Bendang Raja 16Mac- Ramai dari kita lahir dari kampung. Berbudi pada tanahlah yang membolehkan kita mendapat hasil untuk belanja sekolah kita masa zaman budak sekolah dulu-dulu. Dulu mana ada mesin padi dan siput gondang emas macam la ni. Dulu rumput, keladi bunting dan selambau sahaja yang menjadi pesaing padi. Tapi la, botol racun pelbagai jenama dan bermacam jenis vitamin untuk padi. Zaman sudah berubah, tidak ada lagi tong memukul padi, ketam padi dah semakin pupus kalau tak kerana mengerat padi muda untuk dibuat emping padi (rengee) untuk dimakan dengan jagung dan isi nyior dicampu gula mungkin tak nampak langsung pisau mengetam padi. Kuku kambing buat menyulam padi pun dah tak berapa nak digunakan kalau tak kerana nak menyulam padi yang jarang dalam petak bendang. Dulu kita pakat-pakat buat bendang cara 'bederau', hari ni aku tolong hang esok hang tolong dibendang aku pulak sampai padi di bawa masuk ke jelapang dan makan kenduri beras baru. Begitulah yang pernah kita lalui sebagai anak bendang. Muafakat dan saling membantu antara satu sama lain. Tapi la ni, semua tu hanya menjadi nostalgia dan kenang-kenangan manis hidup berkampung untuk bekas-bekas anak bendang. Zaman telah berubah. Ya lah, kalau dulu kita terjun sungai, main keleboq dan mandi parit , tapi pasal lintah kita gelabah juga, tapi la ni pakat-pakat bela lintah untuk itu dan untuk ini. Senang kata untuk RM. Anak-anak kita sekarang ada yang tak kenai semai, gelung air, parit gila, tali air dan segala jenis rumput, ikan dan siput dalam petak bendang dan 'parit gila'. Pacat dan lintah jauh sekali nak hisap darah mereka.Banyak yang tau makan nasi sahaja. Silap kita juga, kerana sayangkan depa kita tak ajak depa ke bendang, tengok macam mana proses sebenar hingga apa yang depa makan tiap-tiap hari tu dihasilkan. Kita dok kira nak hantaq tuisyen saja, kata hati kecil kita; depa boleh tau melalui buku dan media pun kira ok juga!Payah-payah kita bawa depa pi melawat muzium padi di Gunung Keriang, selesai masalah. Bendang kita sewa atau buat pakai 'remote control' dan RM saja untuk upah itu dan ini sebagai ganti peluh. Nak buat semua mana dan.....! Kini petak-petak bendang kita ditukar dengan petak-petak kelas, bederau kita buat bila ada majlis-majlis rasmi dan hari sambutan tertentu di sekolah. Kadang-kadang petak kelas kita pun dekat-dekat nak sama kalau nak dibandingkan dengan petak bendang kita dulu-dulu. Ada rumput, ada selambau, ada keladi bunting yang mengganggu kelancaran p&p. Jadi kena ikhtiar macamana nak atasi hal-hal tersebut.
Dulu buat bendang, baja racun dan benih tuan bendang usaha sendiri, kini semua disediakan diPPK, daftar dan dapat semua set tersebut. Dulu ABM guru reka sendiri, kini semua tersedia dan panduannya juga lengkap. Kalau di kedai tak terbeli dibuatnya.Ikut zaman... kalau padi dah bertambah guninya, kini murid pun gred A kita kira sapa paling banyak.Tapi jangan sesekali petak kelas pun kita pakai 'remote control' juga...Huru-hara jadinya. Kalau kita renung petak-petak bendang yang kering kontang dan merekah diputar waktu tanah kering, putih gebu tanahnya. Tidak ada pun tunggul padi atau rumput yang hijau, tapi bila hujan turun, padi yang jatuh luruh dari mesin padi mula menunjuk langit. Sahabat-sahabatnya dari keturunan rumput pun mula menampakkan diri hinggalah seterusnya penuh dengan tumbuhan dan bermacam jenis makhluk di dalamnya.
Subhanallah....Teringat firman Allah;
"Allah yang mengirimkan angin membawa berita gembira sebelum kedatangan rahmatNYA(hujan), hingga apabila ia membawa awan mendung. KAMI halakan ke negeri yang kering kontang, lalu KAMI turunkan hujandaripada awan itu. Kemudian KAMI mengeluarkan pelbagai jenis buah-buahan dengannya. Demikian pula KAMI menghidupkan semula orang yang telah mati.Mudah-mudahan kamu mengambil pengajaran. Negeri yang tanahnya baik, tumbuh-tumbuhan hidup subur dengan izin Allah, dan negeri yang tidak baik tumbuh-tumbuhannya hidup terbantut. Demikianlah KAMI menerangkan tanda-tanda kemurahan dan kekuasaan KAMI bagi orang yang mahu bersyukur". (Al-A'raf 57-58)
Sekadar kenang-kenangan dan mengingatkan empunya diri dan hubungan dengan tanah.
No comments:
Post a Comment