tempoh dua bulan untuk menyelesaikannya.
Bagi NUTP, guru menanggung beban kerja berganda akibat wujudnya arahan dalam arahan apabila mereka terpaksa melakukan tugasan dalam skop sama berulang kali atas arahan pihak atasan pada peringkat berbeza. Ketika ini, semua pihak di kementerian, jabatan pelajaran negeri, pegawai pelajaran daerah dan pengetua memberikan arahan masing-masing akibatnya sudah pasti antara arahan ini menyanggahi atau melampaui arahan yang berasal dari kementerian.
Seperti kata Setiausaha Agung NUTP, Lok Yim Pheng, senario itu berlaku apabila Kementerian Pelajaran mengeluarkan pekeliling yang mengarahkan guru melaksanakan program tertentu, tetapi pada masa sama mereka dikehendaki menjalankan lagi program seumpama atas arahan pentadbiran pada peringkat jabatan pelajaran negeri atau daerah, walaupun semua mengandungi pengisian hampir sama.
Keadaan sedemikian didakwa NUTP berlaku di negeri tertentu menyebabkan guru terpaksa akur dengan arahan pihak atasan pada peringkat berbeza sehingga berlaku pembaziran masa dan menjejaskan tanggungjawab pendidik dalam pengajaran dan pembelajaran.
Justeru, dalam menangani situasi sebegini, NUTP berharap guru hanya perlu akur kepada pekeliling Kementerian Pelajaran dan tidak perlu ditokok tambah dengan program yang mirip oleh jabatan pelajaran negeri atau daerah.
Di atas kertas, cadangan penyelesaian NUTP ini nampak mudah. Namun, berdasarkan senario semasa, ia bukan semudah itu. Sebagai contoh, sehingga kini, kebanyakan sekolah tidak mematuhi pekeliling waktu mengajar guru pusat sumber sekolah, terutama di Kuala Lumpur. Pekeliling mengenainya sudah ada tetapi tidak diikuti atas alasan sekolah kekurangan guru, selain tiada kesungguhan untuk melaksanakannya, termasuk pada peringkat Bahagian Teknologi Pendidikan (BTP) yang mengawal Pusat Sumber Pendidikan Negeri (PSPN). Mengikut satu sumber, seorang bekas pengarah pelajaran pernah memperkecilkan pekeliling ini pada satu majlis terbuka.
Ini hanya satu contoh permasalahan kecil yang sehingga kini tidak dapat diselesaikan JPN, sedangkan pekeliling mengenainya sudah ada. Hakikatnya, pekeliling bukan penyelesaian masalah yang ada di sekolah, sebaliknya ia lebih kepada kelemahan penguatkuasaan pekeliling terbabit.
Selain mematuhi pekeliling, ketelusan perlu ada dalam isu tertentu, khususnya membabitkan guru/pegawai jabatan tidak dibenarkan membuat tuntutan perbatuan atau perjalanan. Sehingga kini tiada pekeliling mengenai larangan ini, sebaliknya ia hanya dicanangkan ketua kerani di sekolah.
Sukar untuk percaya tetapi itulah hakikatnya apabila guru dan pengetua menghadiri mesyuarat atau berkursus dijamu nasi atau kuih dibungkus dalam plastik bersama air mineral yang harganya tidak melebihi RM4, selain dipesan ketua kerani supaya tidak membuat tuntutan perjalanan, sedangkan ada kakitangan awam lain menerima pelarasan gaji dan tunggakan elaun.
Berita Harian Online: 4 April 2010
Makmal Nilai Pencapaian Guru Diwujud
2010/04/03
HULU SELANGOR: Kementerian Pelajaran mewujudkan sebuah lagi makmal bagi menilai tahap pencapaian guru bertujuan memastikan proses kenaikan pangkat guru dapat dibuat dengan lebih telus. adil dan saksama sebagai usaha memartabatkan lagi profesion perguruan.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata ia juga dibuat bagi memastikan tidak ada lagi guru yang sepatutnya mendapat kenaikan kerana cemerlang dalam perkhidmatan terlepas pandang hanya kerana mereka mengajar di pedalaman.
Ada sesetengah guru berasakan mereka seolah-olah tidak diberikan perhatian dan oleh sebab itu kita nak pastikan supaya ada satu sistem yang lebih telus diikuti dengan sistem pengurusan lebih cekap supaya rekod guru yang ada terkini dan kemas.
Melaluinya kita dapat melihat semua profil guru yang ada disimpan dengan lengkap dan bila guru berkhidmat, prestasi guru dinilai dari semasa ke semasa dengan lebih rapi supaya kita boleh memberikan pengiktirafan kepada guru, katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Perjumpaan Timbalan Perdana Menteri Bersama Guru Seluruh Hulu Selangor di Sekolah Menengah Sains Hulu Selangor, di sini semalam.
Hadir sama, Menteri Pertanian, Datuk Noh Omar dan Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom.
Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, langkah itu perlu dilihat sebagai cabaran kerana jabatan yang akan menguruskan bahagian itu bukan jabatan biasa kerana ia memerlukan tenaga manusia ramai untuk menilai dia memastikan sistem itu agak kemas dan wujud dengan cara rapi selain penilaian perlu dibuat secara adil dan saksama.
Langkah itu juga dibuat bagi memastikan tidak ada guru berasa seolah-olah `dianaktirikan atau tidak diberikan layanan yang baik dan saksama atau tidak diberikan perhatian langsung, katanya.
Sementara itu, Muhyiddin mengumumkan peruntukan RM2 juta untuk menyelesaikan masalah banjir yang sering menghantui kira-kira 2,000 penduduk di Kampung Sentosa, Bukit Beruntung, dekat sini.
Berita Harian Online: 3 April 2010
Tiga Tahun Tidur Di Bawah Bilik Darjah Demi Murid
2010/04/03
Guru kaum Penan cekal walau tempat tinggal tidak sempurna
LONG LATIN (Ulu Baram): Empat guru disebuah sekolah rendah di sini termasuk sepasang suami isteri terpaksa tidur dalam sebuah bilik sempit berukuran 20 kaki panjang dan 10 kaki lebar dengan ketinggian hanya tujuh kaki sejak tiga tahun lalu kerana kediaman guru yang sedia ada tidak mencukupi.
Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Long Lutin, Edward Ngullie Anggun, berkata sekolah itu yang dibina awal 1980-an hanya mempunyai empat unit kediaman guru termasuk satu unit yang sudah uzur serta hampir runtuh dan tidak cukup untuk menampung 12 guru serta keluarga mereka.
Kami terpaksa membina dua bilik untuk kediaman guru di bawah kelas serta satu lagi dijadikan bilik darjah kerana kemudahan kediaman yang sedia ada memang tidak mencukupi, katanya.
Helleh Lihan, 29, guru kelas peralihan di sekolah terbabit berkata, dia dan suaminya, Fanuel Gerawal Edom, 26, terpaksa tinggal dalam sebuah bilik yang sempit di bawah bilik darjah sejak tiga tahun lalu.
Katanya, walaupun begitu mereka tetap bersyukur kerana mempunyai tempat untuk tinggal dan ia sedikitpun tidak mematahkan semangat untuk memberikan pendidikan terbaik untuk anak-anak orang Penan di kawasan Ulu Baram.
Seorang lagi guru di sekolah itu, Benjamin Lenjan, 45, berkata dia kini terpaksa tinggal dalam sebuah rumah guru yang hanya menunggu masa untuk runtuh.
Katanya, sejak enam tahun lalu pelbagai usaha dilakukan oleh pihak sekolah untuk mendapatkan kediaman baru guru namun setakat ini tidak berjaya.
Kalau difikirkan rumah guru ini memang tidak lagi selamat untuk diduduki lebih-lebih lagi kedudukannya di tepi sungai dan ketika hujan memang banyak ruang yang basah, katanya.
Hampir 100 peratus daripada 209 murid di sekolah terbabit adalah anak-anak kaum Penan dari tujuh kampung dari sekitar Long Lutin dan semua murid terbabit tinggal di asrama. - Bernama
Berita Harian Online: 3 April 2010
PKPIM Sokong Kaji Bebanan Tugas Guru
2010/04/03
PERSATUAN Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) menyokong penuh usaha mewujudkan jawatankuasa khas bagi mengkaji beban tugas berlebihan yang ditanggung oleh guru di seluruh negara. Isu ini sebenarnya sudah lama menjadi perbualan khususnya di kalangan guru namun sehingga kini masih belum nampak jalan penyelesaiannya.
Dengan penubuhan jawatankuasa khas ini, diharap dapat membantu mencari jawapan kaedah penyelesaian masalah yang membelenggu guru, yang pastinya banyak membantutkan usaha guru untuk menjalankan tanggungjawab dan amanah mendidik anak bangsa dengan sebaik mungkin.
Kebanyakan guru sekarang dibebankan dengan tugas pentadbiran dan hal teknikal sehingga menjejaskan tumpuan kepada tugas mendidik pelajar. Masa banyak dihabiskan untuk menyelesaikan masalah dan kerja pentadbiran sehingga menimbulkan tekanan kerja yang berat, sekali gus membuatkan tugas sebenar guru terabai.
Masa guru juga perlu banyak dihabiskan bersama pelajar demi membina hubungan akrab, sekali gus membantu guru mendidik pelajarnya dengan penuh sifat kebapaan dan keibuan. Oleh itu, guru bukan sekadar dapat mengajar di dalam kelas semata-mata malah dapat mendidik akhlak dan sahsiah pelajar agar menjadi insan beradab dan memiliki budi pekerti mulia.
Guru juga dapat membuat persiapan secukupnya demi merancang kaedah pengajaran lebih sistematik dan menarik minat pelajar di samping dapat menyediakan modul kontemporari sebagai persiapan mengajar.
Hal ini tidak mungkin dapat dilakukan oleh guru sekiranya mereka terlampau disibukkan dengan bebanan tugas pentadbiran dan pengurusan sehingga terpaksa menghadiri pelbagai mesyuarat dan akhirnya menyebabkan mereka sendiri terpaksa ponteng mengajar.
Pelbagai implikasi yang negatif akibat bebanan tugas pentadbiran dan pengurusan kepada guru yang perlu dikaji dan diperhalusi oleh jawatankuasa khas nanti. Semoga ia dapat mengurangkan bebanan tugas guru sehingga mereka dapat menunaikan amanah mendidik anak bangsa dengan lebih sempurna.
WAN MOHAMAD WASIF WAN MOHAMAD,
Exco Pendidikan dan Penyelidikan PKPIM
Berita Harian Online: 3 April 2010
No comments:
Post a Comment